“ Kenapa Hurin tak pernah beritahu abang tentang benda ni? Kenapa
Hurin perlu sembunyikan semua ni daripada abang? Kenapa Hurin, kenapa?”
Hurin masih menundukkan wajah. Langsung dia tidak berani
mengangkat muka. Dia tahu, dia yang bersalah. Bersalah kerana menyembunyikan
hakikat sebenar. Dan kini, hakikat itu sudahpun diketahui oleh Haq. Semuanya
kerana kunjungan suaminya ke rumah ibu bapanya dengan niat untuk menziarahi
mentuanya.
“ Maafkan Hurin, abang. Hurin tak tahu nak bercerita dari mana,
dan ini semua juga kehendak kak Ain sendiri. Kak Ain yang minta Hurin rahsiakan
benda ni daripada pengetahuan abang. Maafkan Hurin, bang..”
Hurin sudah terduduk di lantai. Kelopak matanya digenangi air
mata. Dia cuba. Cuba bertahan agar empangan matanya tidak pecah. Ya, dia akui.
Silapnya juga kerana mengikut kehendak kakak kembarnya untuk menyembunyikan
perkara sebenar. Tiada siapa yang menyangka perkara ini akan terjadi apatah
lagi sepanjang tiga bulan Hurin dan Haq berkahwin, Haq tidak pernah ke rumah
keluarganya sendirian.
“ Kenapa Hurin dan Ain perlu sembunyikan benda ni daripada abang?
Hurin tahu tak, betapa abang rasa bersalah dengan Ain akan kesalahan abang pada
dia dulu? Sampai bila kita bertemu, abang sangkakan Hurin ialah Ain. Sebab tu,
abang cuba tebus dosa silam abang pada Ain. Tapi tak sangka, abang ditipu
hidup-hidup!” suara Haq meninggi.
Dia langsung tidak menjangka kunjungan ke rumah mentuanya pada
hari itu akan membongkarkan sebuah rahsia yang tidak pernah dia ketahui. Di
sana, dia melihat seorang gadis mirip Hurin, duduk di kerusi roda sambil
membuang pandang ke luar jendela. Dia tertanya-tanya siapa gadis itu, dan saat
mendengar nama yang meniti di bibir umi, Haq merasakan tubuhnya kaku! Saat
gadis itu berpaling, mereka berdua terkedu. Haq dengan riak tidak percaya, dan
Hurin Ainina dengan wajah terkejut.
“ Abang.. maafkan Hurin.. Hurin tak berniat..”
“ Sudah Hurin! Abang tak mahu dengar apa-apa lagi! Tergamak Hurin
buat macam ni kat abang! Selama ni, mesti Hurin seronok kan?? Yalah, dapat
mainkan perasaan lelaki yang pernah buat kakak Hurin kecewa dulu. Dapat balas
dendam atas perbuatan abang pada Ain. Seronok, kan?!”
Hurin tersentak mendengar nada suara suaminya. Air mata yang
ditahan akhirnya gugur jua ke tanah. Hatinya terguris mendengar setiap bicara
yang lahir daripada bibir itu, namun apakan daya, semua itu juga silapnya. Jika
bukan kerana amanat yang diberi, pasti semuanya ini tidak akan terjadi! Tentu
dia tidak akan punya rasa ini! Ya! Rasa kecewa, terluka, bersalah. Semuanya
menjadi satu dalam jiwa. ‘Ya ALLAH.. berikan aku kekuatan untuk menghadapi
dugaan ini. Aku harus kuat untuk kerukunan rumah tangga kami. Aku harus kuat
untuk amanah yang baru Engkau titipkan ke dalam rahimku.
“ Abang.. tolong.. tolong maafkan Hurin. Hurin tak perlukan
apa-apa lagi. Hurin hanya mahukan kemaafan abang..” pinta Hurin lagi. Kaki
suaminya dipaut. Syurganya di tapak kaki suami. Apapun yang terjadi, dia tidak
mahu Haq menyimpan sedikit pun sakit di hati buatnya. Biarlah semuanya selesai
di saat ini.
“ Abang perlukan masa, perlukan ruang untuk bersendiri! Abang
masih terkejut dengan semua ni. Semua ni di luar fikiran abang. Pergi simpan
baju Hurin, abang hantar Hurin ke rumah umi dan walid,”
Hurin tersentak. Tidak! Umi dan walid tidak harus tahu tentang
perkara ini! Tiada siapa yang tahu tentang rahsia yang menyebabkan Hurin Ainina
menjadi seperti sekarang. Hanya mereka bertiga, dan ALLAH yang tahu! Dia tidak
mahu umi dan walid terjebak dalam masalah ini. Dia tidak mahu orangtuanya susah
hati dengan keadaan rumah tangganya. Tidak!!
“ Abang.. tolong jangan hantar Hurin ke rumah umi dan walid,
abang.. Kalau pun abang tak sudi tengok muka Hurin, belum bersedia untuk
maafkan Hurin, tolong jangan minta Hurin ke sana, bang. Biarlah Hurin duduk
dekat rumah kita ni.. Tolong bang.. Hurin rayu pada abang,”
Haq melepaskan keluhan. Mindanya bercelaru. Kepalanya berserabut.
Bukan dia tidak kasihan kepada isterinya, tetapi dia benar-benar memerlukan
ruang untuk berfikir. Semua perkara ini tidak pernah dijangkakan. Diarahkan si
isteri bangkit. Wajah yang redup dilinangi air mata itu ditatap. Perasaannya
keliru. Entah mengapa perlu ada rasa itu, dia sendiri tidak pasti.
“ Hurin duduklah sini. Biar abang yang keluar. Maafkan abang,”
Hurin menutup mata saat suaminya mencium dahinya. Sebak di dada
hanya Allah yang tahu. Air mata terusan jatuh dari pipinya. Dia mengambil tempat
di sofa. Menungu si suami yang sudah menghilangkan diri ke tingkat atas. Tidak
lama kemudian, Haq turun bersama sebuah beg.
“ Abang..”
“ Jaga diri Hurin baik-baik. Bila abang dah bersedia, abang akan
balik ke sini..”
Terasa mahu pitam di saat itu juga. Tetapi, dikuatkan hatinya
untuk terus utuh berdiri. Jika bukan untuk dirinya pun, Hurin tahu, dia perlu
terus bertahan untuk benih yang bercambah itu.
Kereta Haq mulai hilang dari pandangan. Hurin berpaut pada daun
pintu. ‘ Sungguh hebat dugaanMu yang satu ini, ya Allah. Wahai permata hatiku,
keranamu aku terus utuh di sini. Keranamu aku kuatkan diri. Hanya kerana kau,
benih cinta antara aku dan walidmu, sayang...”
“ Abang.. Hurin mengandungkan anak kita.. Cahaya mata kita yang
pertama, bang.. Maafkan Hurin sebab tak sempat beritahu abang tadi.. Hurin
ingat nak buat suprise, tapi abang terlebih dahulu dapat kejutan..”
Hurin bersuara sendiri. Kepulangannya
dari klinik tadi disambut dengan amarah sang suami. Berita gembira yang ingin
dikongsi tersekat di kerongkong. Hilang semua keceriaan yang bertapak di jiwa
tika mendengar khabar buruk itu. Benar, kegembiraan kita akan dicemburui
kedukaan.. Dan aku mengalami itu saat ini..
“ Hurin, kenapa umi tengok dua tiga hari ni kamu macam tak sihat
je? Kamu okey?” Hurin pantas menganggukkan kepala mendengar pertanyaan daripada
uminya.
“ Alhamdulillah, umi. Hurin sihat.. Umi jangan bimbangkan Hurin,
ya?”
“ Baguslah macam tu. Umi nak tanya, Haq mana? Dah lama ummi tak
jumpa dia.. Sibuk sangat ke?”
“ Aah umi. Abang sibuk sikit. Tambah-tambah, ni dah hujung tahun.
Lagilah dia sibuk,” Hurin cuba menyembunyikan resah di hati. Sudah hampir dua
minggu dia tidak bertemu dengan suaminya itu. Untuk bertanya kepada keluarga
mentua, dia bimbang akan mengundang sangsi. Tanpa sedar, Hurin melepaskan
keluhan.
“ Kenapa mengeluh, Hurin?”
“ Ha? Tak ada apa-apa, umi..”
“ Jangan mengeluh kalau pun kamu ada masalah. Ia seolah-olah kamu
tidak redha dengan apa yang telah Allah tetapkan buat kamu. Setiap masalah ada
penyelesaiannya. Kamu hanya harus terus bersabar,”
Hurin senyum. Ya, dia tidak harus mengeluh walau apa jua halangan
yang mengunjungi dirinya! Dia harus terus kuat untuk anak yang dikandungnya!
Allah lebih tahu apa yang terbaik buatnya. Barangkali Allah mengujinya saat ini
untuk memberikan dia bahagia di kemudian hari. InsyaAllah..
“ Umi.. Hurin..” kedua-duanya berpaling ke arah yang sama. Hurin
Ainina tersenyum melihat mereka.
“ Umi, boleh tak Ain nak cakap dengan adik sekejap?” seakan
mengerti, Ummi Khadijah pantas mengundurkan diri. Kini, tinggal mereka berdua.
Hurin Ainina menggerakkan kerusi roda agar hampir dengan adikknya.
“ Hurin..”
“ Erm..”
“ Hurin ada masalah kan, dik?” Hurin Amni mengelengkan kepala.
“ Hurin okey. Cuma agak letih,” Hurin terusan berbohong. Dia tidak
mahu masalah rumah tangganya diketahui orang, meski kakaknya itu layak
mengetahuinya.
“ Hurin, tak payah tipu kakak.. Kakak tahu rumah tangga Hurin
sedang bergolak, dan kakak tahu, kakaklah puncanya. Kakak minta maaf, dik..”
Hurin pantas melabuhkan pandang ke arah kakaknya. Wajah gadis itu
mendung. Jemari kakaknya digenggam.
“ Kak..masalah yang Hurin hadapi tak ada kaitannya dengan kakak.
Ia silap kami, kak. Hurin sendiri tak mampu nak berterus-terang dengan abang
Haq. Sepatutnya, dari awal lagi Hurin ceritakan perkara sebenar..”
“ Tapi dik.. Hurin buat macam tu sebab kakak yang minta. Bukan
kehendak Hurin. Kak minta maaf, dik.. Kakak silap. Kakak hanya fikirkan sendiri.
Langsung tak fikirkan kesan semua ni pada rumah tangga Hurin,”
“ Berapa kali Hurin nak beritahu, semua ni bukan salah kakak..”
Hurin sudah tidak mampu menahan air mata. Dia terduduk di sisi
kembarnya. Terasa beban di bahu tidak mampu digalas lagi. Rindu pada sang suami
membuku di hati. Sakit yang bertapak di jiwa merantai diri.
“ Hurin..”
“ Kak.. Hurin sangka, Hurin tabah untuk hadapi semua kak.. Tapi,
percaturan Allah Maha Hebat.. Hurin lemah pada hasutan iblis. Hurin benar-benar
rasa bersalah pada abang, pada kakak. Maafkan Hurin,kak.. Hurin tak berdaya
menjadi adik yang baik buat kakak. Kak.. Hurin rela, kak.. Hurin rela serahkan
kembali kebahagiaan kakak..”
“ Hurin! Jangan sesekali kamu cakap macam tu! Berapa kali kakak
kena beritahu yang antara kakak, dan Haq, kisah kami dah lama berlalu. Haq
tercipta untuk kamu, Hurin!”
“ Kak..”
“ Dah Hurin.. kakak tak mahu dengar apa-apa lagi,” Hurin Ainina
menolak kerusi roda masuk ke dalam. Hurin Amni teresak-esak menahan tangis.
“ Ya ALLAH..berikan petunjuk kepada hambaMu yang hina ini. Jangan
KAU letakkan aku di persimpangan ini..”
Sungguh, kala ini, Hurin Amni terasa lemah sekali. Dunianya tanpa
Haq terasa sepi. Hanya kepada Yang Satu dia pinta kekuatan untuk mengharungi
hari-hari mendatang. Demi permata yang bakal menjengah dunia suatu hari nanti.
“ Permataku.. kekuatanku. Ketabahanku dalam menghadapi dugaan
Allah yang Maha Hebat ini.. Permataku.. akan umi cari secebis kekuatan sebagai
bekalan untuk umi terus gagah mengharungi hidup tanpa hadir walidmu.. bukan
walidmu tidak mengasihimu, nak.. Cuma silap umi.. umi yang tersilap mengatur
langkah. Andai dari dulu umi berterus terang, pasti walidmu ada di sisi umi
untuk merasakan nikmat ALLAH ini..”
Mutiara jernih di pipi disapu lembut.
‘ Abang..ke mana abang menghilang? Tak mahukah abang berkongsi rasa bahagia
yang sama yang ada dalam diri Hurin kini, bang? Abang.. hadirlah.. Hurin mahu
abang juga merasakan kebahagiaan ini. Anak kita, bang.. anak kita..’
Hurin menapak perlahan ke dalam rumah itu. Hatinya berbelah
bahagi. Tetapi, dia tidak mahu dipandang serong oleh keluarga mentua, dan
kerana itulah dia berada di sini. Biar hubungannya dengan suami sendiri keruh,
asalkan bukan dengan keluarga mentua. Dia tidak mahu dituduh menantu tidak
bertanggungjawab, langsung tidak menjenguk mereka di sini.
“ Assalamualaikum..”
“ Waalaikumussalam.. Hurin! Ya Allah..lamanya kamu tak datang..
Rindu betul mama pada kamu,”
Hurin menyalami tangan ibu mentuanya sebelum tubuh itu didakapnya.
Senyuman tetap dikuntum. Hurin tahu, kasih sayang ibu mentuanya melimpah ruah
buat dirinya. Apatah lagi, Haq cuma dua beradik. Hurin pula menantu pertama,
juga dianggap seperti anak perempuan buat keluarga itu.
“ Yo tu.. bila mama tanya, kenapa dia datang sorang-sorang,
katanya kamu tak sihat. Betul ke kamu tak sihat? Dah ada isi ke?”
Hurin senyum sumbing. Telahan ibu mentuanya memang tepat, tetapi
dia belum bersedia untuk berkongsi cerita. Dia tetap mahukan Haq yang menjadi
insan pertama yang mengetahui perkhabaran gembira ini.
“ Tak adalah, ma. Mungkin sebab selama ni Hurin tak pernah berehat
lama-lama kot. Ni bila dah tak kerja, tak banyak bergerak, tu yang jadi letih
tu.”
Hurin beristighfar dalam hati. ‘Maafkan Hurin, ma.. Bukan niat
Hurin untuk menyembunyikan perkara sebenar, tapi Hurin hanya nak anak mama,
suami Hurin, jadi insan pertama yang tahu tentang berita ini.’
“ Hu.. Hurin! Lama tak jumpa awak. Sihat ke?” Rifdhi melebarkan
senyuman melihat insan yang berdiri di hadapannya. Tidak sia-sia dia mengambil
keputusan untuk pulang ke rumah mamanya hari ini.
“ Sihat, Alhamdulillah. Kamu?” Rifdhi angguk dalam senyuman yang
memekar.
“ Apa hal kamu panggil kakak ipar kamu ni macam tu, Dhi? Hormatlah
sikit,” tegur Hajjah Zulaikha. Rifdhi sengih.
“ Tak apalah, ma. Lagipun Hurin dengan Rifdhi ni sebaya. Mungkin
dia sendiri kekok kalau tiba-tiba kena panggil Hurin, kakak. Kami pun dah lama
kenal..”
“ Betul kata Hurin tu, ma!” Hajjah Zalikha mencebik.
Rifdhi senyum bahagia tika melihat wajah insan yang dirindui di
depan mata. Ya, meski Hurin kini menjadi kakak iparnya, tetapi hatinya tidak
pernah berubah. Dia tetap punya rasa cinta kepada wanita itu. Saban hari, hanya
wajah Hurin Amni yang bermain di tubir matanya. Dia tidak mampu. Tidak mampu
untuk menumpahkan kasih kepada orang lain selain daripada wanita ayu tersebut.
“ Kenapa Dhi pandang Hurin macam tu?” Hurin tunduk tika pandangan
mata mereka bertembung. Rifdhi senyum. Ah, Hurin! Engkau tetap menarik di
mataku!
“ Dhi tengok Hurin macam ada masalah je.. Ada apa-apa yang tak
kena ke Hurin?? Atau abang Yo tak layan Hurin dengan baik?” Rifdhi cuba serkap
jarang. Hurin tergamam. Adakah Rifdhi dapat meneka gelodak hatinya? Tidak,,
tidak mungkin!
“ T.. tak adalah! Memandai saja Dhi ni.. Alhamdulillah, setakat ni
hubungan kami masih berjalan lancar, dan insyaAllah, akan terusan begitu.
Rifdhi bila lagi? Tak nak bagi mama dengan walid menantu baru ke?”
Hurin cuba berjenaka. Dilabuhkan duduk di sebelah ibu mentuanya.
Hajjah Zalikha turut menganggukkan kepala, tanda setuju dengan bicara Hurin.
“ Erm.. Dhi tak bersedia lagilah. Lagipun, Hurin dengan abang baru
lagi berkahwin kan? Baru nak masuk empat bulan. So, biarlah mama bermanja
dengan menantu yang sorang ni puas-puas dulu. Boleh, kan ma?”
“ Banyaklah kamu punya alasan, Dhi.. macamlah mama tak kenal kamu
tu. Girlfriend tu ramai, tapi yang berkenan di hati tu tak ada, kan? Gadis
macam mana yang kamu cari sebenarnya ni? Biar mama yang tolong carikan,” Hajjah
Zalikha memberi cadangan.
“ Macam Hurin,”
Ringkas jawapan yang diberikan, tetapi sudah mampu menyentap
tangkai jantung si pendengarnya. Hurin terkaku. Berharap benar dirinya patah
kata yang keluar dari mulut Rifdhi tidak disalah sangka oleh si ibu mentua.
“ Kamu ni jangan nak bergurau pula. Mama tanya betul-betul ni,”
Rifdhi ketawa. Hurin mengurut dada. Bersyukur kerana Rifdhi sekadar bercanda.
“ Dah memang Dhi ni suka bergurau, nak buat macam mana. Tak apalah,
ma.. lama-lama nanti, adalah jodoh Dhi tu. Lambat atau cepat saja. Tak apalah,
Dhi nak keluar ni. Bye ma!”
Rifdhi sudah bangkit dari duduknya lantas bersalam dengan mamanya.
Sempat dia menjeling sekilas ke arah Hurin. Pasti ada debaran di dada wanita
itu di saat ini. Masakan tidak, adik iparnya meluahkan kata-kata sedemikian
sebentar tadi.
‘ Ya, Hurin. Aku memang mahukan
perempuan seperti kau. Dan akan selamanya aku hanya akan menyukai perempuan
seperti kau. Atau lebih tepat, aku hanya akan mencintai kau!’
“ Sampai bila kau nak macam ni, Haq? Kau tak kasihankan isteri kau
ke? Kau tak fikir, apa yang perlu dia jawab pada mak ayah mentua kau, pada
family kau sendiri? Kau tak fikir ke semua tu?”
Haq hanya membisu. Kata-kata Aiman bukan tidak bertapak di hatinya
walau sedikit pun, tetapi kerana mengikut kata hati, ego terus dibiarkan
menguasai diri. Bukan dia tidak kasihankan isteri yang ditinggalkan sendiri,
tetapi dia tidak mahu mengalah dalam hal ini. Ya, dia masih marah dengan
penipuan yang dilakukan oleh kedua-dua wanita yang disayanginya. Disayangi? Ya,
dia masih menyayangi Ain, atau lebih tepat dia merasa simpati akan gadis yang
pernah dilukainya itu. Dan Hurin? Masakan dia tidak mencintai wanita itu,
wanita yang sudah dinikahinya sejak empat bulan yang lalu. Wanita yang sudah
menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Namun, Haq masih keliru. Keliru dengan rasa hati sendiri. Dia tidak
pasti sama ada rasa kasih yang bercambah di dalam hatinya buat Hurin adalah
rasa yang sama dialami buat Ain. Kenapa? Kerna dia mengahwini Hurin kerana
ingin menebus silapnya kepada Ain. Dan apabila kebenaran telah terbongkar, Haq
menjadi tidak pasti dengan rasa yang ada di dalam hati. Berdosakah dia kerana mempunyai
rasa yang sedemikian? Tetapi, ia bukan kesilapannya. Ia disebabkan oleh rahsia
yang disembunyikan tanpa pengetahuan dirinya sendiri!
“ Hang dengar ke tidak apa yang aku cakap ni, Haq? Perabih air
liuq aku ja cakap dengan hang ni, tau idak? Baik aku layan movie, ada gak
pekdahnya,” Aiman sudah berlalu dari situ. Haq melepaskan keluhan. Apa khabar
agaknya Hurin di sana?
Telefon bimbitnya tiba-tiba bordering. Haq memandang ke skrin. Nombor
tidak dikenali tertera. Siapa agaknya yang menelefon?
“ Helo? Siapa ni?” Haq memulakan bicara.
“ Aku tahu, kau dah tak tinggal sebumbung dengan isteri kau, kan? Untuk
pengetahuan kau, kalau kau tak lagi suka pada isteri kau, kau boleh tinggalkan
dia. Masih ada orang lain yang menghargai dia. Daripada kau biarkan dia
terkontang-kanting seorang diri baik kau lepaskan dia!”
Haq tersentak. Siapakah lelaki yang berani menelefonnya dan
mengugutnya sedemikian rupa? Apakah hubungannya dengan Hurin Amni? Adakah dia
kekasih gelap Hurin yang selama ini tidak diketahuinya? Perasaan ragu mula
menyelinap ke dalam hatinya.
“ Kau ni siapa?! Apa hak kau masuk campur dalam urusan rumahtangga
kami?!”
“ Aku?! Aku orang yang menghargai isteri kau! Orang yang tak akan
membiarkan wanita seperti isteri kau bersendirian! Kau dayus, Haq! Dayus!”
“ Jaga mulut kau! Aku tahu, kau skandal isteri aku, kan? Hei, kau
tak malu ke ada hubungan dengan isteri orang? Tak sedar hukum-hakam? Ha?!”
“ Aku lebih malu bila mengenangkan ada kaum Adam macam kau!”
“ Kau diam! Jangan sibuk hal kami!”
“ Hahaha.. kau dayus, Haq! Dayus!”
‘ Klik!’. Talian dimatikan. Nafas Haq turun naik. Rasa geram dan
sakit hati bercampur dalam diri. Geram kerana ada yang mengetahui masalah
rumahtangganya, dan sakit hati tika digelar ‘dayus’ oleh lelaki itu.
“ Hurin!” hanya satu nama yang terlintas di mindanya. Hanya wanita
itu yang akan membongkarkan segalanya!
~akhirnya! entry dari saya sendiri. minta maaf, semua! terlambat sudaa..hehe.smoga anda terhibur dgn susulan kalimah cinta ni..apa2 komen, jngn lupe drop ye!~