Saturday, March 24, 2012

KALIMAH CINTA 2


“ Dhiyaulhaq, walid nak kamu mula masuk pejabat esok,”

Haq terpana mendengar bicara walidnya. Mamanya hanya mengukir senyuman gembira. Mungkin meraikan kemenangannya setelah hampir empat bulan berhempas pulas memujuk Haq untuk segera bekerja di syarikat keluarga.

“ Kamu dengar tak apa yang walid cakapkan ni?”

Haq hanya mampu mengangguk. Tidak berani menentang kata-kata Haji Muhamad. Kata-kata walidnya jangan dibankang. Padah pasti akan datang! Haq melepaskan keluhan. Terasa berat beban yang terpaksa dipikulnya. Dia masih belum bersedia. Belum bersedia untuk memikul tugas sebagai seorang CEO.

“ Walid, Yo nak berbincang sesuatu dengan walid sebelum kita ke pejabat,”

“ Katakan apa yang kamu mahu, Dhiyaulhaq. Walid sedia mendengar,”
Haq menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia sendiri tidak pasti akan penerimaan Haji Muhamad dengan keputusannya. Yang dia mampu, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Semoga dibukakan pintu walidnya untuk menerima keputusan tersebut.

“ Yo masih belum bersedia menjadi CEO,”
Senyuman di bibir walidnya membuat Haq semakin gemuruh. Fikiran walidnya memang sukar untuk difahami. Berbeza dengan mamanya.

“ Habis tu? Kenapa kamu tak beritahu awal-awal?”

“ Yo.. boleh tak Yo mulakan dari bawah dulu, walid?” diberanikan dirinya untuk bertanya.

“ Kenapa pula Yo nak mulakan dari bawah?” soalan walidnya membuat Haq sedikit lega. Dia tahu, walidnya sedia untuk dibawa berbincang.

“ Yo rasa, Yo masih kosong dalam pengurusan syarikat ni, walid. Walaupun Yo belajar kursus yang sama, tapi Yo belum ada sebarang pengalaman. Yo nak mulakan dari bawah. Fahami pengurusan syarikat dahulu, lepas tu baru Yo boleh fikirkan balik tentang tawaran walid sebelum ni,”

“ Okey, walid izinkan. Walid pun memang bercadang untuk lakukan sedemikian. Tapi, walid bimbang Yo tak mahu. Alhamdulillah, Yo juga berfikiran sama seperti walid,” Haji Muhamad menepuk lembut belakang badan anaknya.

Mereka tiba jua di pejabat akhirnya. Debaran di dada Haq kian kencang. Bukan kali pertama dia menempuhi alam pekerjaan, tetapi ini terlalu berbeza! Tiada siapa pun tahu statusnya sebagai anak pemilik syarikat di sini.. susah dan senang harus dia jalani sendiri kerana dia sendiri yang mahukan sebegitu. ‘Ya Allah..kuatkanlah semangatku untuk menempuhi alam baru.’

“ attention semua! Saya perkenalkan, our new staf, Dhiyaulhaq.. dia akan bekerja di bahagian pemasaran,” semua staf bertepuk tangan. Meraikan kehadiran orang baru di tempat mereka. Haq tersenyum, sambil menundukkan kepala tanda hormat.

“ selamat datang, Haq! Semoga awak gembira bekerja dengan kami,” kata Encik Kamil, timbalan naib pengarah urusan. Rahsia status dirinya hanya diketahui oleh mereka. Tuan Haji Muhamad, Encik Kamil, dan Haq sendiri. Kepada Encik Kamil sudah dikhabarkan agar panggilan dirinya ‘ Yo’ tidak diguna.

“ Selamat datang, Haq..”

Haq memandang sekilas gadis yang sudah melentok-lentokkan tubuhnya itu. Dia tidak mampu untuk mengatakan apa-apa. Untuk menolak huluran tangan gadis itu, dia khuatir gadis itu akan berkecil hati. Lalu, lambat-lambat, dia menyambutnya.

“ Tak sangka kita jumpa lagi, kan?”
Gadis itu masih ingin berbicara. Haq di hadapan dipandang penuh minat. Sudah sekian lama dia cuba meraih cinta lelaki itu, tetapi ia seakan sukar sama sekali! Sejak mereka di alam universiti lagi hatinya sudah terpaut kepada jejaka tampan tersebut. Yang menjadi kegilaan ramai gadis di kampus mereka. Aduh, Dhiyaulhaq! Mengapa engkau begitu kacak??!!
 __________________________________________________________________________________________

Hurin Amni mengetap bibir. Tidak..tidak mungkin! Mana mungkin lelaki itu juga ada di sini? Ah, pasti dia yang tersilap memandang..! Tetapi.. namanya! Dhiyaulhaq! Mana mungkin dia akan lupa pada nama yang sudah meragut bahagia keluarga mereka. Tidak sama sekali! ‘ Kenapa harus aku bertemu dengannya lagi??’

“ Hurin, Encik Afiq suruh awak ke pejabat dia sekarang,” maklum Linda, staf di situ. Hurin mengangguk, lantas melangkah ke pejabat Encik Afiq, ketua bahagian pemasaran. Dari luar, Hurin melihat seorang lelaki sedang bersembang dengan Encik Afiq. Berhati-hati dia mengetuk pintu.

“ Masuk,” terdengar suara dari dalam. Hurin menapak.

“Encik panggil saya?”

“ Ya. Hurin, kenalkan, ini Haq. Staf baru di sini,”
Terasa gelap dunianya saat itu. Tidak! Aku pasti bermimpi. Dia bukan lelaki itu! bukan lelaki yang sudah melukakan hati saudaraku sendiri! Bukan!

“ Hurin?”
Hurin tersedar ke alam realiti. Dipandang wajah di hadapannya. ‘Ya Allah..benar.. memang benar dia orangnya!’

“ Awak okey?” soal lelaki itu. Hurin membisu.

“Hurin, tunjukkan tempat dia yang kosong kat sebelah Aiman tu,”

Dia sekadar mampu mengangguk lemah. Mana mungkin dia menolak arahan majikannya. Haq memandang sedalam-dalamnya wajah manis tersebut. Dia tahu, ada rasa marah yang berputik di dalam hati si gadis. Pasti masanya akan tiba untuk dia memohon maaf atas kesilapannya yang lalu. Hurin Ainina..

“ Dah lama awak bekerja dekat sini?” soal Haq, cuba membuka ruang untuk berbicara.
Suasana sepi. Hurin masih diam.

“Awak?”

“Meja awak dekat sini. Saya pergi dulu,”
Tanpa memandang sekilas pun ke arahnya, gadis itu terus berlalu. Haq melepaskan keluhan. Duhai hati, sabarlah..

“Kenapa dengan awak ni Hurin? Moyok je dari tadi,” Linda bertanya, cuba mengorek apa yang tersimpan di hati gadis itu. Hanya elengan yang menjadi jawapan.

“ Tak ada apa-apa, Linda. Saya okey,” Hurin kembali menumpukan perhatian pada makanan di hadapannya.

“ Hai Linda, Hurin! Boleh join korang tak? Meja lain dah penuh,”

Hurin hanya membisu di tempat duduknya. Linda yang menawarkan kedua-dua lelaki itu untuk turut serta. Haq memandang wajah keruh di hadapannya. Ya Allah.. mengapa begitu sukar untuk gadis itu memaafkan dirinya?

“ Diam saja Hurin ni.. Awat?” Aiman menyoal. Hurin hanya mengeleng kepala.

“ Linda, hang nak balik terus ka lepas kerja nanti?”

“ Kenapa kau tanya? Nak ajak aku dating ke?”

“ Isyh.. hang ni! Tak sayang mulut langsung! Kan betul-betul kena dating dengan aku kan, baru padan muka,”

Aiman dan Linda galak mengusik satu sama lain. Hanya Haq dan Hurin sahaja yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati. Namun, tumpuan Haq sebenarnya lebih fokus kepada gadis di hadapannya. Entah, dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan hubungan persahabatan dengan gadis itu setelah apa yang dilakukannya dahulu. Sungguh, Haq menyesal atas sikapnya dahulu. Terlalu mengikut hati mudanya tanpa menyedari dia sedang melukakan sekeping hati itu. Tanpa sedar, Haq melepaskan keluhan.

“ Awat mengeluh ni, Haq?” tersentak Haq disoal begitu. Aiman dan Linda merenungnya.

“ Tak ada apa-apa,”

“ Linda, dah siap belum? Saya banyak kerja lagi ni,”
Haq terusan memandang wajah tersebut. Kedinginan gadis itu semakin menghambat rasa bersalah ke dalam hatinya. Linda yang baru selesai menghirup jus orennya mengangguk. Segera tas tangan yang diletakkan di kerusi sebelah diambil.

“ Jom! Man, Haq, aku balik office dulu okey? Kau jangan lupa pula janji kita petang ni, Man!” Aiman mengangkat ibu jarinya. Haq terusan memandang ke arah dua gadis itu.

“ Kau sukakan Hurin ke?”
Haq tersedak. Aiman sudah tersengih.

“ Apa yang kau cakapkan ni?”

“Tak payah nak sembunyikan lagi, Haq. Dari awal kau datang sini lagi aku perasan renungan kau dekat si Hurin tu lain. Tapi, terus-terang aku cakap, dia tu dingin sikit. Nak dengar dia bercakap pun susah,”

Haq sekali lagi mengeluh kecil. Aku tahu kenapa semua itu terjadi, Aiman.. kerana akulah penyebab dia menjadi begitu..
 _________________________________________________________________________________________

“ Akak..”

“ Hurin jangan macam tu, dik.. Pinangan tu untuk Hurin,”

“ Tapi Hurin tak nak, kak.. Hurin tak nak tinggalkan keluarga kita. Hurin tak nak kahwin dengan lelaki yang dah buat akak macam ni!”

“ Hurin, jangan cakap macam tu adik.. Kalau akak mampu melupakan semua yang terjadi, kenapa tidak Hurin sayang?”

Hurin hanya mampu teresak-esak di ribaan kakaknya. Sungguh dia tidak menjangka Haq akan menghantar rombongan ke rumah keluarganya. Walaupun sedingin mana dia melayan lelaki itu, namun Haq masih terusan tidak berputus asa.

“ Hurin Amni..”

“ Kakak..jangan paksa Hurin kak..”

“ Allah itu Maha Kuasa, dik.. Pasti ada sebab mengapa dia aturkan perjalanan hidup kita macam ni.. Hurin percaya dengan takdir Yang Maha Kuasa, kan?”

Hurin pantas mengangguk. Hurin Ainina mendakap erat tubuh adiknya. Hatinya menangis hiba. Siapa yang kata, hatinya tidak terluka saat perkhabaran itu diterima? Siapa kata hatinya tidak derita saat mengetahui adiknya dilamar lelaki yang dicintainya? Dhiyaulhaq.. lelaki itu sudah lama bertakhta di hatinya. Sudah sekian lama bertapak di jiwa. Sejak pertama kali mereka bersua, sejak itu jugalah hatinya terpaut kepada lelaki itu.

Namun, takdir Allah telah mengubah segala. Dia bukan pilihan lelaki itu. Mungkin Dhiyaulhaq sudah tidak punya sebarang rasa kepadanya. Mungkin jua keadaannya yang memudarkan rasa lelaki itu. ‘Ya Allah..tabahkan hatiku. Ku percaya pada takdirMu. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Redhakanlah hatiku dalam menerima Dhiyaulhaq sebagai adik iparku, Ya Rabb..’

Haq memejamkan mata. Fikirannya melayang teringat tentang peristiwa semalam. Akalnya berkata tindakan itu tepat, namun hatinya pula sebaliknya. Dia bimbang. Bimbang apa yang dilakukannya akan mengundang lebih rasa benci gadis itu. Bukan dia sengaja, tetapi dia tidak melihat cara yang lebih baik untuk menebus rasa bersalah atas tindakannya suatu masa dahulu..

“ Hurin..”

“ Dah angau ke anak mama sorang ni?” sapaan seseorang mengejutkan Haq.

“ Eh, ma! Apa yang mama cakapkan ni?”

“ Mama tahulah kamu tu dah angau dengan Hurin, Yo. Tak payah nak sorokkan lagi,”
Dhiyaulhaq menyembunyikan resah yang bersarang di hati. Kalaulah mama tahu apa yang sebenarnya berlaku, pasti dia akan dileteri!

“ Ma.. mama sukakan Hurin?”

“ Siapa yang tak suka dapat menantu macam tu, Yo? Kali pertama mama tengok dia, hati mama dah terpaut. Baik budaknya. Berbudi pekerti, cantik, lemah lembut.. Subhanallah! Memang indah sungguh ciptaan Allah tu!”

Haq mengukir senyuman mendengar bicara mamanya. Memang dia akui, Hurin memiliki seraut wajah yang begitu cantik, ditambah pula dengan pekertinya yang lemah lembut. Berbeza sekali dengan Hurin yang pernah dikenalinya dahulu! Tetapi, satu yang tidak dijangka, sikap gadis itu yang masih dingin terhadapnya. Perlahan-lahan, Haq melepaskan keluhan, tetapi jelas di pendengaran Hajjah Zulaika.

“ Kenapa kamu mengeluh?” pantas Haq mengeleng.

“ Kamu ada masalah?” masih lagi jawapan yang sama diberikan. Hajjah Zulaika jelas tidak berpuas hati.

“ Mama yang melahirkan kamu, Yo. Mama cukup arif dengan anak-anak mama,”
Haq akhirnya mengalah. Mana mungkin dia dapat menipu mamanya sendiri. Insan yang paling banyak berkorban untuk dirinya.

“ Mama.. mama tak rasa ke layanan Hurin pada Yo sedikit dingin?”
Hajjah Zulaika mengulum senyum. Baru dia tahu perkara apa yang meresahkan anak bujangnya itu.

“ Kenapa kamu cakap macam tu?”

“ Yalah, ma. Cuba mama tengok kelmarin, masa kita pergi ke rumah dia. Dia sambut mama dengan walid dengan penuh mesra, tapi dia dengan Yo pula sebaliknya,”

“ Kamu tahu tak, umi Hurin ada beritahu mama, Hurin tidak pernah bercinta. Tidak pernah menyayangi lelaki lain selain daripada walidnya. Mungkin kerana itu layanan dia pada kamu berbeza. Sebab kamu masih bukan yang sah buatnya. Mungkin dia kekok, apatah lagi selama ini kamu dan dia cuma rakan sekerja, dan tiba-tiba kamu melamar dia,”

Haq diam. ‘ Mama, tahukah mama Hurin itu dahulu pernah bertakhta di hati anakmu ini? Kami pernah bercinta, dan mana mungkin ajaran umi dan walidnya yang membuat dia dingin dengan lelaki. Tetapi kerana anakmu ini telah melukakan hatinya!’ ingin sahaja Haq meluahkan semua itu, namun lidahnya terasa kelu. Biarlah. Biarlah ia kekal sebagai rahsia antara mereka. Antaranya dan Hurin, dan antara mereka dengan Allah.

1 comment:

  1. assalamualaikum..maaf ye reader semua..sbb bab 2 ni pndek dpd yg sebelumnya..ape2 kekurangan bleh la kmen..sy sudi trime ape saja jnis komen yg mmbina.trime ksih..^_^

    ReplyDelete