Hurin memandang Asyiqa yang jelas berdiri di hadapannya. Beberapa
kali juga dia mengesat-ngesat mata untuk memastikan itu semua bukan sekadar
bayangan cuma. Asyiqa senyum melihat gelagat temannya. Dihampiri Hurin yang
masih membatu di tempatnya.
“ Assalamualaikum Hurin.. Kenapa pandang macam tu? Tak percaya
ke?” soalnya.
“ Waalaikumussalam.. Ya Allah!” mereka saling berpelukan. Atau lebih tepat lagi Hurin yang
memeluknya dahulu. Asyiqa membalas pelukan sahabat baiknya.
“ Ya Allah.. Lamanya tak jumpa awak, Ika. Alhamdulillah.. Allah
masih berikan kita kesempatan untuk
berjumpa walaupun hanya pertemuan yang tak dijangka!” kata Hurin riang.
Langsung dia lupa dengan kesedihan yang ditanggungnya.
“ Kan? Alhamdulillah.. rindu betul saya dekat awak Hurin. Tak
sangka boleh jumpa kat sini. By the way,
apa awak buat kat sini? Berbulan madu
ke? Mana suami awak?”
Mendengar perkataan ‘suami’ yang meniti di bibir Asyiqa kembali
membuahkan kesuraman pada wajah Hurin. Sudah lebih sebulan dia di sini, dan
selama itulah nama ‘suami’ tidak meniti di bibirnya. Bukan dia tidak rindu,
tetapi dia mahu belajar untuk menerima hakikat. Hakikat bahawa hubungan mereka
sudah berakhir. Tanpa sedar, satu keluhan dilepaskan. Asyiqa yang menyedari itu
semua mula dapat mengagak sesuatu yang tidak kena kepada kawannya.
“ Kenapa Hurin? Sesuatu berlaku ke?” Hurin senyum.
“ Semua tu terlalu rumit untuk diceritakan, dan kalau boleh saya tak mahu lagi ungkit pasal semua
tu. Cukup saya katakan, jodoh kami tak panjang,”
Asyiqa tersentak. Tidak hairanlah sedari tadi dia melihat wajah
Hurin suram. Rupanya ada kesedihan yang ditanggung wanita itu.
“ Hurin.. bersabarlah. Setiap yang terjadi itu pasti ada
hikmahnya,” Hurin senyum lagi. Ya, memang semua yang terjadi itu ada hikmahnya.
Buktinya, apa yang ada di dalam rahimnya kini.
“ Awak nampak berisi sikitlah Hurin.. makan banyak ek?”
“ Haruslah! Makan untuk dua orang!” tanpa sedar, Hurin mendedahkan
rahsia yang selama ini sekadar menjadi rahsianya. Asyiqa terpana. Hurin yang
menyedari akan keterlanjurannya menutup mulut.
“ A.. awak mengandung?” perlahan-lahan kepalanya dianggukkan.
Asyiqa pejam mata
.
“ Dah berapa bulan?” Hurin mengangkat tiga jari kanannya. Asyiqa
sedikit mengeluh.
“ Suami awak tahu?” Hurin mengeleng. Asyiqa sekali lagi terkedu.
Apa jenis suamikah yang dikahwini Hurin sehingga isteri mengandung pun tidak
diketahui? Ya Allah, apakah dugaan yang Kau berikan untuk wanita sebaik Hurin
Amni?
“ Tapi bukan salah dia.. Kami berpisah sebelum sempat saya
beritahu pasal anak ni,” Asyiqa mendakap tubuh temannya. Cuba meminjamkan
sedikit kekuatan. Dia tahu, Hurin melalui hari-hari yang begitu mendukakan. Dan
dia mahu Hurin tahu, dia ada buat wanita itu.
“ Sabarlah Hurin. InsyaAllah, Allah akan tunjukkan jalan yang
terbaik buat awak. Percaya pada janji Allah, ya?” Hurin kembali senyum.
“ Ya, saya sentiasa percaya pada janji Allah.. Tak pernah terlintas pun di fikiran saya untuk
menyalahkan takdir atas semua yang terjadi ni. Allah lebih tahu perancanganNya
untuk saya. Dan saya pula, sebagai hamba yang masih berusaha untuk menggapai
cintaNya akan terus utuh buat bayi dalam kandungan saya. InsyaAllah,”
Asyiqa menggenggam erat jemari sahabatnya. Sungguh dia kagum
dengan ketabahan yang dimiliki oleh wanita di hadapannya. Dia sendiri mungkin
tidak mampu untuk menempuhi semua ini.
‘Ya Allah, betapa besarnya hati yang Kau
kurniakan kepadanya. Berikanlah dia ketabahan yang tinggi agar dia akan terus
berdiri teguh mengharungi dugaan yang Kau hadiahkan buatnya.’
“ Awak buat apa dekat sini, Iqa?” soal Hurin, tiba-tiba. Asyiqa
senyum.
“ Saya sambung belajar. Awak?”
“ Alhamdulillah. Samalah kita! Mulanya saya bimbang juga untuk
bersendirian di sini, tapi, insya-Allah, ada awak di sisi, semuanya akan lebih
baik,” ujar Hurin. Asyiqa melebarkan senyuman.
“ Allah benar-benar memelihara ukhwah kita, kan? Eh, jomlah ke
rumah saya. Boleh saya masakkan sesuatu untuk awak,” pelawaan Asyiqa dibalas
dengan anggukan.
Hurin benar-benar mensyukuri pertemuan ini. Dia sedar, dan dia
sendiri tahu bahawa kedatangannya ke sini pada awalnya hanyalah untuk menjauh
daripada segala masalah yang dihadapi. Mungkin dia memang melarikan diri
daripada masalah, tetapi, apakan dayanya, dia juga insan biasa, tidak akan
pernah terlepas daripada melakukan kesilapan yang mungkin saja dia sendiri
tidak menyedarinya.
“ Kenapa mengelamun?”
Hurin pantas mengeleng. Biarlah gelodak jiwanya hanya dia dan
Allah yang tahu. Biarlah rasa yang bermain di jiwanya kekal menjadi rahsia yang
Satu. Rindu yang menggunung buat si suami atau mungkin jua kini sudah menjadi
bekas suami tidak mungkin akan terluah dengan bicara. Tidak mungkin terhurai
dengan air mata. Biarlah. Biarlah rindu itu hilang sendiri. Dia akan terus
berusaha memadamkan semua memori.
“ Hurin, apa kata awak pindah ke sini? Masih ada kekosongan lagi,”
cadang Asyiqa.
“ Tak apalah, Iqa.. Rumah sewa saya tu pun bukanlah jauh sangat
dari sini. Kita masih boleh jumpa bila-bila masa,” tolak Hurin, lembut. Asyiqa
mengangguk dalam terpaksa. Bukan dia tidak bersetuju dengan cadangan Hurin,
tetapi dia bimbang dengan keadaan Hurin. Tambahan pula, sahabatnya kini
berbadan dua.
“ Iqa, tempat ni memang indah, kan? Kali pertama jejakkan kaki
dekat sini, saya dah rasa macam tak nak balik dah ke Malaysia. Terasa macam dah
jatuh hati dengan tempat ni,” Hurin berbicara dalam senyuman yang tidak lepas
dari bibirnya.
“ Awak tak nak balik ke Malaysia lagi ke?”
Soalan itu tidak dijawab. Hurin hanya membalasnya dengan secebis
senyuman. Dia sendiri tidak pasti. Adakah dia akan terus tinggal di sini? Atau
tiba masanya dia akan pulang ke tempat yang banyak menyimpan memori itu?
Biarlah masa yang menentukan segala. Dan Hurin akan terus mengikut rentak
waktu.
……………………………………………………………………………………………………………………………………
“ Hai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta
bertakwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya.” (Ali-Imran
[200])
Hurin
menyapu air mata yang mengalir di pipinya. Ya, dia harus kekal kuat untuk
menghadapi dugaan ini. Biarlah Allah yang membalas segala kesabarannya nanti.
Perut yang makin besar disentuh.
“
Terima kasih sayang, kerana terus menjadi kekuatan ummi.. Semoga nanti sayang
menjadi anak yang solehah. Semoga nanti sayang menjadi seorang yang tabah. Semoga Allah berikan sayang
cintaNya yang melimpah ruah..”
Album gambar di atas meja diambil. Satu-persatu gambar
dibeleknya. Gambar Haq sedang tertawa gembira seakan menghiburkan hati Hurin.
Ya, hanya itulah pengubat rindunya.
“ Abang, Hurin betul-betul rindukan abang. Berdosakah Hurin
untuk memiliki rasa itu sedangkan di antara kita sudah tiada ikatan yang sah?
Hurin tidak mampu membuang rasa itu, abang. Hurin sudah mencuba sedaya upaya..”
Air mata Hurin kembali menitis, membasahi pipi. Tidak pernah dia
putus berdoa untuk lelaki itu. Siapalah dia, insan biasa yang mula jatuh cinta
untuk kali pertama buat sang suami? Bahagiakah lelaki itu kini? Mungkin jua
Dhiyaulhaq sedang bahagia melayari bahtera indah bersama kembarnya. Hurin jua
sedang cuba untuk ikhlas dalam setiap bicara. Ikhlas dalam setiap perbuatannya
untuk kebahagiaan mereka yang dicinta.
Keesokkannya, Hurin berjalan di sekitar pasar ditemani Asyiqa.
Ada sedikit keperluan yang harus dibelinya. Dan Asyiqa pula tidak menolak,
mungkin kerana gadis itu sendiri bimbang dengan keselamatan dirinya yang
mengalami sedikit alahan.
“ Hurin, awak okey? Kenapa muka pucat je ni?” soal Asyiqa yang
tidak lekang berada di sisi Hurin. Hurin pantas menggelengkan kepala.
“ InsyaAllah, tak ada apa-apa. Mungkin tubuh saya masih cuba
suaikan diri dengan persekitaran baru. Nanti lama-lama okeylah tu. Awak ada
apa-apa yang nak dibeli lagi ke?”
“ Saya nak beli barang dapur sikit. Kalau awak tak larat, awak
boleh tunggu dekat sini,” kerana bimbangkan kesihatannya melarat, Asyiqa
meminta Hurin menunggu di bangku yang berdekatan.
Hurin mengeluarkan telefon bimbit dari beg sandangnya. Gambar di
skrin masih belum berubah sejak enam bulan yang lalu. Ya, gambar di hari
pernikahannya dengan Haq. Mereka saling berpakat untuk meletakkan gambar
tersebut di skrin. Teringat perbualan antara dia dan Haq suatu ketika dahulu.
“ Kenapa letak gambar ni? Tak cantiklah! Dahlah abang renung
Hurin macam nak makan orang je..” adunya.
“ Alaa.. cantik apa! Abang renung bukan nak makan sayang, abang
renung tanda sayang.. Terpegun dengan keindahan yang Allah sajikan di hadapan
mata. Lagipun, abang renung yang halal untuk abang, bukannya renung orang lain,”
Haq menarik hidung mancungnya. Mengaduh Hurin tika itu.
“ Tapi gambar ni tak adalah cantik sangat.. tukarlah gambar
lain.. bolehlah..” Hurin masih merayu. Sebenarnya, dia sengaja berbuat
sedemikian. Semata-mata ingin mendengar kata-kata pujukan dari mulut suami
sendiri.
“ Cantik.. cantik sangat! Abang suka gambar ni! Abang tak kira..
sayang tak boleh tukar gambar ni. Gambar ni gambar pertama yang tunjukkan Hurin
berani tatap mata abang walaupun dalam keadaan malu-malu. So, sayang jangan
berani tukar tau!” ugut Haq pula. Dan mulai detik itu, Hurin dan Haq sama-sama
menggunakan gambar skrin yang sama di telefon bimbit mereka.
Hurin senyum sendiri tika terkenangkan peristiwa tersebut. ‘ Ya Allah..
betapa aku rindu untuk menjalani kehidupan seperti itu lagi. Akan tibakah
masanya untuk aku kembali merasai detik itu?’
“ Assalamualaikum.. Hurin Amni?” Hurin angkat wajah tatkala
mendengar suara seseorang menyebut namanya. Wajah di hadapannya dipandang
dengan riak terkejut.
“ Wa.. waalaikumussalam. Ri.. Rifdhi!” lelaki itu mengulum senyum.
Tanpa dipinta, Rifdhi melabuhkan duduk di sisinya. Pantas Hurin bangkit. Rifdhi
memandang keliru.
“ Maaf, kita bukan muhrim. Awak pun mesti tahu tentang itu,”
Rifdhi kembali tersenyum. Terlerai kerinduan di hati saat melihat
wanita tersebut. Sebentar tadi, dia hanya memandang dari jauh kelibat wanita
itu bersama Asyiqa. Dan apabila Asyiqa meninggalkan wanita tersebut sendirian, dia
menunggu seketika sambil memerhatikan Hurin yang leka merenung skrin telefon
bimbitnya sambil tersenyum sendiri.
“ A.. awak buat apa dekat sini?” tanya Hurin, agak resah. Tidak selesa
dengan kehadiran Rifdhi di situ. Apatah lagi dengan tempat mereka berada dengan
sekarang.
“ Saja-saja meluaskan pengalaman,” kata Rifdhi dengan senyuman yang
tidak lekang di bibir.
“ Awak makin cantik, kan Hurin?” Hurin menundukkan wajah. Sungguh dia
tidak selesa dengan situasi ini. ‘ Ya Allah.. berikan aku pertolongan.’
“ M.. maaf! Saya pergi dulu,” Hurin menapak, tetapi kata-kata
Rifdhi menghentikan langkahnya.
“ Kenapa nak cepat? Awak betul-betul bertambah cantik, Hurin..”
Rifdhi bersuara, seakan berbisik.
“ A.. apa awak cakapkan ni? I..ingat Rifdhi, saya masih kakak
ipar..”
“ Atau bekas kakak ipar?” Hurin tersentak.
“ Awak ingat saya tak tahu status awak sekarang? Hurin.. Hurin..
awak bekas kakak ipar saya, okey? Dan saya rasa itu bukan lagi halangan untuk
saya mendekati awak. Sejak dulu saya cuba dapatkan awak, dan sekarang, awak fikir
saya akan lepaskan peluang tu? No way, Hurin.. Abang saya memang dayus kerana
melepaskan awak. Terlalu terikut-ikut dengan kata hati. Percaya cakap orang
lain lebih dari isteri sendiri,”
Hurin terpana. Terkejut dengar bicara yang keluar dari mulut Iwadh
Rifdhi. Bait-bait terakhir bicara itu benar-benar menyentakkan tangkai hati. Apakah
yang dimaksudkan oleh Rifdhi? Lelaki itu dipandang. Rifdhi tersenyum. Senyum
penuh makna.
“ A.. awak.. apa maksud awak?” Rifdhi ketawa. Kaki Hurin bagaikan
digam. Dia ingin tahu kebenaran!
“ Hanya dengan sedikit ugutan! Hahahaha.. macam mana awak boleh
kahwin dengan lelaki macam tu? Kalau awak kahwin dengan saya, tentu awak takkan
menderita, Hurin! Awak tentu tak perlu usung perut awak ke sana ke mari, sedangkan
Haq sedang bahgia dengan hidup dia! Gembira tanpa awak di sampingnya!”
“ Hentikan Rifdhi! Haq bukan orang macam tu!” Hurin meninggikan
suara. Tidak sanggup mendengar yang bukan-bukan tentang suaminya!
“ Bangkit dari mimpi, Hurin Amni! Dia tak mencintai awak! Awak cuma
bayang masa silam dia. Awak hanya kesilapan dia!”
“ Cukup Rifdhi.. cukup!”
“ Awak kena terima hakikat!”
“ Tak!”
“ Saya sayangkan awak. Cintakan awak dari dulu lagi. Kenapa awak
pejamkan mata saja? Saya takkan berhenti kejar awak, Hurin. Walaupun saya
terpaksa korbankan darah daging saya sendiri!”
“ Iwadh Rifdhi! Kau cakap apa ni? Boleh tak kau jauhkan diri
daripada Hurin? Kau tak reti bahasa ke apa? Dia tak cintakan kau! Dari dulu
lagi!” Asyiqa tiba-tiba datang entah dari mana. Wajah gadis itu merah. Mungkin
geram dengan tingkahlaku Rifdhi. Hurin dirapati. Lengan temannya dipaut.
“ Kau jangan masuk campur, Iqa! Ini hal aku dengan Hurin,”
“ Aku ada hak untuk masuk campur. Hurin sahabat aku. Sahabat yang
Allah hadiahkan untuk aku jaga sebaiknya. Kau yang sepatutnya sedar dari mimpi,
Rifdhi. Hurin bukan untuk kau,”
“ Dan Hurin juga bukan untuk abang aku!”
“ Mungkin.. tapi Allah lebih tahu segala-galanya, Rifdhi. Sedarlah
hakikat itu. Mungkin jodoh Hurin dengan orang lain, siapa tahu? Dan Allah juga
dah tulis siapa jodoh kau, Dhi. Jangan terus berharap pada yang belum tentu..
Aku dengan Hurin pergi dulu. Assalamualaikum, ” suara Asyiqa kembali lembut.
Lengan Hurin ditarik. Kedua-duanya menapak menjauhi Rifdhi. Rifdhi
meraup wajah. Kata-kata Asyiqa tidak sekalipun mampu menenangkan hatinya. Hatinya
makin memberontak. Mahukan Hurin menjadi miliknya.
“ Aku takkan berhenti. Takkan! Hurin akan jadi milik aku! Tak kira
macam mana pun!”
………………………………………………………………………………………………………………………………….
Hurin mengelamun sendirian di biliknya. Kata-kata Rifdhi di
pertemuan mereka siang tadi mengganggu diri. Persoalan tentang statusnya
menyesakkan hati. Benarkah dia kini sudah bergelar bekas ipar Rifdhi? Betulkah dia
kini memegang status janda? Bersediakah dia untuk menghadapi kehidupan di luar
sana dengan status sebegini?
Sejak dia pergi meninggalkan bumi Malaysia, sejak itulah Hurin
berteka-teki dengan status dirinya. Di bibir, dia mengatakan bahawa dia bukan
lagi isteri Haq, tetapi di hati, hanya Allah yang tahu betapa dia masih
berharap yang dirinya kekal memegang status yang sah untuk lelaki itu.. Tapi,
kini…
“ Ya Allah.. Engkau Maha Tahu akan takdir hidupku. Aku pohon
padaMu, Penciptaku. Kuatkanlah semangatku untuk menempuhi ujianMu. Jangan Kau
pesongkan hatiku jauh dari rahmatMu. Aku hanya ada Engkau, Pemilikku.. Tabahkan
hatiku dalam menempuhi dugaan yang Engkau berikan kepadaku. Teguhkan iman di dadaku
sebagai bekalan untuk aku bawa berjumpa denganMu. Aku terima apa jua takdir
yang Engkau datangkan sebagai ujian buatku.. Aamin..”
Andai benar dia kini tidak lagi bergelar isteri kepada lelaki bernama
Dhiyaulhaq, Hurin redha. Benar, Allah sebaik-baik Perancang. Dia sendiri tidak
mahu meletakkan sebarang harapan. Haq sudah memilih jalan hidupnya, dan kini,
Hurin juga perlu meneruskan hidupnya. Jika dulu, dia terus setia menanti. Berharap
ada khabar gembira menyusul di saat-saat penghijrahannya ke sini, tetapi
penantian itu berakhir kini. Allah telah menunjukkan jalan untuk dia harungi.
“ Ikhlaskan hati menerima apa yang Allah takdirkan buat kita. Akan
tiba saatnya ujian yang Allah hadiahkan itu bertukar menjadi sesuatu yang indah
buat kita. InsyaAllah,” bicara ummi di petang hari tadi menggamit ingatan.
“ InsyaAllah, ummi. Moga Allah juga redha dengan Hurin. Sampaikan
salam Hurin buat semua. Assalamualaikum,”
Tiap kali berbicara dengan umminya, Hurin langsung tidak pernah
menyentuh tentang kisah silamnya. Untuk apa dia menambahkan luka yang masih
berdarah itu. Cukup baginya, dia tahu mereka semua berada dalam keadaan sihat
sejahtera. Kepada ummi tercinta juga sempat dititipkan agar perihal
kandungannya kekal menjadi rahsia. Dia tidak mahu menambahkan beban Haq. Ya, Haq
punya hak ke atas bayi yang sedang dikandungkan ini, tetapi dia masih belum
bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan singgah ke dalam
hidupnya. Cukup segala rasa yang berbolak-balik di dalam jiwa.
Dan apabila tiba saat dan ketika, dia pasti akan menghadiahkan Haq
hadiah terakhir itu. Anugerah yang Allah titipkan untuk dipelihara sebaiknya.
Untuk dididik menjadi seorang khalifah di muka bumi. Untuk diacu menjadi seperti
pemimpin acuan Al-Quran. InsyaAllah. Dia sendiri akan mendidik anak yang bakal
menjengah bumi ini dengan sebaik-baiknya. Dengan berlandaskan syariat Islam. Dengan
berpandukan didikan ummi dan walidnya sendiri.
Dan Hurin memejamkan mata. Cuba mencari ketenangan di balik cahaya
suram yang menyinari keheningan di Kaherah. Berharap hari-hari yang bakal
dititinya menjadi hari-hari yang lebih baik dari sebelumnya. Hari-hari yang
akan menguatkan lagi keazaman untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang bakal ibu
di dunia pinjaman Allah ini. insya-Allah..
~assalamualaikum..buat pembaca setia KALIMAH CINTA..maaf sangat10000 sebab buat anda tertunggu lama..terlalu sibuk dgn urusan sendiri sampai terlambat siapkan naskah terbaru ni. semoga terhibur dgn entry trbaru. ape2 komen silalah beri. sudi mendengar n menerima.. :)
maaf, tak panjang macam biasa..hehehe..~
salam sayang,
amira ayman.. ^^
X smbg dh ke?nk tau nxt chapter...sedih nye dgn hurin...
ReplyDeleteinsyaAllah. dlm mse trdekat. kekangan masa & idea buat kerja2 sy tergendala. maaf ye.. :)
Delete