‘
Allah menguji, dan aku menerima
ketentuan-Nya. Berharap agar hati ikhlas dalam menerima ujian Allah ini.
Meyakinkan hati bahawa ada hikmah di sebalik dugaan ini. Memperkuatkan diri
dalam menghadapi cabaran ini. Percayalah hati, kerana Allah kasih padamu,
barulah DIA menduga sebegini. Yakinlah diri, kerana Allah cinta padamu, barulah
DIA menghadiahkan kepahitan agar kemanisan yang akan dititipkan akan menjadi
lebih bererti buatmu..’
Hurin
menutup buku catatannya. Buku catatan yang kini telah menjadi sebahagian
darinya. Menjadi diari, tempat dia mencorek segala rasa. Meluahkan segala yang
terbuku di jiwa.
“
Hurin, jalan-jalan nak? Awak kena keluar ambil angin. Tak boleh terperuk dalam
rumah macam ni je. Baby pun nak jalan-jalan, kan? Dah, pergi siap. Saya tunggu
kat bawah, okey?” Asyiqa berkata, seraya menuju ke muka pintu. Hurin
menganggukkan kepala. Senyuman terukir di bibirnya. Bunyi pintu diketuk menghentikan
pergerakan Hurin yang sedang bersiap untuk keluar bersama Asyiqa.
“
Asyiqa, awak ke tu? Tertinggal kunci ke?”
“
Ya, saya ni. Saya tertinggal kunci. Ada barang yang saya lupa nak ambil. Tolong
buka pintu ni kejap,”
Hurin
bergerak ke arah pintu dan membukanya. Tergamam dia di saat itu tika melihat
insan yang berdiri di samping Asyiqa. Tubuhnya kaku. Lututnya terasa lemah. Dan
saat itu jugalah terasa dunianya gelap. Semuanya kelam.
……………………...........
Dhiyaulhaq
keluh-kesah di tempatnya. Pandangannya tidak beralih daripada insan di
hadapannya. Bimbang. Khuatir. Sedih. Kesal. Bertelingkah sesama sendiri. Dia
sedar akan kesalahannya, dan dia mahu merawat kembali luka itu. Apatah lagi
tatkala melihat perut wanita tersebut. Makin menggunung perasaan bersalahnya
tika itu.
“
Awak tak tahu apa yang dia hadapi sepanjang tempoh ni, Haq.. Walaupun dia
nampak macam setabah-tabah wanita, tapi hati dia rapuh di dalam. Dia terluka,
tapi langsung tak cuba tonjolkan. Dia menderita, tapi langsung tak ingin diperlihatkan.
Dia berpura-pura kuat tanpa awak di sisi dia, tapi dia tak mampu menipu bila
asyik merenung gambar awak setiap malam. Mungkin dia tersilap langkah suatu
masa dahulu, tapi itu sebab dia sayangkan awak, cintakan awak. Maafkanlah dia,
Haq.. dan jadikan dia hak awak kembali,”
Haq
melepaskan keluhan. Dia tahu semua itu, dan dia bersedia untuk menebusnya
kembali andai kata isterinya mahu menerimanya semula. Dia mahu hidup bersama
wanita itu hingga ke akhir hayatnya. Dia tidak lagi mampu bertahan tanpa wanita
itu di sisinya. Menemani hari-harinya. Cukuplah dengan derita yang terpaksa
ditempuhi saat wanita itu berlalu dari hidupnya. Dia tidak mahu bersendiri
lagi. Mahu ada wanita itu di setiap hari-harinya di muka bumi ini. Itu
janjinya. Janji yang terukir saat ijab dan kabul menjadi penyatu mereka suami
isteri.
“
Saya tak salahkan dia, Iqa. Saya sedar, itu semua silap saya. Saya yang
terburu-buru buat keputusan, dan akhirnya dia yang menjadi mangsa atas
keputusan tidak matang saya dulu. Sebab tu, sekarang saya hadir untuk menebus
kembali salah saya pada dia, dan pada anak kami. Saya tak mahu hidup dalam
kekesalan. Memikirkan silap saya pada dia dulu,”
Asyiqa
memandang sepintas lalu pada Dhiyaulhaq. Lelaki yang telah banyak membuat hidup
sahabatnya kucar-kacir. Lelaki yang menghuni setiap igauan Hurin Amni. Asyiqa
mencapai buku di sebelah katil Hurin dan diserahkan kepada Haq.
“
Bacalah Haq. Awak perlu fahami penderitaan Hurin sebelum berdepan dengan dia.
Emosi dia tak menentu kebelakangan ni. Sekurang-kurangnya, bila dia bangun
nanti, awak dah bersedia untuk menelan segala emosinya,”
Haq
menyambut jua huluran Asyiqa. Dihantar ucapan terima kasih kepada gadis itu
melalui senyuman di bibir. Setelah Asyiqa meminta diri, Haq duduk di atas sofa.
Bersedia membuka buku catatan yang memuatkan isi hati isterinya.
‘Tuhan.. sungguh, aku rindu padanya. Rindu pada ketenangan
senyumannya. Rindu pada kehangatan pelukannya. Rindu pada kelembutan bicaranya.
Ya Allah, bilakah aku mampu menghuraikan rindu yang terbungkam di kalbu?
Mencengkam dalam sanubari ini? Masihkah ada sekelumit kemaafan buat diri ini
daripada dia? Masihkah dia marah tentang penipuan daku dahulu? Allah..
sampaikan salam kemaafan dariku buat dia yang aku rindu di setiap waktu.
Dhiyaulhaq.. :’( “
Dhiyaulhaq
menarik nafas panjang. Benar-benar kesal dengan sikapnya selama ini. Kerana
keegoannyalah Hurin membawa diri. Kerana kedinginannya jualah wanita itu merana
hingga kini.
“
Maafkan abang, sayang..”
“ Khabar yang dibawa oleh Rifdhi benar-benar mengganggu diri.
Benarkah apa yang disampaikan olehnya kepadaku? Ya Allah.. benar, aku langsung
tidak berharap begini akhirnya. Langsung aku tidak berharap yang abang akan
menceraikan diri ini walau itu yang sepatutnya aku terima. Abang, benarkah
sudah tiada lagi rasa kasih di dalam hati abang untuk Hurin? Benarkah tidak
pernah ada cinta untuk diri ini?”
Rifdhi?
Apa maksud Hurin? Adakah Rifdhi sudah menyampaikan sesuatu yang tidak
sepatutnya kepada Hurin? Apa tujuan Rifdhi sebenarnya? Dhiyaulhaq cuba mencerna
satu persatu cerita yang tersirat di sebalik diari Hurin, mengharapkan
segala-galanya terungkai jua.
……………………………………
Hurin
membuka mata perlahan-lahan walau sebenarnya dia langsung tidak mahu berbuat
sedemikian. Masih mahu bermimpi tentang si suami yang tiba-tiba menjengah ke
dalam khayalan. Ya, dia bermimpi akan kehadiran Dhiyaulhaq ke bumi Mesir ini
dengan harapan untuk menjernihkan hubungan mereka. Menyatukan kembali dua hati
yang telah berpisah sejak sekian lama.
“
Hurin..”
Hurin
senyum sendiri dengan mata yang kembali terpejam rapat. Terasa basah matanya
tatkala terdengar suara itu memanggil. Seakan-akan ia realiti dan bukan sekadar
khayalan diri.
“
Abang.. Hurin rindu abang..” menitis jua air matanya saat cuba menguraikan rasa
rindu yang mendiami hati.
“
Abang pun rindukan Hurin. Rindukan sayang sangat-sangat…” suara itu seakan
berbisik di telinga. Dan saat ada tangan menyapa di muka, menyapu perlahan
mutiara di wajahnya, Hurin membuka mata seluasnya. Terpampang wajah itu di
hadapan mata. Dekat dengan wajahnya. Bahkan, ada senyuman terukir di wajah yang
semakin kacak di matanya itu.
“
Allah, sungguh aku rindu dia. Mengapa begitu kuat rindu ini pada dia? Mengapa
sehingga aku terbayangkan dia di hadapan mata?”
Haq
sudah tidak mampu menahan tangis. Dibiarkan jua air mata lelakinya menitis
membasahi pipi. Terluka melihat Hurin sedemikian rupa. Menderita dek kerana
terlau merinduinya..
“Ya
Allah, betapa berdosanya aku terhadap amanat yang telah Kau titipkan untuk aku
pelihara. Ampunkan daku atas khilafku yang menyebabkan dia terluka..”
“
Hurin.. Hurin tak bermimpi sayang.. memang abang ada di depan Hurin sekarang.
Abang takkan tinggalkan Hurin lagi. Maafkan abang, sayang.. maafkan abang sebab
biarkan sayang tanggung semuanya sendiri. Abang bukan suami yang baik untuk Hurin..
Maafkan abang..”
Hurin
Amni memandang wajah itu. Sedar bahawa dia tidak bermimpi. Apa yang dilihat itu
sememangnya realiti. Disentuh wajah Haq dengan jemarinya, dan tatkala jemari
Haq menggenggam erat jari-jarinya, air mata Hurin merembes laju. Haq membawa
Hurin ke dalam dakapan. Mereka saling melepaskan tangis. Menghurai rindu yang
sekian lama tersimpan.
“
Abang.. Hurin rindu abang. Rindu sangat-sangat. Kenapa abang lambat datang?
Kenapa abang tak datang dari dulu lagi? Kenapa baru sekarang?” bertalu-talu
soalan diajukan. Haq mengeratkan pelukan.
“
Maafkan abang, sayang. Abang dah cuba yang terbaik untuk jejak sayang. Tapi,
tak ada sorang pun yang nak beritahu abang ke mana sayang pergi. Sayang tahu
tak, abang merana bila sayang tak ada di sisi abang. Abang rasa separuh jiwa
abang hilang,”
“
Tapi abang tak tahu apa yang Hurin terpaksa tempuhi di sini tanpa abang, kan?
Abang tak tahu bagaimana perasaannya bila kita tak mampu berkongsi perasaan nak
jadi ibu bapa tanpa suami kita sendiri tahu tentang kehamilan kita. Abang tak
tahu bagaimana terlukanya Hurin bila Hurin perlu tanggung segala-galanya
sendiri. Abang tak pernah tahu, dan takkan tahu!”
Hurin
tiba-tiba memberontak, cuba melepaskan diri daripada dakapan sang suami. Haq
yang menyedari, bertindak pantas dengan memeluk si isteri serapatnya. Betul
kata Asyiqa, dia harus bersedia dengan emosi Hurin yang tidak menentu. Dan dia
bersedia, bersedia menerima amarah isteri asalkan wanita itu mampu memaafkan
dirinya.
“
Ya, sayang. Abang tak tahu. Abang yang bersalah sebab tak ambil tahu tentang
isteri abang ni. Maafkan abang, sayang, dan izinkan abang tebus kembali
dosa-dosa abang pada sayang. Beri abang peluang sayang. Beri abang peluang
untuk jadi suami yang setia, menjadi walid yang penyayang, dan menjadi pendamping
yang sempurna untuk isteri abang dunia dan insya-Allah di syurgaNya nanti,”
“
Tapi Hurin bukan isteri abang lagi.. Rifdhi cakap, abang dah ceraikan Hurin.
Abang tinggalkan Hurin kerana ugutan dia. Astaghfirullah.. apa Hurin buat ni?
Lepaskan Hurin. Hurin lupa tentang hubungan kita!”
“
Tak, sayang! Sebab abang lepaskan Hurin dululah kita jadi macam ni! Sebab abang
tersilap langkah. Abang tak pernah lepaskan Hurin! Tak pernah terlintas pun di
fikiran abang untuk ceraikan isteri abang ni. Hurin masih isteri abang. Pertama
dan terakhir di hati abang,”
“
Tapi Rifdhi.. Kak Ain..”
“
Lupakan tentang mereka untuk seketika, sayang. Cukup dengan semua derita yang
kita lalui sepanjang perpisahan ini. Dalam bilik ni cuma ada abang dan sayang,
dan biarkan ia sebegitu. Jangan diselitkan orang lain dalam kisah kita. Abang
cuma mahukan Hurin sekarang, bukannya orang lain..”
Haq
melabuhkan bibir di dahi Hurin. “Ya Allah, izinkan daku menebus kembali
sisa-sisa waktu yang terbuang antara kami dahulu. Izinkan hamba-Mu ini terus
bertapak di hati Hurin Amni untuk selamanya. Izinkan daku menjadi suaminya
dunia dan di akhirat jua. Izinkan daku memimpin dia ke syurgaMu, ya Rabb.
Restui kami. Rahmati kami. Hanya Engkau Sebaik-baik Perancang,”
Demi
Hurin Amni, wanita yang dia cintai, akan dia pertahankan cinta itu sampai
mati. Akan dia selesaikan pertarungan
antara dua lelaki walau dengan adiknya sendiri. Akan dia pinjamkan bahu di saat
berita tentang Hurin Ainina menjengah telinga isterinya nanti. Biarlah waktu
yang ada ini diisi dengan manisnya cinta antara mereka. Biarlah cinta mereka
kekal bahagia sampai syurga. Dia tidak mahu Hurin terus terluka. Dia mahu
menjadi yang terbaik untuk isteri yang tercinta. Itu janjinya. Janji dari
seorang lelaki buat seseorang yang bergelar isteri.
………………………………………
Hurin
menggenggam erat jemari sang suami. Kepalanya dilentokkan di bahu lelaki itu.
Terasa indah perasaan yang menyelinap ke dalam jiwa. Perasaan yang sudah lama
tidak dirasainya. Dan kini, ia seakan mimpi yang nyata. Melihat si suami berada
di sisi adalah anugerah terindah dari Tuhan buat dirinya. Apatah lagi, ketika
dia sedang berbadan dua. Benarlah, di sebalik setiap ujian, pasti akan ada
terselit hikmah di sebaliknya. Cepat mahupun lambat, bahagia pasti menjengah
jua.
“
Sepanjang sayang mengandung ni, ada tak apa-apa yang sayang mengidam? Kalau
nak, abang boleh carikan untuk sayang,” soal Haq. Hurin senyum. Masih terasa
bermimpi di malam hari!
“
Alhamdulillah, bang.. baby kita ni memahami sungguh! Tak ada pulak Hurin
mengidam apa-apa sepanjang mengandung ni. Mungkin baby ni faham yang ummi dia
tengah sedih, sebab tu dia baik-baik je,”
Haq
memalingkan tubuh Hurin ke arahnya. Entah mengapa, terbit kembali rasa bersalah
di hatinya. Mungkin kesal kerana meninggalkan si isteri menanggung semuanya
sendiri.
“
Maafkan abang, sayang. Kalau bukan sebab abang, Hurin tak perlu hadapi semua ni
kan? Allah.. macam mana abang nak tebus segala salah abang pada sayang? Apa
yang dah abang buat selama berbulan-bulan ni?”
Hurin
senyum. Dipegang kedua-dua pipi sang suami dengan tangannya. Ya, inilah dia
wajah yang menjadi igauannya semenjak berbulan-bulan dahulu. Wajah yang sering
menemani tidurnya. Wajah yang sangat dirinduinya.
“
Semua dah berlalu kan, bang? Let’s forget about the past. Allah dah hadiahkan
suami Hurin di sisi Hurin sekarang pun dah lebih dari cukup. Bahkan Allah
makbulkan doa Hurin untuk ada zuriat dengan abang. Hidup Hurin dah lengkap,
bang.. Hurin cinta abang. Selamanya,”
Haq
senyum. Tenang mendengar bicara si isteri. Hilang sudah gundah yang melanda
jiwanya sebentar tadi.
“
Tak sangka abang, isteri abang ni makin romantik ya sekarang? Dulu bukan main
malu-malu. Sekarang, dia lagi advance dari abang.” Haq mengusik. Hidung Hurin
dicuit. Hurin senyum malu.
“
Abang ni.. mengusik pulak dia,”
“
Dengan isteri abang je sayang. Tak apa, kalau Hurin segan jadi romantik, biar
abang yang romantik ya? Biar abang pulak yang galaukan hati sayang abang ni..”
Haq
senyum, wajah Hurin diangkat dengan jemari. Lama mata mereka bersatu. Saling
menghantar mesej rindu ke dalam hati masing-masing. Dahi Hurin dicium lembut.
“
Terima kasih kerana sudi terima abang kembali dalam hidup sayang. Terima kasih
sebab tak pernah lekang menanti abang walau sayang sendiri tak pasti tentang
hubungan kita,” Haq menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan.
“
Dan terima kasih juga sebab sayang menjaga anugerah Allah buat kita ni
sebaik-baiknya. Sampai mati abang tak mampu balas pengorbanan sayang. Abang
kasih sayang, rindu sayang, dan cinta sayang kerana Allah. Terima kasih
Allah.!”
Dan
akhirnya, bibir Haq berlabuh di bibir si isteri. Lama mereka berkeadaan
sebegitu. Seakan kedua-duanya cuba melampiaskan segala dendam rindu yang
menyesakkan dada. Meraikan cinta yang kembali bertaut di antara kedua-dua
mereka.
……………………………………………………