Sunday, May 19, 2013

penghujung cinta 2.


“Ada lamaran untuk angah. insya-Allah, dua minggu lagi dia akan datang dengan rombongan meminang. Tapi, sebelum tu, dia nak tahu keputusan angah..”

Rebah aku saat mendapat perkhabaran itu daripada ummi. Langsung tidak menjangka diri akan disunting di waktu muda ini. Adakah kata-kata ummi dahulu akan menjadi kenyataan? Kata ummi, lelaki itu meminta aku istikharah dahulu dan dia sanggup menunggu sehingga aku memperoleh jawapan. Tetapi, bukan itu persoalannya. Masalahnya adalah aku! Adakah aku mampu menggalas tanggungjawab itu pada usia semuda ini? Adakah aku sudah bersedia untuk menjadi seorang zaujah yang baik untuk bakal suami yang tidak ku kenali ini?

Aku memandang sekeliling. Sungguh, suasananya agak mengelirukan. Aku sendiri tidak tahu di mana sebenarnya aku berada. Nun, di hujung sana, ada seseorang mendekatiku. Aku amati wajah itu, namun tidak jelas. Selang beberapa langkah daripadaku, dia berhenti. Terukir secebis senyuman di wajah itu.

“ Assalamualaikum bakal zaujahku,” tuturnya, lembut. Aku terpana. Suara itu pernah bermain di halwa telingaku, namun aku tidak pasti siapa orangnya!
“ Waalaikumussalam. A.. awak siapa? Saya di mana?” soalku, tidak sabar. Dia masih seperti tadi. Tak lekang dengan senyuman.

“ Saya bakal imam awak, insya-Allah di dunia, dan akhirat jua. Di sinilah kita akan mengukir cinta kita ke dinding bahagia. Di sinilah istana kita akan tersergam dengan kalimah-kalimah cinta buatnya. Di sinilah kita akan memperbanyakkan keturunan Muhammad untuk kita didik menjadi khalifah umat Islam yang setia. InsyaAllah. Sudikah awak menjadi pendamping saya untuk turut serta dalam perjuangan saya ini?” al-Quran bertukar tangan. Aku memegang erat kitab suci itu.

“ Awakkah orang yang hantar al-Quran pada saya tempoh hari?” dia mengangguk perlahan. Aku terkedu. Allah, kebetulan ini begitu indah! Teringat beberapa hari lepas apabila satu bungkusan diserahkan kepadaku oleh posmen. Terkejut aku tika mendapat hadiah itu. Aneesa dan Kirana sudah sedia membuat muka tertanya-tanya. Menanti jawapan yang aku sendiri tidak pasti. Saat diajukan kepada posmen itu, dia sendiri mengangkat bahu. Mengatakan lelaki itu hanya datang ke pejabat pos dan meminta dihantarkan bungkusan itu kepadaku. Tika bungkusan itu dibuka, ada al-Quran di dalamnya. Al-Quran sama yang aku pegang kini. Adakah ini jawapan kepada istikharahku jua?

“ A.. awak.. siapa?”

“ Aira Fittiya, sesungguhnya saya mencintai awak kerana Allah. Kerana agama yang ada pada awak. Kerana cinta yang awak miliki buat Pencipta kita. Izinkan saya, Aryan Muqri menapak ke dalam hati awak. Mencintai awak seperti mana cintanya kita kepada Allah yang Satu, dan Rasulullah yang dirindu. Izinkan saya membimbing awak ke syurgaNya.. insya-Allah, hingga ke akhir hayat saya..” air mataku menitis perlahan. Terharu mendengar bicara itu. Lalu aku angguk perlahan, dan menapak ke arahnya..

“ Aira? Aira? Bangun, bangun Aira..”

Aku membuka mata. Aneesa dan Kirana memandangku dengan wajah pelik. Lalu aku lihat kedudukanku. Siling di atas aku renung. Lantas aku bangkit. Aku masih di atas katil. Jadi, apa makna semua yang aku alami sebentar tadi? Adakah ia mimpi?
“ Aku kat mana?”

“ Alahai minah ni.. buat tanya pula. Kau dekat rumahlah! Dekat mana lagi? Kenapa? Mimpi indah erk..” Aneesa dan Karina sengih jahat. Bantal yang berada di atas kepala sempat aku ambil dan lempar kepada kedua-duanya yang sudah terkedek-kedek berlari meninggalkan bilikku sambil ketawa. Aku senyum. Terhibur dengan gelagat kedua-duanya.

Pagi itu, nombor ummi aku dail. Ya, aku sudah punya jawapannya. Jawapan kepada soalan yang ummi tinggalkan untukku seminggu yang lalu.

“ Ummi, boleh angah tahu nama lelaki yang merisik angah tu?”
“ La.. kan ummi dah beritahu hari tu.. Aryan. Aryan Muqri.” Aku mengulum senyuman. Ya, nama itu! Aku kenal nama itu! Pemilik nama itu sudah muncul dalam mimpiku semalam. Allah, ku yakin dengan aturanMu! Andai ini sememangnya yang terbaik untukku, aku terima jodohku. Walau siapa pun lelaki ini, aku percaya, dialah yang telah Engkau hantarkan untuk memimpin aku ke jalan keredhaanMu. insya-Allah..
...............................................

Hujung tahun bakal tiba. Apa ada pada hujung tahun itu? Kad undangan di tangan aku tatap lagi. Senyuman terukir di bibir saat ini. Sungguh aku bahagia dengan keadaan sekarang. Dua bulan yang lalu, hidupku seakan suram. Tetapi, Allah itu Sehebat-hebat Perancang! DIA hadirkan bahagia dalam keadaan yang kita sendiri tidak mampu menduganya! Benar, cintaku kepada Yang Satu semakin teguh dengan ujian-ujian yang diselitkan dengan bahagia yang begitu indah! Subhanallah..

“ Kau biar betul? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba nak kahwin? Bila kau bertunang? Siapa lelaki tu? Handsome macam aku tak?” Muaz menayangkan gigi. Aku dan Aneesa ketawa.
“ InsyaAllah, dialah yang paling kacak di mata aku. Fasal kahwin tu.. aku nak buat macam mana? Allah hantarkan dia lebih awal daripada jangkaan aku. So, aku terima ketentuan DIA. Doakan yang terbaik buat kami, okey?” Muaz angguk sambil senyum. Satu lagi sampul aku serahkan kepadanya. Muaz mengerutkan dahi.

“ Serahkan satu untuk Aril. Aku tahu, sepatutnya aku serahkan sendiri pada dia, tapi aku bimbang dia rasa tak selesa.. Kau boleh tolong aku, kan?” Muaz mengangguk. Aku dan Aneesa meminta diri.

'Moga Allah sentiasa menjaga hati kita. Hati awak. Dan hati saya. Apabila rasa rindu bertaut di hati saya untuk bakal pemilik hati saya ini, saya letakkan tangan di dada. Mendoakan moga Allah pelihara rindu itu hingga tiba masanya. Dan saya juga mendoakan moga rindu yang hadir dalam hati saya buat bakal zaujah saya ini tidak melebihi rindu saya pada Allah dan rasul, seperti mana cinta saya yang saya harapkan agar lebih Agung kepada Pencipta kita daripada ikhlasnya cinta saya pada insan yang bakal mendapatnya. insya-Allah.
Buat bakal pemilik hatiku, peliharalah dirimu di sana.. Jaga peribadi. Jaga diri. Dan jaga hatimu. Insya-Allah, kita akan berjumpa di suatu hari. Ya! Di saat Allah mengizinkannya. Di saat ijab dan kabul bakal menyatukan kita. Buatmu, yang Allah titipkan untuk menyerikan hidup saya selepas ini, buatmu yang Allah amanahkan kepada saya untuk saya pimpin ke syurgaNya nanti.. Cintaku padamu kerana hebatnya cintamu pada Allah yang Menciptakan kita.  Moga bersua saat masanya tiba.. insya-Allah.
–bakal imammu. Pemimpinmu ke syurga cinta, insya-Allah-'

Aku menatap cebisan kertas di tanganku. Sebuah senyuman aku kulumkan. Bicara itu cukup menyenangkan aku. Cukup mendamaikan sekeping hati ini. Ya! Sepucuk surat yang dikirimkan khas daripadanya untukku. Walau tiada kata-kata cinta seperti pasangan kekasih lain, namun itu bukanlah satu kekurangan buatku. Cukup dengan bicara yang mengingatkan aku kepada Tuhanku. Kepada Rasulku. Aryan Muqri. Ya, bakal pemilik hatiku. Bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul. InsyaAllah, selamanya akan begitu. Sudah dua bulan aku menjadi tunangannya, dan selama itu jugalah tiada pertemuan antara kami. Aku dan dia sama-sama bersetuju untuk memelihara hati kami daripada rindu. Aneh bukan? Tetapi itulah hakikatnya. Biarlah kami sama-sama membuat kejutan sesama sendiri. Kata ummi, aku dan Aryan pernah berjumpa, tetapi aku sendiri tidak betah mengingati pertemuan itu. Mungkin ada baiknya begitu. Biarlah hatiku terus kekal merindu pada Sang Penciptaku.
……………………………………

Kisah ini telah aku lorekkan di dalam hati. Kisah antara kau dan aku. Kisah antara aku dan Penciptaku. Kisah antara kita semua. Dalam pencarian cintaku kepada Allah dan Rasul, ku temui sedetik wajahmu untuk ku ukirkan ke dalam hatiku. Hari itu telah tiba, dan kita bakal bersua. Saat lafaz ijab dan kabul bersatu, saat itu hati kita akan bersatu. Ya, bersatu dengan restu Yang Satu. Bersatu dalam erti halal yang sebenarnya. Moga kisah kita ini akan terus terukir indah di setiap detik dan waktu, bersulamkan munajat memuji keagungan yang Maha Tahu. Buat dirimu, insan yang bakal menapak ke dalam hidupku secara rasminya, peganglah tanganku saat aku terjatuh. Pimpinlah aku saat aku tersilap arah. Dakapilah aku saat aku resah. Peringatkanlah aku saat aku gelisah. Moga cinta kita dirahmati-Nya.. ~AMAF~

Nota itu hadir lagi. Hadir di saat ijab dan kabul bakal menyatukan kami. Ya, bila-bila masa sahaja aku bakal bergelar seorang isteri. Kini, aku sedia menunggu dia melafazkan ‘ saya terima nikahnya’ khusus untuk diri ini. Nota itu aku pegang erat. Perasaaan berdebar kian merajai diri. Siapa yang tidak berdebar menjadi ratu sehari buat sang raja yang belum pernah ditemui? Aku senyum sendiri. Bahagia yang diselit rasa syukur atas kekuasaan-Nya.

“ Anak dara, kau kenapa senyum sorang-sorang? Dah angau sangat ke nak jadi isteri orang?” Aneesa menepuk pahaku. Teman-teman yang lain ketawa kecil. Mungkin lucu mendengar soalan Aneesa itu. Lengan gadis itu aku cubit. Sedikit geram dengan pertanyaannya. Aneesa buat muka tidak bersalah.

“ Akhirnya bahagia tu jadi milik Aira juga, kan? Walaupun semua ni rasanya terlalu cepat dan tanpa kita sedar, Aira dah pun nak jadi isteri orang. Apa-apa pun, semoga Aira menjadi isteri yang solehah buat suami, dan menjadi ibu yang penyayang buat anak-anak.. Syafa sayang Aira sangat-sangat,”

Syafa memeluk tubuhku erat. Aku membalas pelukan itu. Dialah teman yang banyak memberi dorongan saat aku hampir jatuh tika kecewa dengan Aril dahulu. Dia dan Nurain lah yang banyak memberi sokongan. Tidak putus-putus menolong aku untuk keluar dari kepompong kesedihan. Dan kini, melihat dia menangis, membuat aku sendiri sebak. Terlalu banyak yang aku kongsikan bersama mereka berdua. Penghibur aku di saat aku berduka, penguat aku di kala aku hampir rebah. Peneman aku saat aku jauh dari keluarga. Allah, indah sungguh ukhwah ini!

“ Syafa! Apa ni.. janganlah buat pengantin baru menangis. Nanti tak cantik dah,” Nurain bersuara. Syafa melepaskan pelukan dan mengesat air matanya. Air mata yang menitis perlahan di pipiku juga disapu lembut olehnya.
“ Maaf tau! Dah tak cantik dah mekapnya. Hehehe,” kami ketawa mendengar usikan Syafa.

Datang Nurain memeluk aku pula. Lebih erat daripada Syafa. Dengan Nurain juga aku banyak berkongsi rahsia. Berkongsi cerita. Sering aku titipkan kata-kata semangat buatnya dalam menghadapi cinta memandangkan dia dan tunangannya bercinta jarak jauh. Dia di bumi Malaysia, dan si tunang pula di bumi Mesir. Berjuang mencari ilmu sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih baik.

“ Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat Ain, Aira. Moga ukhwah kita terus berkekalan,” ujarnya, sedikit sebak. Aku angguk dalam senyuman. Ya, aku juga berharap sedemikian. Berharap hubungan kami terus terpaut walau apa jua dugaan yang melanda.
“ Eh, tadi marah orang. Ni dia pula yang buat Aira nangis,” tegur Syafa. Nurain sengih.

“ Lepas ni.. Aira mesti dah tak kongsi cerita dengan kita. Mesti dia kongsi dengan suami hensem dia tu. Hahaha,” riuh kamar pengantin yang dihias indah dengan gelak tawa mereka sehinggalah ummi datang memaklumkan majlis bakal berlangsung. Ummi duduk di sisiku. Aku menunggu di dalam bilik sahaja. Usai semuanya nanti, barulah dia akan datang menyarungkan cincin dan acara membatalkan air sembahyang dilakukan.

“ Aku terima nikahnya Aira Fittiya binti Ayman dengan mas kahwinnya sebuah kitab Al-Quran,” “sah! Sah! Sah!” Terdengar bicara itu di telingaku. Aku mengucap syukur. Dengan sekali lafaz, akhirnya aku sah menjadi isteri kepada Aryan Muqri, lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatiku untuk berkahwin di usia semuda ini.

“ Assalamualaikum,” suara itu kedengaran. Aku memejamkan mata untuk seketika. Cuba menghilangkan debar di hati. Perasaan yang sekian lama pergi, kini hadir kembali. Debar yang pernah hadir untuk seorang lelaki yang aku temui suatu masa dahulu. Bukan Aril, dan bukan sesiapa. Tetapi, lelaki itu!

“ Aira Fittiya, abang datang membawa cinta yang diamanahkan oleh Allah untuk sama-sama kita jaga. Aira sudi menerimanya?” Aryan duduk bertentangan denganku yang masih menundukkan wajah. Tidak sanggup untuk menatap wajahnya. Bimbang aku menggelabah nanti. Al-Quran di tangan dihulurkan kepadaku. Al-Quran yang selama ini aku jaga seperti mana aku menjaga cinta kami. Aku sambut Al-Quran itu, dan mengangguk kecil sebelum menyerahkan kitab suci itu kepada Syafa yang menjadi pengapitku.

“ Aira, hulurkan tangan. Aryan nak sarungkan cincin,” bisik ummi. Aku mengikut arahan. Aryan menyambut huluran tangan itu, dan menyarungkan cincin pernikahan ke jari manisku. Sejuk tanganku usah ditanya. Memang sedari tadi aku berdebar-debar. Tangan Aryan aku cium lama. Tanda cinta ini benar-benar halal menjadi miliknya.

“ Aira..” wajahku diangkat. Mata kami saling bertentangan. Mulutku terlopong. Terkejut melihat insan yang berdiri di hadapanku. Dia! Dia yang berjaya mencuri hatiku di suatu petang itu! Yang telah aku sangkakan sudah berkahwin itu!

“ A.. a. awak!”
“ Kenapa Aira? Kenapa dengan Aryan?” soal ummi.
“ Dia ke suami Aira, ummi?”

“ Lah.. budak ni.. dah sah jadi suami kamu, tanya lagi! Itulah, nak surprise sangat kan. Dah pernah jumpa, tapi kamu tu yang tak ingat..sekarang, dah kahwin baru soal jawab,” ujar ummi. Aku tunduk malu. Terdengar ketawa kecil daripada sahabat-sahabat. Aryan pula sengih menunjukkan lesung pipit di pipi kirinya.

“ Aira tak sudi jadi isteri saya ke?” Aryan berbisik. Aku eleng.
“ Dah sah jadi isteri awak pun. Sudi ke tak sudi dah kena tolak tepi,”
“ Sila practice panggil saya abang. Bukan awak,” usiknya perlahan. Mungkin tidak mahu didengari oleh tetamu-tetamu yang melihat.

“ Ummi dengar,” ummi pula menambah perasa. Mengusik kami berdua. Aku dan Aryan sama-sama senyum kepada ummi. Dan di situlah, bermula kisah aku dan dia..
……………………........................

“ Terima kasih sebab sudi terima abang walaupun Aira sendiri tak tahu abang ni macam mana orangnya,” Aryan bersuara tika kami mengambil angin di beranda. Aku senyum kepada dia yang berjaya mencuit hati ini.
“ Terima kasih juga sebab abang sudi tunggu Aira walaupun abang sendiri tak pasti Aira akan terima abang ke tak,” jemarinya aku genggam. Tubuhku dipusingkan menghadap dirinya sebelum Aryan mengeratkan lagi pelukan di tubuhku.

“ Jodoh itu rahsia Allah, sayang. Pertama kali abang jumpa Aira dekat pantai hari tu, hati abang mula berdebar. Tapi, abang bimbang, itu cuma mainan perasaan. Untuk seketika, abang biarkan perasaan itu. Namun, perancangan Allah maha hebat! Kita bertemu lagi kali kedua di pasar, tapi orang tu tak perasan abang pun kan?” aku sengih mengingatkan peristiwa lama. Peristiwa di mana aku langsung tidak menyedari akan wujudnya dia.

Pertemuan pertama kami di tepi pantai itu merungkai kekusutan yang melanda jiwa. Telahanku tentang statusnya ketika itu rupanya tidak tepat. Wanita yang ku lihat bersama dia sebenarnya ialah kakak kandungnya sendiri, Kak Afira Wahidah. Dan pertemuan kedua itu pula bermula dengan sesi perkenalan daripada ummiku sendiri. Ya! Ummilah yang mengatur pertemuan itu untuk kami, namun sayangnya aku tidak memberi sebarang reaksi akan peristiwa tersebut membuat ummi menganggap aku masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“ Pertemuan kedualah yang membuat abang yakin yang jodoh abang dah sampai. Istikharah abang kepada Pencipta kita juga menemukan jawapan yang sama. Sebab tu, abang beranikan diri jumpa ummi dan abah untuk suarakan hasrat abang. Abang berani mati je pergi hari tu, tapi alhamdulillah, umi dan abah terima hasrat abang.. abang bimbang juga, bimbang Aira akan tolak.tapi, syukur. Memang sayang abang ni dah Allah tetapkan untuk menjadi pemilik hati abang,”

“ Dan kini.. dia dah sah menjadi milik abang, kan? Sekarang, cinta kita sudah pun halal. So, Aira nak ayat-ayat cinta, boleh?” aku senyum menggoda. Goda suami sendiri okey! Aryan menarik hidungku.
“ Sakitlah abang..! Tahulah hidung kita tak mancung macam dia,” aku pura-pura merajuk, hanya untuk membuat dia memujuk. Terserlah kemanjaanku di situ. Manja untuk yang halal, apa salahnya, bukan?

“ Cinta abang, rindu abang, sayang abang, hanya untuk seorang teman. Teman yang bakal menemani hari-hari abang selepas ini. Teman yang akan menggenggam erat tangan abang di saat abang jatuh. Teman yang akan memimpin tangan abang di saat abang tersalah arah. Teman yang akan memeluk abang di saat abang resah. Teman yang akan setia di sisi abang setiap masa, setiap ketika, di setiap perjalanan abang dalam menggapai cinta Allah. Hanya untuk teman yang sedang menemani abang di bawah langit Allah,” dahiku dikucup lembut. Aku senyum bahagia. Tubuh itu aku rangkul erat. Bahagia dengan cinta yang Allah titipkan ke dalam hati kami.

“ Dia yang akan membimbing Aira dalam mendalami ilmu-ilmu Allah. Dia yang akan memimpin Aira dalam menuju cinta Allah. Dia yang kini menjadi pengganti abah untuk membawa Aira ke jalan keredaan Allah. Hanya dia. Pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul, Aryan Muqri!”
Aryan melabuhkan pandangannya ke wajahku. Aku menunduk malu. Sukar sebenarnya untuk aku membuang sifat ini di dalam diri. Perasaan maluku pada lelaki sememangnya sudah sebati sejak dahulu lagi. Dan kini, bersama suami sendiri juga aku masih punya perasaan itu.

“ Izinkan abang menjadi pemilik hati kepada pemilik mata ini, sayang. Jadikan hanya abang yang berhak ke atas setiap pandangan, setiap renungan yang terzahir daripada mata ini. Biarkan mata ini terus melahirkan isyarat cinta buat suamimu ini. Bolehkah sayang?” Aryan mengangkat wajahku dengan jemarinya, memaksa aku untuk terus melabuhkan pandangan ke matanya. Lama mata kami bersatu, menzahirkan cinta yang terlakar indah di lubuk hati.

“ InsyaAllah abang. Selagi mata ini mampu melihat, selagi itulah mata ini hanya akan setia menatap cinta yang Allah anugerahkan kepada sayang. Selagi itulah renungan ini hanya akan menjadi milik seorang insan. Dan selagi itu jugalah, mata ini akan meluahkan isyarat cinta buat dia yang didatangkan Tuhan buat sayang. Hanya untuk abang, pemilik hati sayang..”

Aryan menghulurkan senyuman lebar kepadaku. Dibawa aku ke dalam pelukan. Terasa begitu selamat berada dalam pelukan dia yang halal buatku. Nyata, di sebalik duka yang aku tanggung suatu ketika dahulu, Allah titipkan bahagia buatku. Hadirnya Aryan Muqri telah pun melengkapkan pencarian cintaku. Kini, di setiap sujud, di setiap doa, ada namanya yang meniti di bibirku, hanya untuk pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul.

Ya Tuhan.. terima kasih atas anugerah yang telah Engkau titipkan buatku. Terima kasih atas bahagia yang telah Engkau hamparkan untukku. Peliharalah kami, peliharalah cinta kami agar kami akan terus utuh dalam menapak mencari cinta hakiki milikMu. Berkati kami di setiap langkah kami dalam mencari keredhaanMu. Semadikan cinta kami hanya untukMu, Penciptaku.

~TAMAT~

#terima kasih daun keladi, kalau salah silap harap dimaafi. pfftt. again, kalimah cinta trpaksa di 'hold on'. cerpen ni dah lama dlm simpanan cuma belum dipublish. harap terhibur. # :)

No comments:

Post a Comment