Sunday, May 19, 2013

penghujung cinta 2.


“Ada lamaran untuk angah. insya-Allah, dua minggu lagi dia akan datang dengan rombongan meminang. Tapi, sebelum tu, dia nak tahu keputusan angah..”

Rebah aku saat mendapat perkhabaran itu daripada ummi. Langsung tidak menjangka diri akan disunting di waktu muda ini. Adakah kata-kata ummi dahulu akan menjadi kenyataan? Kata ummi, lelaki itu meminta aku istikharah dahulu dan dia sanggup menunggu sehingga aku memperoleh jawapan. Tetapi, bukan itu persoalannya. Masalahnya adalah aku! Adakah aku mampu menggalas tanggungjawab itu pada usia semuda ini? Adakah aku sudah bersedia untuk menjadi seorang zaujah yang baik untuk bakal suami yang tidak ku kenali ini?

Aku memandang sekeliling. Sungguh, suasananya agak mengelirukan. Aku sendiri tidak tahu di mana sebenarnya aku berada. Nun, di hujung sana, ada seseorang mendekatiku. Aku amati wajah itu, namun tidak jelas. Selang beberapa langkah daripadaku, dia berhenti. Terukir secebis senyuman di wajah itu.

“ Assalamualaikum bakal zaujahku,” tuturnya, lembut. Aku terpana. Suara itu pernah bermain di halwa telingaku, namun aku tidak pasti siapa orangnya!
“ Waalaikumussalam. A.. awak siapa? Saya di mana?” soalku, tidak sabar. Dia masih seperti tadi. Tak lekang dengan senyuman.

“ Saya bakal imam awak, insya-Allah di dunia, dan akhirat jua. Di sinilah kita akan mengukir cinta kita ke dinding bahagia. Di sinilah istana kita akan tersergam dengan kalimah-kalimah cinta buatnya. Di sinilah kita akan memperbanyakkan keturunan Muhammad untuk kita didik menjadi khalifah umat Islam yang setia. InsyaAllah. Sudikah awak menjadi pendamping saya untuk turut serta dalam perjuangan saya ini?” al-Quran bertukar tangan. Aku memegang erat kitab suci itu.

“ Awakkah orang yang hantar al-Quran pada saya tempoh hari?” dia mengangguk perlahan. Aku terkedu. Allah, kebetulan ini begitu indah! Teringat beberapa hari lepas apabila satu bungkusan diserahkan kepadaku oleh posmen. Terkejut aku tika mendapat hadiah itu. Aneesa dan Kirana sudah sedia membuat muka tertanya-tanya. Menanti jawapan yang aku sendiri tidak pasti. Saat diajukan kepada posmen itu, dia sendiri mengangkat bahu. Mengatakan lelaki itu hanya datang ke pejabat pos dan meminta dihantarkan bungkusan itu kepadaku. Tika bungkusan itu dibuka, ada al-Quran di dalamnya. Al-Quran sama yang aku pegang kini. Adakah ini jawapan kepada istikharahku jua?

“ A.. awak.. siapa?”

“ Aira Fittiya, sesungguhnya saya mencintai awak kerana Allah. Kerana agama yang ada pada awak. Kerana cinta yang awak miliki buat Pencipta kita. Izinkan saya, Aryan Muqri menapak ke dalam hati awak. Mencintai awak seperti mana cintanya kita kepada Allah yang Satu, dan Rasulullah yang dirindu. Izinkan saya membimbing awak ke syurgaNya.. insya-Allah, hingga ke akhir hayat saya..” air mataku menitis perlahan. Terharu mendengar bicara itu. Lalu aku angguk perlahan, dan menapak ke arahnya..

“ Aira? Aira? Bangun, bangun Aira..”

Aku membuka mata. Aneesa dan Kirana memandangku dengan wajah pelik. Lalu aku lihat kedudukanku. Siling di atas aku renung. Lantas aku bangkit. Aku masih di atas katil. Jadi, apa makna semua yang aku alami sebentar tadi? Adakah ia mimpi?
“ Aku kat mana?”

“ Alahai minah ni.. buat tanya pula. Kau dekat rumahlah! Dekat mana lagi? Kenapa? Mimpi indah erk..” Aneesa dan Karina sengih jahat. Bantal yang berada di atas kepala sempat aku ambil dan lempar kepada kedua-duanya yang sudah terkedek-kedek berlari meninggalkan bilikku sambil ketawa. Aku senyum. Terhibur dengan gelagat kedua-duanya.

Pagi itu, nombor ummi aku dail. Ya, aku sudah punya jawapannya. Jawapan kepada soalan yang ummi tinggalkan untukku seminggu yang lalu.

“ Ummi, boleh angah tahu nama lelaki yang merisik angah tu?”
“ La.. kan ummi dah beritahu hari tu.. Aryan. Aryan Muqri.” Aku mengulum senyuman. Ya, nama itu! Aku kenal nama itu! Pemilik nama itu sudah muncul dalam mimpiku semalam. Allah, ku yakin dengan aturanMu! Andai ini sememangnya yang terbaik untukku, aku terima jodohku. Walau siapa pun lelaki ini, aku percaya, dialah yang telah Engkau hantarkan untuk memimpin aku ke jalan keredhaanMu. insya-Allah..
...............................................

Hujung tahun bakal tiba. Apa ada pada hujung tahun itu? Kad undangan di tangan aku tatap lagi. Senyuman terukir di bibir saat ini. Sungguh aku bahagia dengan keadaan sekarang. Dua bulan yang lalu, hidupku seakan suram. Tetapi, Allah itu Sehebat-hebat Perancang! DIA hadirkan bahagia dalam keadaan yang kita sendiri tidak mampu menduganya! Benar, cintaku kepada Yang Satu semakin teguh dengan ujian-ujian yang diselitkan dengan bahagia yang begitu indah! Subhanallah..

“ Kau biar betul? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba nak kahwin? Bila kau bertunang? Siapa lelaki tu? Handsome macam aku tak?” Muaz menayangkan gigi. Aku dan Aneesa ketawa.
“ InsyaAllah, dialah yang paling kacak di mata aku. Fasal kahwin tu.. aku nak buat macam mana? Allah hantarkan dia lebih awal daripada jangkaan aku. So, aku terima ketentuan DIA. Doakan yang terbaik buat kami, okey?” Muaz angguk sambil senyum. Satu lagi sampul aku serahkan kepadanya. Muaz mengerutkan dahi.

“ Serahkan satu untuk Aril. Aku tahu, sepatutnya aku serahkan sendiri pada dia, tapi aku bimbang dia rasa tak selesa.. Kau boleh tolong aku, kan?” Muaz mengangguk. Aku dan Aneesa meminta diri.

'Moga Allah sentiasa menjaga hati kita. Hati awak. Dan hati saya. Apabila rasa rindu bertaut di hati saya untuk bakal pemilik hati saya ini, saya letakkan tangan di dada. Mendoakan moga Allah pelihara rindu itu hingga tiba masanya. Dan saya juga mendoakan moga rindu yang hadir dalam hati saya buat bakal zaujah saya ini tidak melebihi rindu saya pada Allah dan rasul, seperti mana cinta saya yang saya harapkan agar lebih Agung kepada Pencipta kita daripada ikhlasnya cinta saya pada insan yang bakal mendapatnya. insya-Allah.
Buat bakal pemilik hatiku, peliharalah dirimu di sana.. Jaga peribadi. Jaga diri. Dan jaga hatimu. Insya-Allah, kita akan berjumpa di suatu hari. Ya! Di saat Allah mengizinkannya. Di saat ijab dan kabul bakal menyatukan kita. Buatmu, yang Allah titipkan untuk menyerikan hidup saya selepas ini, buatmu yang Allah amanahkan kepada saya untuk saya pimpin ke syurgaNya nanti.. Cintaku padamu kerana hebatnya cintamu pada Allah yang Menciptakan kita.  Moga bersua saat masanya tiba.. insya-Allah.
–bakal imammu. Pemimpinmu ke syurga cinta, insya-Allah-'

Aku menatap cebisan kertas di tanganku. Sebuah senyuman aku kulumkan. Bicara itu cukup menyenangkan aku. Cukup mendamaikan sekeping hati ini. Ya! Sepucuk surat yang dikirimkan khas daripadanya untukku. Walau tiada kata-kata cinta seperti pasangan kekasih lain, namun itu bukanlah satu kekurangan buatku. Cukup dengan bicara yang mengingatkan aku kepada Tuhanku. Kepada Rasulku. Aryan Muqri. Ya, bakal pemilik hatiku. Bakal pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul. InsyaAllah, selamanya akan begitu. Sudah dua bulan aku menjadi tunangannya, dan selama itu jugalah tiada pertemuan antara kami. Aku dan dia sama-sama bersetuju untuk memelihara hati kami daripada rindu. Aneh bukan? Tetapi itulah hakikatnya. Biarlah kami sama-sama membuat kejutan sesama sendiri. Kata ummi, aku dan Aryan pernah berjumpa, tetapi aku sendiri tidak betah mengingati pertemuan itu. Mungkin ada baiknya begitu. Biarlah hatiku terus kekal merindu pada Sang Penciptaku.
……………………………………

Kisah ini telah aku lorekkan di dalam hati. Kisah antara kau dan aku. Kisah antara aku dan Penciptaku. Kisah antara kita semua. Dalam pencarian cintaku kepada Allah dan Rasul, ku temui sedetik wajahmu untuk ku ukirkan ke dalam hatiku. Hari itu telah tiba, dan kita bakal bersua. Saat lafaz ijab dan kabul bersatu, saat itu hati kita akan bersatu. Ya, bersatu dengan restu Yang Satu. Bersatu dalam erti halal yang sebenarnya. Moga kisah kita ini akan terus terukir indah di setiap detik dan waktu, bersulamkan munajat memuji keagungan yang Maha Tahu. Buat dirimu, insan yang bakal menapak ke dalam hidupku secara rasminya, peganglah tanganku saat aku terjatuh. Pimpinlah aku saat aku tersilap arah. Dakapilah aku saat aku resah. Peringatkanlah aku saat aku gelisah. Moga cinta kita dirahmati-Nya.. ~AMAF~

Nota itu hadir lagi. Hadir di saat ijab dan kabul bakal menyatukan kami. Ya, bila-bila masa sahaja aku bakal bergelar seorang isteri. Kini, aku sedia menunggu dia melafazkan ‘ saya terima nikahnya’ khusus untuk diri ini. Nota itu aku pegang erat. Perasaaan berdebar kian merajai diri. Siapa yang tidak berdebar menjadi ratu sehari buat sang raja yang belum pernah ditemui? Aku senyum sendiri. Bahagia yang diselit rasa syukur atas kekuasaan-Nya.

“ Anak dara, kau kenapa senyum sorang-sorang? Dah angau sangat ke nak jadi isteri orang?” Aneesa menepuk pahaku. Teman-teman yang lain ketawa kecil. Mungkin lucu mendengar soalan Aneesa itu. Lengan gadis itu aku cubit. Sedikit geram dengan pertanyaannya. Aneesa buat muka tidak bersalah.

“ Akhirnya bahagia tu jadi milik Aira juga, kan? Walaupun semua ni rasanya terlalu cepat dan tanpa kita sedar, Aira dah pun nak jadi isteri orang. Apa-apa pun, semoga Aira menjadi isteri yang solehah buat suami, dan menjadi ibu yang penyayang buat anak-anak.. Syafa sayang Aira sangat-sangat,”

Syafa memeluk tubuhku erat. Aku membalas pelukan itu. Dialah teman yang banyak memberi dorongan saat aku hampir jatuh tika kecewa dengan Aril dahulu. Dia dan Nurain lah yang banyak memberi sokongan. Tidak putus-putus menolong aku untuk keluar dari kepompong kesedihan. Dan kini, melihat dia menangis, membuat aku sendiri sebak. Terlalu banyak yang aku kongsikan bersama mereka berdua. Penghibur aku di saat aku berduka, penguat aku di kala aku hampir rebah. Peneman aku saat aku jauh dari keluarga. Allah, indah sungguh ukhwah ini!

“ Syafa! Apa ni.. janganlah buat pengantin baru menangis. Nanti tak cantik dah,” Nurain bersuara. Syafa melepaskan pelukan dan mengesat air matanya. Air mata yang menitis perlahan di pipiku juga disapu lembut olehnya.
“ Maaf tau! Dah tak cantik dah mekapnya. Hehehe,” kami ketawa mendengar usikan Syafa.

Datang Nurain memeluk aku pula. Lebih erat daripada Syafa. Dengan Nurain juga aku banyak berkongsi rahsia. Berkongsi cerita. Sering aku titipkan kata-kata semangat buatnya dalam menghadapi cinta memandangkan dia dan tunangannya bercinta jarak jauh. Dia di bumi Malaysia, dan si tunang pula di bumi Mesir. Berjuang mencari ilmu sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih baik.

“ Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat Ain, Aira. Moga ukhwah kita terus berkekalan,” ujarnya, sedikit sebak. Aku angguk dalam senyuman. Ya, aku juga berharap sedemikian. Berharap hubungan kami terus terpaut walau apa jua dugaan yang melanda.
“ Eh, tadi marah orang. Ni dia pula yang buat Aira nangis,” tegur Syafa. Nurain sengih.

“ Lepas ni.. Aira mesti dah tak kongsi cerita dengan kita. Mesti dia kongsi dengan suami hensem dia tu. Hahaha,” riuh kamar pengantin yang dihias indah dengan gelak tawa mereka sehinggalah ummi datang memaklumkan majlis bakal berlangsung. Ummi duduk di sisiku. Aku menunggu di dalam bilik sahaja. Usai semuanya nanti, barulah dia akan datang menyarungkan cincin dan acara membatalkan air sembahyang dilakukan.

“ Aku terima nikahnya Aira Fittiya binti Ayman dengan mas kahwinnya sebuah kitab Al-Quran,” “sah! Sah! Sah!” Terdengar bicara itu di telingaku. Aku mengucap syukur. Dengan sekali lafaz, akhirnya aku sah menjadi isteri kepada Aryan Muqri, lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatiku untuk berkahwin di usia semuda ini.

“ Assalamualaikum,” suara itu kedengaran. Aku memejamkan mata untuk seketika. Cuba menghilangkan debar di hati. Perasaan yang sekian lama pergi, kini hadir kembali. Debar yang pernah hadir untuk seorang lelaki yang aku temui suatu masa dahulu. Bukan Aril, dan bukan sesiapa. Tetapi, lelaki itu!

“ Aira Fittiya, abang datang membawa cinta yang diamanahkan oleh Allah untuk sama-sama kita jaga. Aira sudi menerimanya?” Aryan duduk bertentangan denganku yang masih menundukkan wajah. Tidak sanggup untuk menatap wajahnya. Bimbang aku menggelabah nanti. Al-Quran di tangan dihulurkan kepadaku. Al-Quran yang selama ini aku jaga seperti mana aku menjaga cinta kami. Aku sambut Al-Quran itu, dan mengangguk kecil sebelum menyerahkan kitab suci itu kepada Syafa yang menjadi pengapitku.

“ Aira, hulurkan tangan. Aryan nak sarungkan cincin,” bisik ummi. Aku mengikut arahan. Aryan menyambut huluran tangan itu, dan menyarungkan cincin pernikahan ke jari manisku. Sejuk tanganku usah ditanya. Memang sedari tadi aku berdebar-debar. Tangan Aryan aku cium lama. Tanda cinta ini benar-benar halal menjadi miliknya.

“ Aira..” wajahku diangkat. Mata kami saling bertentangan. Mulutku terlopong. Terkejut melihat insan yang berdiri di hadapanku. Dia! Dia yang berjaya mencuri hatiku di suatu petang itu! Yang telah aku sangkakan sudah berkahwin itu!

“ A.. a. awak!”
“ Kenapa Aira? Kenapa dengan Aryan?” soal ummi.
“ Dia ke suami Aira, ummi?”

“ Lah.. budak ni.. dah sah jadi suami kamu, tanya lagi! Itulah, nak surprise sangat kan. Dah pernah jumpa, tapi kamu tu yang tak ingat..sekarang, dah kahwin baru soal jawab,” ujar ummi. Aku tunduk malu. Terdengar ketawa kecil daripada sahabat-sahabat. Aryan pula sengih menunjukkan lesung pipit di pipi kirinya.

“ Aira tak sudi jadi isteri saya ke?” Aryan berbisik. Aku eleng.
“ Dah sah jadi isteri awak pun. Sudi ke tak sudi dah kena tolak tepi,”
“ Sila practice panggil saya abang. Bukan awak,” usiknya perlahan. Mungkin tidak mahu didengari oleh tetamu-tetamu yang melihat.

“ Ummi dengar,” ummi pula menambah perasa. Mengusik kami berdua. Aku dan Aryan sama-sama senyum kepada ummi. Dan di situlah, bermula kisah aku dan dia..
……………………........................

“ Terima kasih sebab sudi terima abang walaupun Aira sendiri tak tahu abang ni macam mana orangnya,” Aryan bersuara tika kami mengambil angin di beranda. Aku senyum kepada dia yang berjaya mencuit hati ini.
“ Terima kasih juga sebab abang sudi tunggu Aira walaupun abang sendiri tak pasti Aira akan terima abang ke tak,” jemarinya aku genggam. Tubuhku dipusingkan menghadap dirinya sebelum Aryan mengeratkan lagi pelukan di tubuhku.

“ Jodoh itu rahsia Allah, sayang. Pertama kali abang jumpa Aira dekat pantai hari tu, hati abang mula berdebar. Tapi, abang bimbang, itu cuma mainan perasaan. Untuk seketika, abang biarkan perasaan itu. Namun, perancangan Allah maha hebat! Kita bertemu lagi kali kedua di pasar, tapi orang tu tak perasan abang pun kan?” aku sengih mengingatkan peristiwa lama. Peristiwa di mana aku langsung tidak menyedari akan wujudnya dia.

Pertemuan pertama kami di tepi pantai itu merungkai kekusutan yang melanda jiwa. Telahanku tentang statusnya ketika itu rupanya tidak tepat. Wanita yang ku lihat bersama dia sebenarnya ialah kakak kandungnya sendiri, Kak Afira Wahidah. Dan pertemuan kedua itu pula bermula dengan sesi perkenalan daripada ummiku sendiri. Ya! Ummilah yang mengatur pertemuan itu untuk kami, namun sayangnya aku tidak memberi sebarang reaksi akan peristiwa tersebut membuat ummi menganggap aku masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“ Pertemuan kedualah yang membuat abang yakin yang jodoh abang dah sampai. Istikharah abang kepada Pencipta kita juga menemukan jawapan yang sama. Sebab tu, abang beranikan diri jumpa ummi dan abah untuk suarakan hasrat abang. Abang berani mati je pergi hari tu, tapi alhamdulillah, umi dan abah terima hasrat abang.. abang bimbang juga, bimbang Aira akan tolak.tapi, syukur. Memang sayang abang ni dah Allah tetapkan untuk menjadi pemilik hati abang,”

“ Dan kini.. dia dah sah menjadi milik abang, kan? Sekarang, cinta kita sudah pun halal. So, Aira nak ayat-ayat cinta, boleh?” aku senyum menggoda. Goda suami sendiri okey! Aryan menarik hidungku.
“ Sakitlah abang..! Tahulah hidung kita tak mancung macam dia,” aku pura-pura merajuk, hanya untuk membuat dia memujuk. Terserlah kemanjaanku di situ. Manja untuk yang halal, apa salahnya, bukan?

“ Cinta abang, rindu abang, sayang abang, hanya untuk seorang teman. Teman yang bakal menemani hari-hari abang selepas ini. Teman yang akan menggenggam erat tangan abang di saat abang jatuh. Teman yang akan memimpin tangan abang di saat abang tersalah arah. Teman yang akan memeluk abang di saat abang resah. Teman yang akan setia di sisi abang setiap masa, setiap ketika, di setiap perjalanan abang dalam menggapai cinta Allah. Hanya untuk teman yang sedang menemani abang di bawah langit Allah,” dahiku dikucup lembut. Aku senyum bahagia. Tubuh itu aku rangkul erat. Bahagia dengan cinta yang Allah titipkan ke dalam hati kami.

“ Dia yang akan membimbing Aira dalam mendalami ilmu-ilmu Allah. Dia yang akan memimpin Aira dalam menuju cinta Allah. Dia yang kini menjadi pengganti abah untuk membawa Aira ke jalan keredaan Allah. Hanya dia. Pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul, Aryan Muqri!”
Aryan melabuhkan pandangannya ke wajahku. Aku menunduk malu. Sukar sebenarnya untuk aku membuang sifat ini di dalam diri. Perasaan maluku pada lelaki sememangnya sudah sebati sejak dahulu lagi. Dan kini, bersama suami sendiri juga aku masih punya perasaan itu.

“ Izinkan abang menjadi pemilik hati kepada pemilik mata ini, sayang. Jadikan hanya abang yang berhak ke atas setiap pandangan, setiap renungan yang terzahir daripada mata ini. Biarkan mata ini terus melahirkan isyarat cinta buat suamimu ini. Bolehkah sayang?” Aryan mengangkat wajahku dengan jemarinya, memaksa aku untuk terus melabuhkan pandangan ke matanya. Lama mata kami bersatu, menzahirkan cinta yang terlakar indah di lubuk hati.

“ InsyaAllah abang. Selagi mata ini mampu melihat, selagi itulah mata ini hanya akan setia menatap cinta yang Allah anugerahkan kepada sayang. Selagi itulah renungan ini hanya akan menjadi milik seorang insan. Dan selagi itu jugalah, mata ini akan meluahkan isyarat cinta buat dia yang didatangkan Tuhan buat sayang. Hanya untuk abang, pemilik hati sayang..”

Aryan menghulurkan senyuman lebar kepadaku. Dibawa aku ke dalam pelukan. Terasa begitu selamat berada dalam pelukan dia yang halal buatku. Nyata, di sebalik duka yang aku tanggung suatu ketika dahulu, Allah titipkan bahagia buatku. Hadirnya Aryan Muqri telah pun melengkapkan pencarian cintaku. Kini, di setiap sujud, di setiap doa, ada namanya yang meniti di bibirku, hanya untuk pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul.

Ya Tuhan.. terima kasih atas anugerah yang telah Engkau titipkan buatku. Terima kasih atas bahagia yang telah Engkau hamparkan untukku. Peliharalah kami, peliharalah cinta kami agar kami akan terus utuh dalam menapak mencari cinta hakiki milikMu. Berkati kami di setiap langkah kami dalam mencari keredhaanMu. Semadikan cinta kami hanya untukMu, Penciptaku.

~TAMAT~

#terima kasih daun keladi, kalau salah silap harap dimaafi. pfftt. again, kalimah cinta trpaksa di 'hold on'. cerpen ni dah lama dlm simpanan cuma belum dipublish. harap terhibur. # :)

penghujung cinta 1. (sambungan cerpen aku & dirinya)


Aku merenung pemandangan di hadapan. Sehingga kini rasa itu tidak pernah pergi dari hati. Bahkan rasa itu, semakin hari dirasakan semakin dalam. Aku sendiri tidak pasti bagaimana rasa itu mampu menggoncang segenap jiwa gadis ini. Dan kenapa rasa itu hanya ada pada lelaki itu? Bukan pada lelaki lain juga? Sudah puas aku mencari jawapan kepada persoalan yang saban hari semakin mengganggu pemikiran. Ya! Persoalan tentang lelaki bercermin mata itu!

“ Ya Allah.. Apakah sebenarnya rasa yang sedang aku alami sekarang ini? Adakah perasaan itu bakal menjadi milikku atau ia hanya satu mainan perasaan? Adakah rasa ini akan hilang seiring waktu yang berjalan? Tetapi kenapa terlalu lama waktu yang aku perlukan untuk menemukan jawapan? Ya Allah.. aku pohon, tunjukkan aku jalan.. Aku hanya mahukan satu kepastian. Jawapan kepada persoalan yang sentiasa bermain di fikiran. Jangan Kau biarkan rasa ini terus menggangguku, Yang Maha Penyayang. Aku khuatir, aku akan leka dengan mainan perasaan sehingga aku alpa pada tujuan kehidupan yang sedang aku titi sekarang.”

“ Jangan pernah putus asa dengan Allah, Aira. Allah tidak akan mencipta perasaan itu tanpa sebab. Allah tahu, Aira mampu untuk menghadapi ujian yang kecil ni. Bukankah dugaan itu tanda Allah kasih dan cinta kepada seseorang? Bersyukurlah kerana menjadi antara yang bertuah untuk merasa cinta Allah!” kata-kata Najwa, kawan seusrahku terngiang-ngiang di telinga. Aku melepaskan keluhan kecil. Ya! Masakan Allah ingin menganiyai hambaNya?

Dudukku dibetulkan. Keindahan pantai yang terbentang luas di hadapan bagai menggamit ketenangan yang sekian lama diimpikan. Anak-anak kecil kelihatan riang bermain di pesisiran pantai, ditemani ibu bapa yang terkadang ketawa melihat telatah comel permata hati mereka. Tidak terlepas untuk menyertai keseronokan itu ialah Aisya Suhana sendiri. Sungguh terserlah keseronokannya bermain di tepi pantai, berkejaran dengan kawan-kawan sekelasnya yang lain, tidak sepadan dengan usianya itu. Sengaja aku membawa mereka keluar berjalan-jalan, untuk melepaskan tekanan setelah hampir sebulan bertungkus-lumus dan bergelumang dengan peperiksaan SPM yang baru tamat.

Aku merenung pantai. Nun di hujung sana, sang matahari indah mula perlahan-lahan menyembunyikan diri. Indah sekali pemandangan itu. Ciptaan Tuhan, penuh dengan keindahan yang sering kali membuat kita kagum. Dan diri ini jua mengerti, perasaan yang dialami olehku sekarang juga salah satu ciptaan Tuhan. Keindahan yang Allah ingin berikan, tetapi dari sisi yang berbeza. Mungkin dulu aku memandang perasaan itu sebagai suatu masalah untukku, tetapi kini aku sudah faham bahawa aturan Allah itu lebih indah daripada segala-galanya. Syukur kerana rasa itu tidak pernah melebihi perasaan cinta dan kasihku kepada Tuhan Pemilik segala Rasa. Dan akhirnya, aku senyum sendiri.

“Assalamualaikum,” terdengar suara seorang lelaki memberi salam. Aku tersentak. Pantas aku berpaling ke arah suara itu.
“ Maafkan saya, saudari. Boleh saya tahu, tempat duduk ini ada orang lain punya?” aku sedikit menggelabah. Bukan kerana takut dengan lelaki itu, tetapi kerana aku tidak selesa berbicara dengan orang yang tidak dikenali.

“ Er..er..” aku sudah bangkit dari duduk.
“ Saudari?” dengan mengumpulkan sedikit kekuatan, aku cuba bertenang. Terasa jantung berdegup kencang. Menari tidak seperti kebiasaannya.
“ T.. tak ada, duduklah. S.. saya pun dah nak pergi,” tanpa menunggu lebih lama, aku mula melangkah, tetapi suara itu kedengaran lagi.

“ Terima kasih, saudari.” aku hanya mampu menundukkan sedikit kepala saat terpandang senyuman yang terukir di bibir lelaki itu.
“ Kenapa angah?” soal Aisya tika melihat aku tiba-tiba berdiri di sisinya. Mungkin pelik melihat aku yang agak resah.
“ T.. tak ada apa-apa. An
gah bosanlah sorang-sorang dekat sana,” ujarku, sekadar menutup resah. Memandang sekilas ke tempat duduk tadi, kelihatan lelaki itu mendukung seorang kanak-kanak yang mungkin berumur lingkungan tiga tahun. Wanita di sisinya pula hanya tersenyum.
‘ Mungkin pasangan suami isteri’, itulah yang aku fikirkan.
……………………
 Aku memandu kereta ke pekan. Ummi di sebelah sedang leka mendengar alunan ayat-ayat Al-Quran daripada radio yang dipasang.
“ Angah pernah terfikir nak kahwin muda tak?” soalan ummi membuat aku tersentak. Langsung aku tidak menjangka soalan itu akan terzahir dari bibir ummi.
“ Ke.. kenapa ummi tanya macam tu?” ummi senyum.

“ Saja-saja tanya. Mana tahu, kalau anak ummi ni dah ada pilihan hati, tapi tak berani nak berterus-terang,”
“ InsyaAllah ummi.. Angah sendiri tak berani nak letakkan harapan apa-apa, mi.. Biarlah Allah yang menentukan segala,” ummi tersenyum. Aku sendiri tidak pasti untuk apa senyuman itu diukirkan.

“ Ummi takkan halang kalau dah ditakdirkan angah kahwin muda, tapi angah kenalah belajar asas rumah tangga dulu. Hehehe,” ummi sudah ketawa. Wajahku sudah terasa panas. Pasti ummi memerliku kerana hanya aku yang jarang ke dapur, menunjukkan skil yang satu itu.
“ Ummi ni.. sempat lagi!”

Setelah menurunkan ummi di tepi jalan, aku mula mencari parking. Waktu-waktu begini memang susah untuk mencari parking, ditambah pula dengan hari ini adalah hari giliran. Kereta Viva kepunyaan abah aku parking di sebelah Perdana setelah hampir 20 minit mencari tempat kosong. Ternampak ummi yang sedang leka memilih sayuran, aku bergerak ke arahnya.

“ Ummi, ada apa-apa lagi nak dibeli ke?” aku pandang wajah ummi. Ummi senyum sambil mengangguk. Plastik yang berada di tangannya aku ambil.
 “ Ummi nak beli buah sikit,”
“ Kalau macam tu, jomlah..” aku mendahului ummi ke gerai buah. Tibanya di sana, ummi leka memilih buah-buahan. Aku pula hanya berdiri di satu sudut. Memandang perbuatan ummi.

“ Assalamualaikum..” seseorang memberi salam. Aku berpaling. Bulat mataku melihat lelaki yang berdiri di hadapanku. Lelaki sama yang aku temui di pantai dulu! Lelaki yang membuat aku tiba-tiba diserang gelisah, dan hari ini, dia muncul lagi! Sekali lagi membuat hatiku resah!
“A...apa..”

“ Salam tu wajib dijawab,” pintasnya dulu. Aku mengerut dahi.
“ Waalaikumussalam.. Er.. maaf,” aku meninggalkan dia sendiri. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan jika berlama-lama di situ. Ummi aku hampiri.
“ Angah kenapa?”
“ Tak.. tak ada apa-apa,.” Langsung aku tidak berani berpaling ke arah lelaki itu. Bimbang jika dia masih ada di situ, dan kegelabahanku pula akan terbongkar.

“ Angah dah kenal Aryan?” soal ummi. Aku terpana. Aryan? Siapakah gerangannya? Segera aku mengeleng.
“ La.. tak lagi ke? Dari tadi dia ikut kita, angah tak sedar ke?” sekali lagi soalannya aku jawab dengan elengan. Mana mungkin aku menyedarinya andai pandanganku ditundukkan?

“ Aryan..”
“ Ya, Mak Aya?” suara itu! Aku sudah mengenali suara itu! Adakah dia..
“ Angah, inilah Aryan. Aryan, ini Aira Fittiya, anak kedua Mak Aya,” ummiku berceloteh. Aku hanya menundukkan wajah. Wajahku terasa panas. Ya Allah.. apa yang sedang aku alami sekarang?

“ Selamat berkenalan, Aira..” hanya suaranya yang masuk ke gegendang telingaku. Aku hanya mengangguk kecil.
“ Ummi ada lagi yang nak dibeli ke? Kalau tak, elok kita balik sekarang. Barang-barang pun angah tak simpan lagi,”

“ Baiklah, terima kasihlah Aryan, temankan Mak Aya tadi..”
“ Tak apa, Mak Aya. Kereta letak mana? Biar Aryan bawakan barang-barang ni sampai ke kereta,”
“ Tak apa. Saya boleh bawa,” kataku, cuba menolak. Aryan senyum kepadaku. Aku kembali tunduk.

“ InsyaAllah, tak menyusahkan saya pun,” ujarnya. Akhirnya, Aryan mengekori aku dan ummi ke kereta. Kebetulan lagi, kereta Perdana yang diparkir di tepi kereta abah itu adalah keretanya. Ummi dan Aryan leka bersembang. Dan aku pula hanya berdiam diri. Langsung tidak terfikir untuk mencelah.

“ Maaflah Aryan. Aira memang begini. Dia pemalu sikit,”
“ Saya faham, Mak Aya. Eloklah begitu daripada dia melabuhkan pandangannya kepada lelaki yang bukan muhrim buatnya. Daripada dia meluahkan kata untuk lelaki lain. Biarlah ia terus kekal buat bakal suaminya,” ujar Aryan. Wajahku memerah.

“ InsyaAllah.. semoga Allah makbulkan,” sambung ummi.
“ Semoga berjumpa lagi, Aira Fittiya. Assalamualaikum,”

Aku masuk ke dalam kereta. Ummi juga sama. Nafasku tarik sedalam-dalamnya sebelum dihembuskan perlahan. Ada debaran yang berkocak di jiwa. Apakah maknanya? Wajah itu seakan tersenyum kepadaku. Beberapa kali aku beristighfar untuk mengusir bayangan itu.
‘ Ya Allah.. pelihara hatiku..’
……......................................

Setelah seminggu melabuhkan cuti di rumah, aku kembali bertarung dengan kertas-kertas. Masih ada tugasan yang berbaki untuk disiapkan. Dalam kesibukan, ada rindu yang terukir buat insan bernama Aril Ridzuan. Semester ini, kami tidak ditemukan dalam kelas yang sama dan aku redha, kerana mungkin Allah ingin memelihara hatiku. Ya, memelihara hatiku agar tidak leka!

Di saat rindu itu hadir, ada khabar duka yang aku terima. Nyata, sangkaanku memang tepat. Aril telah pun dimiliki oleh sang tunang yang sudah menambat hatinya sejak setahun yang lalu. Dan untuk apakah setiap tingkahnya pada semester yang lalu? Atau ia hanya sekadar tanggapanku cuma? Aku benar-benar buntu, lalu aku pendamkan semua di sudut hati. Allah lebih tahu yang terbaik buatku. Biarlah rasa hatiku mati sendiri.

“ Aira redha ke dengan semua ni? Aira mampu ke terima yang Aril tu dah berpunya?” soalan Syafa aku biarkan terbang dibawa angin pilu. Entah, aku sendiri tidak punya jawapan untuk persoalan itu. ‘Ya Allah, redhakah aku dengan semua ini? Mampukah aku menerima dugaan ini?’

“ Aira?”

“ Entahlah, Syafa. Sejujurnya, Aira sendiri tidak pasti dengan hati Aira. Redha atau tak hati Aira ni, semua dah pun berlalu. Aril dah pun jadi tunangan orang, dan mungkin inilah jawapan yang Aira tunggu selama ni. Aril dan Aira bukan untuk satu sama lain. Dan mungkin juga mata kita silap memandang.. Tingkahlaku Aril tu hanya dia dan Allah saja yang tahu. Mungkin dia memandang orang lain, tetapi disebabkan tumpuan kita pada dia, kita sangkakan pandangan dia pada Aira. Biarlah, Syafa. Aira akan cuba sedaya upaya untuk menjadi redha. Doakan Aira, ya?”

Syafa senyum. Jemariku digenggam erat. Mungkin dia sendiri mengerti akan perasaanku ini. Dan aku, pastinya akan berusaha sehabis yang mampu untuk melepaskan semua rasa itu pergi. Dan biarlah, aku terus menunggu dia yang tercipta untukku.

“ InsyaAllah, Allah akan hadirkan yang terbaik untuk Aira. Bersabarlah selagi termampu. Bukankah kesabaran itu akan terbalas dengan sesuatu yang lebih indah?” balas Syafa. Aku membalas senyumannya. Ya, akan hadir yang terbaik buatku!

Di saat waktu berlalu, aku meneruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar universiti. Sungguh, semester ini benar-benar mengujiku. Menguji ketabahanku, menguji keimananku, menguji kekuatanku dalam menjadi Muslimah sejati. Kini, aku benar-benar bertudung labuh. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan segalanya. Hijrahku hanya untuk kerahmatan-Nya. Cukuplah dengan kekhilafan yang telah aku lakukan di suatu ketika dahulu. Dan semoga taubatku diterima oleh-Nya.

Aril Ridzuan? Dia masih menjadi sebahagian daripada hidupku. Mana mungkin semudah itu aku mampu melupakan dirinya? Mana mungkin sesenang itu kenangan bersamanya hilang dari tubir mindaku? Ya, aku masih berusaha. Berusaha untuk menerima bahawa dia kini sudah sah menjadi tunangan orang, dan jelasnya, aku harus mengundur diri. Membiarkan semua kisah kami berlalu pergi. Allah.. bantu aku!
………………………………

Aku dan Syafa menuju ke arah kedai makan berhampiran. Perut yang kosong, minta diisi itu sudah tidak mampu aku tanggung lagi. Syafa sudah terlebih dahulu melintas jalan. Aku di belakang agak terkial-kial dengan keadaan jalan raya yang agak sesak di waktu puncak begini. Tika aku melintas jalan, entah apa yang menolak aku ke hadapan, menyebabkan aku jatuh ke bahu jalan. Sakitnya tak terkira lagi! Saat itu jugalah aku mendengar suara bising-bising di belakangku, dan orang yang berada di kedai makan juga berlari ke arah sama. Aku berpaling. Terkejut aku tatkala melihat orang ramai sedang mengerumuni sesuatu. Aku bangkit, dengan bantuan Syafa yang sudah mendekatiku.

“ Apa dah jadi Syafa?”
“ Aira tak sedar ke ada kereta bawa laju tadi? Lepas tu, ada orang yang tolak Aira ke depan. Syafa pun tak tahu siapa dia,” aku dan Syafa melangkah ke arah kumpulan yang sedang berkerumun itu.

“ Ya Allah! Aril!” terjelupuk aku melihat sekujur tubuh terbaring kaku di atas jalan raya. Darah keluar dari kepalanya. Lemah longlai aku merapati tubuh itu.
“ A.. Aril..” air mataku turun laju tanpa dipinta. Sungguh, aku tidak menduga ini yang akan terjadi. Kepala Aril aku pangku. Nafasnya tercungap-cungap.

“ A.. Aira..”
“ Aril, jangan cakap.. InsyaAllah, nanti ambulans sampai,” mutiara jernih di pipiku terusan membasahi pipi. Ya Allah, selamatkan dia! Dia tidak berdosa!
“ Aril!” Muaz datang mendekati. Aku tidak mampu mengalihkan pandangan. Di fikiranku hanyalah keselamatan Aril. Aku tidak mahu apa-apa terjadi kepadanya semata-mata untuk menyelamatkan aku!

“ Aira, sabar.. Diorang dah call ambulans. Sekejap lagi sampai,” untuk apa Muaz menenangkan aku, aku sendiri tidak tahu. Mungkin dia terkejut melihat aku yang teresak-esak melihat Aril begitu. Sesampainya ambulans, Muaz awal-awal sudah menaiki ambulans untuk mengiringi Aril ke hospital.

“ Muaz, Aira nak ikut..” pintaku. Muaz hanya mengangguk. Mungkin memahami perasaanku saat ini. Syafa menggenggam erat jemariku. Aku faham erti pandangannya kepadaku.
“ Syafa, Aira yang sebabkan dia jadi macam ni, dan Aira perlu bertanggungjawab. Jangan bimbang,” aku meninggalkan Syafa dan naik ke atas van.

Setibanya di hospital, Aril dibawa ke wad kecemasan. Aku dan Muaz menanti di luar. Suasana sepi. Aku mahupun Muaz langsung tidak bersuara setibanya kami di sini 30 minit yang lalu. Badanku terasa lemah. Mungkin kesan daripada kemalangan sebentar tadi.

“ Aira okey?” soal Muaz tiba-tiba. Aku hanya mengangguk.
“ Muka Aira pucat..” ujarnya lagi. Pandanganku berpinar-pinar. Mungkin jua akibat terlalu banyak menangis. Air mata di pipiku juga masih belum ada tanda untuk berhenti.

“ Kalau Aira tak cuai, mungkin Aril tak berada dalam tu. Ya Allah.. apa yang Aira dah buat ni, Muaz.. Aril terlantar, bertarung nyawa kat dalam tu sebab Aira!” Muaz menghampiri aku.
“ Jangan cakap macam tu, Aira. InsyaAllah, dia akan selamat. Banyak-banyakkan berdoa,” aku hanya tunduk. Kepalaku kian sakit.

“ Muaz! Aril macam mana? Apa kata doktor?” Kayrul dan Safwan tiba-tiba muncul.
“ Masih kat dalam. Doktor pun belum keluar lagi,”
“ Aira macam mana? Ni, Kayrul ada bawakan pakaian Aira, Nees kirimkan tadi..” aku melihat pakaian sendiri yang penuh dengan darah. Langsung aku lupa akan pakaian sendiri yang dipenuhi darah. Allah..

“ Aira pergi salin baju jap,” aku bangkit. Namun, kepalaku yang sakit membuat aku terpaksa bersandar pada dinding.
“ Aira okey tak ni?” aku segera menggelengkan kepala. Dan tika aku menapak satu langkah lagi, ku rasakan tubuh melayang. Jatuh menyembah bumi.
………………………………
“ Aira.. Alhamdulillah.. dah bangun dah dia,” aku membuka mata seluasnya saat mendengar suara orang berbual berhampiran denganku. Kelihatan teman-temanku ada bersama.
“ A.. Aira dekat mana?”
“ Aira pengsan tadi. Mujurlah Kayrul call Nees beritahu, kalau tak, kami takkan tahu Aira pengsan,” mendengar bicara Aneesa, aku terus bangun. Namun, sakit di kepala membuat aku kembali terbaring.
“ Aira rehat dulu..”

“ Aril? Aril macam mana? Syafa, dia okey tak?” Syafa senyum.
“ Alhamdulillah, dia selamat. Dia dekat wad sekarang,”
“ Aira nak tengok dia..”

“ Sabar Aira.. Tunggu Aira sihat sikit..” akhirnya aku mengalah walau dalam hatiku masih berputik kebimbangan buat Aril Ridzuan. Ya Allah, lindungi dirinya..

Doktor mengkhabarkan Aril mungkin koma untuk beberapa hari. Ia kesan daripada hentakan sewaktu dia dilanggar oleh kereta. Benar, aku terlalu terharu dengan perbuatannya itu. Aku? Alhamdulillah, keputusan x-ray yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang masalah yang besar. Badanku ada sedikit calar dan luka, tetapi tidak seteruk yang Aril alami. Hari ini, seperti pagi dua hari yang lepas, aku meneruskan rutinku, mengunjungi Aril selepas menunaikan kewajipan pada Yang Satu. Al-Quran ku bawa bersama. Saat membuka pintu, ada rasa sayu menyelinap ke ruang hatiku. Mungkin rasa bersalah yang sudah mula menghuni hati.

“ Assalamualaikum, Aril. Selamat pagi. Alhamdulillah, kita masih bernafas di dunia-Nya lagi kan? Awak apa khabar? Moga awak cepat sembuh. Tabahkan diri, Aril. InsyaAllah.. Allah akan bantu awak. Kuatkan semangat. Allah sentiasa ada bersama kita,” aku berbicara sendiri.

Kata doktor, mungkin Aril terbaring kaku tanpa berbuat apa-apa, tetapi dia mendengar bicara orang di sekelilingnya. Kerana itulah aku tidak pernah putus-putus berbicara dengannya, kerana aku yakin Allah pasti akan menyembuhkan dia.

“ Rasulullah s.aw apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu, didatangkan kepada baginda s.a.w, Baginda mengucapkan doa yang bermaksud : “Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (HR Bukhari). Lalu, doakanlah begitu kepada orang yang sakit itu, insya-Allah, Allah akan menyembuhkan penyakitnya,” kata-kata ustazah tempat aku mendalami ilmu agama terngiang di telinga.

Aku membuka langsir yang menutupi ruang di kamar Aril. Baru sebentar tadi jururawat datang memeriksa Aril. Alhamdulillah, Aril masih dalam keadaan baik walaupun belum menunjukkan tanda untuk sedar. Tiba-tiba, pintu bilik dibuka dari luar. Kelihatan seorang wanita dan dua orang lelaki masuk. Masing-masing terkejut melihat aku di situ.

“ Assalamualaikum,” aku memberi salam.
“ Waalaikumussalam. Anak ni siapa? Nurse kat sini ke?” aku tersenyum, lantas menyalami tangan wanita yang mungkin tua sedikit daripada ummiku. Lelaki yang berdiri dekat dengan wanita itu hanya ku hulurkan senyuman.
“ Bukan, saya kawan Aril. Mak cik ni ibunya ke?” wanita itu mengangguk.
“ Ini abahnya, dan itu Adif, abangnya. Apa nama anak?”
“ Saya Aira,” aku lihat ibu Aril menghampiri katil anaknya yang sedang terbaring, dan mengelus rambut itu. Ya Allah, ampunkan aku kerana membuat hati seorang ibu berduka.

“ Mak cik, pak cik, maafkan saya..” ujarku, sebak. Aku yang bersalah dalam hal ini, dan aku harus mengakui kesalahanku. Mereka memandangku pelik. Mungkin tidak mengerti dengan bicaraku. Aku menarik nafas sedalamnya, sebelum menghembuskan ia perlahan-lahan. Satu persatu aku ceritakan kepada orang tua Aril, dan aku benar-benar lega tika mendengar bicara kedua-dua orang tua Aril. Sebuah kemaafan dihulurkan untukku atas kesilapan yang tidak pernah aku jangkakan itu.

Petang itu, dan hari terakhir aku di hospital, aku dan ibu Aril sama-sama membaca surah Yassin untuk Aril. Kepada ibu Aril, sempat aku titipkan semangat agar dia terus tabah menghadapi dugaan Allah ini. Dan petang itu juga menyaksikan permulaan baru hidupku. Kisah yang bermula dengan linangan air mata dan yang membawa aku pergi. Pergi jauh dari hidup Aril Ridzuan yang sewajarnya ku lakukan sejak dari dulu lagi.

“ Saya tunang Aril, Zafirah..” tersentak aku tika mendengar kata-kata itu. Hati ini cuba aku tenangkan kerana aku sendiri sudah sedia maklum akan status lelaki itu. Riak wajah cuba aku sembunyikan dari dikesan.
“ Jadi..”

“ Saya minta awak jauhkan diri daripada Aril. Kebelakangan ni, dia dah banyak berubah. Saya tak tahu apa puncanya, tapi kalau boleh, saya nak elakkan daripada semua ni. Awak mesti faham, kan?”
Berkerut dahiku saat mendengar kata-katanya. Untuk apa dia memberitahu semua ini kepadaku sedangkan antara aku dan Aril, kami tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan, malah persahabatan sekalipun!
“ Saya..”

“ Saya sayangkan dia. Cintakan dia. Dua tahun kami bersama, dan saya setia dengan dia walau banyak halangan yang kami tempuh. Jadi, saya harap sangat tak ada lagi orang yang akan ganggu hubungan kami. Keluarga kami dah uruskan persiapan untuk perkahwinan, dan saya tak mahu ada gangguan seperti ni lagi,” ujar Zafira lagi. Aku memejamkan mata. Baru ku faham situasi sebenar. Nyata dia tersilap meneka.

“ Cik Zafirah.. maaf, tapi saya bukanlah seperti yang awak sangkakan. Saya seorang kawan yang kedatangannya hanya mahu mendoakan kawan yang lain. Antara saya dan Aril, kami tak pernah lebih daripada yang awak sangka. Saya yakin, hanya awak di hati Aril. Saya tak pernah nampak dia keluar dengan mana-mana perempuan, dan rasanya awak tak perlu bimbang. InsyaAllah, jika Allah dah jodohkan awak dengan dia, awak tetap akan dengan dia.. Saya pergi dulu ya? Sampaikan salam saya kepada orang tua Aril. Assalamualaikum,”

Usai tangan itu aku salami, aku melangkah pergi. Aku menahan sebak. Entah mengapa, hatiku rasa pedih sekali. Terasa bagai ada pisau yang menoreh hati. Allah, peliharakan hatiku. Hilangkanlah sakit yang bermain di jiwaku. Dan di saat itu, aku nekad. Nekad dengan keputusan yang ku yakin tidak akan berubah untuk kali seterusnya. Biarlah kisah antara aku dan dirinya kekal menjadi rahsia hati ini. Biarlah rasa yang menebak di hati buat lelaki itu kekal menjadi kenangan diri.

“ Aril Ridzuan. Saya lepaskan awak pergi demi kebahagiaan awak. Biarlah saya setia menanti hingga tiba Adam milik saya mengetuk pintu hati. Allah telah pun berikan saya jawapan kepada soalan saya selama ini. Hati saya bukan milik awak. Cinta saya bukan ditakdirkan untuk awak. Hanya untuk DIA, Pencipta kita. Dan dia yang bakal menjadi imam saya. insyaAllah..”
……………………………………………
“ Sejak kau keluar dari hospital, tak sekalipun kau senyum Aira. Apa yang sebenarnya dah jadi waktu kau dekat hospital sebenarnya? Sampai Aril sedarkan diri pun kau tak nak melawat dia. Ada sesuatu yang perlu aku tahu ke?” soal Aneesa di suatu hari. Ketika itu, aku dan dia menemani Kirana ke klinik. Aku hanya mengeleng, lantas melemparkan pandangan ke luar tingkap.

“ Aira..”
“ Cukuplah kau tahu, aku okey, Nees. Biarlah semua tu jadi rahsia aku, dan aku pun tak mahu ingat lagi semua tu. Silap aku yang tersalah arah,” Aneesa melepaskan keluhan. Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan.

Aku memandang pemandangan yang terbentang luas di hadapan mata. Sungguh aku rasa tenang saat ini. Sebentar tadi, Aneesa mengajak aku dan Kirana ke tasik yang terletak berhampiran. Dahulu, aku sering ke sini, menghabiskan masa dengan menikmati keindahan yang Allah hamparkan di hadapan mata, sambil mengingati keagunganNya. SubhanAllah! Kini, aku datang lagi. Tetapi dengan membawa secebis doa dan harapan agar kesedihan itu juga akan berlalu pergi. Pergi dibawa angin yang bertiup lembut. Pergi bersama setenang air yang memenuhi tasik ini.

“ Aira..” tersentak aku tika mendengar suara itu. Tubuh aku pusing perlahan-lahan. Allah! Apakah semua ini?
“ A.. apa awak buat dekat sini? Nees? Kirana? Apa maksud semua ni?” aku pandang wajah dua sahabat yang tampak bersalah. Ya! Seharusnya mereka punya rasa bersalah setelah membuat aku sebegini rupa!

“ M.. maaf, Aira.. Kayrul call aku tadi. Tanya kita dekat mana. Aku just beritahu, tak ada niat apa-apa,” aku memejamkan mata sebentar. Allah, lututku terasa lemah. Tidak menjangka akan ada pertemuan lain setelah semua kejadian itu.

“ Jangan salahkan mereka, Aira. Aril yang nak jumpa Aira. Hal kita belum selesai. Aira lupa? Ada sesuatu yang harus kita rungkaikan..” lelaki itu bersuara lagi. Aku tunduk. Allah, kenapa dugaan ini masih belum berakhir? Adakah ini satu lagi ujianMu untukku?

“ Setahu saya, saya tak ada sebarang masalah dengan awak. Saya tak nak masuk campur dalam apa jua urusan awak. Maaf,” aku bergerak ke arah Aneesa dan Kirana, bersedia untuk mengajak mereka pulang.
“ Aira jangan tipu diri Aira lagi. Aira tahu apa yang Aril maksudkan. Dan kita sama-sama tahu, kita sama-sama merasai perasaan tu,” aku terkedu. Allah, apa yang ingin diperkatakan oleh Aril Ridzuan?
“ Saya tak faham apa yang awak cuba sampaikan. Kalaupun saya tahu apa yang awak nak sampaikan, itu hak saya untuk memilih. Dan saya memilih untuk melupakan semua tu!” aku bertegas.

“ Jadi Aira rela terluka? Aira sendiri tak tahu perasaan Aril kan? Jadi, Aira pun tak layak nak jatuhkan sebarang hukuman pada Aril.. Tak cukupkah setiap tindakan Aril untuk tarik perhatian Aira dulu? Aril tahu Aira sedar semua tu, tapi kenapa kita tak boleh mengorak langkah seterusnya?” aku memegang dada. Ada rasa sakit di situ. Allah, nyata telahanku tidak pernah silap selama ini. Memang semua tindak-tanduknya itu ada maknanya. Kenapa ia harus sekarang? Kenapa ia harus di saat aku ingin melupakan?

“ Saat Aril terpandang seorang gadis yang sering menundukkan kepalanya waktu bertembung dengan mana-mana lelaki, saat itu hati Aril terdetik satu rasa. Awalnya Aril sendiri tak faham dengan perasaan yang Aril alami. Dan pertemuan demi pertemuan buat hati Aril makin dekat dengan gadis tu. Bila saja kami jumpa, dia mesti tundukkan pandangan dia. Dan lepas kelas Prof Aman hari tu, masa tu jugalah Aril pasti, Aril dah tertaut hati pada dia. Aril nak kenali dia, tapi Aril tak tahu macam mana. Hanya dengan memandang dari jauh. Ya! Aril ingat lagi kali pertama Aril bertentang mata dengan dia. Itu pun secara tak sengaja. Dia tunduk. Aril pun! Sungguh, Aril jatuh hati pada dia!”

Aku memaut Kirana. Mutiara jernih mula membasahi pipiku. Langsung tidak menyangka akan ada sesi luahan perasaan seperti ini! Allah, andai cinta itu bukan milik kami, kenapa harus aku dan dia punya rasa yang sama? Andai cinta itu telah Kau titipkan buat insan lain yang terbaik buat kami, kenapa harus ada rasa yang menyeksa jiwa?
“ Aira..”

“ Cukup, Aril Ridzuan. Ya! Mungkin kita pernah berkongsi rasa yang sama. Tapi itu dulu.. sebelum saya tahu hati awak ada yang punya! Sebelum saya tahu, Allah dah hadirkan yang terbaik untuk awak jaganya. Dan saya pula siapa, Aril.. Saya hanya seorang insan yang hatinya diserahkan kepada orang yang bukan tercipta untuknya. Aril, pergilah. Pergi pada yang lebih layak menerima cinta awak. Dia lebih baik daripada saya..”

“ Tapi hati Aril. Hati Aira..”
“ Tak perlu bimbang tentang hati saya. Hati saya dah pulih sepenuhnya. Mungkin hari ini saya nampak lemah sebab saya langsung tak jangka yang Allah akan turunkan ujian ini untuk saya. Tapi percayalah, saya dah lama meredhai semua tu. Saya yakin Allah dah aturkan yang terbaik untuk saya. Untuk kita. Hati awak ada pada Zafirah. Jagalah. Lindungi dia. Dialah bakal zaujah awak, Aril. Anggap saja kisah antara kita berakhir di sini. Demi Allah, saya dah lama melepaskan cinta saya pada seorang lelaki bernama Aril Ridzuan. Cinta saya, rindu saya, hanya untuk Pencipta saya, dan bakal imam saya..”

“ Aira.. Aril sayangkan Aira..”

“ Saya juga sayangkan awak, tapi hanya sebagai kawan. Belajarlah menerima ketentuanNya. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” Aneesa dan Kirana mengekoriku. Aku tahu, hati itu retak kembali. Luka lagi. Namun, aku sudah pun bersedia untuk semua ini. Allah, moga inilah yang terbaik untuk kami. Untuk aku. Untuk Aril Ridzuan juga. Noktah.
………………………………….