Saturday, March 24, 2012

KALIMAH CINTA 2


“ Dhiyaulhaq, walid nak kamu mula masuk pejabat esok,”

Haq terpana mendengar bicara walidnya. Mamanya hanya mengukir senyuman gembira. Mungkin meraikan kemenangannya setelah hampir empat bulan berhempas pulas memujuk Haq untuk segera bekerja di syarikat keluarga.

“ Kamu dengar tak apa yang walid cakapkan ni?”

Haq hanya mampu mengangguk. Tidak berani menentang kata-kata Haji Muhamad. Kata-kata walidnya jangan dibankang. Padah pasti akan datang! Haq melepaskan keluhan. Terasa berat beban yang terpaksa dipikulnya. Dia masih belum bersedia. Belum bersedia untuk memikul tugas sebagai seorang CEO.

“ Walid, Yo nak berbincang sesuatu dengan walid sebelum kita ke pejabat,”

“ Katakan apa yang kamu mahu, Dhiyaulhaq. Walid sedia mendengar,”
Haq menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia sendiri tidak pasti akan penerimaan Haji Muhamad dengan keputusannya. Yang dia mampu, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Semoga dibukakan pintu walidnya untuk menerima keputusan tersebut.

“ Yo masih belum bersedia menjadi CEO,”
Senyuman di bibir walidnya membuat Haq semakin gemuruh. Fikiran walidnya memang sukar untuk difahami. Berbeza dengan mamanya.

“ Habis tu? Kenapa kamu tak beritahu awal-awal?”

“ Yo.. boleh tak Yo mulakan dari bawah dulu, walid?” diberanikan dirinya untuk bertanya.

“ Kenapa pula Yo nak mulakan dari bawah?” soalan walidnya membuat Haq sedikit lega. Dia tahu, walidnya sedia untuk dibawa berbincang.

“ Yo rasa, Yo masih kosong dalam pengurusan syarikat ni, walid. Walaupun Yo belajar kursus yang sama, tapi Yo belum ada sebarang pengalaman. Yo nak mulakan dari bawah. Fahami pengurusan syarikat dahulu, lepas tu baru Yo boleh fikirkan balik tentang tawaran walid sebelum ni,”

“ Okey, walid izinkan. Walid pun memang bercadang untuk lakukan sedemikian. Tapi, walid bimbang Yo tak mahu. Alhamdulillah, Yo juga berfikiran sama seperti walid,” Haji Muhamad menepuk lembut belakang badan anaknya.

Mereka tiba jua di pejabat akhirnya. Debaran di dada Haq kian kencang. Bukan kali pertama dia menempuhi alam pekerjaan, tetapi ini terlalu berbeza! Tiada siapa pun tahu statusnya sebagai anak pemilik syarikat di sini.. susah dan senang harus dia jalani sendiri kerana dia sendiri yang mahukan sebegitu. ‘Ya Allah..kuatkanlah semangatku untuk menempuhi alam baru.’

“ attention semua! Saya perkenalkan, our new staf, Dhiyaulhaq.. dia akan bekerja di bahagian pemasaran,” semua staf bertepuk tangan. Meraikan kehadiran orang baru di tempat mereka. Haq tersenyum, sambil menundukkan kepala tanda hormat.

“ selamat datang, Haq! Semoga awak gembira bekerja dengan kami,” kata Encik Kamil, timbalan naib pengarah urusan. Rahsia status dirinya hanya diketahui oleh mereka. Tuan Haji Muhamad, Encik Kamil, dan Haq sendiri. Kepada Encik Kamil sudah dikhabarkan agar panggilan dirinya ‘ Yo’ tidak diguna.

“ Selamat datang, Haq..”

Haq memandang sekilas gadis yang sudah melentok-lentokkan tubuhnya itu. Dia tidak mampu untuk mengatakan apa-apa. Untuk menolak huluran tangan gadis itu, dia khuatir gadis itu akan berkecil hati. Lalu, lambat-lambat, dia menyambutnya.

“ Tak sangka kita jumpa lagi, kan?”
Gadis itu masih ingin berbicara. Haq di hadapan dipandang penuh minat. Sudah sekian lama dia cuba meraih cinta lelaki itu, tetapi ia seakan sukar sama sekali! Sejak mereka di alam universiti lagi hatinya sudah terpaut kepada jejaka tampan tersebut. Yang menjadi kegilaan ramai gadis di kampus mereka. Aduh, Dhiyaulhaq! Mengapa engkau begitu kacak??!!
 __________________________________________________________________________________________

Hurin Amni mengetap bibir. Tidak..tidak mungkin! Mana mungkin lelaki itu juga ada di sini? Ah, pasti dia yang tersilap memandang..! Tetapi.. namanya! Dhiyaulhaq! Mana mungkin dia akan lupa pada nama yang sudah meragut bahagia keluarga mereka. Tidak sama sekali! ‘ Kenapa harus aku bertemu dengannya lagi??’

“ Hurin, Encik Afiq suruh awak ke pejabat dia sekarang,” maklum Linda, staf di situ. Hurin mengangguk, lantas melangkah ke pejabat Encik Afiq, ketua bahagian pemasaran. Dari luar, Hurin melihat seorang lelaki sedang bersembang dengan Encik Afiq. Berhati-hati dia mengetuk pintu.

“ Masuk,” terdengar suara dari dalam. Hurin menapak.

“Encik panggil saya?”

“ Ya. Hurin, kenalkan, ini Haq. Staf baru di sini,”
Terasa gelap dunianya saat itu. Tidak! Aku pasti bermimpi. Dia bukan lelaki itu! bukan lelaki yang sudah melukakan hati saudaraku sendiri! Bukan!

“ Hurin?”
Hurin tersedar ke alam realiti. Dipandang wajah di hadapannya. ‘Ya Allah..benar.. memang benar dia orangnya!’

“ Awak okey?” soal lelaki itu. Hurin membisu.

“Hurin, tunjukkan tempat dia yang kosong kat sebelah Aiman tu,”

Dia sekadar mampu mengangguk lemah. Mana mungkin dia menolak arahan majikannya. Haq memandang sedalam-dalamnya wajah manis tersebut. Dia tahu, ada rasa marah yang berputik di dalam hati si gadis. Pasti masanya akan tiba untuk dia memohon maaf atas kesilapannya yang lalu. Hurin Ainina..

“ Dah lama awak bekerja dekat sini?” soal Haq, cuba membuka ruang untuk berbicara.
Suasana sepi. Hurin masih diam.

“Awak?”

“Meja awak dekat sini. Saya pergi dulu,”
Tanpa memandang sekilas pun ke arahnya, gadis itu terus berlalu. Haq melepaskan keluhan. Duhai hati, sabarlah..

“Kenapa dengan awak ni Hurin? Moyok je dari tadi,” Linda bertanya, cuba mengorek apa yang tersimpan di hati gadis itu. Hanya elengan yang menjadi jawapan.

“ Tak ada apa-apa, Linda. Saya okey,” Hurin kembali menumpukan perhatian pada makanan di hadapannya.

“ Hai Linda, Hurin! Boleh join korang tak? Meja lain dah penuh,”

Hurin hanya membisu di tempat duduknya. Linda yang menawarkan kedua-dua lelaki itu untuk turut serta. Haq memandang wajah keruh di hadapannya. Ya Allah.. mengapa begitu sukar untuk gadis itu memaafkan dirinya?

“ Diam saja Hurin ni.. Awat?” Aiman menyoal. Hurin hanya mengeleng kepala.

“ Linda, hang nak balik terus ka lepas kerja nanti?”

“ Kenapa kau tanya? Nak ajak aku dating ke?”

“ Isyh.. hang ni! Tak sayang mulut langsung! Kan betul-betul kena dating dengan aku kan, baru padan muka,”

Aiman dan Linda galak mengusik satu sama lain. Hanya Haq dan Hurin sahaja yang sedari tadi sekadar menjadi pemerhati. Namun, tumpuan Haq sebenarnya lebih fokus kepada gadis di hadapannya. Entah, dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan hubungan persahabatan dengan gadis itu setelah apa yang dilakukannya dahulu. Sungguh, Haq menyesal atas sikapnya dahulu. Terlalu mengikut hati mudanya tanpa menyedari dia sedang melukakan sekeping hati itu. Tanpa sedar, Haq melepaskan keluhan.

“ Awat mengeluh ni, Haq?” tersentak Haq disoal begitu. Aiman dan Linda merenungnya.

“ Tak ada apa-apa,”

“ Linda, dah siap belum? Saya banyak kerja lagi ni,”
Haq terusan memandang wajah tersebut. Kedinginan gadis itu semakin menghambat rasa bersalah ke dalam hatinya. Linda yang baru selesai menghirup jus orennya mengangguk. Segera tas tangan yang diletakkan di kerusi sebelah diambil.

“ Jom! Man, Haq, aku balik office dulu okey? Kau jangan lupa pula janji kita petang ni, Man!” Aiman mengangkat ibu jarinya. Haq terusan memandang ke arah dua gadis itu.

“ Kau sukakan Hurin ke?”
Haq tersedak. Aiman sudah tersengih.

“ Apa yang kau cakapkan ni?”

“Tak payah nak sembunyikan lagi, Haq. Dari awal kau datang sini lagi aku perasan renungan kau dekat si Hurin tu lain. Tapi, terus-terang aku cakap, dia tu dingin sikit. Nak dengar dia bercakap pun susah,”

Haq sekali lagi mengeluh kecil. Aku tahu kenapa semua itu terjadi, Aiman.. kerana akulah penyebab dia menjadi begitu..
 _________________________________________________________________________________________

“ Akak..”

“ Hurin jangan macam tu, dik.. Pinangan tu untuk Hurin,”

“ Tapi Hurin tak nak, kak.. Hurin tak nak tinggalkan keluarga kita. Hurin tak nak kahwin dengan lelaki yang dah buat akak macam ni!”

“ Hurin, jangan cakap macam tu adik.. Kalau akak mampu melupakan semua yang terjadi, kenapa tidak Hurin sayang?”

Hurin hanya mampu teresak-esak di ribaan kakaknya. Sungguh dia tidak menjangka Haq akan menghantar rombongan ke rumah keluarganya. Walaupun sedingin mana dia melayan lelaki itu, namun Haq masih terusan tidak berputus asa.

“ Hurin Amni..”

“ Kakak..jangan paksa Hurin kak..”

“ Allah itu Maha Kuasa, dik.. Pasti ada sebab mengapa dia aturkan perjalanan hidup kita macam ni.. Hurin percaya dengan takdir Yang Maha Kuasa, kan?”

Hurin pantas mengangguk. Hurin Ainina mendakap erat tubuh adiknya. Hatinya menangis hiba. Siapa yang kata, hatinya tidak terluka saat perkhabaran itu diterima? Siapa kata hatinya tidak derita saat mengetahui adiknya dilamar lelaki yang dicintainya? Dhiyaulhaq.. lelaki itu sudah lama bertakhta di hatinya. Sudah sekian lama bertapak di jiwa. Sejak pertama kali mereka bersua, sejak itu jugalah hatinya terpaut kepada lelaki itu.

Namun, takdir Allah telah mengubah segala. Dia bukan pilihan lelaki itu. Mungkin Dhiyaulhaq sudah tidak punya sebarang rasa kepadanya. Mungkin jua keadaannya yang memudarkan rasa lelaki itu. ‘Ya Allah..tabahkan hatiku. Ku percaya pada takdirMu. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Redhakanlah hatiku dalam menerima Dhiyaulhaq sebagai adik iparku, Ya Rabb..’

Haq memejamkan mata. Fikirannya melayang teringat tentang peristiwa semalam. Akalnya berkata tindakan itu tepat, namun hatinya pula sebaliknya. Dia bimbang. Bimbang apa yang dilakukannya akan mengundang lebih rasa benci gadis itu. Bukan dia sengaja, tetapi dia tidak melihat cara yang lebih baik untuk menebus rasa bersalah atas tindakannya suatu masa dahulu..

“ Hurin..”

“ Dah angau ke anak mama sorang ni?” sapaan seseorang mengejutkan Haq.

“ Eh, ma! Apa yang mama cakapkan ni?”

“ Mama tahulah kamu tu dah angau dengan Hurin, Yo. Tak payah nak sorokkan lagi,”
Dhiyaulhaq menyembunyikan resah yang bersarang di hati. Kalaulah mama tahu apa yang sebenarnya berlaku, pasti dia akan dileteri!

“ Ma.. mama sukakan Hurin?”

“ Siapa yang tak suka dapat menantu macam tu, Yo? Kali pertama mama tengok dia, hati mama dah terpaut. Baik budaknya. Berbudi pekerti, cantik, lemah lembut.. Subhanallah! Memang indah sungguh ciptaan Allah tu!”

Haq mengukir senyuman mendengar bicara mamanya. Memang dia akui, Hurin memiliki seraut wajah yang begitu cantik, ditambah pula dengan pekertinya yang lemah lembut. Berbeza sekali dengan Hurin yang pernah dikenalinya dahulu! Tetapi, satu yang tidak dijangka, sikap gadis itu yang masih dingin terhadapnya. Perlahan-lahan, Haq melepaskan keluhan, tetapi jelas di pendengaran Hajjah Zulaika.

“ Kenapa kamu mengeluh?” pantas Haq mengeleng.

“ Kamu ada masalah?” masih lagi jawapan yang sama diberikan. Hajjah Zulaika jelas tidak berpuas hati.

“ Mama yang melahirkan kamu, Yo. Mama cukup arif dengan anak-anak mama,”
Haq akhirnya mengalah. Mana mungkin dia dapat menipu mamanya sendiri. Insan yang paling banyak berkorban untuk dirinya.

“ Mama.. mama tak rasa ke layanan Hurin pada Yo sedikit dingin?”
Hajjah Zulaika mengulum senyum. Baru dia tahu perkara apa yang meresahkan anak bujangnya itu.

“ Kenapa kamu cakap macam tu?”

“ Yalah, ma. Cuba mama tengok kelmarin, masa kita pergi ke rumah dia. Dia sambut mama dengan walid dengan penuh mesra, tapi dia dengan Yo pula sebaliknya,”

“ Kamu tahu tak, umi Hurin ada beritahu mama, Hurin tidak pernah bercinta. Tidak pernah menyayangi lelaki lain selain daripada walidnya. Mungkin kerana itu layanan dia pada kamu berbeza. Sebab kamu masih bukan yang sah buatnya. Mungkin dia kekok, apatah lagi selama ini kamu dan dia cuma rakan sekerja, dan tiba-tiba kamu melamar dia,”

Haq diam. ‘ Mama, tahukah mama Hurin itu dahulu pernah bertakhta di hati anakmu ini? Kami pernah bercinta, dan mana mungkin ajaran umi dan walidnya yang membuat dia dingin dengan lelaki. Tetapi kerana anakmu ini telah melukakan hatinya!’ ingin sahaja Haq meluahkan semua itu, namun lidahnya terasa kelu. Biarlah. Biarlah ia kekal sebagai rahsia antara mereka. Antaranya dan Hurin, dan antara mereka dengan Allah.

Wednesday, March 14, 2012

KALIMAH CINTA - KALIMAH 1


KALIMAH PERTAMA
“ Dhiyaulhaq Muhamad Syabri!!!!!!!!!”

Haq tergesa-gesa bangkit dari perbaringan saat mendengar suara lantang tersebut. Sempat dia meraup wajah.

“ Ya, ma! Yo da bangun..”

Kepala yang terasa sakit dipegang. Malam tadi dia balik agak lambat setelah menghabiskan masa bersama teman-teman di warung Pak Mat untuk  sama-sama menonton perlawanan bola sepak antara MU dan Chelsea. Dia bukanlah peminat tegar untuk kedua-dua pasukan terkenal tersebut, tetapi sekadar untuk melepaskan diri daripada dihujani dengan persoalan mama yang begitu menyesakkan dirinya..

“ Kamu ni bila nak masuk pejabat? Walid dah bising-bising tu.. Belajar dah tiga bulan habis. Orang lain tamat je belajar, terus cari kerja. Kamu tak! Melingkar lagi kat rumah,”

“ Ala mama ni.. ingat Yo ni ular ke apa, cakap orang melingkar.. biarlah dulu mama... Yo dah bertahun habiskan masa menghadap buku-buku. Apa kata kali ni mama bagi sedikit masa untuk Yo lepaskan kepenatan tu?” dia sengih.

“ Banyaklah kamu punya penat Dhiyaulhaq!”

Bicara itu tidak pernah menemui penamatnya, sehingga sekarang. Bagi Haq sendiri, dia memerlukan lebih masa untuk memutuskan sama ada ingin menggantikan posisi walidnya di syarikat milik keluarga, ataupun memilih bidang kerja lain yang lebih sebati dengan dirinya. Melukis! Tetapi, hobinya itu sering ditentang oleh kedua orang tua. Kata mereka, kerjaya pelukis tidak menjamin masa depan. Menghabiskan masa! Menghabiskan tenaga! Menghabiskan wang! Tanpa sedar, Haq melepaskan keluhan.

“ Ha! Yang mengeluh ni kenapa? Masalah kamu tu berat sangat ke?”

Haq pantas mengukir senyum sumbing. Mama, andai saja kau tahu apa yang bermain di dalam fikiran anakmu ini.. adakah kau akan memihak kepadaku kali ini? Sekali lagi Haq melepaskan keluhan. Panjang..

“ Ma, Yo nak keluar.”

“ Nak pergi mana pulak? Tak boleh ke kamu duduk rumah saja? Merayap saja kerjanya..”

Haq tidak berkata apa-apa. Hanya menyalami tangan wanita yang telah membawanya ke dunia sebelum berlalu pergi. Dengan kereta Perdana miliknya yang dibeli hasil titik peluhnya sewaktu bekerja sambilan di universiti, Haq memandu tanpa arah tujuan. Dia buntu. Masalah itu seakan mengganggu dirinya.

“ Ya Allah.. bantulah aku.. tunjukkanlah aku jalan yang terbaik..”

‘ping!’
Bunyi hon yang kuat membuat Haq membrekkan keretanya secara tiba-tiba. Mujurlah tiada kereta di belakangnya. Kalau tidak, dia akan berdepan dengan dua masalah. Masalah dengan kereta yang mungkin ada di belakangnya, dan..

“ Awak okey?” soal Haq kepada pemandu kereta Kancil yang sedang menutup wajahnya. Mungkin terkejut barangkali dengan kejadian sebentar tadi.
Sebentar kemudian, gadis bertudung litup itu mengangkat kepala. Haq terpana. Subhanallah!

“ Hurin Ainina?”

Gadis itu mengerutkan dahi. Jelas kelihatan riak terperanjat di wajahnya.

“ Maaf, awak salah orang. Saya pergi dulu,”

Haq tidak sempat berkata apa-apa tatkala gadis itu sudah mula menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi. Fikirannya masih terbayang peristiwa sebentar tadi. Wajah itu sudah sebati dengan dirinya. Mana mungkin dia tersilap memandang. Wajah itu sudah sekian lama menghuni fikiran, menghantui dirinya yang sehingga kini masih dihimpit rasa bersalah.. Hurin Ainina.. nama itu sendiri sudah lekang di bibirnya.

“ Hoi! Nak mati ke?!” suara seseorang membuat Haq kembali ke dunia nyata. Pantas dia bergerak ke tepi sambil menundukkan sedikit kepala tanda meminta maaf kerana alpa. Alpa sehingga dia lupa bahawa dia sedang berada di laluan orang ramai. Haq masuk ke dalam isi kereta.
“ Ain..” sepatah nama itu kembali meniti di bibirnya. Sudah lama sejak peristiwa itu berlaku. Peristiwa yang sehingga kini membuat dia dipagut rasa bersalah yang teramat sangat saat memikirkan tentangnya.
“ Maafkan Haq, Ain..”

__________________________________________________________________________________________


“ Hurin? Kenapa ni?”

Hurin pantas mengelengkan kepala. Asyiqa yang keliru dengan sikap temannya itu mendekati katil gadis itu.

“Hurin..”

“ Saya okey, Iqa.. Awak jangan khuatir,” lembut tuturnya. Asyiqa mengeluh kecil. Perubahan sikap Hurin sedikit mengganggu konsentrasinya untuk menelaah pelajaran. Masakan tidak, tanpa memberi salam, gadis itu terus menuju ke katil dan memeluk lutut. Bukan seperti Hurin yang kebiasaannya.

“ Awak bertenanglah dulu. Kalau dah tenang, dan awak perlukan teman, awak tahu saya ada untuk awak kan?” katanya seraya kembali ke meja belajar.

Hurin hanya membeku di tempatnya. Kejadian sebentar tadi sedikit meresahkan diri. Dia sama sekali tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu! Setelah bertahun, mereka kembali bersua. Itupun bukan atas kerelaan sesiapa. Hanya secara kebetulan. Masih terngiang di telinga Hurin akan suara itu. Suara yang pertama kali didengarinya walaupun wajah itu bukan pertama kali dilihatnya.

‘ Ya Allah.. mengapa aku dipertemukan kembali dengannya? Mengapa setelah sekian lama kisah itu berlalu, dan kini dia muncul kembali? ‘ Hurin hanya mampu bertanya di dalam hatinya. Sedarlah Hurin! Setiap yang terjadi itu sudah ditentukan oleh Allah! Engkau tidak berhak untuk mempersoalkan semua itu! Lantas Hurin tersedar daripada khayalan. Dia beristighfar.

“ Kalau dah rasa tenang tu, eloklah awak pergi berwuduk dulu. Hati awak mesti akan rasa lebih tenang kan?” suara Asyiqa menyapa telinga. Hurin memandang wajah bersih yang menghampiri katilnya.

“ Iqa..”

“ Saya faham.. pergilah berwuduk dulu. Jangan kita dekatkan diri kita dengan kemurkaan Allah, Hurin..”

Pantas Hurin bangkit dari duduknya. Dia berwuduk seikhlas yang mungkin. Tiada siapa yang tahu akan keikhlasan hati seseorang itu dalam melaksanakan sesuatu melainkan DIA yang Maha Mengetahui.

“ Percayalah, setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Bukankah itu yang kita pelajari sejak dari dulu? Jadi, tak perlulah awak terlalu memikirkannya. Allah itu Maha Kuasa. DIA lebih tahu akan apa yang dirancangnya, dan kita sebagai manusia, hanya perlu mengikut jalan yang Allah berikan kepada kita..”

Hurin cuba menyerap setiap patah perkataan yang disampaikan itu. ‘Ya Allah.. Maha Suci akan Engkau.. Tuhan yang menciptakan sekian alam.. Ampunkan kekhilafanku yang telah terlanjur mempersoalkan akan ketentuanMu itu. Aku punya kekurangan itu, ya Allah.. Maka ampunkan setiap dosaku ini..’

“ Hurin Amni? Awak okey?”

“ Astaghfirullah al azim.. Rifdhi! Maaf, saya khilaf..” ucap Hurin, perlahan.
Rifdhi mengukir senyuman. Wajah Hurin yang dalam diam mencuri sekeping hati miliknya itu ditatap seketika. Subhanallah.. indah sungguh ciptaanMu ini!

“ Awak buat apa dekat sini?” soal Hurin. Dia tidak selesa dengan pandangan mata Rifdhi sebentar tadi. Dia tidak mahu mengundang apa-apa maksiat di antara mereka.

“ Saya datang.. nak ajak awak dengan Iqa pergi makan,”

Asyiqa di sebelah Hurin dipandang sekilas. Gadis itu juga ayu orangnya, tetapi Hurin sudah terlebih dahulu menambat hati lelakinya. Perkenalan yang bermula daripada incindent ‘ buku bertukar’ itu membawa kepada sebuah jalinan ukhwah antara mereka. Dalam tidak sedar, Hurin yang lemah-lembut, berbudi dan manis itu berjaya memikat hatinya. Namun, perasaan yang ada di dalam hati masih tersimpan erat sehingga kini. Dia tidak mahu, kerana perasaan itu, Hurin menjauhkan diri daripadanya. Bukan dia tidak tahu dengan perangai Hurin yang mementingkan perintah agama itu.

“ Kami dah makan sebentar tadi, Rifdhi. Maaf,” jawapan yang diberikan Hurin mengecewakan Rifdhi. Tidak sempat dia menghalang langkah gadis itu yang sudah berlalu bersama Asyiqa. Walau kadang-kadang layanan Hurin terhadapnya agak dingin, namun Rifdhi tidak pernah ambil peduli. Hati Hurin pasti akan terbuka untuknya, suatu masa nanti. Deringan dari telefon bimbit mengembalikan Rifdhi ke dunia nyata. Melihat nama yang tertera, senyuman di bibir Rifdhi melebar.

“ Hai, sweetheart! Miss me already?”

“ Sweetheart ape ke jadah nya Dhi oi! Kamu nak kena pelempang opah ke?”

“ Ala opah ni.. Tak sporting la.. Nak bermanja sikit pun tak boleh.. dua kali lima aje dengan mama,” adu Rifdhi.

“ Memanglah sama Dhi! Mama kamu tu anak opah!” Rifdhi tersenyum, seolah opahnya ada di depannya ketika ini.

“ Kenapa opah call?”

“ Balik ke rumah mama kamu minggu ni,”

“ Opah nak ke mana? Kenapa pula Dhi kena balik rumah mama?”

“ Opah nak pergi melancong. Tak ada orang nak uruskan makan minum kamu dekat sini. Orang gaji semua opah dah bagi cuti,”

“ Ala, opah ni.. nak melancong tak ajak Dhi! Mana aci!”

“ Aci tak aci. Duit opah, ikut suka opahlah nak pergi ke mana. Kamu tu, belajarnya entah ke 
mana. Duit nak kena masuk aje setiap  bulan..”

“ Opah berkira dengan Dhi ek? Dhi ni cucu opah tau!”

“ Dah tu? Cucu tak cucu. Ingat! Minggu ni balik rumah mama kamu. Kalau tak, sebulan opah tak masukkan duit dalam akaun kamu. Faham?!”

“ Faham madam..” ‘ klik!’ talian diputuskan. Rifdhi melepaskan keluhan. Hmm.. nasib badan.. Keluarga kaya, tetapi tetap dikongkong!
___________________________________________________________________________________________


“ Hurin, tak lama lagi Hurin dah nak graduate. Hurin dah fikirkan lepas ni Hurin nak sambung ke mana?”

Hurin memandang wajah di hadapannya. Walaupun sudah tidak sesempurna dulu, namun kasih sayangnya tidak pernah berbelah bahagi terhadap saudara kembarnya itu. Baginya, sempurna atau tidak seseorang itu adalah anugerah Allah. Dia tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap kembarnya itu. Saudaranya itu tetap saudaranya. Insan yang banyak berkongsi semua cerita dengan dirinya. Saat susah, mahupun senang. Mereka sering bersama.

“ Hurin?”

“ Ya, kak? Sebenarnya.. Hurin belum buat sebarang keputusan lagi. Hurin ingat, lepas ni, Hurin nak cari kerja dekat-dekat sini saja. Hurin tak nak tinggalkan akak sorang-sorang dekat sini.”

“ Tak boleh, Hurin!”

Hurin tersentak mendengar suara tersebut. Serentak mereka memandang ke pintu bilik. Wajah itu merenung sedalam-dalamnya ke arah mereka. Terutama ke arah Hurin.

“ Walid..”

“ Walid tak izinkan Hurin terus tinggal di sini. Hurin ada masa depan Hurin sendiri. Lebih baik Hurin kejar masa depan Hurin tu daripada terus terperap dekat sini. Dekat sini tak ada apa-apa,”

“ Tapi walid.. Hurin tak nak jauh dari kakak..”

“ Walid dan umi masih ada untuk jaga kakak. Hurin jangan khuatir ya, dik?”

Hurin memandang wajah kakaknya sebelum melabuhkan pandangan kepada orang tua mereka. Terasa sebak di dada saat memikirkan pengorbanan mereka dalam memastikan dirinya dapat menggenggam sebuah kejayaan.. ‘ Ya Allah.. mereka anugerah terindah yang Engkau kurniakan kepadaku.. Syukran Ya Rabb!’

“ Hurin Amni dan Hurin Ainina, kalian anugerah terindah yang Allah berikan kepada umi dan juga walid. Kalian permata kami. Tidak mungkin kami biarkan kalian berdua menongkah arus hidup sendirian. Walau apapun dugaan yang Allah berikan kepada kita, kita akan tempuhinya bersama-sama,”

Kata-kata uminya membuatkan hati Hurin semakin sebak. Dipandang wajah kakaknya yang sedang mengukir senyuman indah. Dia tahu, di sebalik senyuman itu tersimpan sebuah duka. Dia tahu, kakaknya bersedih atas apa yang menimpa. Cekalnya hatimu duhai kakak.. Aku sendiri mungkin tidak mampu untuk menghadapi semua itu. Engkau lalui semuanya dengan hati yang tabah. Tidak pernah engkau tonjolkan kesakitan itu di hadapan kami semua. Setiap kali aku berasa lelah dengan permainan dunia, engkaulah yang pertama menghadiahkan aku dengan mutiara kata semangat walaupun hanya dari jauh. Benar, aku tidak mungkin dapat menjadi sebaikmu, Hurin Ainina.

“ Hurin..”

Hurin mengangkat wajah. Wajah mulus itu dipandang penuh minat. Parut yang menutupi sebahagian wajah itu tidak langsung mengundang rasa jijik di hatinya. Baginya, gadis itu tetap cantik seperti dahulu. Walaupun terpaksa berkerusi roda untuk ke sana ke mari, namun, ketabahan Hurin Ainina yang paling mengagumkan dirinya. Saat kakak kembarnya itu ditinggalkan sang kekasih, gadis itu masih sempat mengulum senyum. Saat dirinya mendapat khabar bahawa sebelah kakinya terpaksa dipotong, Hurin Ainina masih lagi mampu tersenyum. Sehingga kini, sukar bagi Hurin untuk melupakan segala yang terjadi. Walaupun Hurin Ainina sentiasa menegaskan bahawa dia sudah tidak apa-apa, namun Hurin tahu di hati sebaliknya. Hati kembar mana mungkin dapat menipu kembarnya yang seorang lagi. Sedetik wajah lelaki itu menjelma di mindanya. Rasa marahnya datang tiba-tiba.

“ Hurin fikirkan tentang apa?”

Hurin hanya membisu. Mana mungkin dia mengkhabarkan tentang pertemuannya dengan lelaki tersebut yang berlaku secara kebetulan itu? Pasti hati Hurin Ainina akan lebih terluka. Biarlah rahsia itu hanya kekal menjadi miliknya.

“ Hurin.. kenapa ni? Akak tanya tak jawab,”

“ Tak ada apa-apa, kak. Hurin cuma terfikirkan sesuatu sahaja,”

“ Sesuatu? Siapa? Buah hati ya?”
Mereka sama-sama ketawa. Hurin senang dengan keadaan itu. Sudah agak lama dia tidak mendengar ketawa kembarnya.

“ Hurin mana ada buah hati kak..”

“ Ya ke? Habis tu, yang selalu hantar mesej tu?”

Pasti yang dimaksudkan kakaknya itu Iwadh Rifdhi, teman sekuliahnya. Bukan dia tidak tahu akan perasaan jejaka tersebut terhadap dirinya, tetapi sengaja dia mendiamkan diri. Saat dia mendengar berita tersebut daripada Asyiqa, Hurin sedikit terkejut. Tidak menjangka bahawa Rifdhi begitu cepat jatuh hati terhadapnya. Dan dia juga akui, bukan tidak ada secebis perasaan buat lelaki itu, tetapi dia tidak mahu memikirkannya pada waktu ini. Dia punya amanah yang lebih penting untuk diselesaikan. Amanah orang tua. Mana mungkin dia mengabaikan amanah tersebut untuk kepentingan diri sendiri.

“ Dia tu teman sekuliah Hurin lah kak.. Kami cuma kawan biasa. Tak lebih,”

“ Betul?”Hurin menganggukkan kepala.

“ Kalau dia buah hati Hurin pun apa salahnya.. Akak pun nak juga ada adik ipar. Ada anak saudara.. kalau harapkan akak ni...”

“ Kak..! Jangan cakap macam tu.. Hurin tak akan berkahwin selagi akak tak kahwin!”

Hurin Ainina tersentak mendengar bicara adiknya. Mana mungkin dibiarkan adiknya membuat janji seperti itu! Dia sedar akan kekurangan diri. Tidak mungkin ada lelaki yang akan mencintai dirinya yang tidak sempurna ini..

“ Akak lagi tak suka kalau Hurin buat janji macam tu. Ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Allah, Hurin. Ingat tu! Jika suatu masa, hadir seorang lelaki yang melamar Hurin sebagai suri di hatinya, akak nak Hurin terima. Akak tak nak Hurin tunggu. Akak tak nak kerana akak, Hurin ketepikan kebahagiaan Hurin sendiri,”

Hurin hanya membisu.  Dia tidak sanggup melihat kakaknya bersedih jika dia dibawa pergi dari rumah ini. Dia masih ingin bersama keluarganya. Masih belum bersedia untuk menempuhi fasa yang baru.

“ Akak..” Hurin Ainina hanya tersenyum manis. Biarlah hatiku hanya aku yang tahu.