KALIMAH PERTAMA
“ Dhiyaulhaq Muhamad Syabri!!!!!!!!!”
Haq tergesa-gesa bangkit dari perbaringan saat mendengar suara
lantang tersebut. Sempat dia meraup wajah.
“ Ya, ma! Yo da bangun..”
Kepala yang terasa sakit dipegang. Malam tadi dia balik agak
lambat setelah menghabiskan masa bersama teman-teman di warung Pak Mat
untuk sama-sama menonton perlawanan bola
sepak antara MU dan Chelsea. Dia bukanlah peminat tegar untuk kedua-dua pasukan
terkenal tersebut, tetapi sekadar untuk melepaskan diri daripada dihujani
dengan persoalan mama yang begitu menyesakkan dirinya..
“ Kamu ni bila nak masuk pejabat? Walid dah bising-bising tu..
Belajar dah tiga bulan habis. Orang lain tamat je belajar, terus cari kerja.
Kamu tak! Melingkar lagi kat rumah,”
“ Ala mama ni.. ingat Yo ni ular ke apa, cakap orang melingkar..
biarlah dulu mama... Yo dah bertahun habiskan masa menghadap buku-buku. Apa
kata kali ni mama bagi sedikit masa untuk Yo lepaskan kepenatan tu?” dia
sengih.
“ Banyaklah kamu punya penat Dhiyaulhaq!”
Bicara itu tidak pernah menemui penamatnya, sehingga sekarang. Bagi
Haq sendiri, dia memerlukan lebih masa untuk memutuskan sama ada ingin
menggantikan posisi walidnya di syarikat milik keluarga, ataupun memilih bidang
kerja lain yang lebih sebati dengan dirinya. Melukis! Tetapi, hobinya itu
sering ditentang oleh kedua orang tua. Kata mereka, kerjaya pelukis tidak
menjamin masa depan. Menghabiskan masa! Menghabiskan tenaga! Menghabiskan wang!
Tanpa sedar, Haq melepaskan keluhan.
“ Ha! Yang mengeluh ni kenapa? Masalah kamu tu berat sangat ke?”
Haq pantas mengukir senyum sumbing. Mama, andai saja kau tahu apa
yang bermain di dalam fikiran anakmu ini.. adakah kau akan memihak kepadaku
kali ini? Sekali lagi Haq melepaskan keluhan. Panjang..
“ Ma, Yo nak keluar.”
“ Nak pergi mana pulak? Tak boleh ke kamu duduk rumah saja?
Merayap saja kerjanya..”
Haq tidak berkata apa-apa. Hanya menyalami tangan wanita yang
telah membawanya ke dunia sebelum berlalu pergi. Dengan kereta Perdana miliknya
yang dibeli hasil titik peluhnya sewaktu bekerja sambilan di universiti, Haq
memandu tanpa arah tujuan. Dia buntu. Masalah itu seakan mengganggu dirinya.
“ Ya Allah.. bantulah aku.. tunjukkanlah aku jalan yang terbaik..”
‘ping!’
Bunyi hon yang kuat membuat Haq membrekkan keretanya secara
tiba-tiba. Mujurlah tiada kereta di belakangnya. Kalau tidak, dia akan berdepan
dengan dua masalah. Masalah dengan kereta yang mungkin ada di belakangnya,
dan..
“ Awak okey?” soal Haq kepada pemandu kereta Kancil yang sedang
menutup wajahnya. Mungkin terkejut barangkali dengan kejadian sebentar tadi.
Sebentar kemudian, gadis bertudung litup itu mengangkat kepala.
Haq terpana. Subhanallah!
“ Hurin Ainina?”
Gadis itu mengerutkan dahi. Jelas kelihatan riak terperanjat di
wajahnya.
“ Maaf, awak salah orang. Saya pergi dulu,”
Haq tidak sempat berkata apa-apa tatkala gadis itu sudah mula menghidupkan
enjin kereta dan berlalu pergi. Fikirannya masih terbayang peristiwa sebentar
tadi. Wajah itu sudah sebati dengan dirinya. Mana mungkin dia tersilap
memandang. Wajah itu sudah sekian lama menghuni fikiran, menghantui dirinya
yang sehingga kini masih dihimpit rasa bersalah.. Hurin Ainina.. nama itu
sendiri sudah lekang di bibirnya.
“ Hoi! Nak mati ke?!” suara seseorang membuat Haq kembali ke dunia
nyata. Pantas dia bergerak ke tepi sambil menundukkan sedikit kepala tanda
meminta maaf kerana alpa. Alpa sehingga dia lupa bahawa dia sedang berada di
laluan orang ramai. Haq masuk ke dalam isi kereta.
“ Ain..” sepatah nama itu kembali meniti di bibirnya. Sudah lama
sejak peristiwa itu berlaku. Peristiwa yang sehingga kini membuat dia dipagut
rasa bersalah yang teramat sangat saat memikirkan tentangnya.
“ Maafkan Haq, Ain..”
__________________________________________________________________________________________
“ Hurin? Kenapa ni?”
Hurin pantas mengelengkan kepala. Asyiqa yang keliru dengan sikap
temannya itu mendekati katil gadis itu.
“Hurin..”
“ Saya okey, Iqa.. Awak jangan khuatir,” lembut tuturnya. Asyiqa
mengeluh kecil. Perubahan sikap Hurin sedikit mengganggu konsentrasinya untuk
menelaah pelajaran. Masakan tidak, tanpa memberi salam, gadis itu terus menuju
ke katil dan memeluk lutut. Bukan seperti Hurin yang kebiasaannya.
“ Awak bertenanglah dulu. Kalau dah tenang, dan awak perlukan
teman, awak tahu saya ada untuk awak kan?” katanya seraya kembali ke meja
belajar.
Hurin hanya membeku di tempatnya. Kejadian sebentar tadi sedikit
meresahkan diri. Dia sama sekali tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki
itu! Setelah bertahun, mereka kembali bersua. Itupun bukan atas kerelaan
sesiapa. Hanya secara kebetulan. Masih terngiang di telinga Hurin akan suara
itu. Suara yang pertama kali didengarinya walaupun wajah itu bukan pertama kali
dilihatnya.
‘ Ya Allah.. mengapa aku dipertemukan kembali dengannya? Mengapa
setelah sekian lama kisah itu berlalu, dan kini dia muncul kembali? ‘ Hurin
hanya mampu bertanya di dalam hatinya. Sedarlah Hurin! Setiap yang terjadi itu
sudah ditentukan oleh Allah! Engkau tidak berhak untuk mempersoalkan semua itu!
Lantas Hurin tersedar daripada khayalan. Dia beristighfar.
“ Kalau dah rasa tenang tu, eloklah awak pergi berwuduk dulu. Hati
awak mesti akan rasa lebih tenang kan?” suara Asyiqa menyapa telinga. Hurin memandang
wajah bersih yang menghampiri katilnya.
“ Iqa..”
“ Saya faham.. pergilah berwuduk dulu. Jangan kita dekatkan diri
kita dengan kemurkaan Allah, Hurin..”
Pantas Hurin bangkit dari duduknya. Dia berwuduk seikhlas yang
mungkin. Tiada siapa yang tahu akan keikhlasan hati seseorang itu dalam
melaksanakan sesuatu melainkan DIA yang Maha Mengetahui.
“ Percayalah, setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Bukankah
itu yang kita pelajari sejak dari dulu? Jadi, tak perlulah awak terlalu
memikirkannya. Allah itu Maha Kuasa. DIA lebih tahu akan apa yang dirancangnya,
dan kita sebagai manusia, hanya perlu mengikut jalan yang Allah berikan kepada
kita..”
Hurin cuba menyerap setiap patah perkataan yang disampaikan itu.
‘Ya Allah.. Maha Suci akan Engkau.. Tuhan yang menciptakan sekian alam..
Ampunkan kekhilafanku yang telah terlanjur mempersoalkan akan ketentuanMu itu.
Aku punya kekurangan itu, ya Allah.. Maka ampunkan setiap dosaku ini..’
“ Hurin Amni? Awak okey?”
“ Astaghfirullah al azim.. Rifdhi! Maaf, saya khilaf..” ucap
Hurin, perlahan.
Rifdhi mengukir senyuman. Wajah Hurin yang dalam diam mencuri
sekeping hati miliknya itu ditatap seketika. Subhanallah.. indah sungguh
ciptaanMu ini!
“ Awak buat apa dekat sini?” soal Hurin. Dia tidak selesa dengan
pandangan mata Rifdhi sebentar tadi. Dia tidak mahu mengundang apa-apa maksiat
di antara mereka.
“ Saya datang.. nak ajak awak dengan Iqa pergi makan,”
Asyiqa di sebelah Hurin dipandang sekilas. Gadis itu juga ayu
orangnya, tetapi Hurin sudah terlebih dahulu menambat hati lelakinya.
Perkenalan yang bermula daripada incindent ‘ buku bertukar’ itu membawa kepada
sebuah jalinan ukhwah antara mereka. Dalam tidak sedar, Hurin yang
lemah-lembut, berbudi dan manis itu berjaya memikat hatinya. Namun, perasaan
yang ada di dalam hati masih tersimpan erat sehingga kini. Dia tidak mahu,
kerana perasaan itu, Hurin menjauhkan diri daripadanya. Bukan dia tidak tahu
dengan perangai Hurin yang mementingkan perintah agama itu.
“ Kami dah makan sebentar tadi, Rifdhi. Maaf,” jawapan yang
diberikan Hurin mengecewakan Rifdhi. Tidak sempat dia menghalang langkah gadis
itu yang sudah berlalu bersama Asyiqa. Walau kadang-kadang layanan Hurin
terhadapnya agak dingin, namun Rifdhi tidak pernah ambil peduli. Hati Hurin
pasti akan terbuka untuknya, suatu masa nanti. Deringan dari telefon bimbit
mengembalikan Rifdhi ke dunia nyata. Melihat nama yang tertera, senyuman di
bibir Rifdhi melebar.
“ Hai, sweetheart! Miss me already?”
“ Sweetheart ape ke jadah nya Dhi oi! Kamu nak kena pelempang opah
ke?”
“ Ala opah ni.. Tak sporting la.. Nak bermanja sikit pun tak
boleh.. dua kali lima aje dengan mama,” adu Rifdhi.
“ Memanglah sama Dhi! Mama kamu tu anak opah!” Rifdhi tersenyum,
seolah opahnya ada di depannya ketika ini.
“ Kenapa opah call?”
“ Balik ke rumah mama kamu minggu ni,”
“ Opah nak ke mana? Kenapa pula Dhi kena balik rumah mama?”
“ Opah nak pergi melancong. Tak ada orang nak uruskan makan minum
kamu dekat sini. Orang gaji semua opah dah bagi cuti,”
“ Ala, opah ni.. nak melancong tak ajak Dhi! Mana aci!”
“ Aci tak aci. Duit opah, ikut suka opahlah nak pergi ke mana.
Kamu tu, belajarnya entah ke
mana. Duit nak kena masuk aje setiap bulan..”
“ Opah berkira dengan Dhi ek? Dhi ni cucu opah tau!”
“ Dah tu? Cucu tak cucu. Ingat! Minggu ni balik rumah mama kamu.
Kalau tak, sebulan opah tak masukkan duit dalam akaun kamu. Faham?!”
“ Faham madam..” ‘ klik!’ talian
diputuskan. Rifdhi melepaskan keluhan. Hmm.. nasib badan.. Keluarga kaya,
tetapi tetap dikongkong!
___________________________________________________________________________________________
“ Hurin, tak lama lagi Hurin dah nak graduate. Hurin dah fikirkan
lepas ni Hurin nak sambung ke mana?”
Hurin memandang wajah di hadapannya. Walaupun sudah tidak
sesempurna dulu, namun kasih sayangnya tidak pernah berbelah bahagi terhadap
saudara kembarnya itu. Baginya, sempurna atau tidak seseorang itu adalah
anugerah Allah. Dia tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap kembarnya
itu. Saudaranya itu tetap saudaranya. Insan yang banyak berkongsi semua cerita
dengan dirinya. Saat susah, mahupun senang. Mereka sering bersama.
“ Hurin?”
“ Ya, kak? Sebenarnya.. Hurin belum buat sebarang keputusan lagi.
Hurin ingat, lepas ni, Hurin nak cari kerja dekat-dekat sini saja. Hurin tak
nak tinggalkan akak sorang-sorang dekat sini.”
“ Tak boleh, Hurin!”
Hurin tersentak mendengar suara tersebut. Serentak mereka
memandang ke pintu bilik. Wajah itu merenung sedalam-dalamnya ke arah mereka.
Terutama ke arah Hurin.
“ Walid..”
“ Walid tak izinkan Hurin terus tinggal di sini. Hurin ada masa
depan Hurin sendiri. Lebih baik Hurin kejar masa depan Hurin tu daripada terus
terperap dekat sini. Dekat sini tak ada apa-apa,”
“ Tapi walid.. Hurin tak nak jauh dari kakak..”
“ Walid dan umi masih ada untuk jaga kakak. Hurin jangan khuatir
ya, dik?”
Hurin memandang wajah kakaknya sebelum melabuhkan pandangan kepada
orang tua mereka. Terasa sebak di dada saat memikirkan pengorbanan mereka dalam
memastikan dirinya dapat menggenggam sebuah kejayaan.. ‘ Ya Allah.. mereka
anugerah terindah yang Engkau kurniakan kepadaku.. Syukran Ya Rabb!’
“ Hurin Amni dan Hurin Ainina, kalian anugerah terindah yang Allah
berikan kepada umi dan juga walid. Kalian permata kami. Tidak mungkin kami biarkan
kalian berdua menongkah arus hidup sendirian. Walau apapun dugaan yang Allah
berikan kepada kita, kita akan tempuhinya bersama-sama,”
Kata-kata uminya membuatkan hati Hurin semakin sebak. Dipandang
wajah kakaknya yang sedang mengukir senyuman indah. Dia tahu, di sebalik
senyuman itu tersimpan sebuah duka. Dia tahu, kakaknya bersedih atas apa yang
menimpa. Cekalnya hatimu duhai kakak.. Aku sendiri mungkin tidak mampu untuk
menghadapi semua itu. Engkau lalui semuanya dengan hati yang tabah. Tidak pernah
engkau tonjolkan kesakitan itu di hadapan kami semua. Setiap kali aku berasa
lelah dengan permainan dunia, engkaulah yang pertama menghadiahkan aku dengan
mutiara kata semangat walaupun hanya dari jauh. Benar, aku tidak mungkin dapat
menjadi sebaikmu, Hurin Ainina.
“ Hurin..”
Hurin mengangkat wajah. Wajah mulus itu dipandang penuh minat.
Parut yang menutupi sebahagian wajah itu tidak langsung mengundang rasa jijik
di hatinya. Baginya, gadis itu tetap cantik seperti dahulu. Walaupun terpaksa berkerusi roda untuk ke sana ke mari, namun, ketabahan Hurin Ainina yang paling
mengagumkan dirinya. Saat kakak kembarnya itu ditinggalkan sang kekasih, gadis
itu masih sempat mengulum senyum. Saat dirinya mendapat khabar bahawa sebelah
kakinya terpaksa dipotong, Hurin Ainina masih lagi mampu tersenyum. Sehingga
kini, sukar bagi Hurin untuk melupakan segala yang terjadi. Walaupun Hurin
Ainina sentiasa menegaskan bahawa dia sudah tidak apa-apa, namun Hurin tahu di
hati sebaliknya. Hati kembar mana mungkin dapat menipu kembarnya yang seorang
lagi. Sedetik wajah lelaki itu menjelma di mindanya. Rasa marahnya datang
tiba-tiba.
“ Hurin fikirkan tentang apa?”
Hurin hanya membisu. Mana mungkin dia mengkhabarkan tentang
pertemuannya dengan lelaki tersebut yang berlaku secara kebetulan itu? Pasti
hati Hurin Ainina akan lebih terluka. Biarlah rahsia itu hanya kekal menjadi
miliknya.
“ Hurin.. kenapa ni? Akak tanya tak jawab,”
“ Tak ada apa-apa, kak. Hurin cuma terfikirkan sesuatu sahaja,”
“ Sesuatu? Siapa? Buah hati ya?”
Mereka sama-sama ketawa. Hurin senang dengan keadaan itu. Sudah
agak lama dia tidak mendengar ketawa kembarnya.
“ Hurin mana ada buah hati kak..”
“ Ya ke? Habis tu, yang selalu hantar mesej tu?”
Pasti yang dimaksudkan kakaknya itu Iwadh Rifdhi, teman
sekuliahnya. Bukan dia tidak tahu akan perasaan jejaka tersebut terhadap
dirinya, tetapi sengaja dia mendiamkan diri. Saat dia mendengar berita tersebut
daripada Asyiqa, Hurin sedikit terkejut. Tidak menjangka bahawa Rifdhi begitu
cepat jatuh hati terhadapnya. Dan dia juga akui, bukan tidak ada secebis
perasaan buat lelaki itu, tetapi dia tidak mahu memikirkannya pada waktu ini.
Dia punya amanah yang lebih penting untuk diselesaikan. Amanah orang tua. Mana
mungkin dia mengabaikan amanah tersebut untuk kepentingan diri sendiri.
“ Dia tu teman sekuliah Hurin lah kak.. Kami cuma kawan biasa. Tak
lebih,”
“ Betul?”Hurin menganggukkan kepala.
“ Kalau dia buah hati Hurin pun apa salahnya.. Akak pun nak juga
ada adik ipar. Ada anak saudara.. kalau harapkan akak ni...”
“ Kak..! Jangan cakap macam tu.. Hurin tak akan berkahwin selagi
akak tak kahwin!”
Hurin Ainina tersentak mendengar bicara adiknya. Mana mungkin
dibiarkan adiknya membuat janji seperti itu! Dia sedar akan kekurangan diri.
Tidak mungkin ada lelaki yang akan mencintai dirinya yang tidak sempurna ini..
“ Akak lagi tak suka kalau Hurin buat janji macam tu. Ajal maut,
jodoh pertemuan di tangan Allah, Hurin. Ingat tu! Jika suatu masa, hadir
seorang lelaki yang melamar Hurin sebagai suri di hatinya, akak nak Hurin
terima. Akak tak nak Hurin tunggu. Akak tak nak kerana akak, Hurin ketepikan
kebahagiaan Hurin sendiri,”
Hurin hanya membisu. Dia
tidak sanggup melihat kakaknya bersedih jika dia dibawa pergi dari rumah ini.
Dia masih ingin bersama keluarganya. Masih belum bersedia untuk menempuhi fasa
yang baru.
“ Akak..” Hurin Ainina hanya tersenyum
manis. Biarlah hatiku hanya aku yang tahu.
gud jod frenz..^_^
ReplyDeletetruskn coretan anda...
cheqsa: tq..cubaan prtame publish novel kt org luar..slame ni kt mmber2 trdekat je..^_^
ReplyDeletegood job.. cpt la masukkan epsod yg kedua lak.. xsabar menanti ni
ReplyDeletehuhu...thnk u..tggu k...^_^
Delete