Aku merenung
pemandangan di hadapan. Sehingga kini rasa itu tidak pernah pergi dari hati.
Bahkan rasa itu, semakin hari dirasakan semakin dalam. Aku sendiri tidak pasti
bagaimana rasa itu mampu menggoncang segenap jiwa gadis ini. Dan kenapa rasa
itu hanya ada pada lelaki itu? Bukan pada lelaki lain juga? Sudah puas aku mencari
jawapan kepada persoalan yang saban hari semakin mengganggu pemikiran. Ya!
Persoalan tentang lelaki bercermin mata itu!
“ Ya Allah.. Apakah
sebenarnya rasa yang sedang aku alami sekarang ini? Adakah perasaan itu bakal
menjadi milikku atau ia hanya satu mainan perasaan? Adakah rasa ini akan hilang
seiring waktu yang berjalan? Tetapi kenapa terlalu lama waktu yang aku perlukan
untuk menemukan jawapan? Ya Allah.. aku pohon, tunjukkan aku jalan.. Aku hanya
mahukan satu kepastian. Jawapan kepada persoalan yang sentiasa bermain di
fikiran. Jangan Kau biarkan rasa ini terus menggangguku, Yang Maha Penyayang.
Aku khuatir, aku akan leka dengan mainan perasaan sehingga aku alpa pada tujuan
kehidupan yang sedang aku titi sekarang.”
“ Jangan pernah putus
asa dengan Allah, Aira. Allah tidak akan mencipta perasaan itu tanpa sebab.
Allah tahu, Aira mampu untuk menghadapi ujian yang kecil ni. Bukankah dugaan
itu tanda Allah kasih dan cinta kepada seseorang? Bersyukurlah kerana menjadi
antara yang bertuah untuk merasa cinta Allah!” kata-kata Najwa, kawan seusrahku
terngiang-ngiang di telinga. Aku melepaskan keluhan kecil. Ya! Masakan Allah
ingin menganiyai hambaNya?
Dudukku dibetulkan.
Keindahan pantai yang terbentang luas di hadapan bagai menggamit ketenangan
yang sekian lama diimpikan. Anak-anak kecil kelihatan riang bermain di
pesisiran pantai, ditemani ibu bapa yang terkadang ketawa melihat telatah comel
permata hati mereka. Tidak terlepas untuk menyertai keseronokan itu ialah Aisya
Suhana sendiri. Sungguh terserlah keseronokannya bermain di tepi pantai,
berkejaran dengan kawan-kawan sekelasnya yang lain, tidak sepadan dengan
usianya itu. Sengaja aku membawa mereka keluar berjalan-jalan, untuk melepaskan
tekanan setelah hampir sebulan bertungkus-lumus dan bergelumang dengan
peperiksaan SPM yang baru tamat.
Aku merenung pantai.
Nun di hujung sana, sang matahari indah mula perlahan-lahan menyembunyikan
diri. Indah sekali pemandangan itu. Ciptaan Tuhan, penuh dengan keindahan yang
sering kali membuat kita kagum. Dan diri ini jua mengerti, perasaan yang
dialami olehku sekarang juga salah satu ciptaan Tuhan. Keindahan yang Allah
ingin berikan, tetapi dari sisi yang berbeza. Mungkin dulu aku memandang perasaan
itu sebagai suatu masalah untukku, tetapi kini aku sudah faham bahawa aturan Allah
itu lebih indah daripada segala-galanya. Syukur kerana rasa itu tidak pernah
melebihi perasaan cinta dan kasihku kepada Tuhan Pemilik segala Rasa. Dan
akhirnya, aku senyum sendiri.
“Assalamualaikum,”
terdengar suara seorang lelaki memberi salam. Aku tersentak. Pantas aku
berpaling ke arah suara itu.
“ Maafkan saya,
saudari. Boleh saya tahu, tempat duduk ini ada orang lain punya?” aku sedikit
menggelabah. Bukan kerana takut dengan lelaki itu, tetapi kerana aku tidak
selesa berbicara dengan orang yang tidak dikenali.
“ Er..er..” aku sudah bangkit
dari duduk.
“ Saudari?” dengan
mengumpulkan sedikit kekuatan, aku cuba bertenang. Terasa jantung berdegup
kencang. Menari tidak seperti kebiasaannya.
“ T.. tak ada,
duduklah. S.. saya pun dah nak pergi,” tanpa menunggu lebih lama, aku mula
melangkah, tetapi suara itu kedengaran lagi.
“ Terima kasih,
saudari.” aku hanya mampu menundukkan sedikit kepala saat terpandang senyuman
yang terukir di bibir lelaki itu.
“ Kenapa angah?” soal
Aisya tika melihat aku tiba-tiba berdiri di sisinya. Mungkin pelik melihat aku
yang agak resah.
“ T.. tak ada apa-apa.
An
gah bosanlah sorang-sorang dekat sana,” ujarku, sekadar menutup resah. Memandang
sekilas ke tempat duduk tadi, kelihatan lelaki itu mendukung seorang
kanak-kanak yang mungkin berumur lingkungan tiga tahun. Wanita di sisinya pula
hanya tersenyum.
‘ Mungkin pasangan
suami isteri’, itulah yang aku fikirkan.
……………………
Aku memandu kereta ke pekan. Ummi di
sebelah sedang leka mendengar alunan ayat-ayat Al-Quran daripada radio yang
dipasang.
“ Angah pernah terfikir
nak kahwin muda tak?” soalan ummi membuat aku tersentak. Langsung aku tidak
menjangka soalan itu akan terzahir dari bibir ummi.
“ Ke.. kenapa ummi
tanya macam tu?” ummi senyum.
“ Saja-saja tanya. Mana
tahu, kalau anak ummi ni dah ada pilihan hati, tapi tak berani nak
berterus-terang,”
“ InsyaAllah ummi.. Angah
sendiri tak berani nak letakkan harapan apa-apa, mi.. Biarlah Allah yang
menentukan segala,” ummi tersenyum. Aku sendiri tidak pasti untuk apa senyuman
itu diukirkan.
“ Ummi takkan halang
kalau dah ditakdirkan angah kahwin muda, tapi angah kenalah belajar asas rumah
tangga dulu. Hehehe,” ummi sudah ketawa. Wajahku sudah terasa panas. Pasti ummi
memerliku kerana hanya aku yang jarang ke dapur, menunjukkan skil yang satu
itu.
“ Ummi ni.. sempat
lagi!”
Setelah menurunkan ummi
di tepi jalan, aku mula mencari parking. Waktu-waktu begini memang susah untuk
mencari parking, ditambah pula dengan hari ini adalah hari giliran. Kereta Viva
kepunyaan abah aku parking di sebelah Perdana setelah hampir 20 minit mencari
tempat kosong. Ternampak ummi yang sedang leka memilih sayuran, aku bergerak ke arahnya.
“ Ummi, ada apa-apa
lagi nak dibeli ke?” aku pandang wajah ummi. Ummi senyum sambil mengangguk. Plastik
yang berada di tangannya aku ambil.
“ Ummi nak beli buah sikit,”
“ Kalau macam tu,
jomlah..” aku mendahului ummi ke gerai buah. Tibanya di sana, ummi leka memilih
buah-buahan. Aku pula hanya berdiri di satu sudut. Memandang perbuatan ummi.
“ Assalamualaikum..”
seseorang memberi salam. Aku berpaling. Bulat mataku melihat lelaki yang
berdiri di hadapanku. Lelaki sama yang aku temui di pantai dulu! Lelaki yang
membuat aku tiba-tiba diserang gelisah, dan hari ini, dia muncul lagi! Sekali
lagi membuat hatiku resah!
“A...apa..”
“ Salam tu wajib
dijawab,” pintasnya dulu. Aku mengerut dahi.
“ Waalaikumussalam..
Er.. maaf,” aku meninggalkan dia sendiri. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan
jika berlama-lama di situ. Ummi aku hampiri.
“ Angah kenapa?”
“ Tak.. tak ada
apa-apa,.” Langsung aku tidak berani berpaling ke arah lelaki itu. Bimbang jika
dia masih ada di situ, dan kegelabahanku pula akan terbongkar.
“ Angah dah kenal
Aryan?” soal ummi. Aku terpana. Aryan? Siapakah gerangannya? Segera aku
mengeleng.
“ La.. tak lagi ke?
Dari tadi dia ikut kita, angah tak sedar ke?” sekali lagi soalannya aku jawab
dengan elengan. Mana mungkin aku menyedarinya andai pandanganku ditundukkan?
“ Aryan..”
“ Ya, Mak Aya?” suara
itu! Aku sudah mengenali suara itu! Adakah dia..
“ Angah, inilah Aryan.
Aryan, ini Aira Fittiya, anak kedua Mak Aya,” ummiku berceloteh. Aku hanya
menundukkan wajah. Wajahku terasa panas. Ya Allah.. apa yang sedang aku alami
sekarang?
“ Selamat berkenalan,
Aira..” hanya suaranya yang masuk ke gegendang telingaku. Aku hanya mengangguk
kecil.
“ Ummi ada lagi yang
nak dibeli ke? Kalau tak, elok kita balik sekarang. Barang-barang pun angah tak
simpan lagi,”
“ Baiklah, terima
kasihlah Aryan, temankan Mak Aya tadi..”
“ Tak apa, Mak Aya.
Kereta letak mana? Biar Aryan bawakan barang-barang ni sampai ke kereta,”
“ Tak apa. Saya boleh
bawa,” kataku, cuba menolak. Aryan senyum kepadaku. Aku kembali tunduk.
“ InsyaAllah, tak
menyusahkan saya pun,” ujarnya. Akhirnya, Aryan mengekori aku dan ummi ke
kereta. Kebetulan lagi, kereta Perdana yang diparkir di tepi kereta abah itu
adalah keretanya. Ummi dan Aryan leka bersembang. Dan aku pula hanya berdiam
diri. Langsung tidak terfikir untuk mencelah.
“ Maaflah Aryan. Aira
memang begini. Dia pemalu sikit,”
“ Saya faham, Mak Aya.
Eloklah begitu daripada dia melabuhkan pandangannya kepada lelaki yang bukan
muhrim buatnya. Daripada dia meluahkan kata untuk lelaki lain. Biarlah ia terus
kekal buat bakal suaminya,” ujar Aryan. Wajahku memerah.
“ InsyaAllah.. semoga
Allah makbulkan,” sambung ummi.
“ Semoga berjumpa lagi,
Aira Fittiya. Assalamualaikum,”
Aku masuk ke dalam
kereta. Ummi juga sama. Nafasku tarik sedalam-dalamnya sebelum dihembuskan
perlahan. Ada debaran yang berkocak di jiwa. Apakah maknanya? Wajah itu seakan
tersenyum kepadaku. Beberapa kali aku beristighfar untuk mengusir bayangan itu.
‘ Ya Allah.. pelihara
hatiku..’
……......................................
Setelah seminggu
melabuhkan cuti di rumah, aku kembali bertarung dengan kertas-kertas. Masih ada
tugasan yang berbaki untuk disiapkan. Dalam kesibukan, ada rindu yang terukir
buat insan bernama Aril Ridzuan. Semester ini, kami tidak ditemukan dalam kelas
yang sama dan aku redha, kerana mungkin Allah ingin memelihara hatiku. Ya, memelihara
hatiku agar tidak leka!
Di saat rindu itu
hadir, ada khabar duka yang aku terima. Nyata, sangkaanku memang tepat. Aril
telah pun dimiliki oleh sang tunang yang sudah menambat hatinya sejak setahun
yang lalu. Dan untuk apakah setiap tingkahnya pada semester yang lalu? Atau ia
hanya sekadar tanggapanku cuma? Aku benar-benar buntu, lalu aku pendamkan semua
di sudut hati. Allah lebih tahu yang terbaik buatku. Biarlah rasa hatiku mati
sendiri.
“ Aira redha ke dengan
semua ni? Aira mampu ke terima yang Aril tu dah berpunya?” soalan Syafa aku
biarkan terbang dibawa angin pilu. Entah, aku sendiri tidak punya jawapan untuk
persoalan itu. ‘Ya Allah, redhakah aku dengan semua ini? Mampukah aku menerima
dugaan ini?’
“ Aira?”
“ Entahlah, Syafa.
Sejujurnya, Aira sendiri tidak pasti dengan hati Aira. Redha atau tak hati Aira
ni, semua dah pun berlalu. Aril dah pun jadi tunangan orang, dan mungkin inilah
jawapan yang Aira tunggu selama ni. Aril dan Aira bukan untuk satu sama lain.
Dan mungkin juga mata kita silap memandang.. Tingkahlaku Aril tu hanya dia dan
Allah saja yang tahu. Mungkin dia memandang orang lain, tetapi disebabkan
tumpuan kita pada dia, kita sangkakan pandangan dia pada Aira. Biarlah, Syafa.
Aira akan cuba sedaya upaya untuk menjadi redha. Doakan Aira, ya?”
Syafa senyum. Jemariku
digenggam erat. Mungkin dia sendiri mengerti akan perasaanku ini. Dan aku,
pastinya akan berusaha sehabis yang mampu untuk melepaskan semua rasa itu
pergi. Dan biarlah, aku terus menunggu dia yang tercipta untukku.
“ InsyaAllah, Allah
akan hadirkan yang terbaik untuk Aira. Bersabarlah selagi termampu. Bukankah
kesabaran itu akan terbalas dengan sesuatu yang lebih indah?” balas Syafa. Aku
membalas senyumannya. Ya, akan hadir yang terbaik buatku!
Di saat waktu berlalu,
aku meneruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar universiti. Sungguh,
semester ini benar-benar mengujiku. Menguji ketabahanku, menguji keimananku,
menguji kekuatanku dalam menjadi Muslimah sejati. Kini, aku benar-benar
bertudung labuh. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan segalanya. Hijrahku hanya
untuk kerahmatan-Nya. Cukuplah dengan kekhilafan yang telah aku lakukan di
suatu ketika dahulu. Dan semoga taubatku diterima oleh-Nya.
Aril Ridzuan? Dia masih
menjadi sebahagian daripada hidupku. Mana mungkin semudah itu aku mampu melupakan
dirinya? Mana mungkin sesenang itu kenangan bersamanya hilang dari tubir
mindaku? Ya, aku masih berusaha. Berusaha untuk menerima bahawa dia kini sudah
sah menjadi tunangan orang, dan jelasnya, aku harus mengundur diri. Membiarkan
semua kisah kami berlalu pergi. Allah.. bantu aku!
………………………………
Aku dan Syafa menuju ke
arah kedai makan berhampiran. Perut yang kosong, minta diisi itu sudah tidak
mampu aku tanggung lagi. Syafa sudah terlebih dahulu melintas jalan. Aku di
belakang agak terkial-kial dengan keadaan jalan raya yang agak sesak di waktu
puncak begini. Tika aku melintas jalan, entah apa yang menolak aku ke hadapan,
menyebabkan aku jatuh ke bahu jalan. Sakitnya tak terkira lagi! Saat itu
jugalah aku mendengar suara bising-bising di belakangku, dan orang yang berada
di kedai makan juga berlari ke arah sama. Aku berpaling. Terkejut aku tatkala
melihat orang ramai sedang mengerumuni sesuatu. Aku bangkit, dengan bantuan
Syafa yang sudah mendekatiku.
“ Apa dah jadi Syafa?”
“ Aira tak sedar ke ada
kereta bawa laju tadi? Lepas tu, ada orang yang tolak Aira ke depan. Syafa pun
tak tahu siapa dia,” aku dan Syafa melangkah ke arah kumpulan yang sedang
berkerumun itu.
“ Ya Allah! Aril!”
terjelupuk aku melihat sekujur tubuh terbaring kaku di atas jalan raya. Darah
keluar dari kepalanya. Lemah longlai aku merapati tubuh itu.
“ A.. Aril..” air
mataku turun laju tanpa dipinta. Sungguh, aku tidak menduga ini yang akan
terjadi. Kepala Aril aku pangku. Nafasnya tercungap-cungap.
“ A.. Aira..”
“ Aril, jangan cakap..
InsyaAllah, nanti ambulans sampai,” mutiara jernih di pipiku terusan membasahi
pipi. Ya Allah, selamatkan dia! Dia tidak berdosa!
“ Aril!” Muaz datang
mendekati. Aku tidak mampu mengalihkan pandangan. Di fikiranku hanyalah
keselamatan Aril. Aku tidak mahu apa-apa terjadi kepadanya semata-mata untuk
menyelamatkan aku!
“ Aira, sabar.. Diorang
dah call ambulans. Sekejap lagi sampai,” untuk apa Muaz menenangkan aku, aku
sendiri tidak tahu. Mungkin dia terkejut melihat aku yang teresak-esak melihat
Aril begitu. Sesampainya ambulans, Muaz awal-awal sudah menaiki ambulans untuk
mengiringi Aril ke hospital.
“ Muaz, Aira nak
ikut..” pintaku. Muaz hanya mengangguk. Mungkin memahami perasaanku saat ini.
Syafa menggenggam erat jemariku. Aku faham erti pandangannya kepadaku.
“ Syafa, Aira yang
sebabkan dia jadi macam ni, dan Aira perlu bertanggungjawab. Jangan bimbang,”
aku meninggalkan Syafa dan naik ke atas van.
Setibanya di hospital,
Aril dibawa ke wad kecemasan. Aku dan Muaz menanti di luar. Suasana sepi. Aku
mahupun Muaz langsung tidak bersuara setibanya kami di sini 30 minit yang lalu.
Badanku terasa lemah. Mungkin kesan daripada kemalangan sebentar tadi.
“ Aira okey?” soal Muaz
tiba-tiba. Aku hanya mengangguk.
“ Muka Aira pucat..”
ujarnya lagi. Pandanganku berpinar-pinar. Mungkin jua akibat terlalu banyak
menangis. Air mata di pipiku juga masih belum ada tanda untuk berhenti.
“ Kalau Aira tak cuai,
mungkin Aril tak berada dalam tu. Ya Allah.. apa yang Aira dah buat ni, Muaz..
Aril terlantar, bertarung nyawa kat dalam tu sebab Aira!” Muaz menghampiri aku.
“ Jangan cakap macam
tu, Aira. InsyaAllah, dia akan selamat. Banyak-banyakkan berdoa,” aku hanya
tunduk. Kepalaku kian sakit.
“ Muaz! Aril macam
mana? Apa kata doktor?” Kayrul dan Safwan tiba-tiba muncul.
“ Masih kat dalam.
Doktor pun belum keluar lagi,”
“ Aira macam mana? Ni,
Kayrul ada bawakan pakaian Aira, Nees kirimkan tadi..” aku melihat pakaian
sendiri yang penuh dengan darah. Langsung aku lupa akan pakaian sendiri yang
dipenuhi darah. Allah..
“ Aira pergi salin baju
jap,” aku bangkit. Namun, kepalaku yang sakit membuat aku terpaksa bersandar
pada dinding.
“ Aira okey tak ni?”
aku segera menggelengkan kepala. Dan tika aku menapak satu langkah lagi, ku
rasakan tubuh melayang. Jatuh menyembah bumi.
………………………………
“ Aira..
Alhamdulillah.. dah bangun dah dia,” aku membuka mata seluasnya saat mendengar
suara orang berbual berhampiran denganku. Kelihatan teman-temanku ada bersama.
“ A.. Aira dekat mana?”
“ Aira pengsan tadi.
Mujurlah Kayrul call Nees beritahu, kalau tak, kami takkan tahu Aira pengsan,”
mendengar bicara Aneesa, aku terus bangun. Namun, sakit di kepala membuat aku
kembali terbaring.
“ Aira rehat dulu..”
“ Aril? Aril macam
mana? Syafa, dia okey tak?” Syafa senyum.
“ Alhamdulillah, dia
selamat. Dia dekat wad sekarang,”
“ Aira nak tengok
dia..”
“ Sabar Aira.. Tunggu
Aira sihat sikit..” akhirnya aku mengalah walau dalam hatiku masih berputik
kebimbangan buat Aril Ridzuan. Ya Allah, lindungi dirinya..
Doktor mengkhabarkan
Aril mungkin koma untuk beberapa hari. Ia kesan daripada hentakan sewaktu dia dilanggar
oleh kereta. Benar, aku terlalu terharu dengan perbuatannya itu. Aku?
Alhamdulillah, keputusan x-ray yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang
masalah yang besar. Badanku ada sedikit calar dan luka,
tetapi tidak seteruk yang Aril alami. Hari ini, seperti pagi dua hari yang
lepas, aku meneruskan rutinku, mengunjungi Aril selepas menunaikan kewajipan
pada Yang Satu. Al-Quran ku bawa bersama. Saat membuka pintu, ada rasa sayu
menyelinap ke ruang hatiku. Mungkin rasa bersalah yang sudah mula menghuni hati.
“ Assalamualaikum,
Aril. Selamat pagi. Alhamdulillah, kita masih bernafas di dunia-Nya lagi kan?
Awak apa khabar? Moga awak cepat sembuh. Tabahkan diri, Aril. InsyaAllah..
Allah akan bantu awak. Kuatkan semangat. Allah sentiasa ada bersama kita,” aku
berbicara sendiri.
Kata doktor, mungkin
Aril terbaring kaku tanpa berbuat apa-apa, tetapi dia mendengar bicara orang di
sekelilingnya. Kerana itulah aku tidak pernah putus-putus berbicara dengannya,
kerana aku yakin Allah pasti akan menyembuhkan dia.
“ Rasulullah s.aw apabila
menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu, didatangkan kepada
baginda s.a.w, Baginda mengucapkan doa yang bermaksud : “Hilangkan penyakit
ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh.
Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan
penyakit.” (HR Bukhari). Lalu, doakanlah begitu kepada orang yang sakit itu,
insya-Allah, Allah akan menyembuhkan penyakitnya,” kata-kata ustazah tempat aku
mendalami ilmu agama terngiang di telinga.
Aku membuka langsir
yang menutupi ruang di kamar Aril. Baru sebentar tadi jururawat datang
memeriksa Aril. Alhamdulillah, Aril masih dalam keadaan baik walaupun belum
menunjukkan tanda untuk sedar. Tiba-tiba, pintu bilik dibuka dari luar.
Kelihatan seorang wanita dan dua orang lelaki masuk. Masing-masing terkejut
melihat aku di situ.
“ Assalamualaikum,” aku
memberi salam.
“ Waalaikumussalam.
Anak ni siapa? Nurse kat sini ke?” aku tersenyum, lantas menyalami tangan
wanita yang mungkin tua sedikit daripada ummiku. Lelaki yang berdiri dekat
dengan wanita itu hanya ku hulurkan senyuman.
“ Bukan, saya kawan
Aril. Mak cik ni ibunya ke?” wanita itu mengangguk.
“ Ini abahnya, dan itu
Adif, abangnya. Apa nama anak?”
“ Saya Aira,” aku lihat
ibu Aril menghampiri katil anaknya yang sedang terbaring, dan mengelus rambut
itu. Ya Allah, ampunkan aku kerana membuat hati seorang ibu berduka.
“ Mak cik, pak cik,
maafkan saya..” ujarku, sebak. Aku yang bersalah dalam hal ini, dan aku harus
mengakui kesalahanku. Mereka memandangku pelik. Mungkin tidak mengerti dengan
bicaraku. Aku menarik nafas sedalamnya, sebelum menghembuskan ia
perlahan-lahan. Satu persatu aku ceritakan kepada orang tua Aril, dan aku
benar-benar lega tika mendengar bicara kedua-dua orang tua Aril. Sebuah
kemaafan dihulurkan untukku atas kesilapan yang tidak pernah aku jangkakan itu.
Petang itu, dan hari
terakhir aku di hospital, aku dan ibu Aril sama-sama membaca surah Yassin untuk
Aril. Kepada ibu Aril, sempat aku titipkan semangat agar dia terus tabah
menghadapi dugaan Allah ini. Dan petang itu juga menyaksikan permulaan baru
hidupku. Kisah yang bermula dengan linangan air mata dan yang membawa aku
pergi. Pergi jauh dari hidup Aril Ridzuan yang sewajarnya ku lakukan sejak dari
dulu lagi.
“ Saya tunang Aril,
Zafirah..” tersentak aku tika mendengar kata-kata itu. Hati ini cuba aku
tenangkan kerana aku sendiri sudah sedia maklum akan status lelaki itu. Riak
wajah cuba aku sembunyikan dari dikesan.
“ Jadi..”
“ Saya minta awak
jauhkan diri daripada Aril. Kebelakangan ni, dia dah banyak berubah. Saya tak
tahu apa puncanya, tapi kalau boleh, saya nak elakkan daripada semua ni. Awak
mesti faham, kan?”
Berkerut dahiku saat
mendengar kata-katanya. Untuk apa dia memberitahu semua ini kepadaku sedangkan
antara aku dan Aril, kami tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan, malah
persahabatan sekalipun!
“ Saya..”
“ Saya sayangkan dia.
Cintakan dia. Dua tahun kami bersama, dan saya setia dengan dia walau banyak
halangan yang kami tempuh. Jadi, saya harap sangat tak ada lagi orang yang akan
ganggu hubungan kami. Keluarga kami dah uruskan persiapan untuk perkahwinan,
dan saya tak mahu ada gangguan seperti ni lagi,” ujar Zafira lagi. Aku
memejamkan mata. Baru ku faham situasi sebenar. Nyata dia tersilap meneka.
“ Cik Zafirah.. maaf,
tapi saya bukanlah seperti yang awak sangkakan. Saya seorang kawan yang
kedatangannya hanya mahu mendoakan kawan yang lain. Antara saya dan Aril, kami
tak pernah lebih daripada yang awak sangka. Saya yakin, hanya awak di hati
Aril. Saya tak pernah nampak dia keluar dengan mana-mana perempuan, dan rasanya
awak tak perlu bimbang. InsyaAllah, jika Allah dah jodohkan awak dengan dia,
awak tetap akan dengan dia.. Saya pergi dulu ya? Sampaikan salam saya kepada
orang tua Aril. Assalamualaikum,”
Usai tangan itu aku
salami, aku melangkah pergi. Aku menahan sebak. Entah mengapa, hatiku rasa
pedih sekali. Terasa bagai ada pisau yang menoreh hati. Allah, peliharakan
hatiku. Hilangkanlah sakit yang bermain di jiwaku. Dan di saat itu, aku nekad.
Nekad dengan keputusan yang ku yakin tidak akan berubah untuk kali seterusnya.
Biarlah kisah antara aku dan dirinya kekal menjadi rahsia hati ini. Biarlah
rasa yang menebak di hati buat lelaki itu kekal menjadi kenangan diri.
“ Aril Ridzuan. Saya
lepaskan awak pergi demi kebahagiaan awak. Biarlah saya setia menanti hingga
tiba Adam milik saya mengetuk pintu hati. Allah telah pun berikan saya jawapan
kepada soalan saya selama ini. Hati saya bukan milik awak. Cinta saya bukan
ditakdirkan untuk awak. Hanya untuk DIA, Pencipta kita. Dan dia yang bakal
menjadi imam saya. insyaAllah..”
……………………………………………
“ Sejak kau keluar dari
hospital, tak sekalipun kau senyum Aira. Apa yang sebenarnya dah jadi waktu kau
dekat hospital sebenarnya? Sampai Aril sedarkan diri pun kau tak nak melawat
dia. Ada sesuatu yang perlu aku tahu ke?” soal Aneesa di suatu hari. Ketika
itu, aku dan dia menemani Kirana ke klinik. Aku hanya mengeleng, lantas
melemparkan pandangan ke luar tingkap.
“ Aira..”
“ Cukuplah kau tahu,
aku okey, Nees. Biarlah semua tu jadi rahsia aku, dan aku pun tak mahu ingat
lagi semua tu. Silap aku yang tersalah arah,” Aneesa melepaskan keluhan. Mungkin tidak berpuas
hati dengan jawapan yang aku berikan.
Aku memandang
pemandangan yang terbentang luas di hadapan mata. Sungguh aku rasa tenang saat
ini. Sebentar tadi, Aneesa mengajak aku dan Kirana ke tasik yang terletak
berhampiran. Dahulu, aku sering ke sini, menghabiskan masa dengan menikmati
keindahan yang Allah hamparkan di hadapan mata, sambil mengingati keagunganNya.
SubhanAllah! Kini, aku datang lagi. Tetapi dengan membawa secebis doa dan
harapan agar kesedihan itu juga akan berlalu pergi. Pergi dibawa angin yang
bertiup lembut. Pergi bersama setenang air yang memenuhi tasik ini.
“ Aira..” tersentak aku
tika mendengar suara itu. Tubuh aku pusing perlahan-lahan. Allah! Apakah semua
ini?
“ A.. apa awak buat
dekat sini? Nees? Kirana? Apa maksud semua ni?” aku pandang wajah dua sahabat
yang tampak bersalah. Ya! Seharusnya mereka punya rasa bersalah setelah membuat
aku sebegini rupa!
“ M.. maaf, Aira..
Kayrul call aku tadi. Tanya kita dekat mana. Aku just beritahu, tak ada niat
apa-apa,” aku memejamkan mata sebentar. Allah, lututku terasa lemah. Tidak
menjangka akan ada pertemuan lain setelah semua kejadian itu.
“ Jangan salahkan
mereka, Aira. Aril yang nak jumpa Aira. Hal kita belum selesai. Aira lupa? Ada
sesuatu yang harus kita rungkaikan..” lelaki itu bersuara lagi. Aku tunduk.
Allah, kenapa dugaan ini masih belum berakhir? Adakah ini satu lagi ujianMu
untukku?
“ Setahu saya, saya tak
ada sebarang masalah dengan awak. Saya tak nak masuk campur dalam apa jua urusan
awak. Maaf,” aku bergerak ke arah Aneesa dan Kirana, bersedia untuk mengajak
mereka pulang.
“ Aira jangan tipu diri
Aira lagi. Aira tahu apa yang Aril maksudkan. Dan kita sama-sama tahu, kita
sama-sama merasai perasaan tu,” aku terkedu. Allah, apa yang ingin diperkatakan
oleh Aril Ridzuan?
“ Saya tak faham apa
yang awak cuba sampaikan. Kalaupun saya tahu apa yang awak nak sampaikan, itu
hak saya untuk memilih. Dan saya memilih untuk melupakan semua tu!” aku
bertegas.
“ Jadi Aira rela
terluka? Aira sendiri tak tahu perasaan Aril kan? Jadi, Aira pun tak layak nak
jatuhkan sebarang hukuman pada Aril.. Tak cukupkah setiap tindakan Aril untuk
tarik perhatian Aira dulu? Aril tahu Aira sedar semua tu, tapi kenapa kita tak
boleh mengorak langkah seterusnya?” aku memegang dada. Ada rasa sakit di situ.
Allah, nyata telahanku tidak pernah silap selama ini. Memang semua
tindak-tanduknya itu ada maknanya. Kenapa ia harus sekarang? Kenapa ia harus di
saat aku ingin melupakan?
“ Saat Aril terpandang
seorang gadis yang sering menundukkan kepalanya waktu bertembung dengan
mana-mana lelaki, saat itu hati Aril terdetik satu rasa. Awalnya Aril sendiri
tak faham dengan perasaan yang Aril alami. Dan pertemuan demi pertemuan buat
hati Aril makin dekat dengan gadis tu. Bila saja kami jumpa, dia mesti
tundukkan pandangan dia. Dan lepas kelas Prof Aman hari tu, masa tu jugalah
Aril pasti, Aril dah tertaut hati pada dia. Aril nak kenali dia, tapi Aril tak
tahu macam mana. Hanya dengan memandang dari jauh. Ya! Aril ingat lagi kali
pertama Aril bertentang mata dengan dia. Itu pun secara tak sengaja. Dia
tunduk. Aril pun! Sungguh, Aril jatuh hati pada dia!”
Aku memaut Kirana.
Mutiara jernih mula membasahi pipiku. Langsung tidak menyangka akan ada sesi
luahan perasaan seperti ini! Allah, andai cinta itu bukan milik kami, kenapa
harus aku dan dia punya rasa yang sama? Andai cinta itu telah Kau titipkan buat
insan lain yang terbaik buat kami, kenapa harus ada rasa yang menyeksa jiwa?
“ Aira..”
“ Cukup, Aril Ridzuan.
Ya! Mungkin kita pernah berkongsi rasa yang sama. Tapi itu dulu.. sebelum saya
tahu hati awak ada yang punya! Sebelum saya tahu, Allah dah hadirkan yang
terbaik untuk awak jaganya. Dan saya pula siapa, Aril.. Saya hanya seorang
insan yang hatinya diserahkan kepada orang yang bukan tercipta untuknya. Aril,
pergilah. Pergi pada yang lebih layak menerima cinta awak. Dia lebih baik
daripada saya..”
“ Tapi hati Aril. Hati
Aira..”
“ Tak perlu bimbang
tentang hati saya. Hati saya dah pulih sepenuhnya. Mungkin hari ini saya nampak
lemah sebab saya langsung tak jangka yang Allah akan turunkan ujian ini untuk
saya. Tapi percayalah, saya dah lama meredhai semua tu. Saya yakin Allah dah aturkan
yang terbaik untuk saya. Untuk kita. Hati awak ada pada Zafirah. Jagalah.
Lindungi dia. Dialah bakal zaujah awak, Aril. Anggap saja kisah antara kita
berakhir di sini. Demi Allah, saya dah lama melepaskan cinta saya pada seorang
lelaki bernama Aril Ridzuan. Cinta saya, rindu saya, hanya untuk Pencipta saya,
dan bakal imam saya..”
“ Aira.. Aril sayangkan
Aira..”
“ Saya juga sayangkan
awak, tapi hanya sebagai kawan. Belajarlah menerima ketentuanNya. Saya pergi
dulu. Assalamualaikum,” Aneesa dan Kirana mengekoriku. Aku tahu, hati itu retak
kembali. Luka lagi. Namun, aku sudah pun bersedia untuk semua ini. Allah, moga
inilah yang terbaik untuk kami. Untuk aku. Untuk Aril Ridzuan juga. Noktah.
………………………………….
kuatnya hati Aira.. x sangka kisah dia & aril berakhir mcm tu.. :(
ReplyDelete