“ Dhiyaulhaq, walid nak kamu mula masuk pejabat esok,”
Haq terpana mendengar bicara walidnya. Mamanya hanya mengukir senyuman
gembira. Mungkin meraikan kemenangannya setelah hampir empat bulan berhempas
pulas memujuk Haq untuk segera bekerja di syarikat keluarga.
“ Kamu dengar tak apa yang walid cakapkan ni?”
Haq hanya mampu mengangguk. Tidak berani menentang kata-kata Haji
Muhamad. Kata-kata walidnya jangan dibankang. Padah pasti akan datang! Haq
melepaskan keluhan. Terasa berat beban yang terpaksa dipikulnya. Dia masih
belum bersedia. Belum bersedia untuk memikul tugas sebagai seorang CEO.
“ Walid, Yo nak berbincang sesuatu dengan walid sebelum kita ke
pejabat,”
“ Katakan apa yang kamu mahu, Dhiyaulhaq. Walid sedia mendengar,”
Haq menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia sendiri tidak pasti akan
penerimaan Haji Muhamad dengan keputusannya. Yang dia mampu, berdoa dan
bertawakal kepada Allah. Semoga dibukakan pintu walidnya untuk menerima
keputusan tersebut.
“ Yo masih belum bersedia menjadi CEO,”
Senyuman di bibir walidnya membuat Haq semakin gemuruh. Fikiran
walidnya memang sukar untuk difahami. Berbeza dengan mamanya.
“ Habis tu? Kenapa kamu tak beritahu awal-awal?”
“ Yo.. boleh tak Yo mulakan dari bawah dulu, walid?” diberanikan
dirinya untuk bertanya.
“ Kenapa pula Yo nak mulakan dari bawah?” soalan walidnya membuat
Haq sedikit lega. Dia tahu, walidnya sedia untuk dibawa berbincang.
“ Yo rasa, Yo masih kosong dalam pengurusan syarikat ni, walid.
Walaupun Yo belajar kursus yang sama, tapi Yo belum ada sebarang pengalaman. Yo
nak mulakan dari bawah. Fahami pengurusan syarikat dahulu, lepas tu baru Yo
boleh fikirkan balik tentang tawaran walid sebelum ni,”
“ Okey, walid izinkan. Walid pun memang bercadang untuk lakukan
sedemikian. Tapi, walid bimbang Yo tak mahu. Alhamdulillah, Yo juga berfikiran
sama seperti walid,” Haji Muhamad menepuk lembut belakang badan anaknya.
Mereka tiba jua di pejabat akhirnya. Debaran di dada Haq kian
kencang. Bukan kali pertama dia menempuhi alam pekerjaan, tetapi ini terlalu
berbeza! Tiada siapa pun tahu statusnya sebagai anak pemilik syarikat di sini..
susah dan senang harus dia jalani sendiri kerana dia sendiri yang mahukan
sebegitu. ‘Ya Allah..kuatkanlah semangatku untuk menempuhi alam baru.’
“ attention semua! Saya perkenalkan, our new staf, Dhiyaulhaq..
dia akan bekerja di bahagian pemasaran,” semua staf bertepuk tangan. Meraikan
kehadiran orang baru di tempat mereka. Haq tersenyum, sambil menundukkan kepala
tanda hormat.
“ selamat datang, Haq! Semoga awak gembira bekerja dengan kami,”
kata Encik Kamil, timbalan naib pengarah urusan. Rahsia status dirinya hanya
diketahui oleh mereka. Tuan Haji Muhamad, Encik Kamil, dan Haq sendiri. Kepada
Encik Kamil sudah dikhabarkan agar panggilan dirinya ‘ Yo’ tidak diguna.
“ Selamat datang, Haq..”
Haq memandang sekilas gadis yang sudah melentok-lentokkan tubuhnya
itu. Dia tidak mampu untuk mengatakan apa-apa. Untuk menolak huluran tangan
gadis itu, dia khuatir gadis itu akan berkecil hati. Lalu, lambat-lambat, dia
menyambutnya.
“ Tak sangka kita jumpa lagi, kan?”
Gadis itu masih ingin berbicara. Haq
di hadapan dipandang penuh minat. Sudah sekian lama dia cuba meraih cinta
lelaki itu, tetapi ia seakan sukar sama sekali! Sejak mereka di alam universiti
lagi hatinya sudah terpaut kepada jejaka tampan tersebut. Yang menjadi kegilaan
ramai gadis di kampus mereka. Aduh, Dhiyaulhaq! Mengapa engkau begitu kacak??!!
Hurin Amni mengetap bibir. Tidak..tidak mungkin! Mana mungkin
lelaki itu juga ada di sini? Ah, pasti dia yang tersilap memandang..! Tetapi..
namanya! Dhiyaulhaq! Mana mungkin dia akan lupa pada nama yang sudah meragut
bahagia keluarga mereka. Tidak sama sekali! ‘ Kenapa harus aku bertemu
dengannya lagi??’
“ Hurin, Encik Afiq suruh awak ke pejabat dia sekarang,” maklum
Linda, staf di situ. Hurin mengangguk, lantas melangkah ke pejabat Encik Afiq,
ketua bahagian pemasaran. Dari luar, Hurin melihat seorang lelaki sedang
bersembang dengan Encik Afiq. Berhati-hati dia mengetuk pintu.
“ Masuk,” terdengar suara dari dalam. Hurin menapak.
“Encik panggil saya?”
“ Ya. Hurin, kenalkan, ini Haq. Staf baru di sini,”
Terasa gelap dunianya saat itu. Tidak! Aku pasti bermimpi. Dia
bukan lelaki itu! bukan lelaki yang sudah melukakan hati saudaraku sendiri!
Bukan!
“ Hurin?”
Hurin tersedar ke alam realiti. Dipandang wajah di hadapannya. ‘Ya
Allah..benar.. memang benar dia orangnya!’
“ Awak okey?” soal lelaki itu. Hurin membisu.
“Hurin, tunjukkan tempat dia yang kosong kat sebelah Aiman tu,”
Dia sekadar mampu mengangguk lemah. Mana mungkin dia menolak
arahan majikannya. Haq memandang sedalam-dalamnya wajah manis tersebut. Dia
tahu, ada rasa marah yang berputik di dalam hati si gadis. Pasti masanya akan
tiba untuk dia memohon maaf atas kesilapannya yang lalu. Hurin Ainina..
“ Dah lama awak bekerja dekat sini?” soal Haq, cuba membuka ruang
untuk berbicara.
Suasana sepi. Hurin masih diam.
“Awak?”
“Meja awak dekat sini. Saya pergi dulu,”
Tanpa memandang sekilas pun ke arahnya, gadis itu terus berlalu.
Haq melepaskan keluhan. Duhai hati, sabarlah..
“Kenapa dengan awak ni Hurin? Moyok je dari tadi,” Linda bertanya,
cuba mengorek apa yang tersimpan di hati gadis itu. Hanya elengan yang
menjadi jawapan.
“ Tak ada apa-apa, Linda. Saya okey,” Hurin kembali menumpukan
perhatian pada makanan di hadapannya.
“ Hai Linda, Hurin! Boleh join korang tak? Meja lain dah penuh,”
Hurin hanya membisu di tempat duduknya. Linda yang menawarkan kedua-dua
lelaki itu untuk turut serta. Haq memandang wajah keruh di hadapannya. Ya
Allah.. mengapa begitu sukar untuk gadis itu memaafkan dirinya?
“ Diam saja Hurin ni.. Awat?” Aiman menyoal. Hurin hanya mengeleng
kepala.
“ Linda, hang nak balik terus ka lepas kerja nanti?”
“ Kenapa kau tanya? Nak ajak aku dating ke?”
“ Isyh.. hang ni! Tak sayang mulut langsung! Kan betul-betul kena
dating dengan aku kan, baru padan muka,”
Aiman dan Linda galak mengusik satu sama lain. Hanya Haq dan Hurin
sahaja yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati. Namun, tumpuan Haq
sebenarnya lebih fokus kepada gadis di hadapannya. Entah, dia sendiri tidak
tahu bagaimana untuk memulakan hubungan persahabatan dengan gadis itu setelah
apa yang dilakukannya dahulu. Sungguh, Haq menyesal atas sikapnya dahulu.
Terlalu mengikut hati mudanya tanpa menyedari dia sedang melukakan sekeping
hati itu. Tanpa sedar, Haq melepaskan keluhan.
“ Awat mengeluh ni, Haq?” tersentak Haq disoal begitu. Aiman dan
Linda merenungnya.
“ Tak ada apa-apa,”
“ Linda, dah siap belum? Saya banyak kerja lagi ni,”
Haq terusan memandang wajah tersebut. Kedinginan gadis itu semakin
menghambat rasa bersalah ke dalam hatinya. Linda yang baru selesai menghirup
jus orennya mengangguk. Segera tas tangan yang diletakkan di kerusi sebelah
diambil.
“ Jom! Man, Haq, aku balik office dulu okey? Kau jangan lupa pula
janji kita petang ni, Man!” Aiman mengangkat ibu jarinya. Haq terusan memandang
ke arah dua gadis itu.
“ Kau sukakan Hurin ke?”
Haq tersedak. Aiman sudah tersengih.
“ Apa yang kau cakapkan ni?”
“Tak payah nak sembunyikan lagi, Haq. Dari awal kau datang sini
lagi aku perasan renungan kau dekat si Hurin tu lain. Tapi, terus-terang aku
cakap, dia tu dingin sikit. Nak dengar dia bercakap pun susah,”
Haq sekali lagi mengeluh kecil. Aku
tahu kenapa semua itu terjadi, Aiman.. kerana akulah penyebab dia menjadi
begitu..
“ Akak..”
“ Hurin jangan macam tu, dik.. Pinangan tu untuk Hurin,”
“ Tapi Hurin tak nak, kak.. Hurin tak nak tinggalkan keluarga
kita. Hurin tak nak kahwin dengan lelaki yang dah buat akak macam ni!”
“ Hurin, jangan cakap macam tu adik.. Kalau akak mampu melupakan
semua yang terjadi, kenapa tidak Hurin sayang?”
Hurin hanya mampu teresak-esak di ribaan kakaknya. Sungguh dia
tidak menjangka Haq akan menghantar rombongan ke rumah keluarganya. Walaupun
sedingin mana dia melayan lelaki itu, namun Haq masih terusan tidak berputus
asa.
“ Hurin Amni..”
“ Kakak..jangan paksa Hurin kak..”
“ Allah itu Maha Kuasa, dik.. Pasti ada sebab mengapa dia aturkan
perjalanan hidup kita macam ni.. Hurin percaya dengan takdir Yang Maha Kuasa,
kan?”
Hurin pantas mengangguk. Hurin Ainina mendakap erat tubuh adiknya.
Hatinya menangis hiba. Siapa yang kata, hatinya tidak terluka saat perkhabaran
itu diterima? Siapa kata hatinya tidak derita saat mengetahui adiknya dilamar
lelaki yang dicintainya? Dhiyaulhaq.. lelaki itu sudah lama bertakhta di
hatinya. Sudah sekian lama bertapak di jiwa. Sejak pertama kali mereka bersua,
sejak itu jugalah hatinya terpaut kepada lelaki itu.
Namun, takdir Allah telah mengubah segala. Dia bukan pilihan
lelaki itu. Mungkin Dhiyaulhaq sudah tidak punya sebarang rasa kepadanya.
Mungkin jua keadaannya yang memudarkan rasa lelaki itu. ‘Ya Allah..tabahkan
hatiku. Ku percaya pada takdirMu. Mungkin itu yang terbaik buat kami.
Redhakanlah hatiku dalam menerima Dhiyaulhaq sebagai adik iparku, Ya Rabb..’
Haq memejamkan mata. Fikirannya melayang teringat tentang
peristiwa semalam. Akalnya berkata tindakan itu tepat, namun hatinya pula
sebaliknya. Dia bimbang. Bimbang apa yang dilakukannya akan mengundang lebih
rasa benci gadis itu. Bukan dia sengaja, tetapi dia tidak melihat cara yang
lebih baik untuk menebus rasa bersalah atas tindakannya suatu masa dahulu..
“ Hurin..”
“ Dah angau ke anak mama sorang ni?” sapaan seseorang mengejutkan
Haq.
“ Eh, ma! Apa yang mama cakapkan ni?”
“ Mama tahulah kamu tu dah angau dengan Hurin, Yo. Tak payah nak
sorokkan lagi,”
Dhiyaulhaq menyembunyikan resah yang bersarang di hati. Kalaulah
mama tahu apa yang sebenarnya berlaku, pasti dia akan dileteri!
“ Ma.. mama sukakan Hurin?”
“ Siapa yang tak suka dapat menantu macam tu, Yo? Kali pertama
mama tengok dia, hati mama dah terpaut. Baik budaknya. Berbudi pekerti, cantik,
lemah lembut.. Subhanallah! Memang indah sungguh ciptaan Allah tu!”
Haq mengukir senyuman mendengar bicara mamanya. Memang dia akui,
Hurin memiliki seraut wajah yang begitu cantik, ditambah pula dengan pekertinya
yang lemah lembut. Berbeza sekali dengan Hurin yang pernah dikenalinya dahulu!
Tetapi, satu yang tidak dijangka, sikap gadis itu yang masih dingin
terhadapnya. Perlahan-lahan, Haq melepaskan keluhan, tetapi jelas di
pendengaran Hajjah Zulaika.
“ Kenapa kamu mengeluh?” pantas Haq mengeleng.
“ Kamu ada masalah?” masih lagi jawapan yang sama diberikan.
Hajjah Zulaika jelas tidak berpuas hati.
“ Mama yang melahirkan kamu, Yo. Mama cukup arif dengan anak-anak
mama,”
Haq akhirnya mengalah. Mana mungkin dia dapat menipu mamanya
sendiri. Insan yang paling banyak berkorban untuk dirinya.
“ Mama.. mama tak rasa ke layanan Hurin pada Yo sedikit dingin?”
Hajjah Zulaika mengulum senyum. Baru dia tahu perkara apa yang
meresahkan anak bujangnya itu.
“ Kenapa kamu cakap macam tu?”
“ Yalah, ma. Cuba mama tengok kelmarin, masa kita pergi ke rumah
dia. Dia sambut mama dengan walid dengan penuh mesra, tapi dia dengan Yo pula
sebaliknya,”
“ Kamu tahu tak, umi Hurin ada beritahu mama, Hurin tidak pernah
bercinta. Tidak pernah menyayangi lelaki lain selain daripada walidnya. Mungkin
kerana itu layanan dia pada kamu berbeza. Sebab kamu masih bukan yang sah
buatnya. Mungkin dia kekok, apatah lagi selama ini kamu dan dia cuma rakan
sekerja, dan tiba-tiba kamu melamar dia,”
Haq diam. ‘ Mama, tahukah mama Hurin itu dahulu pernah bertakhta
di hati anakmu ini? Kami pernah bercinta, dan mana mungkin ajaran umi dan
walidnya yang membuat dia dingin dengan lelaki. Tetapi kerana anakmu ini telah
melukakan hatinya!’ ingin sahaja Haq meluahkan semua itu, namun lidahnya terasa
kelu. Biarlah. Biarlah ia kekal sebagai rahsia antara mereka. Antaranya dan
Hurin, dan antara mereka dengan Allah.