“ Fikir sebaik-baiknya sebelum kamu buat keputusan Dhiyaulhaq! Angin
tak ada, ribut tak ada, kamu tiba-tiba buat keputusan macam ni? Kamu dah
bincang dengan Hurin ke? Dia terima?”
Haq menundukkan wajah. Tidak berani bertentang mata dengan
walidnya. Dia akui, dia membuat keputusan tanpa bertanya kepada Hurin dahulu.
Tetapi, dia punya hak! Hak untuk membuat keputusan kerana dia ketua
keluarganya, dan Hurin hanya perlu akur pada setiap keputusan yang dilakukan!
“ Kamu jangan ingat, kamu ketua keluarga, kamu berhak buat
keputusan sendiri. Hurin juga ada hak untuk meluahkan pendapatnya. Lagi-lagi
dalam hal macam ni. Kamu tak boleh fikir ikut kepala kamu sendiri saja,”
Haq meraup wajah. Seakan walid dan mamanya menyalahkan dirinya
dalam hal ini sedangkan Hurin yang membuat onar. Mempunyai hubungan dengan
lelaki lain di belakang suami sendiri!
“ Dhiyaulhaq!”
“ Walid, mama, ini rumahtangga Yo. Yo tahu apa yang terbaik buat
keluarga Yo. Pasal Hurin, tak perlulah bimbang, Yo akan berterus- terang dengan
dia. Hurin dah cukup dewasa, dan Yo tahu, dia akan terima semua ni dengan
redha,”
“ Kamu jangan ingat diam Hurin tak ada erti, Yo. Dia mungkin
seorang isteri, tetapi dia juga seorang wanita yang ada perasaan. Kalau kamu
belum berbincang dengan dia, kami tak restui keputusan kamu ni. Walid tak
nampak mana salahnya Hurin sampai kamu boleh buat keputusan macam ni,”
“ Walid, kalau Haq beritahu kebenarannya, tentu semua orang takkan
percayakan Haq!”
“ Kamu belum beritahu kami lagi, mana kamu tahu kami takkan
terima?”
Haq melepaskan keluhan. Dia tahu, dia kini tewas dalam
perbincangan ini. Walid dan mamanya sudah pasti tidak akan merestui keputusan
yang telah dilakukan.
“ Haq rasa dah tak ada guna kita teruskan perbincangan ni. Walid
dan mama tetap akan pertahankan Hurin juga,”
“ Terserah, Dhiyaulhaq. Yang penting, mama dan walid takkan pernah
setuju dengan keputusan kamu ni,”
Haq bangkit dari duduk lantas berlalu ke tingkat atas. Telefon
bimbit segera dicapai. Ada seseorang yang harus dihubungi. Dia mahu
menyelesaikan segalanya secepat yang mungkin. Suka atau tidak, semua orang
harus menerima keputusannya.
“ Assalamualaikum, abang nak Hurin bawa Ain ke taman dekat rumah
kita. Jumpa abang dalam 15 minit lagi,”
Talian dimatikan. Langsung dia tidak bertanya khabar pada isteri
di sebelah sana. Untuk apa dia bertanya itu jika wanita tersebut sudahpun
menyakiti hatinya? Menduakan dia dalam diam? Haq tidak nampak sebab untuk dia
bertanya khabar wanita itu. Sungguh, amarah kini menguasai dirinya. Membatasi
rasa cinta yang hadir buat isteri yang dinikahi berbulan yang lalu.
Di sebelah sana, Hurin tersenyum gembira saat nama ‘Imamku’
tertera di skrin telefon bimbitnya. Gembira kerana penantiannya berakhir.
Namun, hampa. Tiada langsung nada ceria daripada suaminya, sebaliknya nada
dingin yang menghiasi perbualan yang tidak sampai 10 saat itu. Atau lebih tepat
lagi, lebih kepada arahan suaminya. Hurin duduk di atas katilnya. Perut yang
masih belum menampakkan perubahan itu disentuh.
“ Abang, tak mahukah abang tahu khabar gembira ini?”
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Seperti yang diminta, Hurin Amni dan Hurin Ainina tiba di taman
tepat pada masa. Hanya bayangan Haq yang belum kelihatan di mana-mana. Hurin
Ainina yang masih kebingungan memandang kembarnya. Ada kekusutan pada wajah
itu.
“ Kenapa Hurin bawa akak ke sini? Dari tadi kakak tanya, tapi
Hurin hanya cakap, ada surprise. Apa yang suprisenya, dik?” Hurin mengulum
senyuman.
“ Sabarlah, kak. Nanti surprise yang Hurin katakan tu akan datang
juga,” Hurin Ainina masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh
adik kembarnya.
“ Hurin.. Hurin tak apa-apa, kan?”
“ Apa maksud akak? Hurin tak ada apa-apalah, kak. Nak buat
surprise untuk akak pun tak boleh ke?”
“ Tak.. Erm, tak apalah..”
Hurin Ainina memandang raut wajah adiknya. Dia tahu, ada sesuatu
yang sedang disembunyikan oleh kembarnya itu, cuma tidak dikhabarkan kepada
sesiapa.
“ Kejutan dah sampai, kak..” Hurin Ainina memandang ke arah yang
sama dengan adiknya. Di seberang jalan, kelihatan Haq sedang menuju ke arah
mereka. Dia sama sekali terkejut. Adakah ini kejutan yang dikatakan oleh
adiknya? Apa yang sedang dirancang oleh kedua-duanya?
“ A.. apa maksud Hurin? Kenapa Haq datang?” Hurin hanya mengulum
senyum.
“ Assalamualaikum, abang..”
Tangan Haq disalami tanpa sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Haq
memandang wajah tenang isterinya. Perasaan bersalah tiba-tiba bersarang di
dalam hati. Hurin Ainina yang duduk di atas kerusi roda dipandang. Kecantikan
gadis itu tetap kelihatan meskipun sebahagian wajahnya sudah tercela akibat
perbuatan Natrah dahulu.
“ Hurin, abang ada sesuatu nak cakap dengan Hurin,”
“ Hurin pun ada sesuatu nak cakap dengan abang. Abang duduklah
dulu. Kak Ain pun Hurin bawa bersama ni, macam yang abang minta..”
Haq melabuhkan duduk bertentangan dengan Ain. Hurin pula duduk di
sisi kakaknya itu. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan. Hal di antara
mereka bertiga perlu diselesaikan secepat yang mungkin. Dia tidak mahu terus
dihuni rasa bersalah kepada kedua-dua wanita tersebut.
“ Hurin nak beritahu apa?” Hurin menguntum senyuman.
“ Abang, Hurin nak abang tahu, apa pun keputusan abang,
insyaAllah, Hurin akan terima dengan redha. Hurin tak nak abang rasa bersalah
atau apa-apa. Bagi Hurin, menjadi suri di hati abang selama lima bulan ni sudah
cukup bermakna buat Hurin. Dan Hurin juga tahu, dalam hati abang, tak pernah
ada Hurin. Abang cuma tersilap langkah. Tertipu dengan keadaan. Abang
mengahwini Hurin kerana menyangka Hurin ni kakak,”
“ Hurin! Apa yang Hurin cakapkan ni?! Berapa kali kakak kena cakap
yang antara kakak dan Haq, itu cuma kenangan! Haq mencintai Hurin.. Kenapa
Hurin masih nak lari dari kenyataan lagi?”
“ Kak.. sebenarnya, kita semua lari dari kenyataan. Kita semua tak
mahu mengaku yang Hurin bukan orang yang sepatutnya bersama Haq. Kan, abang?
Abang masih sayangkan kakak, kan?”
“ Tak mungkin! Haq, you don’t love me, right? Awak sayangkan
Hurin, kan?”
Haq keliru. Langsung dia tidak menjangka kedua-dua beradik ini
akan bertikam kata demi kebahagiaan kedua-duanya. Hurin
ingin berkorban demi kebahagiaan kakaknya, dan begitu juga Hurin Ainina. Haq
melepaskan keluhan kecil.
“ Haq, you better solve this problem now. Saya tak nak Hurin salah
faham lagi,”
“ Abang, jangan tipu diri abang. Percaya dengan kata hati abang.
Abang tak usah fikirkan perasaan Hurin. Hurin dah bersedia dengan semua ni
sejak pertama kali lafaz ijabkabul menyatukan kita. Hurin terima seadanya,
bang..”
Haq memandang wajah kedua-duanya. Dia akui, dia mengasihi
kedua-dua mereka, dan seandainya mampu, dia mahu membahagiakan kesemuanya.
Tetapi, telah tertulis di dalam Islam bahawa haram bagi lelaki untuk mengahwini
dua saudara. Dan Haq, tahu, dia harus memilih antara satu.
“ Beginilah, Ain, jujur saya katakan bahawa saya masih mengasihi
awak. Bertahun lama saya mencari awak semata-mata untuk menebus kesilapan saya
pada awak. Bila awak tiada, barulah saya sedar yang saya mencintai awak, tapi
semuanya dah terlewat waktu itu. Awak dah tinggalkan hidup saya tanpa kesan.
Dan pabila saya bersua dengan Hurin, saya rasakan penantian saya berakhir. Saya
berkahwin dengan Hurin kerana sangkakan dia ialah awak,”
“ Haq! Apa yang awak cakap ni? Awak sedar tak apa yang awak
katakan ni sebenarnya salah? Nonsense! Hurin, jangan dengar cakap Haq! Dia tak
bermaksud macam tu pun!”
“ Tak apa, kak. Hurin memang tahu semua ni dari awal lagi.
Bukankah Hurin sendiri dah beritahu kakak yang abang mangsa keadaan? Abang
salah sangka yang Hurin ni kakak. Hurin mampu terima semua tu, kenapa tak,
kakak?”
Hurin Ainina mengelengkan kepala berkali-kali. Sedaya upaya dia
cuba menyangkal kata-kata Haq, tetapi adiknya pula seakan sekadar menerima
bicara lelaki itu.
“ Sekarang semua dah jelas kan? Abang, Hurin redha dengan semua
yang terjadi. Lepas ni, abang boleh tolong uruskan kesemua urusan, kan? Maaf
sebab tak beritahu abang awal-awal, dan memang silap Hurin sebab tak minta izin
dari abang dulu..”
“ Apa maksud Hurin?” Hurin Amni senyum mendengar soalan suaminya.
“ Alhamdulillah, Allah dah mudahkan segalanya buat kita.. Hujung
minggu ni, insyaAllah Hurin akan berangkat ke Kaherah. Hurin dapat tawaran
ambil master dekat sana,”
“ Apa?! Kenapa Hurin tak beritahu kakak? Hurin sengaja, kan? Hurin
nak jauhkan diri dari kami, kan?”
“ Maafkan Hurin, kak. Semuanya mendadak. Tawaran tu datang masa
keadaan jadi macam ni. Dan Hurin juga perlukan ruang untuk diri sendiri. Hurin
hanya nampak jalan ni saja,”
“ Tapi Hurin tak sepatutnya..”
“ Maafkan Hurin, kak. Abang Haq sendiri tak kata apa-apa. Tu
bermakna dia merelakan Hurin pergi. Abang, Hurin minta tolong abang hantarkan
kakak balik, ya? Hurin ada urusan nak diselesaikan lagi,”
“ Haq! Say something! Takkan awak nak tengok saja isteri awak
pergi?”
Haq masih diam. Sebak di dada Hurin kian memuncak. Terluka dengan
sikap suami yang sekadar berdiam diri. Tidak mahukah Haq menghalangnya dari
pergi? Atau Haq sendiri tiada hati dengannya?
“ Hurin, akak tak nak..”
“ Maaf sangat-sangat, kak. Hurin pergi dulu, kak..”
Saat Hurin mencium tangannya, Hurin Ainina terasa sebak. Dipeluk
erat tubuh adik kesayangannya itu.
“ Kenapa Hurin buat macam ni, dik?”
“ Sebab akak selalu berkorban untuk Hurin, dan dah tiba masanya
Hurin pula berkorban untuk kakak. Sayangilah Haq seperti mana akak menyayangi
Hurin ya, kak?”
Dan saat tangan Haq pula diciumi, air mata Hurin perlahan menitis
membasahi pipi. Haq juga sedar akan itu semua, namun dia langsung tidak mampu
bersuara.
“ Maafkan Hurin, bang. Maafkan Hurin sebab tak dapat jadi isteri
yang baik buat abang, tapi ketahuilah yang abang dah jadi suami yang terbaik
buat Hurin. Halalkan makan minum Hurin selama ni, bang. Hurin doakan abang akan
bahagia dengan kakak,”
“ Ma.. maafkan abang, Hurin..” Hurin senyum.
“ Abang tak pernah salah apa-apa. Hanya Hurin yang bersalah sebab
tipu abang selama ni..”
Dan Hurin Amni akhirnya berlalu. Meninggalkan Haq dan Hurin Ainina
yang masih berperang dengan perasaan sendiri.
Nyata, tiada sesiapa pun yang tahu gelojak jiwanya kini. Hanya
pada Allah tempat dia berserah segalanya. Dia bukan sesiapa untuk menyekat
kebahagiaan insan-insan yang disayanginya. Dia hanya mahukan yang terbaik buat
mereka. Seperti mana mereka telah berkorban untuknya, dan seperti itu jugalah
dia mahu melakukan pengorbanan.
“ Abang, Hurin akan tetap mencintai abang sampai bila-bila.
Maafkan Hurin kerana terus menyembunyikan kewujudan benih di dalam perut ini.
InsyaAllah, Hurin berjanji Hurin akan menjaganya lebih daripada nyawa Hurin
sendiri..”
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Hurin Amni setia memandang pemandangan di hadapannya. Air mata
terus dibiarkan mengalir membasahi pipi. Dia tidak menyangka akan melihat
pemandangan itu. Lelaki tersebut setia menolak kerusi roda gadis itu, lantas
membuka pintu kereta sebelum mendukung gadis itu untuk dimasukkan ke tempat
duduk bersebelahan pemandu. Hurin Amni sendiri tidak menyangka kedatangannya
untuk memeriksa kandungan yang kini berusia dua bulan akan berakhir dengan
pemandangan ini. Dia teresak-esak menangis. Sungguh. Hurin bukanlah setabah
yang disangka. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati perempuan mana yang mampu
melihat lelaki yang dicintai bersama orang lain? Tetapi, demi kakaknya, dia
sanggup mengorbankan setiap rasa itu. Biarlah dia yang terluka. Asal bukan
insan yang disayanginya.
“ Kakak, abang, Hurin doakan kalian bahagia. Hurin betul-betul
sayangkan kalian,”
Kini, Hurin sudah mampu merelakan semuanya. Dia sudah mampu pergi
tanpa ada rasa sesal tentang apa-apa. Demi melihat mereka berdua hari ini, dia
sudah mampu menarik nafas lega. Tiket kapal terbang yang diletakkan di sebelah
dipandang.
Assalamualaikum..
Maafkan Hurin andai kedatangan surat
ini menganggu hari abang.. Hurin tahu, tidak selayaknya Hurin mengirimkan
warkah tidak seberapa ini kepada abang, tetapi Hurin minta.. bacalah surat ini
hingga ke penghujungya, dan selepas itu, abang boleh membuang ia.
Abang..
Sesungguhnya tak perlu ada penyesalan
dalam kisah kita. Abang tak pernah bersalah. Mungkin ia sememangnya silap Hurin
yang tersalah langkah. Maafkan Hurin, abang kerana membuat keadaan jadi
sebegini. Hurin tidak pernah ada niat untuk menyakitkan hati abang, apatah lagi
untuk membuat abang terluka. Hurin benar-benar minta maaf atas segala yang
telah terjadi.
Abang,
Sejak dari awal lagi Hurin sudah menjangkakan
perkara ini akan terjadi, tetapi demi amanah, Hurin hanya mengikut arus. Dan
ternyata, Hurin benar-benar jatuh cinta dengan abang. 5 bulan hidup bersama
abang, hidup Hurin lengkap dengan bahagia yang abang berikan. Hurin bersyukur
dengan nikmat yang Allah berikan pada
Hurin saat itu. Meski kini, Hurin mungkin tidak akan merasai semua itu lagi,
tetapi Hurin tidak menyesal kerna waktu yang ada itu sudah lebih dari cukup
buat Hurin. Meski pada pandangan abang, Hurin ialah kakak, tetapi itu bukan
alasan untuk Hurin bersedih hati, kerna dalam hati Hurin memang sudah ada cinta
buat abang.
Abang,
Saat surat ini abang terima, Hurin
tidak lagi berada di bumi Malaysia. Hurin sudah berada jauh dari abang, dan
insyaAllah, walau jasad Hurin jauh dari Malaysia, tetapi hati Hurin tidak.
Abang, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih untuk kasih sayang dan
perhatian yang abang berikan buat Hurin selama tempoh kita menjadi suami
isteri. Terima kasih juga atas hadiah yang abang berikan ini meski abang
sendiri belum tentu akan melihatnya. Insyaallah, Hurin akan memeliharanya,
menjaganya seperti nyawa Hurin sendiri. Doakan Hurin berjaya dalam pencarian
Hurin mencari cinta sejati Hurin buat Ilahi. Dan Hurin juga nak abang tahu, doa
Hurin akan sentiasa ada buat abang. Sepanjang masa, seperti mana hati Hurin
yang tak pernah berhenti dari mencintai abang.
Salam sayang,
Hurin Amni
Haq melipat kembali surat yang telah dibacanya. Air mata lelakinya
mengalir jua. Dia langsung tidak menjangka yang Hurin benar-benar memaksudkan
bicaranya tempoh hari. Dan kini, semua sudah berakhir. Hurin sudahpun pergi
dari hidupnya kini. Dia sememangnya masih keliru dengan perasaan sendiri. Dia
berperang dengan rasa yang ada di hatinya kini. Tetapi, lelaki mana yang
sanggup dianggap dayus kerana tidak mampu untuk menghalang dosa yang dilakukan
oleh si isteri? Sehingga kini, dia tidak betah mengingati kejadian itu.
Kejadian di mana dia mendapat panggilan daripada kekasih gelap isterinya.
“ Yo..”
“ Mama..” tubuh Hajjah Zalikha didakap.
“ Hurin dah tinggalkan Yo, ma..”
“ Bukan ke memang itu kehendak kamu?” sinis soalan yang diajukan.
Haq melepaskan keluhan.
“ Tapi Yo tak pernah jangka dia akan pergi jauh dari sini..”
“ Kamu silap, Yo! Kamu yang salah! Kamu biarkan isteri kamu pergi
macam tu saja sebab fikirkan perasaan kamu sendiri! Kamu tak pernah fikir hati
isteri kamu! Kamu yang salah!” Hajjah Zalikha terusan menghentam dirinya. Haq
meraup wajah. Mutiara jernih yang mengalir di pipi ibunya menambahkan kekesalan
Haq.
“ Sudahlah, Ika. Tak guna awak menangis keluar air mata darah
sekalipun. Hurin dah tinggalkan kita,” Haji Muhammad tiba-tiba bersuara.
“ Walid..”
“ Semua tu dah terjadi. Apa lagi yang boleh kami lakukan?”
“ Yo, mama tak sangka mama ada anak sekejam kamu! Apa salah Hurin
sampai kamu sanggup buat macam ni pada
dia? Masa kamu tinggalkan rumah, tak pernah pun dia putus-putus datang sini,
malah sanggup tidur dekat sini. Langsung dia tak ceritakan pada kami apa yang
sebenarnya berlaku pada korang. Dia katakan semuanya okey saja, tapi langsung
kami tak tahu hati dia yang betul-betul berharap dapat jumpa kamu. Langsung
kami tak tahu yang dia sebenarnya tunggu kamu! Mana lagi kamu nak dapat isteri
macam tu?! Cakap! Cakap!”
“ Ika..”
“ Tak boleh, bang. Ika tak boleh diam. Dah lama Ika diamkan diri.
Ika tak tahu mana silapnya didikan kita pada dia sampai hukum pun dia tak tahu!
Apa yang kamu fikirkan masa kamu tinggalkan rumah sebenarnya? Takkan masalah
korang tak boleh diselesaikan dengan cara baik? Kamu fikir tak sakit isteri
kamu sepanjang kamu tak ada? Makan tak dia? Kamu fikir tak?!”
Tubuh Haq dipukul bertalu-talu. Haji Muhammad menarik isterinya
dari terus berbuat begitu. Haq hanya membatu di tempatnya. Bukan dia tidak
marah dengan perbuatan anaknya, tetapi itu sudahpun tertulis. Ia suratan
takdir, dan tiada siapa yang mampu melawan apa yang telah ditetapkan oleh Yang
Kuasa.
“ Dahlah Ika.. Dhiyaulhaq, buatlah apa yang kamu suka. Walid dan
mama takkan masuk campur lagi dalam urusan hidup kamu. Mungkin ada silap kami
sampai kamu buat macam ni. Maafkan walid dan mama sebab tak dapat berikan
ajaran yang terbaik,..”
“ Walid! Jangan cakap macam tu.. Yo yang salah.. Yo minta maaf,”
“ Kemaafan tu bukan milik kami. Ada yang lebih layak dapat
kemaafan tu..”
Haji Muhammad dan Hajjah Zalikha melangkah keluar dari kamar Haq.
Hati tua itu nyata terluka kerana sikap anak mereka yang diajar dengan didikan
yang secukupnya. Dan kini, biarlah Haq sendiri yang menyelesaikan hidupnya.
Mereka tidak punya hak untuk melakukan itu semua.
No comments:
Post a Comment