“ Abang..”
Haq yang baru sahaja melipat tikar sejadah mengubah posisi agar
berdepan dengan isterinya yang masih berteleku di sejadah. Huluran tangan Hurin
disambut. Hurin lantas mencium tangannya. Terasa ada damai yang singgah di hati
saat itu. Saat Hurin mengangkat wajah, Haq mencium penuh kasih dahi isterinya.
Wajah Hurin memerah. Haq hanya senyum.
“ Dah jadi isteri abang pun masih rasa malu?”soalnya. Hurin tidak
menjawab, sebaliknya bangkit menuju ke tempat menggantung telekung sembahyang.
Haq sekadar melihat.
“ Malu tu sudah lumrah, bang. Suami isteri yang dah berpuluh-puluh
tahun berkahwin pun ada rasa malu mereka,” ujar Hurin lembut.
“ Ya, abang tahu. Tapi, abang tak naklah Hurin ada rasa malu yang
melampau. Kita dah berkahwin,kan?”
Haq merapati Hurin yang masih leka menyusun sejadah yang digunakan
sebentar tadi di atas rak.
“ Ya, Hurin tahu. Tapi, kita kan baru kahwin. Masih banyak lagi
yang kita tak tahu tentang pasangan kita,”
“ Jadi, marilah kita berkenalan..”
Hurin tersentak saat terasa ada tangan yang melingkar di
pinggangnya. Degup jantung sudah tidak stabil. Semakin lama, semakin kencang.
Dengus nafas Haq jelas kedengaran di cuping telinga.
“ Sayang..”
Terasa nafasnya terhenti tika itu. Haq sudah melabuhkan dagu di
bahunya. Hurin cuba mencari kekuatan. ‘ Ya Allah.. tenangkan hatiku. Aku sudah
sah menjadi miliknya. Aku tidak boleh lari daripada tanggungjawabku sebagai
seorang isteri..’ hati Hurin berbisik.
“ Kenapa, Hurin?”
Haq memusingkan tubuh Hurin supaya menghadapnya. Wajah isterinya
dipandang. Ada sedikit resah yang bertapak di situ. Mungkinkah Hurin masih
belum bersedia?
“ Hurin belum sedia ke? Tak apa, abang takkan paksa Hurin. Jangan
bimbang,”
Rangkulan di tubuh Hurin segera dilepaskan. Haq tahu, isterinya
itu masih belum bersedia. Mungkin juga Hurin masih belum mampu menerima dirinya
setelah apa yang dilakukannya suatu ketika dahulu. Peluh yang membasahi dahi
isterinya itu seakan mengukuhkan lagi telahannya.
“ Abang..”
Haq merasakan lengannya digenggam erat. Dia kembali menghadap
Hurin. Wajah itu masih tenang. Ada senyuman yang terukir di bibirnya.
“ Abang.. maafkan Hurin. Hurin tahu, abang kecewa. Tapi, tadi
Hurin bukan menolak abang..
Cuma..Cuma..”
“ Cuma apa, sayang?”
Haq kembali merapatkan tubuhnya dengan Hurin. Senyuman terbit di
bibir lelaki itu. Pinggang Hurin kembali dirangkulnya. Mata Hurin ditatap.
Isterinya itu menundukkan wajah. Haq mengangkat wajah manis itu dengan
jemarinya.
“ Cuma apa, Hurin?” dipaksa Hurin menatap matanya.
“ Cuma tadi..tadi Hurin takut,” ada getar di suara itu. Haq
melebarkan senyuman.
“ Kenapa nak takut? Abang bukan nak makan sayang,” romantis
suaranya.
Hurin sudah menelan air liur. Degupan jantungnya sudah tidak
berada di paras normal. Suara gemersik Haq menggetarkan hati gadisnya.
“ Hurin cuma..”
Kata-kata Hurin terhenti di situ saat bibir Haq menyentuh
bibirnya. Mata Hurin membulat. Tidak menyangka suaminya akan bertindak
sebegitu.
“ Terima kasih kerana berikan abang peluang untuk mencintai
Hurin,”
Terasa darah hangat sudah menyerbu ke wajah Hurin tika itu. Dia
malu untuk bertentang mata dengan Haq. Wajahnya ditundukkan lagi. Haq senyum.
Tahu perasaan malu masih menebal dalam diri isterinya. Perlahan-lahan dia
menarik tangan Hurin untuk mengekorinya. Lampu bilik dipadamkan. Hurin hanya
membiarkan. Dia tahu, Haq punya hak ke atas dirinya, dan dia rela.
“ Hurin dah bersedia, sayang?”
Haq bertanya di dalam kegelapan malam. Hanya lampu jalan yang
sedikit menerangi kamar mereka. Dalam kesamaran itu, Haq dapat melihat dengan
jelas anggukan isterinya. Senyuman di bibir kian melebar. Hurin dibawa ke
katil. Tubuh itu direbahkan perlahan-lahan.
“ Izinkan abang menjadi suami Hurin dalam erti kata yang sebenar,”
Dan malam itu menyaksikan hati
Dhiyaulhaq dan Hurin Amni bersatu. Bulan seakan tersenyum melihat kebahagiaan
yang hadir menyinari hidup kedua-duanya. Dan Allah pastinya memberkati cinta
yang mula memekar antara mereka.
Haq yang baru keluar dari bilik sempat mengulum senyum tika
bertembung dengan walid isterinya.
“ Assalamualaikum walid,”
“ Waalaikumussalam Haq. Awal bangun? Tak nak rehat lagi ke?”
Haq sekadar mengeleng. Abu Sufian mengajak Haq ke ruang hadapan.
Jam di dinding menunjukkan angka 7 pagi. Matanya liar mencari kelibat
isterinya. Tika Haq bangun dari tidur sebentar tadi, dilihat Hurin sudah tiada
di dalam bilik. Mungkin isterinya berada di dapur.
“ Hurin ada di dapur, Haq. Menolong uminya,”
Abu Sufian seakan mengerti apa yang bersarang di minda menantunya
itu. Haq tersenyum. Dia meminta diri untuk ke dapur. Di sana, kelihatan Hurin
yang sibuk membantu uminya menyediakan sarapan buat mereka sekeluarga. Rambut
isterinya yang panjang ke paras pinggang itu ditocang satu. Sewaktu Hurin
membuang tudung yang melitupi kepalanya kelmarin, Haq begitu terpesona. Apatah
lagi tika isterinya itu melepaskan rambut yang panjang mengurai itu.
“ Apa yang dibuat kat situ tu, Haq?” sapa Ummi Khadijah. Haq
tersengih. Hurin berpaling ke arah suaminya. Dia turut senyum.
“ Kenapa, bang? Abang perlukan apa-apa ke?” soalnya. Haq
mengelengkan kepala.
“ Duduklah dulu. Hurin dengan umi sedang siapkan sarapan,”
“ Apa menu hari ni, umi?”soal Haq kepada ibu mentuanya. Hurin dan
uminya berbalas senyuman. Hurin menghampiri suaminya.
“ Mama pernah beritahu Hurin, abang suka nasi lemak kukus, jadi
hari ni kami buat makanan kegemaran abang tu,” beritahu Hurin.
Haq begitu teruja tika mendengar nama menu tersebut. Sudah lama
dia tidak menjamah masakan tersebut. Kali ini, dia berpeluang untuk menjamah
makanan tersebut, hasil tangan isterinya sendiri. Semakin teruja dirinya saat
itu.
“ Betul ke?” Hurin mengangguk.
“ Wah..Alhamdulillah.. Dah lama abang tak makan nasi lemak kukus.
Terima kasih, sayang..” Haq menghadiahkan sebuah kucupan di tangan isterinya.
Hurin membulatkan mata.
“ Malulah sikit. Umi kan ada tu,” Haq tersengih. Menyedari
keterlanjurannya.
“ Ala Hurin.. Biasalah tu.. Walid kamu pun macam tu juga dulu,”
umi berkata.
“ Terima kasih juga umi sebab sudi masakkan makanan kegemaran
Haq,”
Ummi Khadijah mengangguk kecil. Tangannya masih ligat mengacau
sambal bilis di atas dapur. Hurin pula sudah kembali menyambung tugasnya. Haq
bangkit, lantas mendekati isterinya.
“ Ada apa-apa yang abang boleh tolong ke?”
Hurin sedikit tersentak mendengar suara Haq yang seakan berbisik
di telinganya. Rasa malunya kembali hadir. Apatah lagi tika teringat peristiwa
malam tadi. Dia tidak menjawab, sebaliknya terus membuat kerja. Haq sedar,
isterinya masih segan. Bibirnya menguntum senyuman tika melihat umi sudah
berlalu ke ruang depan. Tubuh isterinya didakap erat.
“ Abang..! Malulah sikit pada umi tu,” Hurin cuba untuk meleraikan
pelukan suaminya, namun tidak berjaya.
“ Umi mana ada, sayang.. Umi dah ke depan,” bisik Haq lagi. Hurin
terkedu. Tangan Haq sudah menjalar ke lengannya.
“ Abang.. kan tak siap nasi lemak abang ni kan..”
“ Nasi lemak tak siap tak apa, jangan isteri abang pula yang
melepas,” usik Haq.
Hurin cuba mengawal perasaannya. Perasaan segan yang menebal yang
menyebabkan hatinya tidak dapat berdetak dengan sempurna.
“ Tadi abang tanya, sayang tak nak jawab kan.. Kan dah kena,”
Haq masih seronok melihat wajah isterinya yang sudah memerah itu.
Bukan dia sengaja untuk membuat Hurin takut dengannya, tetapi dia tidak mahu
perasaan malu Hurin itu makin menebal, apatah lagi mereka kini sudah bergelar
suami isteri. Jika keadaan itu berlanjutan, bagaimana komunikasi antara mereka
ingin diwujudkan?
“ Abang.. biar Hurin siapkan kerja dulu, boleh?”
“ Kalau abang lepaskan, apa yang abang dapat?”
“ Er..er.. eh, umi datang tu! Cepatlah!”
Haq pantas meleraikan pelukan saat mendengar batuk kecil dari arah
belakang. Hurin kembali menyambung kerja yang tergendala meski hatinya berdegup
kencang. Dialihkan pandangan sekilas kepada suami yang berdiri di sisi. Lelaki
itu hanya senyum lebar. Hati Hurin mendongkol geram. Geram dengan usikan
suaminya itu.
“ Kenapa muka kamu merah tu, Hurin?”
Soalan Ummi Khadijah membuat Hurin tersentak. Haq di sebelah
menyembunyikan senyuman. Hurin menggaru kepala yang tidak gatal.
“ Hurin ni main-main tadi, umi. Dia pergi rasa sambal bilis umi
tu. Haq dah kata, sambal tu mungkin pedas, tapi dia tak nak dengar. Tu lah
jadinya,”
Hurin membulatkan mata mendengar
bicara suaminya. Haq buat muka selamba. Ummi Khadijah pula mengeleng-ngelengkan
kepala. Bukan dia tidak tahu usikan Haq yang menyebabkan anaknya menjadi
sebegitu. Bukan dia tidak memandang keletah kedua-duanya tadi, cuma dia
berpura-pura. Hati ibunya senang melihat kebahagiaan yang melimpah buat
pengantin baru itu. ‘ Semoga Haq mampu menyayangimu seperti mana kami
menyayangimu, Hurin Amni..’
‘ Ya Allah.. jika telah Kau tetapkan takdirku begini, aku redha
menerimanya. Jika telah Engkau tetapkan matiku di sini, aku ikhlas menerimanya.
Ya Maha Pencipta, aku mohon, berikanlah aku secebis kekuatan untuk menghadapi
dugaanMu ini. Berikan aku secebis kekuatan untuk terus utuh meniti hari-hari
mendatang. Ya Allah.. hidup matiku hanya buatMu. Adanya aku di sini hanya
keranaMu. Hanya Engkau kekasih abadiku. Hanya Engkau cinta sejatiku..
Berikanlah adikku kebahagiaan. Cukuplah dia menderita melihat aku kesakitan
yang aku tanggung. Aku sanggup mengorbankan segalanya demi melihat umi dan
walid kembali tersenyum. Kembalikanlah senyuman mereka yang aku sayang ya
Allah..’
Hurin Ainina masih membuang pandangan ke luar jendela. Sudah dua
minggu dia berada di sini, dan bermakna sudah dua minggu dia terpisah daripada
keluarganya. Dia tahu, umi dan walid masih sibuk menguruskan urusan perkahwinan
Hurin dan Haq yang sudah berlangsung seminggu yang lalu. Mungkin jua kedua-dua
pengantin baru itu masih berada di rumah mereka, menyebabkan umi dan walid
terlewat mengambilnya. Setitik mutiara mulai jatuh dari tubir matanya. Dan ia
menjadi semakin deras saat jemarinya menyentuh pipi yang sudah terkeluar
sedikit isinya.
“ Beratnya dugaan yang Engkau berikan kepadaku ini, ya Allah.
Namun, akan tetap aku tabahkan hati untuk menempuhinya..”
Kenangan lalu kembali menerjah diri. Kerana kenangan itulah dia
berada di sini. Kerana kenangan itulah dia terpaksa menyembunyikan diri. Kerana
peristiwa pahit itulah masa depannya sudah tidak gemerlap lagi..
...Tiga tahun yang lalu....
Hurin Ainina memandang jam di pergelangan tangan. Hatinya
mendongkol geram. Sudah hampir satu jam dia menanti, namun bayang orang yang
ditunggu masih belum kelihatan. Hurin melepaskan keluhan. Dia sudah penat
menunggu. Beg sandang di sisi diambil.
“ Ain!Sorry.. i’m late..”
Wajah di hadapannya dipandang. Wajah Ainina mencuka. Bukan sekali
dia terpaksa berdepan dengan semua itu, tetapi sudah acap kali! Sepanjang
mereka bercinta, lelaki itu jarang menepati masa. Ada saja alasannya.
“ Hari ni apa pula alasan you?” lelaki itu senyum.
“ Ini..??”
Mata Ainina membulat melihat sejambak bunga yang dihias indah
berada di tangan lelaki itu. Perasaan gembira menyelinap ke dalam diri. Tetapi,
senyuman yang memekar disembunyikan di sebalik wajah masamnya. Lelaki itu pula
mula menggaru kepala yang tidak gatal. Sudah kehabisan idea untuk memujuk gadis
di hadapannya. Memang dia akui, dia terlewat, kerana itulah dia membelikan
bunga tersebut untuk memujuk gadis itu.
“ So?”
“ So.. I nak bagi kat you,”
“ Kalau I tak nak?”
Wajah lelaki itu mula berubah rentak. Wajah mendungnya
ditundukkan. Ainina pula yang diterpa resah. Bimbang lelaki itu akan putus asa.
“ Kalau you tak nak, tak apalah. I buang saja bunga ni.. orang dah
tak nak, nak buat apa simpan,”
Lelaki itu mula melangkah. Ainina sempat memaut lengan lelaki itu.
Bunga yang dibawa sudah bertukar tangan.
“ Membazir kalau bunga ni dibuang,” Haq menguntum senyuman.
Lakonannya berjaya.
“ Tapi, ingat! Once time you do like this again, no more accuse
accepted!”
Ainina mengugut. Haq mengangkat sepuluh jemari tanda mengaku
salah.
“ So you maafkan I?” jemari itu digenggam. Senyuman di bibir gadis
itu memberikan jawapan buatnya. Lantas mereka berpimpin tangan menuju ke
keretanya.
“ Kita nak ke mana?”
“ Pergi makanlah, sayang..”
“ Makan saja yang you tahu. Tiap kali kita dating, tiap kali tu
juga you bawa I pergi makan, tengok wayang. Tak ada ke aktiviti yang lebih
menarik?”
Haq memandang Ainina dengan sebaris senyuman.
“ Aktiviti yang lebih menarik? Maksud you?”
Haq mengangkat kening. Ainina membulatkan mata. Mula mengerti apa
yang bermain di fikiran lelaki pujaannya itu.
“ You! Jahatlah!” Haq ketawa riang.
Keretanya dipandu membelah kesibukan Kuala Lumpur. Berada jauh
dari keluarga memberikan dia kebebasan untuk melakukan apa sahaja. Termasuk
untuk bercinta dan menghabiskan usia remajanya dengan gadis di sebelahnya itu.
“ Thanks sayang for tonight,”
Ainina memegang erat jemari kekasihnya. Haq mencium tangan itu. Sebuah
senyuman terukir di bibirnya. Kerana senyuman itulah Ainina jatuh hati. Kerana
tutur kata lelaki itulah Ainina jatuh cinta. Dia sudah mabuk. Mabuk dibuai
asmara bersama Haq, lelaki yang dicintai sepenuh hati.
“ Thanks too.. Goodnite dear.. Mimpikan I, okey?” ucap Haq sebelum
mereka berpisah di hadapan rumah sewa Ainina.
Ainina melambai-lambaikan tangan sehinggalah kereta Haq hilang
dari pandangan. Hatinya berlagu riang. Kunci pintu pagar dikeluarkan dari
begnya.
“ Dik, boleh akak tanya sesuatu?” suara seseorang memecah suasana.
Terkejut Ainina tika disapa sebegitu. Dia mengurut dada sebelum berpaling ke
empunya suara. Bibir menguntum senyum.
“ Ya, kak?”
“ Siapa lelaki yang hantar adik tadi tu?” Ainina mengerutkan dahi.
Tidak mengerti kenapa soalan tersebut yang diajukan.
“ Kenapa kak?”
“ Kekasih adik ke?” Ainina sekadar mengangguk walaupun dia masih
keliru.
“ Jadi.. maknanya kaulah yang cuba rampas kekasih aku tu??!”
Ainina tidak mampu berbuat apa-apa setelah merasakan kepalanya
dipukul dari belakang. Pandangannya kelam.
Ainina cuba membuka mata. Dia seolah-olah mendengar suara orang
bercakap. Kepalanya masih terasa sakit.
“ Dah bangun pun betina ni! Padan muka kau!” dahinya ditunjal.
Ainina memandang sekeliling. Gadis di hadapannya juga dipandang.
“ Natrah!”
“ Ya, aku Natrah! So?”
“ Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku?”
“ Kau tanya lagi apa salah kau? Sebab kau gatallah Haq tinggalkan
aku, tahu tak? Kau bayangkan sakitnya hati aku tiap kali tengok kau dengan Haq
berkepit ke sana ke mari. Oi betina! Kau tak malu ke rampas kekasih orang?
Ha?!”
Ainina hanya diam. Sungguh dia tidak tahu akan hubungan Natrah
dengan Haq. Haq sendiri sudah acapkali menafikan tentang hubungan yang terjalin
antaranya dan gadis itu. Kerana itulah dia berani berdampingan dengan Haq. Jika
dia tahu, Natrah masih menjalinkan hubungan dengan Haq, dia tidak akan sesekali
mendekati lelaki itu.
“ Kau ni memang tak gunalah perempuan! Dahlah bodoh! Sampai Haq
mainkan kau pun, kau masih tak sedar! Kau ingat, Haq akan jatuh hati dengan
perempuan macam kau ni? Tolong sikit.. kau tu siapa?!”
Ainina kian tidak mengerti dengan setiap bicara Natrah. Apa yang
ingin dinyatakan gadis itu sebenarnya?
“ Kau dengar ni..” telefon bimbit didekatkan di telinga Ainina.
“ Well.. aku dah menang pertaruhan tu. So, korang kena bayar aku.
Ainina dah berada dalam tangan aku. Sedikit lagi, body dia pula akan aku dapat.
Masa tu, aku nak taruhan kita berlipat kali ganda lagi..”
“ Wei Haq..kau serius lah? Entah-entah kau mainkan kami..” satu
suara mencelah.
“ Ini Dhiyaulhaq la! Sesiapa saja dia boleh dapat. So! Apa lagi!
Letaklah taruhan tu,”
Air mata Ainina mengalir membasahi pipi. Dia tidak menjangka sama
sekali bahawa dia jatuh cinta pada orang yang salah. Saat itu, terasa dosanya
bertimbun. Rasa bersalahnya terhadap umi dan walid di kampung menebal di dalam
diri.
“ So.. kau dah dengarkan? Haq tak pernah cintakan kau.. dan takkan
cintakan kau. Apa gunalah wajah kau yang cantik ni ya?” Natrah memegang dagu
Ainina. Gadis itu diterpa rasa takut yang amat sangat.
“ Apa kata aku tinggalkan sedikit cenderahati di muka kau? Biar Haq
sendiri pun dah tak berselera nak pandang muka kau..”
Ainina menjerit-jerit saat cairan itu disimbah ke pipinya. Dia
menggelupur kesakitan. Natrah langsung tidak punya sekelumit rasa empati. Dia
hanya ketawa memandang penderitaan Ainina. ‘ Biarkan! Biarkan Ainina rasa
kesakitan itu!’
“ Ain.. buat apa dalam bilik sorang-sorang ni?”
Suara nenek yang menyapa dari luar menerbangkan segala ingatan
Ainina tentang kenangan silam. Air mata yang mengalir di pipi dikesat. Dia
tidak mahu neneknya menyedari akan kesedihan yang menjalar di ruang hati.
“ Ya, nek..? Nanti Ain keluar,”
Ainina memandang wajahnya di hadapan cermin. Kerana peristiwa itu,
parutnya masih bersisa. Parut yang tidak akan pernah terpadam walau sampai
bila-bila. Sangkanya selepas diseksa sebegitu, Natrah akan menghentikan segala
perbuatannya, namun dia silap. Setelah diseksa, dia dibiarkan di tengah jalan
dan kerana dia sendiri tidak dapat melihat ketika itu, Ainina dirempuh pula
oleh kereta yang dipandu Natrah. Kini, setelah bertahun berlalu, khabar tentang
Natrah tidak lagi diterima. Yang terakhir didengar, Natrah dibuang kolej kerana
kesalahan yang dilakukannya itu. Satu keluhan dilepaskan Ainina. Biarlah..
Allah itu lebih Mengetahui. Semoga apa yang terjadi kepada diriku tidak akan
menimpa insan lain..
p/s : maaf smbungan lmbat..busy sdikit dgn exam n prsiapan blik ke kmpung..huhu~
No comments:
Post a Comment