Friday, September 21, 2012

kalimah cinta 7


“ Fikir sebaik-baiknya sebelum kamu buat keputusan Dhiyaulhaq! Angin tak ada, ribut tak ada, kamu tiba-tiba buat keputusan macam ni? Kamu dah bincang dengan Hurin ke? Dia terima?”

Haq menundukkan wajah. Tidak berani bertentang mata dengan walidnya. Dia akui, dia membuat keputusan tanpa bertanya kepada Hurin dahulu. Tetapi, dia punya hak! Hak untuk membuat keputusan kerana dia ketua keluarganya, dan Hurin hanya perlu akur pada setiap keputusan yang dilakukan!

“ Kamu jangan ingat, kamu ketua keluarga, kamu berhak buat keputusan sendiri. Hurin juga ada hak untuk meluahkan pendapatnya. Lagi-lagi dalam hal macam ni. Kamu tak boleh fikir ikut kepala kamu sendiri saja,”

Haq meraup wajah. Seakan walid dan mamanya menyalahkan dirinya dalam hal ini sedangkan Hurin yang membuat onar. Mempunyai hubungan dengan lelaki lain di belakang suami sendiri!

“ Dhiyaulhaq!”

“ Walid, mama, ini rumahtangga Yo. Yo tahu apa yang terbaik buat keluarga Yo. Pasal Hurin, tak perlulah bimbang, Yo akan berterus- terang dengan dia. Hurin dah cukup dewasa, dan Yo tahu, dia akan terima semua ni dengan redha,”

“ Kamu jangan ingat diam Hurin tak ada erti, Yo. Dia mungkin seorang isteri, tetapi dia juga seorang wanita yang ada perasaan. Kalau kamu belum berbincang dengan dia, kami tak restui keputusan kamu ni. Walid tak nampak mana salahnya Hurin sampai kamu boleh buat keputusan macam ni,”

“ Walid, kalau Haq beritahu kebenarannya, tentu semua orang takkan percayakan Haq!”

“ Kamu belum beritahu kami lagi, mana kamu tahu kami takkan terima?”

Haq melepaskan keluhan. Dia tahu, dia kini tewas dalam perbincangan ini. Walid dan mamanya sudah pasti tidak akan merestui keputusan yang telah dilakukan.

“ Haq rasa dah tak ada guna kita teruskan perbincangan ni. Walid dan mama tetap akan pertahankan Hurin juga,”

“ Terserah, Dhiyaulhaq. Yang penting, mama dan walid takkan pernah setuju dengan keputusan kamu ni,”

Haq bangkit dari duduk lantas berlalu ke tingkat atas. Telefon bimbit segera dicapai. Ada seseorang yang harus dihubungi. Dia mahu menyelesaikan segalanya secepat yang mungkin. Suka atau tidak, semua orang harus menerima keputusannya.

“ Assalamualaikum, abang nak Hurin bawa Ain ke taman dekat rumah kita. Jumpa abang dalam 15 minit lagi,”

Talian dimatikan. Langsung dia tidak bertanya khabar pada isteri di sebelah sana. Untuk apa dia bertanya itu jika wanita tersebut sudahpun menyakiti hatinya? Menduakan dia dalam diam? Haq tidak nampak sebab untuk dia bertanya khabar wanita itu. Sungguh, amarah kini menguasai dirinya. Membatasi rasa cinta yang hadir buat isteri yang dinikahi berbulan yang lalu.

Di sebelah sana, Hurin tersenyum gembira saat nama ‘Imamku’ tertera di skrin telefon bimbitnya. Gembira kerana penantiannya berakhir. Namun, hampa. Tiada langsung nada ceria daripada suaminya, sebaliknya nada dingin yang menghiasi perbualan yang tidak sampai 10 saat itu. Atau lebih tepat lagi, lebih kepada arahan suaminya. Hurin duduk di atas katilnya. Perut yang masih belum menampakkan perubahan itu disentuh.

“ Abang, tak mahukah abang tahu khabar gembira ini?”
……………………………………………………………………………………………………………………………………

Seperti yang diminta, Hurin Amni dan Hurin Ainina tiba di taman tepat pada masa. Hanya bayangan Haq yang belum kelihatan di mana-mana. Hurin Ainina yang masih kebingungan memandang kembarnya. Ada kekusutan pada wajah itu.

“ Kenapa Hurin bawa akak ke sini? Dari tadi kakak tanya, tapi Hurin hanya cakap, ada surprise. Apa yang suprisenya, dik?” Hurin mengulum senyuman.

“ Sabarlah, kak. Nanti surprise yang Hurin katakan tu akan datang juga,” Hurin Ainina masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh adik kembarnya.

“ Hurin.. Hurin tak apa-apa, kan?”
“ Apa maksud akak? Hurin tak ada apa-apalah, kak. Nak buat surprise untuk akak pun tak boleh ke?”
“ Tak.. Erm, tak apalah..”

Hurin Ainina memandang raut wajah adiknya. Dia tahu, ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh kembarnya itu, cuma tidak dikhabarkan kepada sesiapa.

“ Kejutan dah sampai, kak..” Hurin Ainina memandang ke arah yang sama dengan adiknya. Di seberang jalan, kelihatan Haq sedang menuju ke arah mereka. Dia sama sekali terkejut. Adakah ini kejutan yang dikatakan oleh adiknya? Apa yang sedang dirancang oleh kedua-duanya?

“ A.. apa maksud Hurin? Kenapa Haq datang?” Hurin hanya mengulum senyum.
“ Assalamualaikum, abang..”

Tangan Haq disalami tanpa sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Haq memandang wajah tenang isterinya. Perasaan bersalah tiba-tiba bersarang di dalam hati. Hurin Ainina yang duduk di atas kerusi roda dipandang. Kecantikan gadis itu tetap kelihatan meskipun sebahagian wajahnya sudah tercela akibat perbuatan Natrah dahulu.

“ Hurin, abang ada sesuatu nak cakap dengan Hurin,”
“ Hurin pun ada sesuatu nak cakap dengan abang. Abang duduklah dulu. Kak Ain pun Hurin bawa bersama ni, macam yang abang minta..”

Haq melabuhkan duduk bertentangan dengan Ain. Hurin pula duduk di sisi kakaknya itu. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan. Hal di antara mereka bertiga perlu diselesaikan secepat yang mungkin. Dia tidak mahu terus dihuni rasa bersalah kepada kedua-dua wanita tersebut.
“ Hurin nak beritahu apa?” Hurin menguntum senyuman.

“ Abang, Hurin nak abang tahu, apa pun keputusan abang, insyaAllah, Hurin akan terima dengan redha. Hurin tak nak abang rasa bersalah atau apa-apa. Bagi Hurin, menjadi suri di hati abang selama lima bulan ni sudah cukup bermakna buat Hurin. Dan Hurin juga tahu, dalam hati abang, tak pernah ada Hurin. Abang cuma tersilap langkah. Tertipu dengan keadaan. Abang mengahwini Hurin kerana menyangka Hurin ni kakak,”

“ Hurin! Apa yang Hurin cakapkan ni?! Berapa kali kakak kena cakap yang antara kakak dan Haq, itu cuma kenangan! Haq mencintai Hurin.. Kenapa Hurin masih nak lari dari kenyataan lagi?”

“ Kak.. sebenarnya, kita semua lari dari kenyataan. Kita semua tak mahu mengaku yang Hurin bukan orang yang sepatutnya bersama Haq. Kan, abang? Abang masih sayangkan kakak, kan?”
“ Tak mungkin! Haq, you don’t love me, right? Awak sayangkan Hurin, kan?”

Haq keliru. Langsung dia tidak menjangka kedua-dua beradik ini akan bertikam kata demi kebahagiaan kedua-duanya. Hurin ingin berkorban demi kebahagiaan kakaknya, dan begitu juga Hurin Ainina. Haq melepaskan keluhan kecil.

“ Haq, you better solve this problem now. Saya tak nak Hurin salah faham lagi,”

“ Abang, jangan tipu diri abang. Percaya dengan kata hati abang. Abang tak usah fikirkan perasaan Hurin. Hurin dah bersedia dengan semua ni sejak pertama kali lafaz ijabkabul menyatukan kita. Hurin terima seadanya, bang..”

Haq memandang wajah kedua-duanya. Dia akui, dia mengasihi kedua-dua mereka, dan seandainya mampu, dia mahu membahagiakan kesemuanya. Tetapi, telah tertulis di dalam Islam bahawa haram bagi lelaki untuk mengahwini dua saudara. Dan Haq, tahu, dia harus memilih antara satu.

“ Beginilah, Ain, jujur saya katakan bahawa saya masih mengasihi awak. Bertahun lama saya mencari awak semata-mata untuk menebus kesilapan saya pada awak. Bila awak tiada, barulah saya sedar yang saya mencintai awak, tapi semuanya dah terlewat waktu itu. Awak dah tinggalkan hidup saya tanpa kesan. Dan pabila saya bersua dengan Hurin, saya rasakan penantian saya berakhir. Saya berkahwin dengan Hurin kerana sangkakan dia ialah awak,”

“ Haq! Apa yang awak cakap ni? Awak sedar tak apa yang awak katakan ni sebenarnya salah? Nonsense! Hurin, jangan dengar cakap Haq! Dia tak bermaksud macam tu pun!”

“ Tak apa, kak. Hurin memang tahu semua ni dari awal lagi. Bukankah Hurin sendiri dah beritahu kakak yang abang mangsa keadaan? Abang salah sangka yang Hurin ni kakak. Hurin mampu terima semua tu, kenapa tak, kakak?”aHaqHaaaa  a


Hurin Ainina mengelengkan kepala berkali-kali. Sedaya upaya dia cuba menyangkal kata-kata Haq, tetapi adiknya pula seakan sekadar menerima bicara lelaki itu.

“ Sekarang semua dah jelas kan? Abang, Hurin redha dengan semua yang terjadi. Lepas ni, abang boleh tolong uruskan kesemua urusan, kan? Maaf sebab tak beritahu abang awal-awal, dan memang silap Hurin sebab tak minta izin dari abang dulu..”

“ Apa maksud Hurin?” Hurin Amni senyum mendengar soalan suaminya.

“ Alhamdulillah, Allah dah mudahkan segalanya buat kita.. Hujung minggu ni, insyaAllah Hurin akan berangkat ke Kaherah. Hurin dapat tawaran ambil master dekat sana,”

“ Apa?! Kenapa Hurin tak beritahu kakak? Hurin sengaja, kan? Hurin nak jauhkan diri dari kami, kan?”

“ Maafkan Hurin, kak. Semuanya mendadak. Tawaran tu datang masa keadaan jadi macam ni. Dan Hurin juga perlukan ruang untuk diri sendiri. Hurin hanya nampak jalan ni saja,”

“ Tapi Hurin tak sepatutnya..”

“ Maafkan Hurin, kak. Abang Haq sendiri tak kata apa-apa. Tu bermakna dia merelakan Hurin pergi. Abang, Hurin minta tolong abang hantarkan kakak balik, ya? Hurin ada urusan nak diselesaikan lagi,”

“ Haq! Say something! Takkan awak nak tengok saja isteri awak pergi?”

Haq masih diam. Sebak di dada Hurin kian memuncak. Terluka dengan sikap suami yang sekadar berdiam diri. Tidak mahukah Haq menghalangnya dari pergi? Atau Haq sendiri tiada hati dengannya?
“ Hurin, akak tak nak..”

“ Maaf sangat-sangat, kak. Hurin pergi dulu, kak..”

Saat Hurin mencium tangannya, Hurin Ainina terasa sebak. Dipeluk erat tubuh adik kesayangannya itu.
“ Kenapa Hurin buat macam ni, dik?”

“ Sebab akak selalu berkorban untuk Hurin, dan dah tiba masanya Hurin pula berkorban untuk kakak. Sayangilah Haq seperti mana akak menyayangi Hurin ya, kak?”

Dan saat tangan Haq pula diciumi, air mata Hurin perlahan menitis membasahi pipi. Haq juga sedar akan itu semua, namun dia langsung tidak mampu bersuara.

“ Maafkan Hurin, bang. Maafkan Hurin sebab tak dapat jadi isteri yang baik buat abang, tapi ketahuilah yang abang dah jadi suami yang terbaik buat Hurin. Halalkan makan minum Hurin selama ni, bang. Hurin doakan abang akan bahagia dengan kakak,”

“ Ma.. maafkan abang, Hurin..” Hurin senyum.

“ Abang tak pernah salah apa-apa. Hanya Hurin yang bersalah sebab tipu abang selama ni..”
Dan Hurin Amni akhirnya berlalu. Meninggalkan Haq dan Hurin Ainina yang masih berperang dengan perasaan sendiri.

Nyata, tiada sesiapa pun yang tahu gelojak jiwanya kini. Hanya pada Allah tempat dia berserah segalanya. Dia bukan sesiapa untuk menyekat kebahagiaan insan-insan yang disayanginya. Dia hanya mahukan yang terbaik buat mereka. Seperti mana mereka telah berkorban untuknya, dan seperti itu jugalah dia mahu melakukan pengorbanan.

“ Abang, Hurin akan tetap mencintai abang sampai bila-bila. Maafkan Hurin kerana terus menyembunyikan kewujudan benih di dalam perut ini. InsyaAllah, Hurin berjanji Hurin akan menjaganya lebih daripada nyawa Hurin sendiri..”
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Hurin Amni setia memandang pemandangan di hadapannya. Air mata terus dibiarkan mengalir membasahi pipi. Dia tidak menyangka akan melihat pemandangan itu. Lelaki tersebut setia menolak kerusi roda gadis itu, lantas membuka pintu kereta sebelum mendukung gadis itu untuk dimasukkan ke tempat duduk bersebelahan pemandu. Hurin Amni sendiri tidak menyangka kedatangannya untuk memeriksa kandungan yang kini berusia dua bulan akan berakhir dengan pemandangan ini. Dia teresak-esak menangis. Sungguh. Hurin bukanlah setabah yang disangka. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati perempuan mana yang mampu melihat lelaki yang dicintai bersama orang lain? Tetapi, demi kakaknya, dia sanggup mengorbankan setiap rasa itu. Biarlah dia yang terluka. Asal bukan insan yang disayanginya.

“ Kakak, abang, Hurin doakan kalian bahagia. Hurin betul-betul sayangkan kalian,”

Kini, Hurin sudah mampu merelakan semuanya. Dia sudah mampu pergi tanpa ada rasa sesal tentang apa-apa. Demi melihat mereka berdua hari ini, dia sudah mampu menarik nafas lega. Tiket kapal terbang yang diletakkan di sebelah dipandang.

Assalamualaikum..
Maafkan Hurin andai kedatangan surat ini menganggu hari abang.. Hurin tahu, tidak selayaknya Hurin mengirimkan warkah tidak seberapa ini kepada abang, tetapi Hurin minta.. bacalah surat ini hingga ke penghujungya, dan selepas itu, abang boleh membuang ia.

Abang..
Sesungguhnya tak perlu ada penyesalan dalam kisah kita. Abang tak pernah bersalah. Mungkin ia sememangnya silap Hurin yang tersalah langkah. Maafkan Hurin, abang kerana membuat keadaan jadi sebegini. Hurin tidak pernah ada niat untuk menyakitkan hati abang, apatah lagi untuk membuat abang terluka. Hurin benar-benar minta maaf atas segala yang telah terjadi.

Abang,
Sejak dari awal lagi Hurin sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi, tetapi demi amanah, Hurin hanya mengikut arus. Dan ternyata, Hurin benar-benar jatuh cinta dengan abang. 5 bulan hidup bersama abang, hidup Hurin lengkap dengan bahagia yang abang berikan. Hurin bersyukur dengan nikmat yang Allah  berikan pada Hurin saat itu. Meski kini, Hurin mungkin tidak akan merasai semua itu lagi, tetapi Hurin tidak menyesal kerna waktu yang ada itu sudah lebih dari cukup buat Hurin. Meski pada pandangan abang, Hurin ialah kakak, tetapi itu bukan alasan untuk Hurin bersedih hati, kerna dalam hati Hurin memang sudah ada cinta buat abang.

Abang,
Saat surat ini abang terima, Hurin tidak lagi berada di bumi Malaysia. Hurin sudah berada jauh dari abang, dan insyaAllah, walau jasad Hurin jauh dari Malaysia, tetapi hati Hurin tidak. Abang, terima kasih untuk segalanya. Terima kasih untuk kasih sayang dan perhatian yang abang berikan buat Hurin selama tempoh kita menjadi suami isteri. Terima kasih juga atas hadiah yang abang berikan ini meski abang sendiri belum tentu akan melihatnya. Insyaallah, Hurin akan memeliharanya, menjaganya seperti nyawa Hurin sendiri. Doakan Hurin berjaya dalam pencarian Hurin mencari cinta sejati Hurin buat Ilahi. Dan Hurin juga nak abang tahu, doa Hurin akan sentiasa ada buat abang. Sepanjang masa, seperti mana hati Hurin yang tak pernah berhenti dari mencintai abang.

Salam sayang,
Hurin Amni

Haq melipat kembali surat yang telah dibacanya. Air mata lelakinya mengalir jua. Dia langsung tidak menjangka yang Hurin benar-benar memaksudkan bicaranya tempoh hari. Dan kini, semua sudah berakhir. Hurin sudahpun pergi dari hidupnya kini. Dia sememangnya masih keliru dengan perasaan sendiri. Dia berperang dengan rasa yang ada di hatinya kini. Tetapi, lelaki mana yang sanggup dianggap dayus kerana tidak mampu untuk menghalang dosa yang dilakukan oleh si isteri? Sehingga kini, dia tidak betah mengingati kejadian itu. Kejadian di mana dia mendapat panggilan daripada kekasih gelap isterinya.

“ Yo..”
“ Mama..” tubuh Hajjah Zalikha didakap.

“ Hurin dah tinggalkan Yo, ma..”
“ Bukan ke memang itu kehendak kamu?” sinis soalan yang diajukan. Haq melepaskan keluhan.
“ Tapi Yo tak pernah jangka dia akan pergi jauh dari sini..”

“ Kamu silap, Yo! Kamu yang salah! Kamu biarkan isteri kamu pergi macam tu saja sebab fikirkan perasaan kamu sendiri! Kamu tak pernah fikir hati isteri kamu! Kamu yang salah!” Hajjah Zalikha terusan menghentam dirinya. Haq meraup wajah. Mutiara jernih yang mengalir di pipi ibunya menambahkan kekesalan Haq.

“ Sudahlah, Ika. Tak guna awak menangis keluar air mata darah sekalipun. Hurin dah tinggalkan kita,” Haji Muhammad tiba-tiba bersuara.

“ Walid..”
“ Semua tu dah terjadi. Apa lagi yang boleh kami lakukan?”

“ Yo, mama tak sangka mama ada anak sekejam kamu! Apa salah Hurin sampai kamu sanggup buat macam  ni pada dia? Masa kamu tinggalkan rumah, tak pernah pun dia putus-putus datang sini, malah sanggup tidur dekat sini. Langsung dia tak ceritakan pada kami apa yang sebenarnya berlaku pada korang. Dia katakan semuanya okey saja, tapi langsung kami tak tahu hati dia yang betul-betul berharap dapat jumpa kamu. Langsung kami tak tahu yang dia sebenarnya tunggu kamu! Mana lagi kamu nak dapat isteri macam tu?! Cakap! Cakap!”

“ Ika..”

“ Tak boleh, bang. Ika tak boleh diam. Dah lama Ika diamkan diri. Ika tak tahu mana silapnya didikan kita pada dia sampai hukum pun dia tak tahu! Apa yang kamu fikirkan masa kamu tinggalkan rumah sebenarnya? Takkan masalah korang tak boleh diselesaikan dengan cara baik? Kamu fikir tak sakit isteri kamu sepanjang kamu tak ada? Makan tak dia? Kamu fikir tak?!”

Tubuh Haq dipukul bertalu-talu. Haji Muhammad menarik isterinya dari terus berbuat begitu. Haq hanya membatu di tempatnya. Bukan dia tidak marah dengan perbuatan anaknya, tetapi itu sudahpun tertulis. Ia suratan takdir, dan tiada siapa yang mampu melawan apa yang telah ditetapkan oleh Yang Kuasa.

“ Dahlah Ika.. Dhiyaulhaq, buatlah apa yang kamu suka. Walid dan mama takkan masuk campur lagi dalam urusan hidup kamu. Mungkin ada silap kami sampai kamu buat macam ni. Maafkan walid dan mama sebab tak dapat berikan ajaran yang terbaik,..”

“ Walid! Jangan cakap macam tu.. Yo yang salah.. Yo minta maaf,”

“ Kemaafan tu bukan milik kami. Ada yang lebih layak dapat kemaafan tu..”

Haji Muhammad dan Hajjah Zalikha melangkah keluar dari kamar Haq. Hati tua itu nyata terluka kerana sikap anak mereka yang diajar dengan didikan yang secukupnya. Dan kini, biarlah Haq sendiri yang menyelesaikan hidupnya. Mereka tidak punya hak untuk melakukan itu semua.