Awak muncul dalam
hidup saya tanpa saya pinta.
Awak buat saya
kembali percaya pada cinta.
Awak buat saya
tersenyum tiap kali teringatkan kisah kita.
Awak buat saya
menangis tika mengenangkan kesudahan cerita kita.
Awak tak pernah tahu
akan hati saya.
Awak tak pernah tahu
tentang rasa yang saya ada.
Tetapi..
Saya sendiri tak
pasti dengan rasa yang saya alami.
Saya sendiri masih
tidak mempercayai semua ini.
Benarkah ini cinta
atau hanya jerat syaitan cuma?
Tetapi.. kenapa
setiap kali bersua ada getar bermain di jiwa?
Awak yang bernama
cinta.
Awak buat saya
terfikir.
Adakah ia memang cinta
atau ia mainan perasaan sahaja?
Senyuman awak mampu
getarkan jiwa.
Renungan awak buat
saya gelabah tak tentu hala.
Awak.
Andai rasa ini jua
ada dalam jiwa awak.
Katakan kepada saya.
Jangan biarkan saya
bermain dengan rasa.
Jangan biarkan saya
tertanya-tanya.
Berikan saya petanda
bahawa dalam hati awak juga sama.
Menyimpan rasa yang
serupa seperti saya.
Awak.
Saya sayang awak.
Hanya itu yang saya
pasti tika ini.
Jika benar cinta itu
tercipta buat kita.
Saya mohon pada Allah
yang menciptakan setiap rasa.
Semoga ikatan kita
akan terpaut di suatu masa.
InsyaAllah..
_Aira Fittiya_
......................................................................................................................................................
Aku pandang pemandangan yang
terbentang luas di depan mata. Kedamaian menyerap ke dalam jiwa. Sudah seminggu
aku berkampung di sini, dan sepanjang tempoh itu, bayangan wajahnya tak pernah
lekang dari singgah di ruang mata biar kami terpisah jauh. Dia di Melaka, dan
aku di kampungku sendiri. Meski aku rindu untuk menatap seraut wajah damai
miliknya, namun kerinduan pada keluarga tetap membatasi segalanya. Hanya di
laman sosial FB lah aku melepaskan segala rasa yang wujud buatnya meski aku
tahu, dia tidak pernah sedar akan kehadiranku.
“ Angah! Kenapa
termenung kat sini? Ingatkan pakwe ek..”
Soalan yang terluah
di bibir comel adik bongsuku membuat aku senyum sendiri. Telahannya memang
tepat, tetapi dia bukan kekasihku. Dia insan yang berjaya membuat aku percaya
pada cinta untuk sekalian kalinya. Ah, cinta! Ternyata rumit daripada yang ku
sangka!
“ Memandai je adik
ni.. Kenapa datang? Ummi suruh panggil ke?”
“ Tak adalah. Adik
boringlah.. Asyik mengadap buku je dari tadi. Bila tanya ummi angah kat mana,
dia kata angah ke sawah. Tu adik datang. Nak ‘skodeng’. Hehehe,” Pipi itu aku
cubit. Merungut dia tika itu.
“ Tahun depan awak tu
nak exam. Mestilah nak kena usaha lebih sikit. Nanti awak rasa juga holiday macam
kakak-kakak awak yang lain. Masa tu baru rindu nak study apa semua..”
Dia sudah melabuhkan
duduk di sisiku. Sama-sama memandang ke arah sawah yang terbentang luas di
hadapan kami. Nun di hujung sana, kelihatan beberapa ekor kerbau sedang leka
bergelumang dengan lumpur. Teringat kenangan ketika aku berumur 11 tahun.
Bermandi lumpur dengan teman-teman sekolah yang lain. Aisya, adikku ini juga
ikut serta, dan apabila pulang ke rumah, teruk kami dimarahi ummi. Semenjak
hari itu, kami tidak lagi bermain lumpur, dan hanya bermain di sekitar rumah
sahaja, bimbang dimarahi lagi.
“ Waa.. tak sabar
rasanya nak tunggu holiday macam tu!! Setahun lagi!!”
“ Eh.. budak ni..
Yelah, masa ni awak excited la. Cuba nanti alami apa yang along dan angah rasa,
masa tu baru awak tahu langit tu tinggi ke rendah,”
“ Bukan memang langit
tu tinggi ke angah? Hahaha,”
“ Aisya Suhana!”
Kami berkejaran di
atas padang berhampiran dengan sawah.Terasa kembali menjadi kanak-kanak tika
berkejaran seperti itu. Aku mengejar, dan dia akan melarikan diri. Mempunyai
bilangan adik-beradik yang kecil membuat hubungan kami amat rapat. Tiada rahsia
antara kami adik-beradik. Begitu juga dengan abah dan ummi kami. Setiap masalah
yang menimpa pasti akan kami kongsikan bersama. Tetapi, dalam hubungan percintaan,
kami selesa bercerita antara kami tiga beradik. Aisya pula hanya suka berkongsi
denganku, mungkin kerana jarak umur antara dia dan along, Aifa Farhana agak
jauh yang menyebabkan hal ini terjadi. Aku pula tidak kisah. Untuk mendapatkan
nasihat, aku akan berkongsi dengan kakakku.
“ Aira Fittiya! Aisya
Suhana! Buat apa kat tengah padang tu! Balik! Dah nak magrib ni!” suara ummi
kedengaran. Kami memandang ke arah yang sama. Tidak pula kelihatan ummi di
mana-mana.
“ Amboi.. Adik ingat
tone ummi je yang boleh kalahkan Ning Baizura, tapi mata ummi pun lebih tajam
dari Edward Cullen!”
Aku dan Aisya
sama-sama ketawa. Pantas kami menyarung selipar dan menapak pulang ke rumah
yang terletak tidak sampai 500 meter daripada situ.
......................................................................................................................................................
“ Nanti balik belajar
elok-elok ye, angah. Abah yakin dengan anak abah. Anak abah mesti boleh buat
yang terbaik punya!”
Aku senyum tika mendengar
pesanan abah. Tubuh itu aku peluk erat. Berakhir sudah cuti semesterku, dan ini
bermakna, aku akan memulakan semester kedua minggu hadapannya. Ah, sudah hampir
setahun aku menjadi anak perantauan.
“ Angah, kalau nak
cari calon suami, jangan cari yang jauh-jauh, pilih yang dekat je. Nanti susah
pulak nak dapatkan persetujuan abah. Buat macam along pun tak apa,”
Kali ini, aku ketawa
mendengar pesanan ummi. Aku tahu dia sekadar bergurau. Masakan usia semuda aku
sudah disuruh mencari calon menantu buatnya. Oh, tidak!
“ Ummi, jangan nak
mengada. Angah, pergi sana belajar. Abah tak nak angah ada pakwe. Belajar tu
yang penting,”
“ Ummi, kali ni angah
setuju dengan abah. Angah akan ikut pesanan abah. Hehehe,” ujarku seraya
memeluk tubuh ummiku pula. Ummi mencium dahiku. Sebak terasa. Ya Allah.. kini
aku faham perasaan yang dialami oleh along. Perasaan berjauhan dengan keluarga.
“ Dah, bas dah sampai
tu. Nanti lambat pulak. Jaga diri angah. Jaga peribadi,” itulah pesanan
terakhir abah sebelum aku menghilangkan diri ke dalam bas.
Di dalam bas, aku
mula memikirkan tentang diriku sendiri. Ya, kata-kata ummi tadi membuat aku
terfikir tentang dirinya. Sudah lama aku mempunyai rasa buat dia yang aku
kenali melalui temannya itu, namun tidak pernah sekalipun aku berbicara
dengannya. Aku hanya beberapa kali bertembung dengannya bersama teman yang
sekelas denganku itu.
Hairan kan? Bagaimana
aku boleh jatuh hati kepadanya?Aril Ridzuan. Mesra disapa dengan panggilan
Aril. Senyuman dialah yang membuat aku jatuh hati kepadanya. Pelik, kan?
Semudah itukah aku jatuh hati? Ya! Kerana dia punya ciri-ciri lelaki idaman
aku. Pertama kali aku berjumpa dengan lelaki yang punya ciri-ciri idamanku,
tika itu jugalah aku jatuh hati kepadanya.
Bagaimana aku bertemu
dengannya? Melalui laman sosial facebook. Tika itu, aku sudahpun berkawan
dengan temannya yang bernama Aidil Muaz itu. Kebetulan, Muaz itu sekelas
denganku untuk kursus Pengurusan Perniagaan. Aril yang mula-mula membuat
permintaan untuk menjadi temanku di facebook, dan aku menerima. Hanya ucapan
terima kasih yang aku berikan tika itu. Tidak lama selepas itu, barulah aku
perasan akan kehadirannya. Dia juga satu jurusan denganku. Ah, tika itu aku
juga terfikir akan kemungkinan, “adakah dia jodohku?”.
Apa ciri lelaki
idamanku yang ada padanya? Dia bercermin mata. Dia tidak lokek dengan senyuman,
sentiasa membuat semua orang rasa selesa dengan dirinya. Tetapi, ciri yang
membuat aku jatuh hati padanya ialah, dia seorang yang agak pendiam, tetapi
setiap kali pasti ada unsur humor di dalam dirinya. Maksudnya? Pernah suatu
ketika, salah seorang pelajar jurusan kami membuat lawak, tetapi tiada sesiapa
pun yang ketawa, dan tiba-tiba, di penjuru sana, kami mendengar seseorang
ketawa. Tika berpaling, aku melihat dia sedang ketawa sambil menepuk-nepuk
Muaz, dan ketika itu jugalah semua orang ketawa. Untuk apa, aku sendiri tidak
pasti. Tetapi, aku sendiri ketawa melihat tingkahnya. Ah, bila hati sudah suka,
apa-apa pun nampak comel, bukan?
“ Amboi.. Senyum
sorang-sorang nampak. Apa yang lucu sangat tu?” teguran Syafa membuat
khayalanku tentang dirinya terbang.
“ Eh. Tak ada
apa-apa. Teringat kat family,” bohongku. Syafa mencebik bibirnya. Aku senyum.
Kemudian, dia kembali hilang dalam mimpi indahnya. Aku pula hanya memandang ke
luar. Memandang ke arah kepekatan malam dari dalam bas itu. Tiada siapa yang
tahu tentang rahsia hatiku yang satu ini. Mana mungkin aku ceritakan kepada
Syafa sendiri tentang lelaki itu sedangkan dia sendiri mengenali lelaki
tersebut. Aduh, Aril.. kenapa harus rasa rindu ini bertapak buatmu?
......................................................................................................................................................
Semester kedua di Universiti
Kebangsaan Malaysia bermula. Aku, Syafa, Fatiha dan Nurain awal-awal lagi sudah
menampakkan wajah di kelas pertama kami di semester ini. Sudah pastinya riuh
kelas itu memandangkan kami bersua kembali dengan rakan-rakan daripada jurusan
yang sama.
“ Amboi, makin tembam
aku tengok kau ni Aira. Bahagia sangat ke duduk rumah?” teguran Nadia aku balas
dengan senyuman. Memang tekaannya tepat. Di rumah, aku hanya menghabiskan masa
mengadap laptop, televisyen dan makanan. Jarang sekali aku bersenam. Melepaskan
rindu yang mencengkam kepada rumah.
“ Wei, aku dengar
prof yang mengajar kita ni skema sikit. Senior aku cakap markah dia tu teruk
gak. Bimbanglah aku.. “ luah Ainun pula. Aku juga turut merasa seram. Jika
benar seperti yang dikatakan, pasti coursework kami akan jatuh semester ini.
Tika itu jugalah
pintu dibuka dari luar. Tergamam aku saat melihat wajah-wajah tersebut.
Bagaimana mereka juga boleh sekelas denganku? Adakah ini mimpiku cuma? Jika
benar ini mimpi, bangkitkan aku dari mimpi ini!
“ Hang tengok apa
sampai tak berkelip tu Aira? Usyar Kayrul ke?” aku tersentak mendengar soalan
Kairunnisa.
“ Mana ada! Memandai
je hang ni. Aku tengok pintu tu lah..” aku pantas menutup muka dengan buku.
Andai mereka tahu bahawa aku sebenarnya melihat Aril yang berada dalam kelompok
tersebut, pasti aku akan dihujani dengan usikan!
Kelas akhirnya
bermula selepas 10 minit menunggu kedatangan pensyarah. Profesor Aman, yang
dikatakan skema itu sebenarnya penuh dengan unsur humor yang agak menyakitkan
hati. Itulah pendapat aku tentang dirinya tika beliau mengajar kami pagi itu.
Pasti ada sahaja yang ingin diperlinya tentang masyarakat kami, tetapi beliau
turut menerangkan bahawa tujuan dia berkata sedemikian adalah untuk membuka
minda kami yang seakan tertutup dengan segala cerita karut. Benarkah?
Dalam pada khusyuk
menumpukan perhatian kepada Prof. Aman yang mengajar di hadapan, sempat aku mencuri
pandang ke arah dia yang duduk di antara Muaz dan Kayrul. Wajah itulah yang aku
rindu sejak sebulan yang lalu. Kini, peluang itu hadir untuk aku menatap
wajahnya. Dia tampak semakin kacak, ditambah pula dengan kemeja berjalur
disertakan dengan tie yang begitu menyerlahkan ketampanannya. Saat itu, ada
getar bermain di jiwa. Terasa semuanya indah belaka. Aduh! Duhai hati..
tenanglah. Jangan ada getar dahulu!
“ Makan kat mana
wei?” soal Ainun usai kelas Prof. Aman.
“ Kat kafe jom! Dah
lama tak makan kat situ,” cadangan Fatiha disambut anggukan oleh semua. Kami menapak
ke kafe yang terletak tidak jauh dari situ.
“ Erk.. Kat kelas
muka dia, kat sini pun muka dia? Bila lah gamaknya aku tak payah menghadap muka
mamat perasan handsome tu?” ujar Fatiha tiba-tiba.
“ Siapa Tiha?”
Fatiha menjuihkan
bibir ke meja hujung. Di hujung sana, kelihatan Kayrul dan Afiq sedang leka
bersembang. Aku membulatkan mata. Jika Kayrul dan Afiq ada di sana, pasti..
“ Korang nak tercegat
depan sini je ke?” satu suara menyapa.
Kami berpaling. Aku
tergamam melihat wajah-wajah di hadapan kami. Di situ juga ada wajahnya yang
menjadi pujaan hati.
“ Nak masuklah ni!
Jom!” ujar Fatiha. Aku pula hanya membatu di situ. Terasa kaku tika melihat dia
yang tersenyum ke arah kami. Alangkah bahagianya jika senyuman itu menjadi
milikku. Aduh! Sudah! Kenapa pula harus aku fikirkan semua ini di saat ini?
“ Kenapa Aira? Ada
masalah apa-apa ke?” tegur Muaz. Aku pantas mengelengkan kepala. Aku berpaling
untuk melihat teman-temanku. Eh, mana mereka?
“ Aira! Jomlah!”
Nurain tiba-tiba menarik lenganku. Aduh, malu! Macam mana mereka semua boleh
membiarkan saja aku tercegat di situ? Mengadap Aril pula!
“ Kau kenapa tercegat
kat situ tadi Aira?” Aku pantas mengelengkan kepala.
“ Aku tak perasan
korang dah pergi. Hehehe,” ujarku cuba menutup rasa. Getar di jiwa masih
terasa.
Sekali lagi
kesempatan yang ada aku gunakan untuk mencuri pandang ke arah Aril. Terubat
kerinduan aku padanya meski hanya dapat menatap dia dari jauh sahaja. Aril..
andai kau tahu rahsia hatiku, mahukah engkau menerima aku yang kurang
segala-galanya ini menjadi insan istimewa di hatimu?
......................................................................................................................................................
“ Ha? Seriously??!!
Syafa tak tipu Aira kan??”
Anggukan Syafa
membuktikan bahawa dia benar-benar serius dengan kata-katanya. Aku diam di
tempat dudukku. Seakan tidak percaya dengan apa yang dikhabarkan oleh teman
rapatku itu.
“ Tapi macam mana
Syafa boleh..”
“ Syafa dah jatuh
hati pada dia sejak pertama kali jumpa dia. Syafa pun tak pernah sangka yang
Syafa akan jatuh cinta pada dia. Aira.. nak buat macam mana ni.. Aira pun tahu,
ni kali pertama Syafa jatuh cinta..”
Aku diam. Bukan aku
tidak pernah mengagak tentang perkara ini, tetapi aku hanya khuatir telahanku
tidak tepat, dan kini, empunya diri sudah mengaku segalanya kepadaku. Memang
aku tidak silap menduga Syafa punya rasa terhadap dirinya!
“ Tapi kenapa Syafa
tak beritahu Aira dari dulu lagi? Kenapa Syafa ambil masa yang lama untuk
berterus-terang dengan Aira?”
Syafa tunduk. Aku
tahu, dia rasa bersalah kepadaku. Bersalah kerana telah menyembunyikan
perasaannya dari pengetahuanku. Tapi, aku yakin dia punya alasan sendiri atas
tindakannya itu.
“ Syafa minta maaf,
Aira. Silap Syafa sebab tak berterus-terang dari dulu. Syafa takut apa pula
kata Aira kalau Syafa beritahu benda ni pada Aira. Syafa takut Aira..”
“ Aira apa?”
“ Aira ada perasaan
pada dia juga!” Nah! Itulah sebab mengapa dia melindungi rasa hatinya kepada
jejaka itu daripada pengetahuanku! Kerana dia khuatir aku juga punya rasa yang
sama!
“ Kenapa Syafa boleh
fikir macam tu?”
“ Sebab Syafa selalu
perasan.. Aira selalu pandang dia. Aira kan teman dia, dan Aira terlebih dahulu
kenal dia. Tak mustahil Aira pun ada perasaan pada dia, kan?” kata-kata Syafa
menebak jantungku. Rupa-rupanya ada orang lain
yang perasan akan pandangan mataku kepada jejaka tersebut, tetapi cuma
telahannya tidak tepat!
“ Syafa.. Syafa salah
faham,”
“ Apa maksud Aira?
Selama ni Syafa selalu tengok Aira pandang ke arah group mereka. Mustahil Aira
tengok Kayrul pulak kan? Aira tak pernah berkawan dengan dua orang lagi tu.
Kawan Aira cuma dia kan dalam group tu?”
Aduh! Bagaimana aku
harus ceritakan segalanya kepada gadis ini? Adakah ini waktu yang paling sesuai
untuk aku kongsikan rasa yang ada buat lelaki itu kepada temanku ini? Aku
benar-benar keliru. Tidak berterus-terang bermakna aku akan membiarkan Syafa
terus salah sangka. Jika aku meluahkan, aku bimbang lain jadinya.
“ Syafa minta maaf,
Aira.. Kalau Syafa tahu Aira pun ada perasaan pada dia, sungguh! Syafa takkan
jatuh cinta dengan dia! Syafa minta maaf sangat-sangat..”
“ Syafa, bukan salah
Syafa kalau Syafa jatuh cinta pada dia. Lagipun, Syafa yang terlebih dulu
sukakan dia. Aira sendiri tak boleh halang kalau perasaan tu ada dalam hati
Syafa,”
Jelas di mataku
kesedihan yang Syafa tanggung. Mungkin dia tidak menjangka aku juga punya rasa
yang sama pada lelaki yang dikasihinya.
“ Tapi, memang Syafa
salah faham. Aira memang tengok ke arah kelompok mereka selama ni. Tapi
pandangan Aira bukan pada Muaz..”
“ Ha?! Maksud Aira??”
“ Aira sukakan kawan
kepada Muaz..”
“ Aril?”
Sungguh pantas gadis
ini meneka. Aku melepaskan keluhan, seraya mengangguk perlahan. Jika tadi aku
melihat wajah itu suram, tetapi kini wajahnya kembali ceria. Mungkin gembira
kerana kami menyukai orang yang berbeza.
“ Alhamdulillah..
takut betul Syafa kalau Aira betul-betul suka dekat Muaz tadi..”
“ Kenapa, takut Aira
masuk line dulu sebelum Syafa ek..”
“ Aira ni! Memandai
je..”
Kami sama-sama
ketawa. Akhirnya, rahsia hatiku bocor jua. Jika dulu, rasa hatiku itu aku
simpan sendirian, kini tidak lagi. Sudah ada Syafa yang dapat aku kongsikan segala
rasa tentang lelaki itu!
......................................................................................................................................................
Semenjak aku suarakan tentang Aril
kepada Syafa, perasaanku kian tak tentu hala. Entah kenapa, aku rasakan
perasaanku kepada lelaki itu kian dalam. Kata Syafa, mungkin kerana selama ini
aku memendam sendirian. Dia juga merasakan perkara yang sama setelah rasa
hatinya tentang Muaz disuarakan kepadaku. Tetapi.. aku sememangnya tidak mahu
perasaan ini kian dalam. Aku takut kecewa. Ya, mungkin Aril tidak tahu tentang
perasaanku, tetapi aku tidak langsung bersedia andai kata dia bersama dengan
yang lain. Ah, pasti cemburu itu akan hadir jua, bukan?
“ Aira.. Syafa
rasalah kan.. Syafa nak lupakan je perasaan Syafa pada Muaz tu,” ujar Syafa di
suatu hari. Aku tersentak, tidak menjangka dia akan membuat keputusan sebegitu.
“ Kenapa pula?”
“ Sebab Syafa rasa
bodoh. Bodoh sebab menyukai seseorang yang Syafa sendiri tak pasti hatinya
untuk siapa. Syafa tak nak cinta Syafa tak berbalas. Sebelum perasaan cinta
Syafa pada dia makin dalam, mungkin lebih baik Syafa lupakan dia.. Kan?”
Aku terkedu mendengar
bicara Syafa. Seakan kata-katanya terkena batang hidung sendiri. Masakan tidak,
aku juga mengasihi lelaki yang tak pernah ku ketahui rahsia hatinya. Sudah
berpunya kah dia? Bagaimana keluarganya? Ah, semua itu masih tinggal persoalan
bagiku!
“ Tapi Syafa yakin ke
Syafa boleh lupakan dia? Syafa tahu kan, first love tak mudah untuk dilupakan?
Apatah lagi first love at the first sight. Syafa, dah 10 bulan Syafa suka kat
Muaz, dah 10 bulan Syafa diamkan perasaan Syafa, Syafa nak mengalah macam tu
je? Kenapa Syafa tak tebak dulu hati Muaz? Mana tahu, mungkin dia pun ada
perasaan yang sama??” aku cuba memberi keyakinan meski aku tahu, Muaz bukan
lelaki yang mudah bercinta.
“ Syafa tahu..
tapi..”
“ Syafa, Syafa lebih
tahu perasaan Syafa. Kalau benar itu yang terbaik yang Syafa boleh lakukan
untuk diri Syafa, Aira tak halang. Tapi, jangan pula Syafa menyesal suatu hari
nanti,”
Syafa senyum. Dia
menggenggam erat jemariku. Aku membalas senyuman itu.
“ Aira pula?”
“ Maksud Syafa?”
“ Aira tak nak cuba
tahu hati Aril ke?”
Aku tersentak. Tidak
menjangka kisah aku dan Aril turut diheret sama dalam cerita ini. Aku hanya
eleng kepala. Bukan aku tidak mahu, tetapi seperti yang aku katakan sebelumnya,
aku tidak sanggup kecewa. Cukuplah aku kecewa dahulu. Kecewa dengan cinta yang
tidak kesampaian. Memang Aril bukan cinta pertamaku seperti mana Muaz di dalam
hati Syafa, tetapi kehadiran Aril buat aku percaya kembali pada cinta meski aku
hanya mampu mengasihinya dalam diam.
“ Aira?”
“ Banyak perkara
tentang diri Aril yang Aira tak tahu. Apa yang Aira pasti, Aril dah ada
kekasih. Itupun lepas Aira baca post di FB dia beberapa bulan yang lepas. Aira
dah cuba berusaha untuk melupakan Aril, tapi ternyata ia amat payah. Semakin
Aira cuba lupakan, semakin kuat perasaan itu datang. Aira tak kuat untuk hadapi
kekecewaan. Aira dah tak mahu terluka. Kisah silam Aira buat Aira takut,”
“ Aira, perasaan itu
kan anugerah daripada Allah. Aira tahu kan, Aira tak boleh elak semua tu?”
“ Ya, Aira tahu. Aira
masih berdoa, masih berusaha memohon pada Allah supaya Allah berikan Aira
petunjuk. Jika benar Aril tu bukan untuk Aira, Aira pohon pada Allah supaya
jauhkan perasaan ini daripada Aril, tapi.. jika Allah tetapkan yang Aril itulah
sebenarnya jodoh yang tercipta buat Aira, Aira mohon pada Allah agar DIA
peliharakan perasaan ini sampailah tiba masanya nanti,”
“ Aira nampak lebih
matang bila bercakap soal cinta, “ ujar Syafa. Aku senyum.
“ Pengalaman banyak
mendewasakan Aira, Syafa. Aira pernah kecewa dengan lelaki. Jadi, sekarang Aira
lebih berhati-hati dengan insan bernama lelaki ini..”
“ Andai suatu hari
nanti, Aril datang membawa cinta, Aira terima?” aku senyum. Tidak pernah aku
memikirkan kemungkinan itu.
“ Jodoh tu rahsia
Allah, Syafa. Tapi, andai Aril datang bersama cinta buat Aira, Aira pasti akan
terima, insyaAllah, tapi itupun lepas dia lulus ujian daripada abah dan ummi
Aira..”
Kami saling ketawa.
Benar, jodoh itu rahsia Allah. Andai benar seperti yang Syafa katakan itu,
insyaAllah, aku akan menerima Aril sebagai Adamku, bakal imamku. Telah aku
panjatkan doa kepada Sang Pencipta segala rasa ini agar dipeliharakan hatiku,
agar aku tidak jatuh cinta kepada orang yang salah lagi. Biarlah cintaku ini
hanya untuk cinta terakhirku di dunia ini. Cinta buat dia yang akan memimpinku
ke syurga cinta Allah yang Satu..
......................................................................................................................................................
Aku dan Syafa
sama-sama terkedu. Berkali-kali aku melihat mesej di skrin telefon. Benar,
memang ia bukan mimpi! Muaz sudahpun mengetahui rahsia hati Syafa! Allah..
“ Aira, apa kita nak
buat ni? Mesti Syafa malu nak jumpa Muaz lepas ni..”
“ Sabar, Syafa. Muaz
tak kata apa-apa pun, kan? Dia cuma mengagak. Dia sendiri tak pasti betul ke
tidak, kan?”
Aku cuba menenangkan
hati temanku itu. Entah di mana silapnya, suatu hari Syafa tersilap menghantar
mesej yang sepatutnya dihantar kepadaku di ruang bual FB milik Muaz. Dan kini,
lelaki itu cuba mengorek rahsia tentang diri Syafa daripadaku. Aku jua seperti
Syafa. Terperanjat dengan semua ini!
“ Tapi, dah sah-sah
memang dia tahu, kan? Siap boleh tanya, betul ke Syafa Alieya minat kat aku?”
Syafa mengulang mesej yang dihantar Muaz kepadaku. Aku angkat bahu. Tidak punya
jawapan untuk soalan itu.
“ Aira..”
“ Kalaupun Muaz tahu,
apa salahnya Syafa? Sekurangnya, Syafa akan lega sebab dia dah tahu perasaan
Syafa pada dia,” mulutku lancar berkata-kata.
“ Aira! Apa boleh
cakap macam tu. Memanglah benda ni biasa. Tapi Syafa khuatir apa tanggapan dia
pada Syafa lepas ni..”
“ Tak apa, Syafa.
Nanti Aira minta dia rahsiakan hal ni daripada pengetahuan siapa pun termasuk
kawan-kawan dia, okey?” aku memberi jaminan. Syafa angguk dalam keterpaksaan.
Petang itu, pensyarah
kami tiba-tiba membuat kelas ganti. Mujurlah aku dan teman yang lain awal-awal
lagi berkampung di perpustakaan untuk menyiapkan tugasan kami, jika tidak,
pasti memakan masa untuk hadir ke kelas. Dewan kuliah yang mampu memuatkan 200
orang pelajar itu masih lengang. Dr. Syed sudahpun berada di hadapan. Ketika
itu jugalah kelibat teman-teman Muaz, dan pastinya Aril juga ada di kelompok
tersebut kelihatan dari muka pintu. Mereka mengambil tempat tidak jauh daripada
kelompok kami.
“ Aril tu..”
“ Syyhh..” aku
menjeling Syafa di sebelah.
Sedang asyik aku
mencoret sesuatu di dalam buku sementara menunggu kuliah dimulakan, terasa ada
seseorang yang memerhatikanku. Aku mengangkat wajah, dan berpaling ke arah
sana. Ke arah dia yang sudah berjaya membuka pintu hatiku. Nah! Terkedu aku di
saat itu. Terus aku larikan pandangan ke hadapan tatkala sepasang mataku
bertembung dengan matanya yang juga sedang memandang ke arah kami. Dia juga
melarikan pandangan ke arah lain tika itu. Dap! Dup! Dap! Jantung ini berlagu
kencang. Allah.. apa yang aku alami sekarang ini? Tidak pernah aku alami semua
ini dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Allah.. tolong tenangkah hati ini..
Jangan biarkan debaran mengganggu diri.
“ Kenapa Aira?”
soalan Nurain aku jawab dengan elengan. Tidak mahu dikesan.
“ Habis tu kenapa
muka Aira merah je?”
Nah! Di situlah
kelemahanku. Kata teman-temanku, wajahku tidak akan mampu melindungi apa yang
ada dalam fikiranku. Semuanya akan terserlah di saat itu. Saat aku berkecil
hati, marah atau sedih. Wajahku akan muram. Dan jika aku malu, pasti wajahku
akan berubah menjadi kemerahan. Aduh!
“ T.. tak ada
apa-apa..!” aku tunduk. Allah.. getaran ini benar-benar menggangguku.
Usai kelas jam 7.30
malam, kami berlalu ke surau. Aku hanya menunggu di luar memandangkan aku
mendapat cuti. Saat itu juga Aril dan teman-temannya melintas kawasan yang aku
duduki untuk ke surau lelaki yang terletak berdekatan. Aku hanya mampu tunduk.
Tidak sanggup rasanya bertentang mata setelah eksiden sebentar tadi.
“ Aira, dah! Jom
balik!”
Mendengar kata-kata
Fatiha, aku bangkit dari duduk dan menyertai mereka. Kami harus melalui surau
lelaki jika ingin ke pintu utama. Ketika itu, Aril dan temannya juga sudah
selesai mengerjakan ibadat wajib itu. Segan terasa untuk melintas di situ,
tetapi memandangkan hanya itu jalan yang ada, aku gagahi diri. Sekali lagi, aku
tunduk memandang lantai saat terperasan pandangan mata Aril ke arahku. Tetapi,
kali ini aku berusaha menidakkan dengan mengatakan bahawa dia sebenarnya
melihat ke arah Syafa. Ah, pandai sungguh aku memujuk hati!
“ Aira, Aira..” aku
berpaling ke arah Nurain.
“ Kenapa Ain?”
“ Aira.. tadi kan..
Ain perasan Aril duk pandang Aira..”
Aku tersentak. Syafa
di sisiku jelas terkejut. Nurain pula dengan wajah seriusnya. Mungkin untuk
meyakinkan kami yang dia berkata benar.
“ Hahaha. Biar betul
Ain ni. Nak buat apa dia pandang Aira?”
“ Manalah Ain tahu.
Pergilah tanya dia kenapa dia pandang Aira..” selamba sahaja jawapan yang
keluar dari mulut gadis tinggi lampai ini.
“ Bila Ain nampak?”
“ Baru je tadi. Time
kita lalu depan diorang,”
Nyata, mataku tidak
menipu. Memang benarlah dia memandang aku tadi, dan aku yang malu, terlebih
dahulu menundukkan wajah. Ya Allah.. apakah maksudnya?
......................................................................................................................................................
Kelas Prof. Aman berakhir setelah
jam menginjak ke angka 12.50 tengah hari. Kesejukan menyengat diri. Walaupun
sudah dua semester belajar dalam bilik yang berhawa dingin, aku masih tidak
mampu menyesuaikan diri. Mudah saja selsema datang apabila perubahan cuaca
berlaku. Almaklumlah, tubuhku ini sudah 21 tahun berada dalam suasana kampung,
dan apabila didedahkan dengan perubahan cuaca pasti aku akan berdepan dengan
masalah seperti ini.
“ Aira, kami pergi
dulu lah ye! Nanti lambat ke kelas pula! Bye!”
Aku melambai tangan
ke arah Nurain dan Syafa. Jadual kami pada petang ini tidak sama. Kelas Syafa
dan Nurain di blok 9, manakala aku dan Fatiha di blok 7. Dekat dengan kelas
Prof. Aman. Aku memandang sekeliling. Wajah Fatiha masih belum kelihatan di
mana-mana. Memikirkan kemungkinan dia masih berada di dalam kelas, aku
melangkah kembali ke sana.
Pintu kelas E-12 aku
buka. Terasa darah hangat menyerbu muka saat melihat insan-insan yang berdiri
di hadapanku tika itu. Sekali lagi, jantungku berdegup lebih laju daripada
biasa. Pantas aku menundukkan wajah, sambil tangan terus membuka pintu untuk
mereka yang ingin keluar. Aku perasan akan ketawa kecil yang keluar dari mulut
mereka, tetapi aku sendiri tidak pasti ia keluar daripada mulut siapa. Pintu
itu terus aku pegang, sehinggalah terasa ada yang menolaknya dari arah berbeza.
Aku angkat wajah.
“ Eh, apa kau buat
kat sini Aira?”
Aku sengih kepada
Fatiha. Mukaku sudah terasa panas sedari tadi. Teringat kata-kata Nurain
tentang perubahan wajahku yang akan ketara apabila aku malu.
“ A..a..aku tunggu
kau!” laju saja mulutku menjawab.
“ Dia tunggu kau ke,
Tiha? Aku ingat dia jadi ‘jaga’ pintu tadi,” Kayrul mengusik. Aku hanya
membisu. Wajah tetap aku tundukkan.
“ Pemalu juga kawan
kau ni, Tiha. Muka blushing semacam je.. Kenapa, Aira?” usik Safuan pula. Aku
gigit bibir. Keterlaluan sangatkah perubahan warna di wajahku?
“ Ti.. Tiha! Jomlah.
Lambat pula ke kelas nanti. Dah lah panas ni..”
“ Oo.. panas
rupanya!”
Aku menjeling ke arah
Muaz. Mahu saja aku sepak kakinya itu! Bersekongkol dengan yang lain untuk
mengusikku! Memang aku tahu alasan yang aku berikan itu tidak logik. Masakan
duduk di dalam kelas berhawa dingin tiba-tiba boleh menjadi panas? Itu panas
hati namanya!!
“ Aira je ke nama
dia? Kenapa pelik?” aku dengar Kayrul bertanya.
“ Aira Fittiya. Kau
tanyalah bapak dia sebab apa bagi nama pelik,”
“ Tapi nama tu
unik..” suara itu kedengaran. Degup jantungku yang baru ingin kembali normal,
mula kencang lagi.
“ Amboi.. kau Aril..”
selepas itu ketawa mereka kedengaran. Aku memejamkan mata. Perasaan indah
menyelinap ke dalam jiwa.
“ Aira! Tercegat apa
kat tengah panas tu?!” Fatiha menjerit lantang. Aku gigit bibir. Terdengar
ketawa lagi dari belakang. Seronok ketawakan akulah tu!
Semenjak daripada
peristiwa di kelas suatu ketika dahulu, perasaan maluku kepada Aril makin
menebal. Apabila kami terserempak, aku akan menundukkan kepala, dan tika itulah
jantungku akan bergerak lebih kencang daripada biasa. Hanya dengan dia. Dengan
lelaki lain, tidak pula aku rasakan semua itu. Jika bersua muka sudah mampu
untuk membuat aku tunduk malu, apatah lagi seandainya kami diberi peluang untuk
berbicara. Ah, adakah ini juga penangan cinta? Aku sendiri tidak pasti dengan
perasaan sendiri. Kata Syafa ketika perkara ini aku suakan kepadanya, dia hanya
ketawa.
“ Aira, nanti obvious
sangat Aira tu suka kat dia. Syafa suka kat Muaz pun tak ada pula sampai macam
tu sekali..”
“ Itulah masalahnya..
Aira bimbang nanti dia perasan pula yang Aira ni suka dekat dia,”
“ Bukan memang Aira
suka ke?”
“ Syafa!” Syafa
ketawa.
“ Dulu, dengan bekas
pakwe Aira, tak adalah pula Aira rasa macam ni. Langsung tak ada rasa berdebar
bila tengok muka dia, bercakap dengan dia pun sama. Tapi, dengan Aril lain.
Aira malu sangat-sangat. Syafa, macam ni...”
“ Aira selalu kata
kat Syafa, kalau hati kita tak pasti, cuma ada satu jalan untuk kita selesaikannya..”
Syafa menunjukkan jari telunjuk ke atas. Aku mengerti maksudnya.
“ Ya, Aira tahu, dan
sehingga sekarang Aira masih berdoa pada Allah. Tapi, Aira masih tak temukan
jalan. Aira buntu sangat sekarang. Syafa, Aira takut.. Aira takut perasaan Aira
ni akan buat Aira alpa. Syafa pun tahu, Aira dalam proses berubah ke arah yang
lebih baik sekarang. Aira takut, sebab terlalu fikirkan perasaan ini, Aira akan
leka sampai Aira lupa pada janji yang Aira buat pada diri dan ALLAH..”
Syafa senyum. Aku
memejam mata. Cuba mencari secalit ketenangan. Semenjak aku bergelar mahasiswi,
fikiranku juga berubah ke arah dewasa. Apa yang aku sedari, sejak aku mengenali
Aril, aku juga telah menjaga pandanganku dengan lelaki bukan muhrim. Tidak
salah jika aku katakan bahawa Aril Ridzuan juga penyebab aku berubah untuk
menjadi seorang muslimah yang lebih baik. Dahulu, aku tidak segan untuk
bergurau senda dengan lelaki, tidak malu untuk bersembang dengan mereka, tetapi
kini, aku sedaya upaya menjaga batas pergaulanku dengan lelaki. Perasaan itu
timbul secara sendiri. Saat itu, hanya air mata yang mengalir di pipi. Betapa
aku bersyukur dengan segala yang Allah berikan kepadaku tika itu, dan aku
sendiri sedar bahawa masanya sudah tiba untuk aku memperbaiki diri ke jalan
yang lebih diredhai Allah.
Kehadiran Aril
mencorakkan perubahan ini. Ditambah pula dengan azamku sendiri yang tika
melihat perempuan bertudung labuh, menerbitkan rasa ngilu di hati. Aku malu
dengan diri sendiri. Ya, mungkin bertudung labuh tidak bermakna mereka itu baik
dari segala segi, tetapi sekurangnya mereka berusaha menutup aurat mereka
daripada bukan ajnabi. Aku juga ingin menjadi sebahagian daripada mereka. Kini,
aku mengenali stoking kaki, stoking tangan, ‘inner’, dan sebagainya, tetapi aku
masih belum bersedia untuk bertudung labuh kerana bimbang perubahan itu akan
sementara cuma. Biarlah aku berubah perlahan-lahan.
“ Dah sampai mana
Aira?” soalan Syafa membuat aku kembali ke dunia realiti. Aku hulurkan senyuman
kepadanya.
“ Aira, hati kita
milik Allah. Perasaan kita, milik Allah juga. Allah takkan titipkan perasaan
itu kalau DIA tahu perasaan itu akan melalaikan kita. Allah juga takkan berikan kita dugaan kalau DIA tahu kita tidak
mampu untuk menghadapinya. Mustahil Allah akan menganiyai umatNYA, kan? Ini
yang selalu Aira katakan dekat kami, dan Aira lebih arif tentang hati dan
perasaan daripada kami. Syafa pasti, dan Syafa yakin, Aira mampu menghadapinya.
Kuatlah sahabat, kami ada di sisimu..”
Tangan Syafa aku
genggam erat. Sungguh aku gembira mempunyai sahabat seperti mereka. Mereka
sentiasa ada di sisi saat aku terasa rindu pada keluarga. Antara kami tiada
rahsia. Kami seperti adik-beradik, berlainan ibu bapa, tetapi terpaut ukhwah
itu kerana keikhlasan yang menjalar di jiwa. Allah, pelihara hubungan kami agar
ia kekal hingga ke akhir hayat ini..
.....................................................................................................................................................
“ Ya Allah.. Ya Tuhanku. Pencipta
Sekalian Makhluk. Yang Menitipkan rasa cinta dalam hati setiap makhluk. Ya
Allah, aku pohon.. andai dia itu jodohku, Engkau peliharalah hati kami agar
kami tidak leka dengan cinta yang telah Kau pinjamkan buat kami. Andai dia
tercipta buatku, Engkau berikanlah aku petunjuk agar aku tidak lagi lelah dalam
pencarianku ini. Agar aku tidak berharap pada insan yang salah. Ya Allah,
tetapi andai telah Engkau tetapkan bahawa dia itu bukanlah Adam yang diciptakan
buatku, aku pohon, jauhkan hatiku dari rasa ini. Peliharalah aku dari rasa yang
tidak pasti.
Duhai Sang
Penciptaku.. aku mohon, Engkau yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Oleh
itu, aku mohon, Engkau tetapkanlah hatiku hanya buatMu. Biarlah cintaku hanya
bersemadi buatMu. Lindungi aku daripada tipu daya syaitan. Jauhi aku dari
permainan dunia. Pelihara hatiku, ya Rabb. Pelihara jiwaku. Pelihara jua
tingkahku, dan peliharalah jua diriku. Engkau yang Satu. Tiada Tuhan selainMu.
Engkau Penciptaku. Amin ya Rabbil Alamin..”
Usai berdoa, aku
menyembam muka ke atas sejadah. Sungguh, hatiku terasa keliru. Hatiku rasa
sakit sekali. Setiap kali berdoa, pasti itu jua akan aku pinta. Ya, aku mahu
jawapan yang pasti. Aku tidak mahu terus dihuni rasa yang tidak pasti. Rasa itu
terlalu sakit untuk aku alami. Benar, mustahil Allah akan menganiyai umatNya.
Aku tahu itu. Dan aku akan tidak pernah putus asa dalam memohon petunjuk
dariNya..
Malam itu, perjumpaan
diadakan antara pelajar batch kami. Seawal jam 9 malam, aku, Syafa, Nurain dan
Fatiha sudah berada di dalam Dewan Anjung Mutiara. Aku lebih selesa memilih ber
‘skirt’ labuh dengan baju muslimah berbanding kawan-kawanku yang selesa dengan
pakaian kasual. Kami duduk di atas lantai sahaja memandangkan ia bukanlah
perjumpaan rasmi. Pengerusi kami, Adam memulakan mesyuarat dengan Ummul Kitab
dan doa pembuka majlis. Mesyuarat berjalan seperti biasa. Satu jam kemudian,
Nurain mula gelisah. Begitu juga
dengan Syafa.
“ Korang kenapa?”
bisikku.
“ Ain dengan Syafa
kan ada meeting rakan kolej pukul 10. Lewat dah ni..”
“ Minta izin
keluarlah. Bukan Adam marah pun,” aku memberi cadangan.
“ Boleh ke?” aku
angguk.
Mereka berdua
akhirnya berlalu setelah Adam memberikan kebenaran. Aku pula yang jadi gelisah.
Bukan kerana aku juga ada mesyuarat, tetapi kerana sedari tadi aku perasankan
ada mata yang mencuri pandang ke arahku. Tetapi, aku cuba untuk berfikiran
positif. Seperti biasa, aku menganggap ia hanya anggapanku. Mana mungkin dia
memerhatikanku, bukan?
“ Aira? Ada apa-apa
masalah ke?” aku terkedu dengan pertanyaan Adam. Aku memandang sekeliling.
Semua sedang memandang ke arahku. Tika itu jugalah aku sempat menangkap
pandangan Aril ke arahku.
“ Er.. Ai.. Aira ada
meeting!” hanya itu sahaja alasan yang dapat aku berikan untuk mengelak
daripada dikesan tidak memberikan tumpuan.
“ Dah tu, kenapa tak
cakap dari tadi? Duk diam je kat situ buat apa? Pergilah. Nanti lambat pula,”
aku senyum ke arah Adam tanda mengucapkan terima kasih. Pantas aku bangkit, dan
tanpa memandang sesiapa, aku terus berlalu meninggalkan Fatiha yang pastinya
tercengang kerana pastinya dia tertanya-tanya tentang mesyuarat yang aku
katakan tadi.
“ Sekali lagi.. saya
mengesan sesuatu yang tidak kena.. Hmm..”
Nurain bersuara
ketika kami sedang duduk menjamu selera. Fatiha tidak turut serta. Hanya kami
bertiga. Aku, Syafa dan dia.
“ Apa pula kali ni,
Ain?”
“ Ingat tak, malam
meeting hari tu?” Syafa aku lihat terangguk-angguk. Aku hanya menyedut jus epal
dengan straw tanpa mempedulikan perbualan tersebut.
“ Ain perasan Aril
asyik pandang Aira laaa..”
Tersedak aku tika
itu. Syafa sudah menghulurkan tisu. Nurain pula menepuk-nepuk belakang badanku.
“ Apa Ain cakap ni?
Mengarutlah..”
“ Eh.. betul apa..
Ain tak tipu. Meeting kali pertama pun macam tu tau! Ain kan duduk sebelah
Aira. Mungkin Aira tak perasan waktu tu. Aira duk termenung je kan.. Ain
terpandang dia tengah pandang Aira. Lepas tu, dia senyum. Kali kedua pun macam
tu,”
“ Ain confirm ke dia
tengok Aira?” soal Syafa. Aduh! Perbualan tentang Aril lebih menarik perhatian
mereka daripada makanan yang terhidang di hadapan mata.
“ Betul! Ain serius.
Ain memang confirm 200% yang dia tengok Aira. Kenapa, ada sesuatu yang Ain tak
tahu ke ni? Aira couple dengan dia ke?”
Sekali lagi aku
tersedak. Mereka mengulangi perbuatan yang sama. Seorang memberikan aku tisu, dan
seorang lagi menepuk belakang badanku. Mahu saja aku cubit lengan si Nurain
ini. Bercakap langsung tak pandang kanan kiri.
“ Jangan nak
mengarut! Dah, makan!” aku cuba mengakhiri sesi temubual tersebut. Bimbang
seandainya Nurain dapat menangkap perubahan wajahku.
“ Yalah tu.. Kalau
tak betul, takkanlah muka Aira tu dah merah..” untuk kesekian kalinya, aku
terbatuk. Memang nak kena si Nurain ini!
“ Asyik tersedak je
Aira ni.. Ada orang sebut ke? Hahahaha,” Syafa mula mengusik.
“ Kenapa Syafa? Betul
ke apa yang Ain teka?”
“ Aira, baik kita
cerita dekat Ain. Kesian pula dia terus berteka teki. Dia sajalah orang yang
perasan yang si Aril tu asyik pandang Aira.. Boleh, kan?”
Nurain sudah mula
membuat muka kasihannya. Syafa mengulum senyum saat aku mengangguk. Ya, Nurain
juga perlu tahu. Tetapi, cukuplah ia rahsia antara kami bertiga dan Allah. Aku
hanya termenung tika Syafa rancak bercerita tentangku dan Aril. Sekali sekala
Nurain menepuk-nepuk bahuku. Aku hanya diam. Berfikir tentang apa yang
dikhabarkan oleh Nurain sebelumnya. Jika benar semua itu, ia bermakna mataku
tidak tersilap mentafsir. Atau mungkin kerana hatiku yang cuba menidakkan semua
itu?
......................................................................................................................................................
Syafa dan Muaz mengambil keputusan
untuk berkawan sahaja. Itu yang dikhabarkan Syafa sendiri kepadaku. Kata Syafa,
Muaz belum bersedia untuk punya hubungan cinta, dan seandainya jodoh itu milik
mereka, pasti mereka akan bersama juga nanti suatu hari. Tetapi, daripada
kata-kata itu, aku dapat merasakan yang Muaz juga sebenarnya punya perasaan
yang sama kepada Syafa, mungkin kerana dia belum bersedia yang menyebabkan dia
mengambil keputusan seperti itu.
Aku dan Aril? Kisah
kami masih belum menemui titik noktahnya. Sehingga kini, aku sendiri tidak
pasti akan perasaannya kepadaku. Tetapi, khabar yang dititipkan Muaz buatku
ialah Aril sudah berpunya. Entah.. Aku sendiri tidak pasti dengan tingkahnya
sebelum ini. Cuma..aku hanya mampu berharap yang terbaik untuk kami. Andai
Allah menetapkan hubungan kami juga akan terjalin seperti mana Syafa dan Muaz,
aku terima seadanya. Itulah yang aku belajar tika hati mula terbuka untuk jatuh
cinta lagi. Masa laluku sudah lama berlalu. Masa silam yang penuh dengan kisah
duka, yang membuat kepercayaanku kepada lelaki pudar. Tetapi, pertama kali
mengenali Aril, hatiku yang tertutup rapat untuk menerima cinta, terbuka
kembali. Mungkinkah ia petanda? Atau hanya dugaan Allah dalam menguji keimananku
cuma? Yang pasti.. aku akan terus setia menanti. Menanti sehingga Allah
hadirkan bakal imamku. Dia yang bakal menjadi pemimpin buat keluargaku. Yang
bakal menjadi abah buat anak-anakku. InsyaAllah.. bila tiba masanya nanti, akan
aku hulurkan kisah bahagia kami untuk dikongsi bersama.
“ALLAH.. seandainya
telah Engkau tetapkan bahawa dia tercipta untukku, aku pohon, satukanlah hatiku
dengan hatinya di bawah lembayung rahmatMu. Aku pohon, KAU limpahkan jua
kurniaMu kepada kami. Peliharalah hati kami agar kami tetap mencintaiMU lebih
dari segala-galanya.. Tetapi.. andai telah Engkau tetapkan bahawa dia bukanlah
insan yang tercipta buatku, aku pohon, jauhkanlah hatiku dari terus mencintai
dirinya. Peliharalah hati kami agar kami tidak terjatuh dalam lembah cinta
pura-pura. Peliharalah jiwa kami sehingga hadirnya dia yang tercipta buat kami
dalam membawa kami menuju ke syurga cintaMu, ya Rabb..”
Cinta itu indah
bukan? Lebih indah andai kita titipkan rasa cinta kita kepada seseorang itu dengan
rasa cinta kita kepada yang mewujudkan perasan cinta tersebut. Cinta kepada
Allah itu sesuatu yang amat sempurna. Cinta yang mampu membuat hati gundah jadi
tenang. Cinta yang mampu membuat jiwa terluka menjadi bahagia. Ya! Hanya CINTA
kepada NYA.. Cinta kepada manusia sesuatu yang tak pasti. Cinta kepada ALLAH,
Rabbul Izzati, sesuatu yang abadi.. ^_^
No comments:
Post a Comment