“ Umi dan walid takkan pernah halang apa jua
keputusan Ain. Kami terima keputusan Ain jika itu yang Ain rasakan terbaik buat
Ain,” “Ummi Khadijah bersuara. Bahu Hurin Ainina dipaut erat.
“ InsyAllah ini yang terbaik buat
kami semua, umi. Ain cuma nak menyatukan dua hati. Dua hati yang saling
mencintai satu sama lain. Mereka dah cukup terseksa, dan biarlah untuk kali
ini, Ain yang berkorban,” Hurin Ainina sibuk mengemas pakaiannya yang akan
dibawa ke Mesir. Esok hari, dia harus menyelesaikan sesuatu sebelum berangkat
ke sana. Perhitungan terakhir sebelum dia berangkat.
“ Umi, boleh tak esok Ain nak
keluar sebentar? Tak lama pun, Ain nak jumpa seorang kawan,”
“ Umi bukan tak izinkan, tapi Ain
pun tahu keadaan Ain, kan?” Hurin Ainina memegang jemari umminya. Erat.
“ Umi, sampai bila Ain nak hidup
macam ni? Bersembunyi daripada dunia luar.. kalau perasaan Ain yang umi
fikirkan, jangan bimbang, umi. Ain bukan lagi budak kecil yang akan bersedih
tika Allah datangkan ujian kepada Ain. Ain kena berdepan dengan semua ni.
Nanti, Ain jauh daripada umi dan walid, Ain kena hidup berdikari, kan?”
Ummi Khadijah membisu. Hati ibu
mana yang tidak bimbang mengenangkan keadaan anak sendiri. Sejak peristiwa yang
menimpa keluarga mereka dahulu, perasaan kasihannya melimpah ruah untuk Hurin
Ainina, anak yang selama ini menjadi penyeri hidup mereka. Kejadian yang menimpa
Hurin Ainina membuat dia bimbang untuk melepaskan anak daranya itu ke
mana-mana. Dia tidak sanggup mendengar cercaan, hinaan yang diberikan oleh
orang sekeliling kerana ketidaksempurnaan anaknya itu.
“ Kalau itu yang Ain nak, umi tak
mampu nak kata apa-apa lagi. Cuma berhati-hatilah nak.. kita tak tahu apa yang
akan terjadi. Moga Allah sentiasa melindungi kita semua,”
Ummi Khadijah memeluk erat tubuh
anak sulungnya. Ada sesuatu yang mengganggu dirinya, tetapi dia sendiri tidak
pasti dengan kata hati sendiri. Entah kenapa, hatinya berat sekali untuk
melepaskan Hurin Ainina. Seakan ada sesuatu yang bakal terjadi pada esok hari,
tetapi dia tidak mahu membuat Hurin Ainina bimbang, dan mungkin perasaan itu.
“ Dah lima bulan adik pergi
tinggalkan kita, Ain. Umi betul-betul rindukan dia. Lepas apa yang jadi pada
dia dan Haq, umi tahu dia terseksa. Haq cinta pertama dia, lelaki yang berjaya curi
hati dia. Tapi, semuanya berlaku dalam sekelip mata. Umi tak sangka kisah dia
akan jadi macam ni,” Hurin Ainina menekur lantai. Ya umi, memang Haq lelaki
pertama yang dicintai oleh Hurin Amni, dan begitu juga dengan dirinya!
Dhiyaulhaq lelaki pertama dan mungkin yang terakhir dalam hidupnya! Air matanya
mengalir perlahan. Kalaulah semua tahu bahawa dia lebih terluka..
“ Ain, kenapa nak? Kenapa
menangis?” Hurin Ainina pantas menggelengkan kepala. Air mata disapu kasar.
“ Ain cuma rindukan adik, umi. Hurin
pergi tanpa berita. Sebab tu Ain nekad nak jejak dia kat sana. Ain nak betulkan
semua. Berterus terang tentang status dia. Mungkin dia fikir, dia bukan lagi
sebahagian daripada keluarga Haq. Dia perlu tahu, umi..”
“ Setiap apa yang berlaku itu kan
ada hikmahnya, nak.. InsyaAllah, nanti Allah akan temukan kamu dengan dia,” Ummi
Khadijah memeluk tubuh anaknya. Rahsia Hurin Amni masih tersimpan kemas dalam
genggaman. Itu janjinya pada anak keduanya. Biarlah rahsia itu kekal antara
mereka berdua. Dan esok, berangkatnya Hurin Ainina pasti akan mendedahkan
rahsia kandungan Hurin Amni. ‘Allah, moga Kau permudahkan segala-galanya,’.
Hurin Ainina sabar menunggu
kedatangan lelaki itu. Lelaki sama yang berjaya mencuri hatinya, dan lelaki
sama yang dicintai adik kembarnya. Ada sesuatu yang harus diselesaikan di
antara mereka. Dia tidak mahu menjadi orang ketiga yang menjadi halangan untuk
dua hati yang saling mencinta.
“ Ain, sorry.. I’m a bit late.
Jalan sesak sikit tadi. Dah lama ke you tunggu?” Hurin Ainina menghulurkan
segaris senyuman buat Dhiyaulhaq yang sedang melabuhkan duduk bertentangan
dengannya.
“ It’s okay, Haq. Sepatutnya saya
yang minta maaf sebab ganggu masa kerja awak. Tapi saya ada hal nak bincang
dengan awak,”
“ Hal apa?”
“ It’s about us. You, me and
Hurin Amni, your wife,” seakan ada sesuatu yang menikam jantungnya saat sebaris
nama itu disebut. Ya, nama yang dirindui saban waktu. Nama yang tidak pernah
putus-putus meniti di bibirnya. Bermain di fikirannya.
“ Ke.. kenapa dengan Hurin? Ada
sesuatu berlaku pada dia ke? Atau dia dah balik Malaysia?” Hurin Ainina menggariskan
senyuman. Dia tahu, tutuplah dengan apa cara sekalipun, cinta Dhiyaulhaq pada
adiknya tak mungkin dapat disembunyikan.
“ Nope. But, I will go there
today. I will visit her,” riak wajah Haq menggambarkan kekecewaan. Sangkanya,
Hurin Amni sudah pulang ke Malaysia, dan bersedia untuk bertemu dengannya,
tetapi telahannya silap.
“ Dia kat mana sekarang
sebenarnya, Ain? Kenapa semua nak sorokkan daripada saya sedangkan saya ada hak
untuk tahu? I’m still her husband..!” tegas Haq. Ya, mungkin dia pernah tersilap
arah dalam menentukan arah tuju perkahwinannya dahulu, tetapi kini dia sedar
akan satu hakikat itu. Hakikat bahawa dia tidak mampu menjauh daripada isteri
sendiri! Dan untuk apa dia terus dihukum atas kesalahan lampau?
“ I’m sorry Haq. Tapi I tetap kena
pegang amanah tu. insya-Allah, I akan ceritakan segala-galanya pada dia sebaik
sahaja I jumpa dia dekat sana. You jangan bimbang okey? InsyaAllah, semuanya
akan pulih seperti sedia kala. I pun nak yang terbaik untuk korang,”
Kata-kata itu lahir ikhlas dari
hati. Dari hati kecilnya yang mahu memberikan kebahagiaan buat mereka yang
disayangi. Mungkin kehadirannya antara mereka berdua hanya akan merumitkan keadaan, dan kerana
itu, Hurin Ainina nekad. Dia harus memperbetulkan segala kekusutan yang timbul akibat
kisah semalam. Biarlah cinta itu menjadi milik Hurin Amni dan Dhiyaulhaq andai
cinta itu bukan miliknya.
.........................................................................
“ Abang! Macam mana boleh jadi
macam ni bang? Apa kita nak buat, bang? Ya Allah.. anak kita bang..” Ummi
Khadijah memaut lengan suaminya. Lemah terasa saat berita itu sampai ke
gegendang telinga. Dunia terasa gelap seketika. Baru pagi tadi mereka bergelak
ketawa, berkongsi cerita, dan kini, semuanya berubah sekelip mata.
“ Sabar umi. Sabar. Tabahkan
hati. Kuatkan diri..” Abu Sufian memujuk, dalam masa yang sama cuba memujuk
hatinya. Benar, memang dugaan ini berat untuk mereka tanggung, tetapi Allah
lebih tahu apa yang terbaik buat mereka, dan mereka harus menerima semua
ketentuanNya dengan tabah.
“ Tapi kenapa Allah ambil dia,
bang? Selama dia hidup, dia tak pernah rasa bahagia, asyik menderita. Dia tak
mampu hidup macam orang lain. Kenapa Allah tak berikan dia bahagia sebelum
akhir hayatnya?” Ummi Khadijah terusan menangis. Sungguh, dia tewas dengan
ujian ini. Siapa yang tidak akan meratap saat anak tercinta pergi menyambut
seruan Ilahi?
“ Jangan macam tu, umi.. Allah
Maha Tahu segala sesuatu. Jangan terus meratap, tak tenang roh arwah.
InsyaAllah, dia akan tergolong dalam kalangan ahli syurga. Sudahlah, ummi. Jangan terus dilayan rasa
hati,”
Ummi Khadijah membalas pelukan
suaminya. Menangis di dada lelaki yang sekian lama menjadi teman hidupnya.
Tidak pernah dia duga anaknya akan pergi sebelum dia. Tidak pernah sesekali!
Dan kali ini, Allah berikan dia ujian yang terasa amat berat untuk
ditanggungnya..!
“ Pakcik, jenazah dah boleh
dibawa pulang. Sebelum tu, kami minta pakcik tandatangan dulu borang ni ye,” Abu
Sufian mengambil borang yang diserahkan kepadanya oleh staf hospital. Sebak
hatinya melihat nama yang tertera di situ.
“ Sabar ya, pakcik? Moga ALLAH
menempatkan arwah dalam kalangan hamba yang solehah,” Abu Sufian sekadar
mengangguk kecil. Bahu isterinya didakap erat. Cuba menyalurkan kekuatan yang
ada di dalam diri buat si isteri yang kelihatan begitu sedih kehilangan anak
yang dikasihi.
Urusan pengebumian jenazah
selesai kira-kira jam empat petang. Suasana pilu meliputi kawasan tanah
perkuburan. Dan pastinya Abu Sufian dan Ummi Khadijah lah insan yang paling
terkesan dengan pemergian permata hati mereka. Dhiyaulhaq yang turut hadir,
mampir ke arah mentuanya. Batu nisan yang tertera nama ‘ Hurin Ainina’
dipandang sekilas sebelum pandangannya jatuh ke wajah ummi.
“ Umi, sabar ya? Setiap yang
hidup pasti akan kembali, dan kita pula kena teruskan hidup berbekalkan
kenangan yang ada. Doakan dia menjadi bidadari di syurga nanti,” Dhiyaulhaq
menyalami tangan mentuanya. Kesedihan itu turut dirasai. Namun sesedih mana pun
dia, mana mungkin dapat menandingi kesedihan sang ibu sendiri.
“ InsyaAllah, Haq.. Haq, umi nak
minta tolong Haq.. boleh Haq tolong ummi, kan?” Dhiyaulhaq mengangguk perlahan.
“ Tolong bawa anak umi, isteri
kamu balik ke sini.. Bawa Hurin balik ke sisi keluarganya. Tempat dia
bersama-sama kita. Haq tolong umi ya?” Haq terpempan mendengar bicara umi.
“ Um.. umi tahu mana Hurin pergi,
kan? Umi beritahu Haq, dan Haq akan dapatkan dia secepatnya mi,”
Merembes air mata Ummi Khadijah
saat mendengar Haq. Dia tahu, menantunya itu sama sepertinya. Merindui Hurin
Amni yang seakan membawa diri dek kenangan semalam. Dan dia tidak mahu
kesedihan terus meliputi keluarga mereka. Dia mahu kebahagiaan mekar kembali,
seperti mana harapan terakhir anak sulungnya sebelum Hurin Ainina pergi
menghadap Sang Pencipta.
“ Maafkan umi, Haq. Bukan umi tak
mahu berterus-terang sebelum ni, tapi tu amanah isteri kamu. Pergilah bawa dia
balik Haq. Pergi bawa anak dan bakal cucu umi balik,” Haq terpana.
“ B.. ba.. bakal cucu?” melihat
anggukan ibu mentuanya, Haq terduduk. Betapa rasa bersalah mula menyeliputi segenap
ruang hatinya. Tegarnya dia melakukan perkara seteruk itu kepada si isteri yang
mengandungkan zuriatnya. Masihkah ada sisa-sisa kemaafan di hati Hurin buat
dirinya?
“ Mampu ke Hurin maafkan Haq, umi?
Haq dah lukakan hati dia, tuduh dia macam-macam. Langsung tak nak dengar alasan
dia dulu. Haq malu, umi. Malu dengan umi, dengan walid, dengan Allah. Haq
abaikan isteri Haq. Abaikan anak Haq. Mungkin Hurin sendiri tak nak terima Haq
lagi..”
Ummi Khadijah mendekati
Dhiyaulhaq. Diusap lembut kepala menantunya. Suami kepada satu-satunya anak
yang dimiliki kini.
“ InsyaAllah, Haq. Umi kenal anak
umi. Hurin akan maafkan Haq. Kita manusia biasa. Sentiasa buat silap. Tapi tak
bermakna kita perlu terperap dengan kesilapan yang sama di setiap kali. Umi
tahu, Haq dah berubah, Haq dah menyesal dengan perbuatan Haq, dan tak ada sebab
untuk Hurin tak maafkan Haq. Tunjukkan pada dia yang Haq betul-betul menyesal.
InsyaAllah, hati Hurin tu lembut Haq. Dia akan maafkan insan yang pertama dan
insya-Allah yang terakhir dicintainya,”
“ Umi, tapi Haq sendiri tak tahu
sama ada Haq mampu maafkan diri sendiri atas apa yang dah berlaku..”
“ Dhiyaulhaq, jangan terus
diselubungi dengan masa silam. Masa hadapan Haq dah Allah paparkan di hadapan
mata. Ingatlah Haq, antara kalian ada pengikatnya. Anak yang Hurin kandungkan
itu bukti cinta kamu. Tak perlu memikirkan dosa semalam lagi,”
“ Maafkan Haq umi.. Maafkan Haq..
kalau bukan sebab Haq, tentu semua ni tak jadi macam ni..” Ummi Khadijah
senyum.
“ Umi dah lama maafkan Haq..”
……………………………………………………….
Langit yang membiru dipandang
kosong. Sekosong hatinya kini. Entah mengapa, hatinya bagai tidak tenang.
Seakan ada sesuatu yang hilang. Hilang dari hatinya yang sedang cuba merawat
luka dek kisah semalam. Satu keluhan dilepaskan. Terasa kerinduan itu kembali
datang. Beberapa hari ini, dia asyik terkenangkan sang kakak yang jauh di bumi
Malaysia. Betapa dia merindui senyuman itu, gelak tawa itu, dan pelukan yang
dititipkan saat dia bersedih hati.
“ Kak.. semuanya baik-baik saja,
kan? Hurin tak tahu kenapa Hurin rindu sangat dekat akak.. Rasa macam kakak dekat
je dengan hati Hurin. Macam kakak sedang perhatikan Hurin..” Hurin bermonolog
sendiri. Gambar mereka berdua dibawa dekat ke dada. ‘ Semoga semua baik-baik
saja.’
“ Hurin, makan jom!” Asyiqa
muncul di balik pintu biliknya. Hurin senyum kepada gadis itu. Asyiqa membantu
Hurin yang kini sedang sarat itu untuk berdiri. Kebelakangan ini, kesihatan
Hurin seakan merosot. Mudah benar gadis itu diserang demam. Mukanya juga
kelihatan lesu dan pucat.
“ Awak memang betul-betul tak nak
pergi hospital ni? Muka awak nampak pucat sangat. Demam awak pun macam tak
kebah-kebah lagi je,” Hurin pantas menggeleng. Dia tahu, Asyiqa bimbang akan
kesihatan dirinya, tetapi dia yakin ia semua hanya kerana pembawakkan budak. Bukannya
disebabkan oleh faktor lain.
“ Saya okey je, Iqa. Awak
janganlah bimbang sangat. Perut ni dah membesar, lagi-lagi anak sulung. Mungkin
sebab tu saya kerap demam,”
“ Yalah, mak buyung. Nah, ni
bubur awak. Saya dah letak sayur lebih kat dalam. Awak tu makan untuk kesihatan
dua orang, jadi kena lebihkan sayur. Jangan mengelat pulak. Makan sampai habis
tau!”
“ Orait bos!”
Bagi Hurin, dia kini sudah
terbiasa. Terbiasa hidup sendiri. Sering kali disoal di mana gerangan sang
suami, Hurin sudah mampu tersenyum. Tidak di awal-awal soalan itu diajukan
dahulu, hatinya lebih tenang kini. Dia tahu maruah bekas suaminya juga perlu
dijaga, lantas tuntutan kerja menjadi jawapan kepada setiap soalan yang
diajukan. Biarlah. Biarlah rahsia itu kekal menjadi rahsia.
Beroleh kekuatan daripada amanat
yang dititipkan oleh Allah swt kepadanya, Hurin kini sudah redha sepenuhnya
dengan suratan takdir Ilahi. Siapalah dia untuk melawan takdir. Allah Maha Tahu
apa yang terbaik untuk dirinya. Dia tahu, ada hikmah di sebalik semua ini. Dan
dia lebih kuat. Kuat mengharungi dugaan hidup di bumi yang suatu ketika dahulu
asing baginya. Dorongan Asyiqa, kasih sayang bayi yang dikandung dan cinta
Allah kepadanyalah yang membantu dia untuk terus teguh menapak dalam menjalani
hidup sebagai seorang ibu tunggal.
Walau terkadang rindu itu
berputik buat dia yang pernah menjadi kekasih di hati, namun Hurin tidak lagi
menitiskan air mata setiap kali teringatkan lelaki itu. Dia mampu menerima. Dia
berusaha untuk tidak bertanya perihal lelaki itu setiap kali panggilan telefon
dibuat ke Malaysia, dan seakan memahami, keluarganya juga tidak pernah menyebut
tentang lelaki itu. Mungkin jua lelaki itu sudah bahagia bersama kembarnya
kini.
#MAAFKAN DIRI INI TERPAKSA MEMBIARKAN KALIAN TERTUNGGU-TUNGGU DENGAN ENTRY KALIMAH CINTA. KEKURANGAN IDEA & TIADA MATERIAL BARU UNTUK DIBACA SEDIKIT SEBANYAK MENJEJASKAN SEMANGAT SAYA. INSYAALLAH, ENTRY SETERUSNYA AKAN MUNCUL SEDIKIT MASA LAGI. #
#ANDAI ENTRY INI TIDAK MAMPU MEMUASKAN HATI ANDA, MAAF DIPINTA.. :')
No comments:
Post a Comment