Monday, December 23, 2013

CERPEN : TIRAMISU

“ Wah.. handsome lah pulak abang tu,”
“ Comellah dia..!!”
“ Kalau jadi pakwe aku, confirm aku sayang ketat-ketat ni!”

Asyadhia menggeleng kepala melihat gelagat teman-temannya. Tidak berkelip mata mereka melihat apa yang terbentang di hadapan mata.

“ Wei, zina matalah wei! Dosa!” tegur Asyadhia sambil gelak.
“ Mana ada zina mata? Saja-sajalah kau, kan?”

“ Aku cakap betul apa! Kan zina mata kalau kita pandang yang haram dengan rasa syahwat? Korang pandang abang tu, then siap puji-puji dia lagi. Kan dah jadi dosa tu!” katanya lagi, dalam nada gurauan, bimbang akan menyinggung perasaan mereka.

“ Yalah, yalah. Kau betul,” masing-masing mengalah. Bercakap dengan Asyadhia yang petah mengeluarkan hujah bernasnya pasti tidak akan menang! Asyadhia sengih. Buat muka tidak bersalah.

“ Dahlah tu! Jomlah balik! Esok-esok boleh pandang dia lagi,” sekali lagi Asyadhia memperli. Kawan-kawannya bangkit dari tempat duduk, dan melangkah keluar dari kedai itu.

Asyadhia Dayana, gadis genit berusia 23 tahun. Menuntut di UITM Shah Alam dalam bidang perniagaan. Berasal dari negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah, dan berperwatakan menarik. Wajahnya sedap mata memandang, bertudung litup, dan seorang yang senang didampingi teman-teman.

Memilih untuk berada dalam bidang pengajian ini bukanlah kehendak diri sepenuhnya, tetapi lebih kepada permintaan arwah bapanya yang mahu ada pewaris dalam meneruskan legasi perniagaan kraf tangan keluarga mereka. Pengalaman saja tidak cukup untuk membolehkan dia mendapat kepercayaan orang yang lebih berpengalaman. Dia juga harus memiliki pengetahuan yang mampu dibuktikan!
…………………

“ Ini berapa kak?”
“ Sebab hari ni hari ke-100 kami beroperasi, dan adik pula pelanggan ke-10 kami, kek ni free untuk adik,”

“ Betul ke akak? Akak main-main dengan saya erk?” Asyadhia menayang sengihnya. Tetapi, perempuan di hadapannya menggelengkan kepala. Tanda dia tidak berbohong. Apatah lagi untuk bermain-main dengan Asyadhia.

“ Kak, harga kek ni dekat RM50 tau! Akak jangan main-main pulak,”
“ Laa.. adik ni.. akak seriouslah! Kalau tak nak, akak bagi kat orang lain je,”

“ Eh.. naklah kak! Ibu saya kata, rezeki jangan ditolak, menyesal tak berguna nanti, terima kasih akak, lain kali boleh belanja lagi! Bye akak!!” Asyadhia melambai-lambaikan tangannya kepada pengurus kedai tersebut. Hatinya berbunga riang. Tidak sabar untuk berkongsi rezeki dengan teman-teman.

Lelaki itu senyum riang. Senang pabila rancangannya membuahkan hasil. Dia turut melemparkan senyuman buat pengurus kedai yang telah membantu untuk melaksanakan rancangannya. ‘Move to the next step!’

“ Wei.. ya ke? Untungnya kau! Kalaulah aku dapat, tentu aku beli banyak-banyak tadi. Waahhh.. tak mampu aku bayangkan nikmatnya makan kek-kek free tu..!! Tiramisu, cheese, blackcurrant, coklat, keladi.. oh my! Air tangan abang handsome tu lagi! Awesome!”

“ Oit! Kau melalut apa ni? Asyik abang handsome tu aje yang disebutnya!” bahu Azira ditolak. Azira sengih. Satu potong kek disumbat lagi ke dalam mulutnya sambil membuat muka teruja.

“ Waa.. abang handsome!!” kali ini, kepala Azira pula menjadi mangsa sekehannya. Geram sungguh dengan tingkah temannya itu. Jiwang tak kira tempat!
“ Alaa.. kau janganlah kacau feel aku! Nak imagine abang handsome tu pun susah! Isyh!”

“ Dah kau melalut!”
“ Kau jealous ek?”
“ Tak ada maknanya aku nak jealous okey?”
“ Yalah sangat. Tak nak mengakulah tu..”

“ Woi! Makan tak hengat!” Asyadhia dan Azira sama-sama mengalihkan pandangan ke arah Zara dan Faralyna. Kedua-duanya sengih bak kerang busuk di kedai Pak Samad. Mulut Zara pula comot dengan krim kek. Asyadhia memandang kek yang tinggal sepotong.

“ Korang makan ke apa ni? Rakus sangat!” soal Azira.
“ Dah korang nak bergaduh sangat. Aku sumbat sajalah semua kat dalam mulut. Tak perasanlah pulak terover sumbat. Kan Lyna kan?” Faralyna angguk bak burung belatuk.
“ Agak-agaklah mak cik. Aku baru makan dua potong kot.. Ni yang aku start nak touching ni,” Asyadhia buat muka kesian.

“ Alaa.. esok pergi lagi. Buat muka kesian. Untung-untung dapat free lagi. Confirm si abang handsome tu cair dengan kau!” usul Faralyna.
“ Gila kau! Si Dhia ni nak buat muka comel depan abang tu? Memang taklah! Muka tak ada perasaan je perempuan ni!”

“ Agak-agaklah, kau kutuk tuan dia dekat sini je wei..” perang mulut antara mereka makin riuh.
“ Betul apa. Abang tu bukan main lagi senyum menampakkan lesung pipit dia yang menawan tu. Ohh..”
“ Shut up la Zira! Aku jaga hatilah wei.”
“ Yalah. Yalah. Jaga hati untuk tunang kesayangan kau tu, kan?” Asyadhia tayang gigi yang tersusun rapi.

“ Kau ni, sayang orang yang kau tak pernah jumpa. Entah-entah dia rongak ke, dah beruban ke, apa ke..”
“ Agak-agak sikit ya mak cik. Takkanlah ibu aku nak pilih yang macam tu pula untuk aku. Tapi, sekurang-kurangnya, bertunang ni buat aku tahu batas aku. Hati aku, aku kena jaga. Tu amanah dari dia. Mana boleh aku mungkir janji,”

Azira senyum. Tidak mampu meluahkan bicara lagi. Ketiga-tiga mereka sudah sedia maklum akan status sebenar Asyadhia. Asyadhia bertunang dengan pilihan keluarga sejak tahun pertama lagi. Lelaki itu khabarnya masih menuntut di Jordan, dan kerana itulah Asyadhia tidak pernah bersua dengan tunangnya. Bukan tiada lelaki lain yang cuba mendekati, tetapi Asyadhia tidak lelah menolak secara baik. Katanya, hati dia buat bakal imamnya. Lelaki pilihan keluarganya.
………………

Asyadhia menapak ke dalam kedai tersebut. Ditinjau-tinjau kek kegemarannya yang biasa disusun sederet dengan kek-kek lain.

“ Alamak! Takkan dah habis?” dia menggigit bibir. Sedikit terkilan melihat kek digemari tiada di situ seperti kebiasaannya.
“ Tiramisu ke, awak?” Asyadhia berpaling ke arah suara yang bertanya. Saat mata mereka bertentangan, pantas Asyadhia menundukkan pandangan.

“ D.. dah habis ke?” soalnya sedikit gugup. Lelaki itu senyum.
“ Ha’a. cepat pula habisnya. Kalau tak, mungkin saya boleh tolong simpankan untuk awak tadi,”
“ Erm.. tak apalah. Bukan rezeki saya hari ni. Pergi dulu. Assalamualaikum,”
“ Waalaikumussalam,”

“ Allah.. apa pulak ni?” tangan Asyadhia mencapai beg kecil yang diletakkan di peti surat yang tertera nombor rumah mereka. Ada namanya tertulis di situ. Niatnya tadi cuma untuk memastikan tiada surat yang terlupa diambil. Namun, tidak pula disangka kejutan sebegini yang diterima. Isi beg itu diintai. Sekali lagi dia terpana.

“ Kek?” sebiji kek tiramisu yang diletakkan di dalam bekas berbentuk hati dikeluarkan.
“ Kad pulak?” gumamnya sendiri.

 ‘Enjoy the piece of this cake. I know it is your favourite. That’s why everyday I make it. Don’t be upset anymore okay? There are still more tiramisu for you. Everyday. insya-Allah. –KA-’

Asyadhia mengerut dahi. KA? Siapakah gerangannya? Asyadhia mula mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Kad tadi diletakkan di dalam beg. Sesampainya di rumah, kek itu dimasukkan ke dalam peti sejuk. Dia mahu menunaikan solat dan berehat seketika sementara menunggu teman-teman yang lain pulang.

“ Dhia, kek tiramisu kau ke kat dalam peti tu?” soal Zara sewaktu mereka bersantai di hadapan televisyen.
“ Ha’a, kek petang tadi. Ambillah kalau nak,”
“ Kau ni Ira.. Macamlah tak tahu empunya kek tu. Hari-hari duk makan kek yang sama,” Asyadhia sengih mendengar bicara Azira.

“ Kedai abang handsome tu tukar bekas ke? Strategi baru pulak erk?” tanya Faralyna sambil menyuap secebis tiramisu yang dibawa oleh Zara tadi ke dalam mulut. Asyadhia angkat bahu, tanda tidak tahu.

“ Cantik juga bekas bentuk hati tu, kan? Tu mesti idea abang handsome tu, kan? Waahh.. mesti dia romantik gila!” Azira sudah mula berangan-angan. Nampak ke‘miang’annya di situ apabila asyik memuji-muji lelaki lain meski sudah memilik jantung hatinya sendiri.

“ Hari-hari kau makan tiramisu sampai aku sendiri naik kematu. Tak muak ke, Dhia?” Asyadhia pantas menggelengkan kepala. Pandangannya langsung tidak beralih daripada memandang skrin televisyen yang sedang menyiarkan wajah Sharnaaz Ahmad dan Siti Saleha dalam drama Ruby.

“ Abang tu pulak hari-hari buat tiramisu. Tak puas pulak dia kan? Walaupun kadang-kadang, dia ubahlah juga menu tu, tapi tiramisu tetap ada. Siap minah ni boleh beli setiap hari lagi,” Zahira membebel.

Asyadhia berhenti memasukkan jajan ke dalam mulutnya. Akalnya mula menjalankan tugas. Ada satu kemungkinan yang bermain di dalam kepalanya.
“ Aisy! Tak mungkinlah!”
“ Apa yang tak mungkinnya?
“ Ha? Eh..! Tak ada apa-apalah. Aku masuk bilik dululah,”
“ Aik? Habis abang Sharnaaz kau ni?”
“ Nak buat apa? Cinta hati aku kan dah ada kat sini dah!” Asyadhia meletakkan tangan di dada. Sengihan lebar ditujukan khas buat teman-teman tercinta.

“ Dahlah. Berjiwang pulak kau malam-malam ni,”
Asyadhia ketawa lantas menapak masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama Faralyna. Beg sandangnya diambil. Kad warna biru muda itu dikeluarkan. Dibaca isinya berulang kali untuk memastikan telahannya tidak silap.

“ Memang dia! Sah! Memang dia orangnya. Tak apa Dhia! Esok kau pergi tanya dia sendiri!” Asyadhia menggigit bibirnya.

“ Tapi, kau mampu ke Dhia? Nanti tergagap-gagap pulak!” Asyadhia mengetuk kepala sendiri.
Siapa yang tidak akan terpana tika bersua empat mata dengan jejaka tersebut. Bodoh jika dia mengatakan bahawa hatinya tidak tergugat saat melihat seraut wajah itu. Tipu jika dia menyatakan bahawa jantungnya tidak berdetak tika memandang senyuman yang terukir di bibir itu. Dia juga wanita yang kadangkala mudah terjatuh cinta. Saat pertama kali bertentang mata, sudah ada getar yang bermain di jiwa. Tetapi, dia sedar, hatinya telah lama dimiliki oleh sang dia. Dia yang menjadi pilihan orang tua. Kerana itu jugalah dia cuba untuk membuang segala rasa yang mahu wujud untuk lelaki itu. Satu keluhan dilepaskan.

“ Ya Allah.. bilakan tiba waktunya untuk kami bersua dan menyelesaikan ini semua? Aku tidak tahu hatinya. Bimbing aku, ya Rabb.. agar aku tidak tersalah langkah,”
………………..

Asyadhia terjenguk-jenguk ke dalam kedai itu. Lagaknya seperti orang yang sedang menghendap sesuatu.

“ Buat apa tu awak?” Asyadhia tersentak, pantas mengurut dada. Terkejut dengan sergahan itu. Lelaki di hadapannya sudah tersenyum. ‘ Comel!’ desis hati lelakinya.
“ Ti..tiramisu! Ha! Tiramisu ada lagi tak?” soalnya, cuba menutup gemuruh.
“ Just like always. Always there for you,” Asyadhia terasa mahu pitam. Oh my! Oh! Sure, he is the one!

“ That’s mean.. awaklah the one yang bagi..” lelaki itu angguk sambil senyum. ‘Oh, encik..! please! Jangan senyum! Nanti hati saya tertawan!’
“ Sedap?”
“ Apa yang sedap?”
“ That cake la?”
“ Ohh.. ha’a, sedap. Thanks anyway! Ok bye!” Asyadhia mula melangkah.

“ Eh, kata nak beli kek tadi?” dia kembali berpaling. Spontan menepuk dahi tatkala menyedari kelemahan diri.
“ Lupa. Okay then,” langkah diatur ke dalam kedai kek. Sepotong kek tiramisu diambil dan diletakkan ke dalam bekas, dan sekali lagi dia keliru. Kenapa bentuk bekasnya tidak sama seperti semalam?

 “ Kak, semalam saya datang, bekas bentuk hati. Kenapa hari ni lain pulak?”
“ Maksud adik?”
“ Bekas ni.. tak sama macam yang semalam punya,”
“ Eh.. mana ada dik. Tak pernah pun kami tukar bentuk bekasnya,”
“ Tapi..”

Asyadhia mengalihkan pandangan ke bahagian dapur. Lelaki itu sedang tersenyum kepadanya. Wajahnya kembali ditundukkan. Segan saat menyedari diri diperhatikan. Jika boleh, mahu saja dia menghilangkan diri di saat itu. Menjadi halimunan barangkali!

“ Kalau macam tu, tak apalah kak. Saya ambil yang ni je. Terima kasih kak,”
“ Sama-sama dik. Eh, esok kedai tutup tau! Bos akak nak balik kampung. Ada hal penting katanya,” Asyadhia mengerut dahi. Tutup?

 “ Ooh.. ya ke.. terpaksalah saya tahan rindu pada kek tiramisu..” ucapnya, perlahan.
“ Tahan rindu pada kek saja ke? Pada si pembuat kek?” Asyadhia berpaling ke arah yang bertanya. Pantas dia melarikan wajah saat terpandang senyuman yang terkulum di wajah itu.
“ A.. akak, terima kasih, ya? Pergi dulu. Assalamualaikum,”

Langkah kakinya diatur laju menjauh dari kedai tersebut. Setelah memastikan dia sudah jauh, Asyadhia memperlahankan rentak. Nafasnya dihelakan perlahan. Dadanya dipegang. Ada getaran bermain di situ. Asyadhia sendiri tidak pasti mengapa rasa itu harus hadir. Satu keluhan dilepaskan. Lelah memikirkan apa yang sebenarnya mengganggu fikiran.

“ Cool, Dhia.. cool! Tarik nafas, hembus. Tarik.. hembus.. ta..”
“ Buat apa tu wak? Kenapa tercegat kat sini?” Asyadhia tersentak tika disapa seseorang. Harus diakui, semenjak akhir-akhir ini, suara itu kian sebati di pendengarannya.

“ T.. tak ada apa-apa,” Asyadhia tidak berpaling. Sebaliknya bermain dengan plastik berisi kek di tangan.
“ It’s nice to meet and knowing you, Asyadhia Dayana. A girl with unique name, and wonderful personalities,”  Asyadhia terasa mukanya panas. ‘Blushing ke apa aku ni? Sabar Dhia. Sabar. Ingat abang Khalish. Ingat tunang kau.’ dia memujuk diri sendiri. Bimbang diri akan jatuh cinta lagi. Mahu naya!

“ Ma..maaf.. maaf encik. Saya tak tahu dari mana encik tahu nama saya, dan..”
“ Azad,”

“ Ha?” Asyadhia angkat wajah sebelum kembali menekur lantai. Entah mengapa dia tidak berani memandang tepat ke wajah lelaki itu. Adakah kerana mata lelaki itu yang mampu menikam tepat ke jantung, ataupun kerana wajah kacak yang dihiasi dengan senyuman yang mampu mencairkan mana-mana wanita yang memandang?

“ My name. Azad,”
“ Oh.. okey.. Encik Azad, saya tak tahu apa motif encik sebenarnya. Saya pergi ke kedai kek tu hari-hari bukan untuk sebab lain, tapi sebab tiramisu tu je. Kalau encik fikir sebaliknya, saya benar-benar minta maaf. Saya memang tak ada niat lain, dan saya tak nak encik salah anggap dengan saya. Saya…”

“ I didn’t say any word about it right? So, kenapa awak beritahu saya semua ni?”
“ Pardon me?”
“ Saya cuma nak ucapkan terima kasih kat awak sebab selalu beli kek saya. Itu saja,” ujar lelaki itu sambil senyum.
“ Tapi nama saya?”

“ Let it be a secret of mine. Saya pergi dulu, Asyadhia Dayana. Assalamualaikum,” tutur Azad sebelum berlalu pergi. Asyadhia mula menggaru kepala yang tidak gatal. Keliru sendiri dengan situasi yang baru dialami.

“ By the way, jangan rindu saya nanti!” Asyadhia urut dada. Tersentak dengan teguran yang tiba-tiba. Lelaki bernama Azad sengih riang. Asyadhia pula yang diserang kekeliruan!
……………............

“ Ibu.. Asya kan masih belajar. Hari tu pun diorang dah setuju nak tunggu Asya habis belajar dulu. Kenapa tiba-tiba ubah syarat?”

Asyadhia melepaskan keluhan kecil. Dua hari lepas, dia telah mendapat panggilan daripada ibu. Memaklumkan perihal keluarga si lelaki yang telah mengubah tempoh yang sepatutnya untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Dah hilang akal ke?!

“ Khalish kena bertugas dekat Jordan untuk beberapa tahun. Jadi, dia tak nak tangguhkan perkahwinan korang lagi lama daripada apa yang dirancang. Terima sajalah, Asya. Tak bermakna kamu kena ikut Khalish ke Jordan bila dah kahwin nanti,”

“ Habis tu? Dia nak tinggalkan Asya sorang-sorang kat Malaysia lah? Baik tak payah kahwin, bu. Kahwin dengan tak kahwin sama je,” ujar Asyadhia, sedikit memberontak.
“ Ibu percaya Khalish lebih tahu apa yang terbaik untuk korang,” Asyadhia bungkam. Untuk apa hubungan ini diteruskan andai dia sendiri tidak diberi peluang dalam menentukan kisah hidupnya?

“ Terserahlah bu.. Ibu dan keluarga abang Khalish buatlah apa yang korang rasakan terbaik. Asya terima je. InsyaAllah,”

Asyadhia bangkit dari duduk, meminta diri untuk ke biliknya. Tingkap bilik dibuka. Kegelapan malam yang ditemani sang rembulan dan bintang-bintang yang berkerlipan di dada langit seakan tidak mampu menenangkan sekeping hati miliknya.
“ Ayah, Asya percaya dan yakin dengan segala apa yang telah Allah takdirkan untuk Asya. Asya 
terima semuanya andai beginilah cara jodoh Asya sampai, ayah.. Ayah, doakan Asya ya? Asya rindu ayah. Asya sayang ayah,”

Asyadhia menyapu mutiara jernih yang mula membasahi pipinya. Siapa sangka dia akan mempertaruhkan masa depannya buat lelaki yang langsung tidak dikenali? Cukupkah dengan hanya mengenali keluarga bakal suaminya sahaja? Bagaimana pula dengan tunangnya yang belum pernah ditemui? Bahkan sekeping gambar pun tidak diberikan kepadanya. Asyadhia senyum kelat. Jika ini perjalanannya, akan ditempuhi jua meski pahit. Walau di hati sudah berdetak rasa untuk lelaki yang kian menyerikan hari-harinya, tetapi Asyadhia tahu, ada insan lain yang lebih berhak ke atas hatinya. Ya, siapa lagi jika bukan tunangnya sendiri!!
.................................

Azad memandang gadis di hadapannya. Kelihatan mendung. Seakan ada masalah besar yang sedang ditanggung. Tidak seperti teman-teman di sampingnya yang rancak bersembang antara satu sama lain. Bahkan kek tiramisu yang menjadi kegilaan gadis itu juga langsung tidak disentuh! Gadis itu seakan berada dalam dunianya sendiri. Jauh.

“ Dhia, tak makan ke?” Asyadhia eleng kepala. Seleranya mati. Kek tiramisu dipandang sepi.
“ Hi, girl! Dhia, how are you? This is for you,” datang seorang lelaki, tiba-tiba muncul entah dari ceruk mana. sejambak bunga di tangan dihulurkan kepada Asyadhia. Namun tidak bersambut.

“ Assalamualaikum, bro. Dhia tak suka bunga wei. Kau silap oranglah,” ujar Faralyna. Yang lain menjadi burung belatuk. Terangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata itu.
“ Ha? Eh.. ya ke? Informer saya salah la ni.. apa yang Dhia suka ya? ?Let me know,” lelaki itu enggan mengalah. Asyadhia leka bermain dengan straw yang ada di gelasnya.

“ Dhia, please say something?” rayu lelaki itu, separuh mengharap.
“ Apa yang kau harapkan dia akan buat? Terharu? Seronok? She’s not that type of girl surely,” sampuk Azira. Rimas melihat kehadiran lelaki itu. Dia tahu, Asyadhia sendiri letih melayan kerenah yang bermacam-macam daripada lelaki yang tidak faham bahasa ini.

“ Boleh tak awak diam?! Saya bercakap dengan Asyadhia, not you, or you. Or you!” suara lelaki itu sedikit meninggi. Mungkin geram dengan sikap teman-teman gadis itu yang dilihat cuba menghalang rancangannya untuk mengurat Asyadhia.

“ Behave yourself first,” semua mata memandang ke arah empunya suara yang langsung tidak mengangkat wajah.

“ Saya tak suka mamat poyo, berlagak yang sangka dengan hadiah, bunga pelbagai boleh beli hati perempuan. Dan saya juga tak suka mamat yang rasa diri hebat sampai boleh sembarangan naikkan suara dengan perempuan,” Asyadhia menyambung bicara sambil bangkit dari duduk. Sedia untuk berlalu.

“ By the way, one things you should know, I’m already engaged and will get married soon. So, step away from me because I’m really do love my fiance. Thank you,”
“ But.. but.. who’s your fiance??!!” jerit lelaki itu kepada Asyadhia yang kian jauh. Tiada respons.

“ Erm.. encik.. jangan bersedih ya? Banyak-banyakkan berdoa, moga Allah pertemukan encik dengan jodoh yang lebih baik tau! Peace! Assalamualaikum,” kata Zara sebelum membuntuti teman-teman yang lain.

“ What’s the hell?!!” jati lelaki itu geram. Sakit dengan apa yang didengari. Pedih dengan hakikat yang diketahui.

“ Encik, bukan seorang saja Dhia di dunia ni. Masih ramai lagi dia yang ada di luar sana, dan salah satunya telah Allah tetapkan sebagai jodoh encik,” lelaki itu berpaling ke arah suara yang menegur. Pemuda di hadapannya menghulurkan segaris senyuman.

“ Who are you? And what are you talking about?” lelaki itu senyum. Insan yang menagih cinta Asyadhia ini harus disedarkan bahawa hati gadis itu telah dicuri, dan dialah pencuri itu!

“ I’m Khalish Azad, her fiancé. Kalau encik tak percaya, encik boleh tanya Dhia, Asyadhia Dayana, tunang saya. My future wife,” Azad senyum. Lelaki itu terpana. Apa semua ni!
..............................

“ Ka.. kat mana dia jumpa abang Khalish? Kat mana?”
“ Dekat kedai kek tu lah! Aku rasa tunang kau dah balik Malaysia lah, Dhia. Kalau tak, mana dia tahu cerita si Amin tu cuba tackle kau? Mesti dia ada sekali kan time tu? Takkanlah dia pasang spy pulak,” Asyadhia memegang kepala. Amin jumpa abang Khalish di kedai kek abang hensem? Tetapi, macam mana?

“ Kenapa ibu tak beritahu aku apa-apa pun fasal semua ni? Kalau dia dah balik, mesti ibu atau ummi abang Khalish sendiri akan beritahu aku,” Faralyna angkat bahu. Dia sendiri tidak punya jawapan untuk soalan itu.

“ Mungkin dia ada sebab sendiri yang kita tak tahu?” telahnya. Asyadhia bungkam. Jika benar abang Khalish punya alasannya sendiri, tidak bolehkah dia ambil tahu walaupun hanya sekelumit? Langsung tidak diketahui apa-apa tentang bakal suaminya itu. Apa kegemarannya, apa minatnya, semuanya kosong! Kosong! Sedangkan semua perihalnya ada dalam poket lelaki itu. Bahkan mereka juga bakal menjadi suami isteri. Tidakkah lelaki itu memikirkan tentang hatinya jua?

Asyadhia menyarung tudung. Faralyna yang baru muncul dari dapur tidak sempat menghalang tika melihat kelibat Asyadhia menghilang di sebalik pintu utama. Asyadhia mundar-mandir di deretan kedai. Niatnya untuk ke kedai kek itu seakan dihalang oleh hati sedangkan akal memaksa untuk dia pergi. Dia mahu tahu perkara sebenar. Dia mahu menyelidiki semuanya!

“ Awak ada masalah ke? Kenapa dari tadi mundar-mandir kat sini je terus?” Asyadhia tersentak mendengar sapaan yang tiba-tiba. Lelaki itu senyum. Ya, lelaki itu sememangnya tidak pernah lekang dengan senyuman! Dan mungkin kerana itulah ramai gadis tertawan dengan jejaka itu, termasuk dirinya yang hampir jatuh cinta!

“ Tak letih ke awak asyik senyum je?” seperti yang dijangka, Azad senyum lagi. Senyuman yang mampu mencairkan hati sesiapa saja. Dipandang wajah Asyadhia dalam-dalam sebelum gadis itu kembali menunduk.

“ Senyum tu kan satu sedekah. Cara paling mudah untuk kita dapatkan pahala,”

Asyadhia terangguk-angguk. Azad senyum memandang kelakuan gadis itu. Setiap tingkah gadis itu seakan telah menggam seluruh hatinya untuk melekat pada Asyadhia. Si manis Asyadhia. Yang sentiasa mencuit hatinya sejak dahulu lagi. Beg kecil di tangan diserahkan kepada Asyadhia. Gadis itu memandang pelik. Curiga barangkali.

“ Just a gift from my heart for someone like you,” ujarnya sebelum berlalu dari situ. Asyadhia terpinga-pinga. Hatinya berbunga bahagia walau ada resah bertapak di jiwa.

Sesampainya di rumah, Asyadhia membuka beg kecil itu. Tidak sabar untuk melihat isinya. Adakah ia kek seperti hari-hari sebelumnya? Kad yang ada diletakkan di sisi. Bungkusan itu dikoyakkan sampulnya. Terlopong mulutnya tika melihat apa yang terkandung di dalam kotak itu!

“ Ci.. ci.. cincin?” sebentuk cincin belah rotan yang diriasi dengan berlian-berlian kecil terhampar di ruang mata. Asyadhia menutup mulut. Tidak percaya! Kad di sisi diambil.

‘ Saya tahu, saya dah banyak buat salah pada awak. Saya dah buat awak sedih, dan buat awak kecewa dengan saya. Tapi.. Saya cuma nak awak tahu, semua yang saya lakukan adalah untuk masa depan kita. Masa depan kita sebagai suami isteri. Saya cuba untuk melindungi awak walau dari kejauhan. Saya nak pastikan awak juga sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Ya, saya Khalish awak. Khalish Azad. Orang yang selalu buat kek tiramisu untuk awak. Orang yang selalu menghulurkan seukir senyuman untuk awak. Yang selalu ada untuk awak.. I really do. Really do love you. KA’

Asyadhia terasa mahu menjerit saat itu jua. Tidak menjangka insan yang dicari selama ini rupanya sentiasa ada di hadapan mata! Sekian lama dia menanti, mengharap kehadiran lelaki itu, dan nyata dia ditipu sendiri!

“ Dhia? Kenapa ni? Kenapa kau menangis?” Faralyna yang baru memasuki bilik mereka terpana melihat Asyadhia yang sedang menangis di kepala katil.
“ Dhia? Dhia? Wei.. kau jangan takutkan aku! Aku panggilkan Zira dengan Zara, ya?” Faralyna sudah bersedia untuk melangkah sebelum bicara Asyadhia membuat dia kaku di situ.

“ Rupanya selama ni dia tak jujur pun dengan aku. Dia sentiasa ada dekat dengan aku. Sentiasa memerhatikan aku. Cuma aku je. Aku je yang tak tahu selama ni dia ada di samping aku. Cuma aku je yang ibarat boneka untuk tontonan dia. Adil ke macam tu Lyna? Dia tahu semuanya tentang aku, tapi aku? Patut ke aku teruskan hubungan ni sedangkan aku ibarat patung saja?” Faralyna mampir ke arah Asyadhia yang sedang memeluk lutut dengan tangisan yang kian kuat.

“ Siapa yang kau maksudkan, Dhia?”
“ Abang Khalish, a.k.a Azad, a.k.a abang kedai kek tu.. Dia tunang aku Lyna! Tunang aku! Selama ni dia ada depan mata aku je! Aku yang tak sedar. Tak tahu! Sanggup dia permainkan aku, Lyna.. sanggup dia biarkan aku terkapai-kapai macam ni. Terikat dalam ikatan yang aku sendiri tak pasti. Dia buat aku tertanya-tanya sampai aku keliru dengan perasaan aku sendiri.  Kenapa Lyna? Kenapa dia buat macam ni?”

Faralyna tercengang. Terkedu mendengar cerita yang keluar dari mulut temannya. Abang hensem yang selama ini menjadi perhatian mereka rupa-rupanya tunang kawan baik mereka sendiri! Dan lebih malang lagi, Asyadhia sendiri tidak tahu bahawa lelaki yang menjadi tumpuan ramai gadis itu adalah tunangnya. Faralya menghampiri Asyadhia, dan dibawa tubuh genit itu ke dalam pelukan. Cuba menyalurkan sedikit kekuatan.

“ Sabar Dhia. Kau kena sabar. Dan kau kena percaya, Allah sedang aturkan yang terbaik untuk kau. Anggap ini satu ujian untuk kau sebelum kau membina masjid. Kau kena fikir secara rasional tentang hal ni. Jumpa Khalish, dan minta penjelasan. Aku yakin, ada sebab dia lakukan semua ni. Kau kena percaya pada dia. Yakin pada Allah jua,”
………………..

Asyadhia menyelusuri jalan yang terdampar di hadapan mata. Dia tidak tahu dia berada di mana dan bagaimana dia berada di sini juga sukar untuk ditebak. Langkahnya terus diatur sehinggalah dia bertemu sebuah taman. Indah! Kelihatan seorang lelaki sedang duduk membelakanginya. Aturan langkahnya cermat menghampiri tempat duduk lelaki tersebut. Dan apabila lelaki itu berpaling ke arahnya, Asyadhia menutup mulut. Matanya sudah berair. Kebetulan apakah ini?

“ A.. ayah!” sebaris nama itu terzahir dari bibir nipisnya. Ayahnya senyum. Apabila jarak antara mereka semakin dekat, tubuh tua ayahnya pantas dirangkul erat. Sungguh dia rindu pada insan tersebut.
“ Kakak rindu ayah. Rindu sangat-sangat..” Asyadhia bersuara dalam tangis.

Terasa ada tangan yang mengusap belakang kepalanya, dan dia tahu, itu ayahnya. Asyadhia terusan menangis. Jika dulu, dia punya tempat untuk berkongsi segala rahsia, tempat untuk meluahkan segala resah yang ada dalam jiwa, namun, pemergian ayah meragut kegembiraannya. Bukan ibu tidak mampu menjadi pendengar yang setia, tetapi dia tidak mahu lebih membebankan ibu yang ketika itu masih bertarung dengan perasaan sendiri. Ya, jika diikutkan, ibu lebih terseksa, lebih terluka dengan semua yang terjadi dalam keluarga mereka, dan kerana itulah, Asyadhia tidak mahu menjadi beban buat ibunya.

“ Ayah pun rindu kakak, ibu dan adik-adik.. Tapi, maafkan ayah sebab tak dapat berada di sisi kalian saat kalian rebah dulu. Kakak maafkan ayah, kan?” Asyadhia mengangguk laju. Pelukan dikemaskan.

“ Ayah jangan pergi lagi. Kakak tak kuat tanpa ayah di sisi. Kakak perlukan ayah,”
“ Syyhh.. jangan macam ni sayang.. Kakak kan ada Khalish. Nanti dia akan jadi suami kakak. Dia akan jadi pengganti ayah. Dia akan sayang kakak, jadi pelindung keluarga kita juga. Kakak tak gembira ke?”

“ Tapi abang Khalish dah buat kakak sedih, ayah.. Dia buat kakak macam orang bodoh. Dia tipu kakak. Buat kakak tercari-cari siapa dia, sedangkan dia ada depan mata kakak selama ni. Dia buat kakak keliru dengan perasaan sendiri. Kakak jatuh hati pada dia tanpa sedar dia tunang kakak,” ayahnya senyum. Wajah Asyadhia diangkat.

“ Kakak tak redha dengan semua ni? Tak yakin dengan aturan Allah?” Asyadhia bungkam.
“ Kakak percaya, yakin, dan redha dengan semua yang dah terjadi ayah. Tapi, kakak cuma rasa tertipu dengan dia. Kenapa dia tak berterus terang je dengan kakak? Kenapa buat kakak macam ni??” Asyadhia meluahkan perasaan.

“ Kalau kakak yakin dan percaya pada ketentuan Allah, kakak dengar dulu penjelasan daripada Khalish. Khalish buat semua tu untuk kebaikan kakak juga. Kakak sayang ayah kan?” Asyadhia angguk.

“ Kalau kakak sayang ayah, janji dengan ayah.. kakak akan jaga ibu, jaga adik-adik seeloknya. Kakak takkan ketepikan mereka walaupun lepas kakak kahwin nanti. Dan kakak juga kena janji, kakak akan kahwin dengan Khalish. Ayah takkan pilih orang yang salah untuk jadi menantu ayah. Untuk jadi penjaga dan pelindung anak ayah. Untuk jadi pengganti ayah. Ayah tahu, hanya Khalish yang terbaik buat anak ayah. Janji ya, sayang?” mutiara jernih di pipi Asyadhia semakin laju mengalir keluar dari matanya. Bayang ayah semakin hilang dari pandangan.

“ Ayah.. jangan pergi!! Kakak janji, kakak akan tunaikan segala permintaan ayah. Tapi ayah jangan pergi lagi.. Kakak nak ayah! Ayah!!! Ayah!!!” Asyadhia terjelupuk ke lantai. Air matanya dibiarkan turun baik air terjun. Pertemuan yang singkat, tetapi cukup untuk melunaskan kerinduan yang sekian lama membungkam di hatinya.

Asyadhia membuka mata. Dipandang sekelilingnya yang bukan seperti yang dilihat sebentar tadi. Dia berada di atas katilnya! Dan peristiwa tadi.. adakah ia mimpi? Atau petunjuk kepada semua yang sedang dihadapi saat ini? Asyadhia melepaskan keluhan. Dia tahu, Allah kini sedang menunjukkan dia jalan untuk membuat keputusan. Wajah diraup. Moga ini yang terbaik..
………………..

Asyadhia menjengah ke dalam kedai tersebut. Wajah yang dicari masih belum menyapa mata. Kepala yang tidak gatal digaru. Sedikit hampa. Setelah punya kekuatan untuk berhadapan dengan Azad, a.k.a tunangnya sendiri, lelaki itu pula tiba-tiba tiada di kedai seperti kebiasaannya. Penat menanti, Asyadhia akhirnya memberanikan diri masuk ke dalam kedai. Kaunter dituju.

“ Akak..” wanita yang selama ini dikenali sebagai pengurus kedai tersebut mengangkat wajah. Satu senyuman diukirkan buat wanita tersebut.
“ Kak.. boleh saya tanya, mana lelaki yang selalu buat kek tu? Biasakan dia ada..” terasa darah hangat menyerbu ke wajah tika pertanyaan itu diajukan. Masakan tidak, ini kali pertama dia mengambil tahu perihal seorang lelaki, dan lelaki itu padahal tunangnya!!

“ Ooh.. Encik Azad cuti hari ni.. Katanya nak balik kampung. Kenapa dik? Ada apa-apa erk..” Asyadhia mula garu kepala. Tidak tahu alasan apa yang harus digunakan untuk menjawab soalan tersebut.

“ T.. tak ada apa-apa.. Cuma hairanlah kan.. biasa dia ada, menyemak kat depan ni. Hari ni pula tak ada..” Asyadhia senyum sendiri. Entah mengapa jawapan itu juga yang lahir dari mulutnya. Sempat dia memuji diri sendiri kerana mampu mengutuk tunangnya di saat genting sebegini.

“ Hahaha. Macam-macamlah kamu ni. Dah mula rindulah tu..” sempat kakak itu pula yang menyakat dia. Asyadhia tayang gigi sebelum meminta diri. Dia harus segera menamatkan semua ini, dan hanya satu penyelesaian yang terlintas di fikiran tika ini!

“ Tetiba je balik ni.. Ada masalah apa-apa ke? Kenapa tak telefon ibu dulu? Boleh ibu minta Azim tu ambilkan kamu dekat stesen,” Asyadhia mengulum senyum mendengar bicara ibunya. Tangan tua itu disalami dan tubuh itu dipeluk lama. Ibarat melampiaskan rindu yang sudah lama bermukim di hati.

“ Tak apalah, bu. Nak buat apa susahkan Azim sedangkan Asya boleh naik teksi je. Azim pun mesti sibuk dengan kilang, kan?” katanya. Ibu sekadar mengangguk kecil.

“ Kamu balik ni, Khalish tahu?” mendengar nama itu disebut, Asyadhia mengeleng lemah. Ibu tidak tahu, kepulangannya kali ini juga berpunca daripada lelaki itu. Setelah kenyataan itu telah diketahui, Khalish meninggalkan dia sendiri, dan kini dia pula yang harus mencari penyelesaian!

“ Asya masuk bilik dulu, bu..” melihat anggukan ibunya, Asyadhia berlalu ke kamar. Petang itu, Asyadhia mendapat kunjungan daripada tetamu yang dinanti-nantikan. Masih segar riak terkejut di wajah yang sentiasa tenang itu. Mungkin tidak menjangka bahawa dia akan pulang ke kampung secara tiba-tiba.

“ Bila Dhia sampai? Kenapa tak beritahu abang nak balik? Kalau tak, tentu kita dah boleh balik sama-sama,” soal Khalish. Memang dia tidak menjangka langsung akan kepulangan tunangnya ke kampung. Jangkanya, gadis itu butuhkan waktu untuk berfikir akan rasional dia bertindak sedemikian sebelum ini, dan kerana itu jugalah dia menjauh seketika.

“ Kenapa, Dhia tak dibenarkan balik ke? Bukan ke abang balik Malaysia pun tak beritahu Dhia? Macam mana nak balik sama-sama, sedangkan Dhia tak jumpa abang langsung kat sana. Kalau kakak manager tu tak beritahu Dhia, confirm Dhia sangka tunang Dhia dah larikan diri,” kata-kata Asyadhia berbaur perlian. Khalish senyum. Sudah menjangka Asyadhia akan bersikap sebegini sebaik saja mereka bertemu empat mata.

“ Dhia perli abang ye?”
“ Terasa ke?”

“ Agaklah..” Khalish sengih. Buat muka tidak bersalah. Asyadhia hembus kasar nafas. Geram dengan sikap Khalish itu. Terkadang, dia sendiri pening memikirkan siapa Khalish yang sebenar. Sangkanya, bakal doktor pasti agak serius orangnya. Tetapi, bagaimana pula tunangnya boleh terbalik? ‘ See, Asyadhia.. Kau sendiri pun tak kenal tunang kau! Aisy!’ hati berbisik.

“ Tak serius betul abang ni. Orang cakap betul-betul, dia buat main-main pula. Kata bakal doc. Tapi tak nampak macam tu pun,” omel Asyadhia. Maish geram dengan sikap lelaki itu.

“ Siapa kata semua doktor serius? Abang bukan salah seorang daripada mereka. Seperti yang Dhia nampak, abang ni jenis yang charming, mudah senyum, peramah, pemurah, buktinya hari-hari Dhia dapat kek diskaun tu.. Then, yang paling penting, abang ramai peminat. Buktinya..”

“ Hari-hari ada perempuan jatuh hati dengan abang. Sampai kawan-kawan Dhia sendiri hari-hari sembang fasal abang. Naik mual Dhia dengar fasal abang. Tu yang abang nak cakap, kan?” Khalish menguntum senyuman. Wajah bungkam Asyadhia dipandang.

“ Tapi, orang tu sendiri dah jatuh hati dengan Azad, pemilik kedai kek tu kan? Sampai dia sendiri tak sedar yang dia sebenarnya jatuh hati pada tunangnya sendiri, orang yang selama ni dia nanti, orang yang selama ni buat dia keliru dan sedih hati. Kan?” Asyadhia menundukkan kepala.

“ Maafkan abang, Dhia. Maafkan abang sebab buat Dhia macam tu. Abang tahu, abang salah sebab biarkan Dhia harungi semua ni sorang-sorang. Tapi, niat abang baik. Abang nak jaga hati Dhia. Abang tak nak hati Dhia diracuni dengan rindu pada abang. Abang tahu risikonya atas tindakan abang tu, tapi abang perlu pastikan Dhia jadi milik abang..”

“ Tapi kenapa Dhia? Sedangkan ada berjuta perempuan lain lagi kat luar sana, bahkan dekat u abang belajar tu pun, mesti ramai perempuan cantik yang tunggu abang. Abang tak tahu beratnya hati Dhia untuk kekal dengan janji yang tak pasti. Dhia pun macam abang. Ambil risiko untuk teruskan hubungan ni walaupun Dhia sendiri tak tahu sama ada abang akan tetap setia atau tak,” Asyadhia menahan sebak. Memang dia mahu Khalish tahu akan sakit di hatinya. Sakit yang dipendam sejak sekian lama. Sakit yang berpunca daripada hubungan yang belum tentu akan berakhir dengan kebahagiaan.

“ Abang tak memandang paras rupa Dhia. Langsung tak.. Dhia tanya, kenapa Dhia yang jadi pilihan abang kan, sedangkan abang mungkin akan jumpa perempuan yang lebih hebat? Sebab hati abang, dan ayah Dhia. Kalaupun ayah tak minta abang terima Dhia, abang tetap akan buat macam tu sebab hati abang memang dah ada pada Dhia. Mungkin dia tak sedar, tapi abang selalu datang ke kilang temankan abah abang. Dan masa tu juga, abang terpandang Dhia, dan hati abang terus terpaut pada Dhia. Hanya Asyadhia Dayana dalam hati abang,”

Asyadhia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Baru hari ini dia mengetahui hakikat sebenar. Hakikat bahawa arwah ayah sendiri yang memilih jodoh untuknya. Sedangkan dia pula, selama ini meragui akan semua itu. Meragui akan keputusan yang telah dibuat, dan terus-menerus menyalahkan Khalish atas semua yang terjadi.

“ Tapi kenapa abang tak berterus terang dengan Dhia dari dulu lagi? Kenapa abang biarkan Dhia keliru dengan perasaan sendiri? Bahkan gambar abang pun abang tak izinkan Dhia lihat. Abang tak tahu ke semua ni makin dera hati Dhia? Makin buat Dhia takut? Sampai abang ada depan mata Dhia pun, Dhia tak sedar!”

“ Maafkan abang untuk itu, Dhia.. macam yang abang katakan, abang nak kekalkan batas tu dalam hubungan kita. Hubungan kita masih belum halal, dan abang kena jaga batas tu. Abang tak nak kerana kesilapan kecil, kita akan tersasar dari cinta yang diredhai Allah. Mungkin kalau Dhia tengok gambar abang, kenal abang depan-depan, bercakap dengan abang hari-hari, Dhia akan rindu pada abang, memandangkan abang ni tersangatlah handsome orangnya..”

“ Perasan!!” Asyadhia mula ketawa. Begitu juga Khalish. Sebentar saja, sebelum suasana sepi kembali membayangi.
“ Dhia maafkan abang?”

“ Bergantung pada sikap abang lepas kahwin,” Asyadhia menyembunyikan senyuman. Memberi ‘hint’ kepada tunangnya tentang keputusan sendiri. Melihat senyuman yang terukir di bibir Khalish, mengertilah Asyadhia yang tunangnya juga sudah dapat meneka jawapannya. Khalish melangkah, mendekat pada wanita yang setia menjadi penonton kepada pertemuan mereka.

“ Ibu, Khalish akan tunaikan janji Khalish sebelum ni. Khalish akan tunaikan hasrat arwah ayah. Ibu, sebagai pengganti ayah, ibu dah banyak berkorban untuk Dhia dan adik-adik. Ibu berikan yang terbaik buat mereka. Ibu korbankan segala-galanya untuk kebahagiaan mereka. Kali ni, Khalish mohon pada ibu, izinkan Khalish ambil alih tanggungjawab ibu tu. Insya-Allah, Khalish akan buat yang terbaik untuk ibu, Dhia, dan adik-adik, bu..  Ibu izinkan tak?”

Ibu memandang Asyadhia. Kepala Asyadhia yang sudah berada di sisinya diusap penuh kasih. Pandangannya jatuh pada Khalish. Dia tahu, lelaki itu mampu menjaga anaknya dengan baik, dan kerana itu jugalah dia tidak ragu-ragu saat arwah suaminya menyatakan hasrat untuk menjadikan Khalish sebagai menantu mereka.

“ Ibu izinkan Khalish. Ibu izinkan. Dhia akan jadi amanah Khalish. Jagalah dia sebagaimana yang Khalish janjikan pada kami dulu. Jangan buat dia keliru lagi. Tak terkata ibu bila tengok dia muram bila Khalish percepatkan tarikh kahwin korang. Bimbang ibu masa tu,” Khalish ketawa. Asyadhia memandang tunangnya.

“ Ha, kenapa abang nak cepatkan perkahwinan kita? Kan dah janji nak tunggu..”

“ Abang ni pun pandai cemburu, okey? Manalah abang tak cemburu tengok ada je orang yang duk usyar tunang abang. Memanglah tunang abang tak sedar, tapi dari apa-apa berlaku kemudian hari, baik abang cepat-cepat ambil langkah, kan?” Khalish sengih. Asyadhia mencebik. Dalam hati, sempat dia mengucapkan syukur atas pemberian ALLAH ini. Semoga hari esok akan menjanjikan lebih kebahagiaan buat mereka, insya-Allah..


TAMAT..

~KALIMAH CINTA terpaksa ditangguhkn buat sementara dek kekangan masa & idea. cerpen ni memang dh ada dalam simpanan peribadi. 
buat solehah md noor, sorry so.. org hold on dulu novel tu tau.! :)

2 comments:

  1. Really interesting .. gaya penyampaian berkisar islamik .. gudjob dear .. i like it !

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ farah.. doakn mira eh.. gmbira bler farah suka. :)

      Delete