Saturday, September 28, 2013

KALIMAH CINTA 10

Allah menguji, dan aku menerima ketentuan-Nya. Berharap agar hati ikhlas dalam menerima ujian Allah ini. Meyakinkan hati bahawa ada hikmah di sebalik dugaan ini. Memperkuatkan diri dalam menghadapi cabaran ini. Percayalah hati, kerana Allah kasih padamu, barulah DIA menduga sebegini. Yakinlah diri, kerana Allah cinta padamu, barulah DIA menghadiahkan kepahitan agar kemanisan yang akan dititipkan akan menjadi lebih bererti buatmu..

Hurin menutup buku catatannya. Buku catatan yang kini telah menjadi sebahagian darinya. Menjadi diari, tempat dia mencorek segala rasa. Meluahkan segala yang terbuku di jiwa.

“ Hurin, jalan-jalan nak? Awak kena keluar ambil angin. Tak boleh terperuk dalam rumah macam ni je. Baby pun nak jalan-jalan, kan? Dah, pergi siap. Saya tunggu kat bawah, okey?” Asyiqa berkata, seraya menuju ke muka pintu. Hurin menganggukkan kepala. Senyuman terukir di bibirnya. Bunyi pintu diketuk menghentikan pergerakan Hurin yang sedang bersiap untuk keluar bersama Asyiqa.

“ Asyiqa, awak ke tu? Tertinggal kunci ke?”
“ Ya, saya ni. Saya tertinggal kunci. Ada barang yang saya lupa nak ambil. Tolong buka pintu ni kejap,”

Hurin bergerak ke arah pintu dan membukanya. Tergamam dia di saat itu tika melihat insan yang berdiri di samping Asyiqa. Tubuhnya kaku. Lututnya terasa lemah. Dan saat itu jugalah terasa dunianya gelap. Semuanya kelam.
……………………...........

Dhiyaulhaq keluh-kesah di tempatnya. Pandangannya tidak beralih daripada insan di hadapannya. Bimbang. Khuatir. Sedih. Kesal. Bertelingkah sesama sendiri. Dia sedar akan kesalahannya, dan dia mahu merawat kembali luka itu. Apatah lagi tatkala melihat perut wanita tersebut. Makin menggunung perasaan bersalahnya tika itu.

“ Awak tak tahu apa yang dia hadapi sepanjang tempoh ni, Haq.. Walaupun dia nampak macam setabah-tabah wanita, tapi hati dia rapuh di dalam. Dia terluka, tapi langsung tak cuba tonjolkan. Dia menderita, tapi langsung tak ingin diperlihatkan. Dia berpura-pura kuat tanpa awak di sisi dia, tapi dia tak mampu menipu bila asyik merenung gambar awak setiap malam. Mungkin dia tersilap langkah suatu masa dahulu, tapi itu sebab dia sayangkan awak, cintakan awak. Maafkanlah dia, Haq.. dan jadikan dia hak awak kembali,”

Haq melepaskan keluhan. Dia tahu semua itu, dan dia bersedia untuk menebusnya kembali andai kata isterinya mahu menerimanya semula. Dia mahu hidup bersama wanita itu hingga ke akhir hayatnya. Dia tidak lagi mampu bertahan tanpa wanita itu di sisinya. Menemani hari-harinya. Cukuplah dengan derita yang terpaksa ditempuhi saat wanita itu berlalu dari hidupnya. Dia tidak mahu bersendiri lagi. Mahu ada wanita itu di setiap hari-harinya di muka bumi ini. Itu janjinya. Janji yang terukir saat ijab dan kabul menjadi penyatu mereka suami isteri.

“ Saya tak salahkan dia, Iqa. Saya sedar, itu semua silap saya. Saya yang terburu-buru buat keputusan, dan akhirnya dia yang menjadi mangsa atas keputusan tidak matang saya dulu. Sebab tu, sekarang saya hadir untuk menebus kembali salah saya pada dia, dan pada anak kami. Saya tak mahu hidup dalam kekesalan. Memikirkan silap saya pada dia dulu,”

Asyiqa memandang sepintas lalu pada Dhiyaulhaq. Lelaki yang telah banyak membuat hidup sahabatnya kucar-kacir. Lelaki yang menghuni setiap igauan Hurin Amni. Asyiqa mencapai buku di sebelah katil Hurin dan diserahkan kepada Haq.

“ Bacalah Haq. Awak perlu fahami penderitaan Hurin sebelum berdepan dengan dia. Emosi dia tak menentu kebelakangan ni. Sekurang-kurangnya, bila dia bangun nanti, awak dah bersedia untuk menelan segala emosinya,”

Haq menyambut jua huluran Asyiqa. Dihantar ucapan terima kasih kepada gadis itu melalui senyuman di bibir. Setelah Asyiqa meminta diri, Haq duduk di atas sofa. Bersedia membuka buku catatan yang memuatkan isi hati isterinya.

‘Tuhan.. sungguh, aku rindu padanya. Rindu pada ketenangan senyumannya. Rindu pada kehangatan pelukannya. Rindu pada kelembutan bicaranya. Ya Allah, bilakah aku mampu menghuraikan rindu yang terbungkam di kalbu? Mencengkam dalam sanubari ini? Masihkah ada sekelumit kemaafan buat diri ini daripada dia? Masihkah dia marah tentang penipuan daku dahulu? Allah.. sampaikan salam kemaafan dariku buat dia yang aku rindu di setiap waktu. Dhiyaulhaq.. :’( “

Dhiyaulhaq menarik nafas panjang. Benar-benar kesal dengan sikapnya selama ini. Kerana keegoannyalah Hurin membawa diri. Kerana kedinginannya jualah wanita itu merana hingga kini.

“ Maafkan abang, sayang..”

“ Khabar yang dibawa oleh Rifdhi benar-benar mengganggu diri. Benarkah apa yang disampaikan olehnya kepadaku? Ya Allah.. benar, aku langsung tidak berharap begini akhirnya. Langsung aku tidak berharap yang abang akan menceraikan diri ini walau itu yang sepatutnya aku terima. Abang, benarkah sudah tiada lagi rasa kasih di dalam hati abang untuk Hurin? Benarkah tidak pernah ada cinta untuk diri ini?”

Rifdhi? Apa maksud Hurin? Adakah Rifdhi sudah menyampaikan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada Hurin? Apa tujuan Rifdhi sebenarnya? Dhiyaulhaq cuba mencerna satu persatu cerita yang tersirat di sebalik diari Hurin, mengharapkan segala-galanya terungkai jua.
……………………………………

Hurin membuka mata perlahan-lahan walau sebenarnya dia langsung tidak mahu berbuat sedemikian. Masih mahu bermimpi tentang si suami yang tiba-tiba menjengah ke dalam khayalan. Ya, dia bermimpi akan kehadiran Dhiyaulhaq ke bumi Mesir ini dengan harapan untuk menjernihkan hubungan mereka. Menyatukan kembali dua hati yang telah berpisah sejak sekian lama.

“ Hurin..”

Hurin senyum sendiri dengan mata yang kembali terpejam rapat. Terasa basah matanya tatkala terdengar suara itu memanggil. Seakan-akan ia realiti dan bukan sekadar khayalan diri.

“ Abang.. Hurin rindu abang..” menitis jua air matanya saat cuba menguraikan rasa rindu yang mendiami hati.

“ Abang pun rindukan Hurin. Rindukan sayang sangat-sangat…” suara itu seakan berbisik di telinga. Dan saat ada tangan menyapa di muka, menyapu perlahan mutiara di wajahnya, Hurin membuka mata seluasnya. Terpampang wajah itu di hadapan mata. Dekat dengan wajahnya. Bahkan, ada senyuman terukir di wajah yang semakin kacak di matanya itu.

“ Allah, sungguh aku rindu dia. Mengapa begitu kuat rindu ini pada dia? Mengapa sehingga aku terbayangkan dia di hadapan mata?”

Haq sudah tidak mampu menahan tangis. Dibiarkan jua air mata lelakinya menitis membasahi pipi. Terluka melihat Hurin sedemikian rupa. Menderita dek kerana terlau merinduinya..

“Ya Allah, betapa berdosanya aku terhadap amanat yang telah Kau titipkan untuk aku pelihara. Ampunkan daku atas khilafku yang menyebabkan dia terluka..”

“ Hurin.. Hurin tak bermimpi sayang.. memang abang ada di depan Hurin sekarang. Abang takkan tinggalkan Hurin lagi. Maafkan abang, sayang.. maafkan abang sebab biarkan sayang tanggung semuanya sendiri. Abang bukan suami yang baik untuk Hurin.. Maafkan abang..”

Hurin Amni memandang wajah itu. Sedar bahawa dia tidak bermimpi. Apa yang dilihat itu sememangnya realiti. Disentuh wajah Haq dengan jemarinya, dan tatkala jemari Haq menggenggam erat jari-jarinya, air mata Hurin merembes laju. Haq membawa Hurin ke dalam dakapan. Mereka saling melepaskan tangis. Menghurai rindu yang sekian lama tersimpan.

“ Abang.. Hurin rindu abang. Rindu sangat-sangat. Kenapa abang lambat datang? Kenapa abang tak datang dari dulu lagi? Kenapa baru sekarang?” bertalu-talu soalan diajukan. Haq mengeratkan pelukan.

“ Maafkan abang, sayang. Abang dah cuba yang terbaik untuk jejak sayang. Tapi, tak ada sorang pun yang nak beritahu abang ke mana sayang pergi. Sayang tahu tak, abang merana bila sayang tak ada di sisi abang. Abang rasa separuh jiwa abang hilang,”

“ Tapi abang tak tahu apa yang Hurin terpaksa tempuhi di sini tanpa abang, kan? Abang tak tahu bagaimana perasaannya bila kita tak mampu berkongsi perasaan nak jadi ibu bapa tanpa suami kita sendiri tahu tentang kehamilan kita. Abang tak tahu bagaimana terlukanya Hurin bila Hurin perlu tanggung segala-galanya sendiri. Abang tak pernah tahu, dan takkan tahu!”

Hurin tiba-tiba memberontak, cuba melepaskan diri daripada dakapan sang suami. Haq yang menyedari, bertindak pantas dengan memeluk si isteri serapatnya. Betul kata Asyiqa, dia harus bersedia dengan emosi Hurin yang tidak menentu. Dan dia bersedia, bersedia menerima amarah isteri asalkan wanita itu mampu memaafkan dirinya.

“ Ya, sayang. Abang tak tahu. Abang yang bersalah sebab tak ambil tahu tentang isteri abang ni. Maafkan abang, sayang, dan izinkan abang tebus kembali dosa-dosa abang pada sayang. Beri abang peluang sayang. Beri abang peluang untuk jadi suami yang setia, menjadi walid yang penyayang, dan menjadi pendamping yang sempurna untuk isteri abang dunia dan insya-Allah di syurgaNya nanti,”

“ Tapi Hurin bukan isteri abang lagi.. Rifdhi cakap, abang dah ceraikan Hurin. Abang tinggalkan Hurin kerana ugutan dia. Astaghfirullah.. apa Hurin buat ni? Lepaskan Hurin. Hurin lupa tentang hubungan kita!”

“ Tak, sayang! Sebab abang lepaskan Hurin dululah kita jadi macam ni! Sebab abang tersilap langkah. Abang tak pernah lepaskan Hurin! Tak pernah terlintas pun di fikiran abang untuk ceraikan isteri abang ni. Hurin masih isteri abang. Pertama dan terakhir di hati abang,”

“ Tapi Rifdhi.. Kak Ain..”

“ Lupakan tentang mereka untuk seketika, sayang. Cukup dengan semua derita yang kita lalui sepanjang perpisahan ini. Dalam bilik ni cuma ada abang dan sayang, dan biarkan ia sebegitu. Jangan diselitkan orang lain dalam kisah kita. Abang cuma mahukan Hurin sekarang, bukannya orang lain..”

Haq melabuhkan bibir di dahi Hurin. “Ya Allah, izinkan daku menebus kembali sisa-sisa waktu yang terbuang antara kami dahulu. Izinkan hamba-Mu ini terus bertapak di hati Hurin Amni untuk selamanya. Izinkan daku menjadi suaminya dunia dan di akhirat jua. Izinkan daku memimpin dia ke syurgaMu, ya Rabb. Restui kami. Rahmati kami. Hanya Engkau Sebaik-baik  Perancang,”

Demi Hurin Amni, wanita yang dia cintai, akan dia pertahankan cinta itu sampai mati.  Akan dia selesaikan pertarungan antara dua lelaki walau dengan adiknya sendiri. Akan dia pinjamkan bahu di saat berita tentang Hurin Ainina menjengah telinga isterinya nanti. Biarlah waktu yang ada ini diisi dengan manisnya cinta antara mereka. Biarlah cinta mereka kekal bahagia sampai syurga. Dia tidak mahu Hurin terus terluka. Dia mahu menjadi yang terbaik untuk isteri yang tercinta. Itu janjinya. Janji dari seorang lelaki buat seseorang yang bergelar isteri.

………………………………………

Hurin menggenggam erat jemari sang suami. Kepalanya dilentokkan di bahu lelaki itu. Terasa indah perasaan yang menyelinap ke dalam jiwa. Perasaan yang sudah lama tidak dirasainya. Dan kini, ia seakan mimpi yang nyata. Melihat si suami berada di sisi adalah anugerah terindah dari Tuhan buat dirinya. Apatah lagi, ketika dia sedang berbadan dua. Benarlah, di sebalik setiap ujian, pasti akan ada terselit hikmah di sebaliknya. Cepat mahupun lambat, bahagia pasti menjengah jua.

“ Sepanjang sayang mengandung ni, ada tak apa-apa yang sayang mengidam? Kalau nak, abang boleh carikan untuk sayang,” soal Haq. Hurin senyum. Masih terasa bermimpi di malam hari!

“ Alhamdulillah, bang.. baby kita ni memahami sungguh! Tak ada pulak Hurin mengidam apa-apa sepanjang mengandung ni. Mungkin baby ni faham yang ummi dia tengah sedih, sebab tu dia baik-baik je,”

Haq memalingkan tubuh Hurin ke arahnya. Entah mengapa, terbit kembali rasa bersalah di hatinya. Mungkin kesal kerana meninggalkan si isteri menanggung semuanya sendiri.

“ Maafkan abang, sayang. Kalau bukan sebab abang, Hurin tak perlu hadapi semua ni kan? Allah.. macam mana abang nak tebus segala salah abang pada sayang? Apa yang dah abang buat selama berbulan-bulan ni?”

Hurin senyum. Dipegang kedua-dua pipi sang suami dengan tangannya. Ya, inilah dia wajah yang menjadi igauannya semenjak berbulan-bulan dahulu. Wajah yang sering menemani tidurnya. Wajah yang sangat dirinduinya.

“ Semua dah berlalu kan, bang? Let’s forget about the past. Allah dah hadiahkan suami Hurin di sisi Hurin sekarang pun dah lebih dari cukup. Bahkan Allah makbulkan doa Hurin untuk ada zuriat dengan abang. Hidup Hurin dah lengkap, bang.. Hurin cinta abang. Selamanya,”
Haq senyum. Tenang mendengar bicara si isteri. Hilang sudah gundah yang melanda jiwanya sebentar tadi.

“ Tak sangka abang, isteri abang ni makin romantik ya sekarang? Dulu bukan main malu-malu. Sekarang, dia lagi advance dari abang.” Haq mengusik. Hidung Hurin dicuit. Hurin senyum malu.

“ Abang ni.. mengusik pulak dia,”

“ Dengan isteri abang je sayang. Tak apa, kalau Hurin segan jadi romantik, biar abang yang romantik ya? Biar abang pulak yang galaukan hati sayang abang ni..”

Haq senyum, wajah Hurin diangkat dengan jemari. Lama mata mereka bersatu. Saling menghantar mesej rindu ke dalam hati masing-masing. Dahi Hurin dicium lembut.

“ Terima kasih kerana sudi terima abang kembali dalam hidup sayang. Terima kasih sebab tak pernah lekang menanti abang walau sayang sendiri tak pasti tentang hubungan kita,” Haq menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan.

“ Dan terima kasih juga sebab sayang menjaga anugerah Allah buat kita ni sebaik-baiknya. Sampai mati abang tak mampu balas pengorbanan sayang. Abang kasih sayang, rindu sayang, dan cinta sayang kerana Allah. Terima kasih Allah.!”

Dan akhirnya, bibir Haq berlabuh di bibir si isteri. Lama mereka berkeadaan sebegitu. Seakan kedua-duanya cuba melampiaskan segala dendam rindu yang menyesakkan dada. Meraikan cinta yang kembali bertaut di antara kedua-dua mereka.
……………………………………………………